Friday, April 18, 2008
Sempena Setahun: Ke Mana Arah Blog Saya?
Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
19 APRIL 08, genap setahun umur blog saya. Saya mula menulis blog pada tarikh sama tahun lepas bertajuk ‘Catatan Santai: Pilihan Raya Kecil Ijok, Mampukah PAS Perintah Malaysia?’. Saya bermula dari Ijok. Mula-mula saya cuba bentangkan teori bagaimana parti Islam boleh memerintah Malaysia…
Memandang Malaysia rakyatnya bermasyarakat majmuk, sama dengan masyarakat di Ijok, tempat berlaku pilihan raya kecil waktu itu, maka ramai orang yang menganggap mustahil Islam boleh memerintah. Kalau Ijok itu diibaratkan sebagai Malaysia kecil, kata mereka logiknya Islam tidak boleh menang dan memerintah. Pada saya, pandangan itu bukan perkara baru, kerana di zaman kebangkitan Nabi Muhammad SAW di Mekah dulu pun ramai orang yang tidak percaya kemenangan Islam.
Seperti tidak percayanya Peristiwa Israk Mikraj yang berlaku di zaman beliau. Iaitu peristiwa jalan malam dari Masjid Haram Makkah ke Masjid Aqsa di Palestin dan naik ke langit tinggi yang berlapis-lapis. Dalam masa tidak sampai satu malam saja dan balik pula ke Mekah, walau masa itu tiada kapal terbang jet. Peristiwa seperti yang diceritakan dalam Al-Quran.. Masa itu bukan saja orang kafir musyrikin tidak percaya, bahkan orang yang sudah Islam pun jadi murtad kerana tidak yakin bila gunakan alat pengukur logik semasa, mereka.
Pemikiran mereka begitu kerdil macam otak semut. Bukan otak semut seperti yang dikisahkan dalam Al-Quran Surah Semut. Contohnya, kalau saya bawa seekor ketua semut pagi-pagi naik kapal terbang pergi ke Medan Indonesia, bawa dia jalan-jalan. Jumpa ketua semut jenis marabunta atau semut api di sana, dan petang bawa semut itu pulang ke tempatnya… Bila dia cerita hal itu kepada anak buahnya, iaitu peristiwa ‘perjalanan sehari siang dan naik ke langit’ dalam masa tak sampai satu hari, tentu semut-semut anak buahnya tidak percaya, kerana pada mereka kota Medan itu begitu jauh.
Bahkan mungkin ada yang mengatakan ketua semut itu gila atau kena sampuk cara berfikir manusia. Begitulah logik ‘otak semut’, bagi manusia-manusia yang tidak yakin dengan kemenangan Islam akhirnya. Maka proses meyakinkan manusia tentang tentang kemenangan Islam sebagai Khalifah di muka bumi atau Presiden Sejagat inilah, menjadi matlamat blog saya. Walaupun perjuangan ini tidak mudah, tetapi tidak bererti kita boleh tidak perlu berjuang untuk menegaknya.
Banyak rintangan-rintangan yang perlu dihadapi, samada dari dalam atau dari luar. Rintangan dan rentetan itulah yang perlu dijelaskan dari semasa ke semasa. Terpaksa berlawan bersungguh-sungguh dalam memberi penjelasan yang hak. Oleh itu kepada diri saya sendiri atau penulis-penulis blog lain marilah kita sama-sama bertanggung jawab atas tulisan dan peranan kita kepada agama kita.
Marilah kita terus berjuang menggunakan blog dan tidak akan undur lagi walau sejengkal. Saya pilih serumpun doa Tok Guru Nik Abdul Aziz Mursyidul Am PAS semasa menghadapi PRU 12 lalu, yang perlu kita amalkan dalam doa-doa harian kita sebagai pemangkin semangat, sempena menyambut satu tahun blog saya ini.. Marilah kita sama-sama berdoa…
Wahai Tuhan!
Sama ada Engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami
sebagaimana Engkau lembutkan besi untuk Nabi Daud…
Dan Engkau tundukkan mereka
seperti Engkau tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman…
Atau pun Engkau lipat balik rancangan jahat mereka
supaya berpatah balik ke atas diri mereka sendiri…
Dan Engkau hancur-leburkan pakatan mereka..
dan kacau-bilaukan kumpulan mereka..
dan goncangkan pendirian mereka…
Ya Allah!
Turunkan bendera mereka rapat ke bumi…
Wahai Tuhan yang tetap hidup mentadbir urusan makhlukNya…
Wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan,
sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.
Ya Allah Tuhan kami!!
Limpahkanlah rahmat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW
yang dengannya dapat mengubati hati
dan menjadikan penawar,
menyihatkan badan yang menyembuhnya,
menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarnya
dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarganya
dan para sahabat baginda sekalian.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 19-04-08. KL.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Amin!
Alhamdulillah. Teruskan perjuangan melalui blog.
Post a Comment