Sunday, May 04, 2008

Bisik-bisik Maufakat UMNO-PAS

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:




PAGI awal hari-hari Buruh, saya dipanggil oleh seorang kawan PAS dari Kelantan ajak bertemu. Konon ada perkembangan terbaru berlaku di sana di kalangan rakan-rakan dari PAS. “Khabarnya ada gerakan sedang berjalan lancar untuk pertemukan dua parti politik akar umbi orang Melayu iaitu UMNO dengan PAS.”

“Suatu perkembangan menarik.. Siapa mereka itu?” Dia sebut dua nama. Iaitu bekas pemimpinorang-orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam belia Islam dulu.

“Barangkali ada kena-mengena dengan Kongres Permaufakatan Melayu yang sedang berjalan di Johor Bharu sekarang??” Saya tanya lagi.

Kerana kalau dilihat kenyataan Presiden TERAS (Teras Pengupayaan Melayu), Mohd Azmi Abdul Hamid di Kongres Permaufakatan Melayu tersebut (lihat Harakah 3 Mei), “Kami berpendapat bahawa UMNO/BN mesti menerima hakikat bahawa sokongan yang menurun pada Pilihan Raya Umum lalu dilihat seabagai kehilangan keyakinan orang Melayu terhadap kepimpinan dan pemerintah yang ada sekarang…

Mesej pengundi Melayu tidak boleh dilihat sebagai suatu gugatan kepada kedaulatan orang Melayu tetapi sebagai suatu kematangan dan sikap kritikal orang Melayu menilai kepimpinan yang sedia ada.”

Lebih menarik lagi, katanya, “Kami berpendapat kekuatan orang Melayu mesti disandarkan kepada Islam sebagai teras kepada pemulihan bangsa. Jika Kongres tidak mengakui hakikat ini kami tidak nampak ia akan memberi apa-apa makna kepada memulihkan nasib bangsa.”

Menurut beliau, kelemahan orang Melayu sebenarnya adalah terletak kepada kekuatannya menghayati Islam seutuhnya. TERAS tidak melihat orang Melayu hanya boleh bergantung kepada perlembagaan semata-mata untuk menjamin kedudukannya. Sehingga orang Melayu dapat merubah nilai dan jati dirinya supaya kembali kepada Islam seutuhnya, selagi itu nasib bangsa ini tidak akan dapat terjamin, ujar Mohd Azmi.

Pada pandangan saya pula, kalau UMNO boleh menerima Islam sebagai asas perjuangan mereka dan mempraktikkan Islam secara syumul, maka tidak ada sebab PAS akan menolaknya. Pernah pemimpin-pemimpin PAS berceramah, ‘...kalau UMNO mengumumkan sanggup menerima Islam sebagai dasar negara pada jam 12 malam ini (masa ceramah), maka pada 12.05 minit malam ini juga kami akan mengistiharkan pemmbubaran PAS!’ Disambut dengan takbir yang menyeluruh oleh ahli-ahli PAS.

Kalau betul UMNO nak Islam, tak perlu tukar banyak.. United Malay National Organization menjadi United Muslim National Organization. Namun namanya tetap masih UMNO, cuma ‘Malay’ diganti dengan ‘Muslim’. Kalau orang bukan Melayu boleh menerima dasar nasionalis Melayu mentadbir mereka yang memang tidak sama dengan nasionalis Cina dan India… juga tidak ada sebab mereka akan menolak Islam, yang menjadi anutan bangsa mereka di negeri China dan negeri India, yang jumlahnya lebih ramai dari seluruh penduduk Malaysia ini.

Maka tugas kitalah untuk menerang dan meyakinkan mereka yang bukan Islam, hatta kepada orang Melayu sendiri.

Wallahu ‘aklam. Sekian catatan santai untuk kali ini.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 3 Mei 08. KL.

3 comments:

  1. Pandangan TERAS akan dipandang sepi kerana ketuanan melayu hanya dinilai hanya untuk survival UMNO. Pemimpin UMNO hanya mahukan kuasa politik, ini terbukti dengan pemerintahan selama 50 tahun hanya sekelumit sahaja usaha memperjuangkan ketuanan melayu. Senario ini memuncak semasa pemerintahan Pak Lah yang terkenal dengan 'flip-p-flop' tidak memperagakan ciri kepimpinan yang mantap. Orang UMNO terpaksa bertongkatkan pada BN yang jelas bergantung kepada tawaran dan sokongan.

    ReplyDelete
  2. Saya baru lepas tulis satu catatan blog, yang menetapkan 2 perkara yang tidak boleh orang melayu berkompromi.


    Melihat Konvensyen Melayu Dari Sudut Islam dan Bahasa Melayu

    Selamat membaca.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

    Penyatuan UMNO, PAS & PKR adakah ia dpt dilaksanakan? Perkara ini semenjak dua menjak ini seringkali bermain-main di dalam fikiran Mamu. Adakah penyatuan ini boleh berhasil? Hanya Maha Pencipta dan Maha Pentadbir Sekian Alam sahaja mengetahui segala yang tersurat dan tersirat.

    Subhannallah......alangkah baiknya jika perkara ini berlaku di dalam keadaan kekalutan masyarakat Melayu beragama Islam di Malaysia ketika ini yang telah terpisah-pisah dengan idealogi politik masing-masing. Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW ketika berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah telah menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar demi agama Allah.

    Sepatutnya bangsa Melayu beragama Islam dan telah mengetahui sejarah kisah agung terdahulu yang dipersembahkan oleh Nabi Junjungan perlu dicontohi. Mungkin ada pihak tertentu akan membuat pelbagai andaian dan tohmahan bahawa Mamu ini berfikiran sempit dan kolot. Tetapi Mamu agar gusar dan resah dengan nasib bangsa Melayu beragama Islam ketika ini terpisah-pisah kerana idealogi politik.

    Sesungguhnya politik telah wujud sekian lama tetapi sekiranya kerana politk boleh membuatkan kita semua terpisah-pisah kerana idealogi maka perkara ini wajib kita semua beri penekanan bagaimana dan siapa yang perlu memulakannya dulu bagi penyatuan ummah.

    Agak sedih ketika ini kita sesama Melayu beragama Islam bertelagah, bermasam muka dan berfikiran sempit dengan idealogi masing-masing serta meminggirkan aspek agama (ALIF) , bangsa (BA) dan tanahair (TA). Sedangkan bangsa lain sedang di dalam proses penyatuan untuk kepentingan mereka tetapi sebaliknya berlaku pada bangsa Mamu sendiri iaitu Melayu Islam.

    Sesungguhnya adalah indah penyatuan UMNO, PAS & PKR demi ISLAM. Hanya itu sahaja asas yang boleh menyatukan kita semua seperti mana yang telah ditonjolkan di dalam sejarah Hijrah dengan kebijaksanaan dan kewibawaan Nabi Muhammad SAW. Bangsa Melayu adalah bangsa yang rapuh dan mudah goyah dengan fahaman bawaan manusia seperti politik ini.

    Maka kita mudah taksub dan bermegah-megah tanpa memikirkan akibatnya kelak. Mungkin kita kurang membaca atau mengkaji sejarah kejatuhan bangsa Melayu terdahulu seperti kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Kerana nila setitik rosak susu sebelangga. Cuba kita kaji di mana silapnya era Melayu di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

    Bukankah kejatuhannya adalah kerana idealogi dan faktor dendam kesumat. Sekiranya kita tidak mahu 'Pandang Belakang' seketika dan mengkaji maka kita akan terus dibuai kealpaan pada masa akan datang. Mungkin bangsa Melayu hanya tinggal nama sahaja.

    Tetapi perlu diingat sesungguhnya bangsa Melayu mudah bersatu kerana Agama iaitu ISLAM. Hanya ISLAM adalah jalan penyatuan bangsa Melayu ketika ini. Perlu ada kesungguhan dari ketiga-tiga pakatan UMNO, PAS dan PKR untuk melihat secara mendalam aspek ini sekiranya ingin melihat bangsa Melayu tidak dilayu-layukan oleh bangsa lain.

    Janganlah kita menyalahkan di antara satu sama lain dalam hal ini. Fikirkanlah halatuju bangsa Melayu beragama Islam dan seluruh rakan-rakan Islam kita yang lain.

    Mamu ada beberapa orang kenalan di Singapura. Sesungguhnya Melayu di Singapura ketika ini risau dan resah dengan saudara sebangsanya di Malaysia yang makin berenggangan kerana idealogi politik. Apa tidaknya sekiranya saudara sebangsa di Malaysia goyang dan rapuh di seberang Tambak Johor bagaimana pula nasib mereka yang hanya kurang dari 500,000 Melayu di Singapura.

    Sudah pasti mereka bergantung harap pada saudara-saudara di Malaysia untuk kukuh dan utuh dengan kesepakatan yang tinggi supaya bangsa Melayu tidak mudah diganggu-gugat.

    Semoga hasrat penyatuan Melayu Islam dari ketiga-tiga pihak ini akan dapat direalisaikan oleh semua. Kita hanya mampu merancang dan hanya Allah sahaja yang mampu memakbulkannya. Kita hanya mampu berdoa dan berserah. Akhir sekali Mamu pertontonkan sedutan video dari kisah Wali Songo.

    http://www.youtube.com/v/FT5cG-NxKxs [www.youtube.com]

    ReplyDelete