Oleh IKAN DUKANG
UMNO mendakwa kuasa Melayu terhakis. Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) melihat ketuanan Melayu tercabar. PAS menolak perpaduan Melayu yang sempit. PAS cukup terkesan dengan tingkah dan tindakan UMNO yang pernah menendang PAS dari keluarga BN setelah mereka kembali kukuh berkuasa. Senario perpaduan Melayu ini sering ke udara dalam satu pola yang cukup jelas iaitu apabila UMNO di ambang kehilangan kuasa; baik dulu,kini dan mungkin juga selama-lamanya. Apakah PAS menolak sama sekali usaha ke arah perpaduan Melayu ini? Secara tersurat dan tersirat, jawapannya TIDAK. Cuma UMNO yang pura-pura tidak faham atau degil. Bukankah PAS pernah memberi syarat dan isyarat kepada UMNO dan tak pernah menokhtahkan peluang itu? Berat sangatkah UMNO terima Islam yang syumul seperti kemahuan umat sebangsa dan seagama UMNO di dalam PAS? Sial benarkah UMNO kalau menerimapakai dasar dan perlembagaan PAS yang menguntungkan Islam? Apakah itu tak mungkin lagi mampu dilakukan oleh UMNO kerana bukan semua ahli UMNO terdiri daripada orang Melayu, rujukannya Sabah? Kalau benar demikian, buat apa lagi UMNO berdegar-degar bercakap tentang kuasa dan ketuanan Melayu kalau UMNO sedar bahawa bukan semua ahlinya Melayu? Apa kata nanti ahli-ahli UMNO bukan berbangsa Melayu di Sabah? Kalau inilah dilemanya, ternyatalah UMNO cuba menipu orang Melayu. UMNO bersuara tentang hak Melayu agar dapat menawan hati orang Melayu. Dan orang Melayu yang mudah tergoda dan termakan hujah UMNO, mudah sahaja kembali menguatkan UMNO. Dalam erti kata lain, mereka menyalahkan dan meninggalkan PAS. Umat Melayu sewajarnya sedar akan kepura-puraan UMNO dalam perjuangan ketuanan Melayu. Umat Melayu sewajarnya berbondong-bondong kembara ke wadah PAS yang berpegang kepada keyakinan ”Islam berdaulat, Melayu selamat.” Kalau umat Melayu pernah memberi 100 kerusi parlimen untuk UMNO, apalah salahnya kalau pada PRU13 akan datang umat Melayu berikan pula 100 kerusi kepada PAS? Dengan itu PAS dapat mengambilalih tampuk kuasa dan ketuanan Melayu melalui pendekatan Islam yang syumul, adil dan indah. Kita perlu ada pembangkang Melayu yang menjadi ”check and balance” kepada kerajaan PAS. Tugas itu wajar dimainkan oleh UMNO. Nah, UMNO bersediakah kehilangan kuasa atau bertindak berani dengan menerima syarat dan isyarat PAS? Dan siapa yang lebih berani ; UMNO atau umat Melayuku? |
No comments:
Post a Comment