Saturday, April 12, 2008

Kisah Pengemis Jalanan & Pencopet Profesional..



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

“SAYA kenal mereka ini…” Kata pemilik Hotel Adamson Ir Hj Zamani Adam, semasa kami sedang minum-minum di perkarangan hotel tersebut, bawah khemah kantinnya.

Mereka adalah seorang wanita separuh umur berkaca mata hitam (difahamkan seorang yang buta) bertongkat, dipimpim oleh seorang lelaki tidak buta sedang mengunjungi pengunjung-pengunjung kantin tersebut, perlahan-lahan dan jalan berhati-hati, meminta derma dari meja ke meja.

“Ada orang nampak, bila sampai di tempat gelap, tiba-tiba yang buta itu boleh berjalan laju meninggalkan yang celek. Mereka berkejar-kejar menuju kepada sebuah kereta yang sedang menunggu, untuk membawa mereka mengutip derma ke tempat lain pula.” Sambung Ir Hj Zamani lagi.

“Itu pula…” Dia menunjuk kepada beberapa pemuda berkupiah putih pakaian Afghanistan sedang makan-makan capati, “Mereka juga kutip derma, konon untuk jihad di Afghanistan, dengan menunjukkan pelbagai surat pengesahan. Kalau diberi derma seringgit dua, dia macam tak layan. Kadang-kadang mereka datang tukar wang hasil kutipan antara RM300 ke RM400 sehari. Naik kapal terbang pergi-balik ke negeri mereka hampir tiap bulan.”

“Ha! Hebat sungguh Malaysia ni. Peminta sedeqah pun boleh balik negeri naik kapal terbang setiap bulan!!” Seorang kawan saya meningkah.

“Bagaimana dengan orang Islam Thai minta derma untuk pembinaan masjid dan sekolah-sekolah agama mereka di sana? Ada nama, alamat, nombor telefon dan gambar bangunannya di sana? Betul ke?” Ada lagi yang bertanya.

Masing-masing diam, tak jawab.

“Bukan itu saja, bahkan sami-sami luar negara ada yang datang kutip derma di sini untuk kuil-kuil mereka, kadang-kadang menghadiahkan kalungan patung kecil kepada penderma-penderma!” Kata yang lain pula.

“Ada lagi yang lebih menarik. Beberapa tahun lalu, ada seorang pemuda yang tiada kerja...” Kata saya. “Pagi-pagi dia keluar dari rumahnya berpakaian seperti orang kerja pejabat. Kerjanya bergayut di pondok telefon awam, pura-pura telefon. Bila ada orang lalu lalang dekatnya, dia minta wang kecil kerana tiada tukaran, kononnya. Sesudah beberapa jam, dia pindah bergayut di pondok telefon lain pula kerana bimbang dikenali. Begitulah dilakukannya hingga petang.. dia dapat kira-kira RM10 ke RM20 sehari untuk belanja. Dia tidak mencuri, tetapi dia minta. Itulah kerjanya hari-hari. Salahkah??”

“Dia tidak mencuri tetapi menipu, lebih kurang macam pengemis buta tadi.”
Saya bercerita lagi, “Ada lagi, kisah seorang pencopet antarabangsa. Dia tinggal di Malaysia Timur. Dia keluar pagi-pagi berpakaian kemas bagaikan ahli perniagaan, naik pesawat ke KLIA Malaysia Barat, atau ke Singapura dan petang pulang ke rumahnya di Malaysia Timur. Hidupnya nampak agak mewah, hari-hari naik kapal terbang. Jiran dan kawan-kawan kagum dengan bisnes dan ke’profesional’an kononnya. Apa bisnesnya dan profesionnya?

Akhirnya baru diketahui, apabila keluar berita di akhbar dia ditangkap kerana menjadi penyeluk saku di dalam bilik air Airport Antarabangsa KLIA (beberapa tahun lalu). Sesampai di dalam kawasan lapangan terbang dia menukar pakaian dan menyamar sebagai pencuci bilik air. Di situlah dia mencopet beg duit ramai mangsa yang sedang buang air. Untuk mengesan hingga tertangkapnya juga memakan masa lama, kerana dia sering bertukar-tukar operasi di beberapa lapangan terbang antarabangsa.”

Inilah catatan santai saya kali ini, mengenai corat-corit manusia di KL dan sekitarnya… . yang boleh diambil iktibar oleh kita dan kerajaan dalam menanganinya dengan baik, adil, sesuai dengan kemanusiaan dan agama Islam itu sendiri. Umpamanya dalam menangani masalah pengemis tadi. Sekian.

Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 12-04-08. KL.


.

2 comments:

Anonymous said...

[url=http://buycialispremiumpharmacy.com/#bkkcu]cialis online[/url] - buy cialis , http://buycialispremiumpharmacy.com/#hvguc generic cialis

Anonymous said...

[url=http://buyviagrapremiumpharmacy.com/#lpuye]viagra online[/url] - buy viagra online , http://buyviagrapremiumpharmacy.com/#jpamp buy viagra

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails