MALAYA mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pengumuman yang telah disambut dengan gembira oleh seluruh penduduk Tanah Melayu. Persidangan Agung UMNO memutuskan supaya dituntut kemerdekaan selewat-lewatnya pada 31 Ogos 1957 itu diumumkan selepas Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan, Sir Donald Mac Gillivray mengumumkan bahawa keadaan dharurat tidak lagi menjadi penghalang utama untuk Tanah Melayu mencapai taraf berkerajaan sendiri.
Pengumuman Pesuruhjaya British itu dibuat beberapa minggu sebelum pertemuan antara British melalui Tunku Abdul Rahman dengan PKM (Parti Komunis Malaya) melalui Setiausaha Agungnya Chin Peng dalam bulan Disember 1955, di Baling Kedah. Lapan wakil British masuk ke tempat rundingan iaitu:
1.Yang Teramat Mulia iaitu Tunku Abdul Rahman.
2.Dato’ Sir Tan Cheng Lock.
3.Encik Hamid Jumat.
4.Devid Mashall.
5.Yaacob Latif D.I.O.
6.Too Joo Hin.
7.T.H.Tan.
8.Syed Jaafar Albar.
Pihak komunis pula terdiri dari 3 wakil:
1.Chin Peng.
2.Chen Tien
3.Rashid Maidin.
Tetapi Chin Peng, sebagai Setiausaha Agung PKM dalam rundingan hari kedua di Baling itu, pada 29 Disember 1955 menyatakan sikapnya tentang kemerdekaan, katanya:
“Kerajaan sekarang, walaupun ianya sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, tetapi ianya bukan sebuah kerajaan yang merdeka.”
David Mashall yang ada bersama-sama pada waktu itu mengarahkan jurubahasanya memberitahu bahawa Malaya telah diiktiraf sepenuhnya oleh British.
Tetapi Chin Peng menegaskan:
“Dalam beberapa perkara, bila kami kemukakan cadangan kami, kami menganggap ianya begitu. Sekiranya kerajaan pilihan rakyat ini, iaitu Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura mempunyai kuasa sendiri dari segi keselamatan dalam negeri dan pertahanan negara, maka sudah tentu segala masalah itu boleh diselesaikan dengan mudah. Sebaik sahaja dua kerajaan ini mempunyai kuasa sendiri dalam segi keselamatan dalam negara, maka kami boleh berhentikan perang dengan serta merta.”
Kata Tunku Abdul Rahman:
“Adakah itu suatu janji? Bila saya balik dari England, perkara itulah yang akan saya bawa balik bersama. Jika itulah kesnya, kami boleh berhentikan sikap permusuhan serta-merta dan memansuhkan unit-unit bersenjata kami.”
Gambar: Chin Peng (tengah) selepas rundingan di Baling.
Janji ini termeterai bersama Chin Peng. Demikianlah petikan sebahagian dari dialog antara British dengan PKM.
Sebenarnya perjuangan komunis di Tanah Melayu dikatakan mendapat semangat baru selepas tentera komunis China di Tanah Besar China dapat mengalahkan tentera-tentera Nasionalis China, menyebabkan ketuanya Chiang Kai Shek lari ke Taiwan atau Formosa pada permulaan tahun 1949. Lebih-lebih lagi selepas Parti Komunis China berjaya menubuhkan Republik Rakyat China pada 1 Oktober 1949 dan kemenangan tentera sukarela China dalam Perang Korea tahun 1950-51.
Di Tanah Melayu, dalam keadaan dharurat diisytiharkan pada 28 Jun 1948, Ching Peng bersama 5,000 tenteranya meneruskan perjuangan bersenjata menentang pemerintah. Pemimpin UMNO waktu itu sanggup membiarkan 7 pemimpin Hizbul Muslimin ditangkap dan organisasinya diharamkan terus oleh penjajah walaupun baru bergerak hanya beberapa bulan sahaja. Sedangkan beberapa tahun kemudian mereka (bagi pihak British) sanggup pula berunding, ingin berdamai dan memberi pengampunan kepada PKM.
Dengan gerakan Islam tak mahu berunding, tapi PKM boleh. Hal ini membuktikan dendam penjajah barat terhadap Islam masih kuat, walaupun tindakannya tidak secara terang-terangan tetapi melalui UMNO. Maka dalam bulan Ogos 1955, Tunku sebagai seorang pemimpin UMNO yang masih dalam bedungan penjajah itu telah membentuk kabinet jamaah menterinya, terdiri dari:
1.‘Ketua Menteri’. Beliau sendiri memegang jawatan itu.
2.5 orang Melayu lainnya. Tiada dari golongan mana-mana badan Islam, gerakan Islam atau PAS (PAS cuma dapat 1 kerusi parlimen dalam pilihan raya Persekutuan Jun 1955).
3.3 berbangsa Cina.
4.1 berbangsa India.
Kabinet ini termasuk dalam ‘Executive Council’ yang diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan di bawah penjajah. Ahli-ahli council itu terdiri dari ahli kabinet, ditambah dengan 5 orang pegawai tinggi berbangsa Inggeris iaitu:
1.Setiausaha Agung.
2.Peguam Negara.
3.Setiausaha Kewangan.
4.Setiausaha Pertahanan.
5.Setiausaha Iktisad.
Pada 2 Januari 1956, Tunku bersama wakil-wakil Sultan dan Parti Perikatan telah bertolak ke London untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan Inggeris British. Mereka berunding dengan Menteri Jajahan Inggeris Alan Lennox-Boyd dan lain-lain pegawai British pada 18 Januari 1956 hingga 8 Februari 1956. Rundingan tersebut tiada banyak masalah, akhirnya tarikh kemerdekaan Tanah Melayu ditetapkan pada 31 Ogos 1957. Maka Tanah Melayu atau Malaya pun ‘Merdeka!’
Pada 3 September 1957 selepas merdeka, walaupun dharurat masih belum tamat, Yang Di Pertuan Agung ketika membuka sidang Dewan Undangan mengatakan, bahawa negara telah merdeka maka tidak ada alasan lagi bagi komunis untuk bebaskan dari penjajahan Inggeris. Oleh itu, mana-mana komunis yang suka menyerah diri mengikut syarat-syarat yang ditentukan kerajaan, bolehlah berbuat demikian dan kerajaan akan memberikan pengampunan. Tegas baginda.
Dalam buku ‘Utusan Ke London’ penulisnya T.H.Tan, Setiausaha Agung Perikatan waktu itu telah menyebutkan mengenai kehadiran Tunku Abdul Rahman dan rombongannya ke London. Mereka telah memberitahu kepada Inggeris, bahawa tuntutan pilihan raya yang telah dikemukakan oleh mereka adalah juga disokong oleh Persatuan Islam Se Malaya (PAS).
Maka sekurang-kurangnya dalam perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu, nama PAS telah disebut dan digunakan oleh delegasi Perikatan untuk tujuan mencapai kemerdekaan. Sebagai penjajah yang ulet dan matang, British sangat faham tenaga parti dan gerakan Islam adalah satu tenaga yang tidak boleh diperkecilkan. Ini bermakna secara langsung atau tidak langsung PAS juga memang ada saham dalam perjuangan memerdekakan tanahair ini.
Mari kita lihat bagaimana pula sikap PAS terhadap komunis, perjuangan kebangsaan dan kemerdekaan? Muktamar Agung PAS ke 6 yang diadakan pada tahun itu dibawah pimpinan regu Dr Burhanuddin-Zulkifli telah menggariskan pendirian PAS melalui ucapan Yang Dipertuanya Dr Burhanuddin Al-Helmy…
Mengenai komunis dan penjajahan Britian, beliau mengatakan:
“Adapun sikap kita terhadap komunis, kita telah menerangkan berkali-kali pendirian kita Islam dan pendirian PAS dalam menghadapi komunis, tetapi masih ada kedengaran dan kelihatan dalam tulisan-tulisan membabitkan saya dan persatuan Islam ini berbau kominis, dan yang anihnya pula ada yang mambabitkan saya dan persatuan Islam ini berbau penjajah, dua tuduhan yang timbul dari nafsu buta, palsu dan jahil. Sesungguhnya saya dan bagi pihak persatuan Islam tidaklah berbau komunis dan penjajah, saya dan PAS adalah berisi, bersifat, berbau kebangsaan Melayu dengan cita-cita Islam.”
Bagaimana pula sifat ‘kebangsaan Melayu dengan cita-cita Islam’ menurut Dr Burhanuddin seperti dalam ucapan tersebut:
“Saya dan persatuan Islam cukup mengetahui dan sedar berpegang teguh kepada kebangsaan Melayu, dengan faham kebangsaan yang luas bagaimana yang diperjuangkan oleh hasrat cita-cita kebangsaan Melayu yang telah banyak kali saya terangkan di dalam beberapa ucapan, makalah, dan buku-buku karangan saya dan menyesuaikan kebangsaan Melayu itu dengan kehendak ayat ‘ummatan wasatan’ pada masa dunia menempuh perbalahan, pertelingkahan dan peperangan sebagaimana yang telah berjalan amalannya dan contohnya dari semenjak Rasulullah…”
‘Menyesuaikan kebangsaan Melayu itu dengan kehendak ayat ummatan wasatan’ ini, amat berbeda dengan pertubuhan-pertubuhan nasionalis waktu itu dan sekarang, yang cuba menyesuaikan Islam dengan kehendak kebangsaan mereka, bukan cuba menyesuaikan kebangsaan dan nasionalis supaya tidak berlawanan atau seperti yang dikehendaki oleh agama Islam.
Buktinya, mereka tidak meletakkan dalam perlembagaan pertubuhan atau persatuan mereka Islam sebagai dasar. Tetapi mereka menggantinya dengan kebangsaan, sedangkan Islam dalam perlembagaan mereka hanya diletakkan di suatu sudut yang sempit, dipanggil juga ‘rasmi’ atau lambang sahaja. Iaitu yang tidak boleh dipraktikkan secara syumul atau keseluruhannya.
Seterusnya, beliau menerangkan erti kemerdekaan sesuatu bangsa sepenuhnya menurut cita-cita PAS.
“…kemerdekaan bangsa dan nusa sepenuhnya, belumlah lagi bererti tercapainya cita-cita PAS dan belumlah dihitungkan telah merdeka sepenuhnya, melainkan setelah berjalan hukum-hukum Islam pada orang seorang, masyarakat dan negara, barulah tercapai kemerdekaan yang dicita-citakan oleh PAS…”
Merdeka yang sebenarnya, ialah bebas dari hukum dan undang-undang ciptaan manusia yang terbabas dari hukum Allah SWT. Iaitu kembali kepada hukum Islam sehingga terlaksananya ke atas individu, organisasi, masyarakat dan negara. Sesuai dengan keadaan masa, suasana dan tempat. Waktu itu beliau memilih ‘nasionalis bulat’ untuk diperalatkan dan disesuaikan dengan perjuangan PAS.
Beliau menambah:
“Dalam Malaya yang masih terjajah atau dalam masa perlihan ini, telah ketara golongan-golongan nasionalis yang berbagai-bagai corak, di antara yang terbesar ialah nasionalis yang bulat, iaitu kebangsaan Melayu, sebagaimana yang selalu saya terangkan dari dahulu hingga sekarang ini, nasionalis pro-kanan, nasionalis pro-kiri, nasionalis kanan, nasionalis kiri. Kanan yang menyebelahi penjajahan dan kiri menyebelahi sosialisme atau komunisme.”
Menurutnya lagi:
“Nasionalis bulat itu sifatnya dari duhulu lagi berjiwa progresif, itulah yang sesuai dengan perjuangan PAS yang ditunjukkan oleh ayat ‘ummatan wasatan’ dan ‘khairun ummatin ukhrijat linnas’ sebagaimana yang dirakamkan dalam anggaran dasar Persatuan Islam.”
Apa yang penting, perjalanan PAS di bawah pemerintahan PAS di bawah Dr Burhanuddin setakat ini mahukan kemerdekaan sepenuhnya. Tidak ada erti kemerdekaan kecuali setelah terlaksananya hukum-hukum dan perundangan Islam di negara ini. Undang-undang barat bukan undang-undang orang Cina atau undang-undang orang India, bahkan ia adalah undang-undang penjajah yang pernah menjajah sebahagian dari negeri-negeri Asia ini.
Jadi tidak ada salahnya jika undang-undang Islam diganti dan dilaksanakan di negara yang ramai umat Islam dan rakyat Asia berbilang kaum ini!
Rujukan:
Sebenarnya tulisan saya ini sudah 15 tahun berlalu, ramai yang tanya saya mengenai rujukannya, buku-buku simpanan saya banyak yang sudah rosak di makan anai-anai. Di sini cuma saya catat apa yang teringat di fikiran saya sahaja, kalau tak salah... Antaranya:
1.Abu Bakar Hamzah. ‘Ilham 13 Mei’ Terbitan ? Kelantan.
2.Amaluddin Darus. ‘Lintasan Politik Malaysia’ Terbitan ABAD Enterprise.
3.Kamarudin Jaafar. ‘Dr Burhanuddin Al-Hemi: Politik Melayu dan Islam’.
4.Musa Ahmad PKM. (Tak ingat tajuk sebenar) Terbitan Utusan Melayu. (Himpunan dari tulisan di akbar Utusan).
5.‘Rundingan Di Baling.’ Terbitan Utusan Melayu?. (Himpunan dari tulisan di akbar Utusan).
3 comments:
Saya tertarik dengan usaha tuan menulis sejarah PAS.
Saya mencadangkan tuan menerbitkan buku sejarah PAS. Ramai anak muda PAS lebih mengetahui sejarah UMNO daripada sejarah PAS sendiri. Banyak perkara yang perlu dipelajari daripada sejarah lepas. Rahsia, rasional, pahit maung perlu difahami oleh penyokong dan pejuang dalam PAS. Sejarah undi tidak percaya Kerajaan PAS di Terengganu di era Daud Samad, sejarah penyertaan dan penyingkiran PAS dalam BN, krisis hingga tertubuhnya Berjasa, krisis sehingga tertubuhnya Hamim, kerjasama dengan S46. Siapa tokoh-tokoh yang pernah memimpin PAS. Siapa nama-nama seperti Hassan Adli, Abu Bakar Umar, Abu Bakar Hamzah, Yusuf Rawa, Fadhil Noor, Asri Muda, Prof Zulkifli, Amaluddin Darus, Burhanuddin Al Helmy dan banyak lagi. Nama-nama muslimat, saya sendiri pun tak tahu. Mungkin ada sejarah yang tak mahu diingat semula oleh PAS tetapi sejarah tetap sejarah.
Saya rasa tak banyak buku yang menceritakan sejarah PAS terutama daripada mulut orang PAS sendiri. Sementara masih ramai veteran PAS yang masih boleh mengingati dan meriwayatkan sejarah disamping masih ada buku-buku politik lama yang masih dalam simpanan mereka, ada baiknya usaha ini dibuat dengan segera.
Alhamdulillah.. Tolong doakan agar diberi kemampuan oleh Allah SWT.
Terima kasih.
Salam Tuan,
Terima kasih kerana artikel ini. Saya ada gambar kelapan2 orang wakil British semasa itu di Baling tetapi selain dari David Marshall Hamid umat Tunku dan Syed Jaafar Albar, saya tidak kenal yang lain hingga ke hari ini membaca artikel tuan ini.
Untuk melihat gambar mereka di Baling sila lihat di blog saya bertajuk Najib Shuts The Door On Chin Peng di http://tpj-one-thepatriot.blogspot.com.
Terima Kasih. Wasallam.
Post a Comment