Monday, July 28, 2008

Jangan Membazir Urus Wang Negara -Dr Siti Mariah



Ibnu Hasyim: Catatan Santai Dari Parlimen


KITA pilih ucapan Dr Siti Mariah binti Mahmud Ahli Parlimen Kota Raja dari PAS, di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Ke 2 Bil 33, Rabu 16 Julau 2008, semasa membahaskan RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN TAMBAHAN (2008) 2008 Bacaan Kali Kedua. Inilah ucapan beliau yang disunting dari laman web Parlimen Malaysia…


Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana membenarkan saya bersama-sama membahaskan mengenai anggaran perbelanjaan mengurus tambahan pertama ini. Tuan Yang di-Pertua, kalau kita lihat balik kepada anggaran perbelanjaan ini memanglah kebanyakannya adalah untuk mengurus. Jadi saya merasakan bahawa kerajaan kita banyak membelanjakan untuk pengurusan dan kita kena ingat kakitangan kerajaan, pegawai-pegawai yang membuat keputusan, menteri-menteri kita diamanahkan ataupun kerajaan diamanahkan untuk mentadbir dan mengurus wang rakyat.


Ini adalah satu amanah yang besar. Jangan sampai kita dalam mengurus kewangan negara ini membazir, tiris ataupun bocor di dalam penggunaan wang ini. Saya hendak memberikan beberapa contoh yang saya rasakan tidak patut berlaku kerana sedangkan rakyat kita sekarang ini terutamanya dahulu pun ramai yang susah tetapi sekarang makin susah. Sekarang kalau kita lihat majlis-majlis keraian yang diadakan oleh manamana jabatan sekalipun untuk mesyuarat, untuk program-program perasmian dan sebagainya sebahagian besar kewangan itu digunakan untuk perbelanjaan ini.


Ini adalah perbelanjaan hangus dan kita lihat bahawa kadang-kadang jamuan yang dihidangkan dengan menu-menunya dan sebagainya ini adalah wang rakyat. Kadang-kadang saya tak faham kenapa bila kita pergi mesyuarat maka makanan tengah hari disiapkan. Makan tengah hari disiapkan... ...dan bila kita lihat di situ bukan disiapkan hanya untuk orang yang bermesyuarat tetapi kadang-kadang hampir satu jabatan akan tumpang makan sekali. Saya rasa kita patut ubah budaya ini kerana ini adalah wang rakyat. Ramai rakyat kita susah sedangkan kita bergaji tinggi.


(Ada YB yang minta laluan bercakap, tapi tidak diberi..) Kalau kita pergi keluar negara kalau kita lihat kalau disiapkan makanan pun ala kadar. Mungkin hanya sandwich atau kuih-muih tetapi tidaklah elaborate dengan izin seperti yang berlaku... ...di negara kita ini. Ya. Jadi saya minta amanah ini... ...semua orang yang mempunyai kuasa membuat keputusan, membuat bajet dan segala-galanya... Mesti ingat duit ini duit rakyat. Sekiranya ada di antara rakyat kita yang kebuluran, tidak makan satu hari, kita menanggungnya. Ini amanah. Jadi saya harap begitu.


Begitu juga saya harap menteri-menteri, pegawai-pegawai tinggi, kalau tidak betul saya, tolong betulkan. Risalah di hadapan saya ini menunjukkan bahawa ada elaun-elaun sehinggakan RM40 ribu setahun kepada Perdana Menteri atau kepada menteri, tolong verify. RM40 ribu setahun untuk dapur dan perhiasan rumah. Peruntukan percutian, tiket penerbangan RM50 ribu, untuk hotel, duit poket dan sebagainya. Bil elektrik percuma ditanggung kerajaan, telefon percuma ditanggung kerajaan. Saya minta perkara-perkara ini disemak semula. Ini kerana kalau kita hidup sebagai rakyat biasa pun, bil telefon tidak rasmi mesti kita tanggung sendiri. Kenapa perlu rakyat menanggung bil telefon kita ini?


Kalau kita melihat kepada Sayidina Umar Al-Khattab, Sayidina Abu Bakar, kita mesti melihat balik kepada para sahabat-sahabat ini bagaimana pemerintahan mereka yang menjaga amanah rakyat ini. Banyak lagi pembaziran dan pemborosan yang berlaku di dalam negara kita. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, ingatlah kalau kita hanya memikirkan hanya untuk mengayakan manusia, banyak mana pun rakyat tidak akan merasa cukup. Begitu juga para menteri, banyak mana pun tidak akan mencukupi. Jiwa dan hati rakyat perlu kita lunakkan dengan contoh yang baik daripada pemimpin-pemimpin.


Kalau setakat 10% kita memotong elaun kita, ini tidak mencukupi. Ini tidak mencukupi kerana banyak lagi elaun yang lain. Saya kadang-kadang bila sudah jadi wakil rakyat ini, pagi orang bagi makan, tengah hari orang bagi makan, malam orang bagi makan, saya pun hairan. [Disampuk] Ini saya hendak beritahu kerana kenapa perlu rakyat menjamu kita? Kenapa perlu jabatan-jabatan menjamu kita? Kita menjalankan tanggungjawab kita. Kita ada gaji kita, elaun kita untuk kita beli makan tengah hari kita, makan pagi kita, makan malam kita. Ini saya minta kita semua mengambil tanggungjawab ke atas perkara ini.


Kedua ialah saya ingin menyebut mengenai... (Ada YB-YB yang minta laluan bercakap, tapi tidak diberi..) ...pertambahan RM20 juta lagi. Saya menyokong untuk Orang Asli dan sebagainya. Cuma saya hendak bertanya, dari mana peruntukan kerajaan ini diambil kepada penghulu-penghulu Pusat? Dari mana akan diambil elaun-elaun untuk JKKP ini? Adakah ia daripada wang ini? Kita hendak tengok di dalam Parlimen ini dibentangkan banyak mana dihabiskan kepada JKKP dan penghulu-penghulu Pusat ini.


Mereka, bagi saya, adalah ejen-ejen UMNO untuk memastikan dan kerja mereka adalah kerja politik, pelantikan politik dan kehadiran mereka di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat adalah untuk memecahkan masyarakat kita di sana. Tuan-tuan, eh tuan-tuan, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian... [Disampuk] Ya, ya, minta maaf. Masih tersasul, tidak apa. Tuan Yang di-Pertua, saya rasa tidak patut kewangan Persekutuan bukan sahaja digunakan untuk JKKP ini tetapi saya hendak tanya tiap-tiap kali pak menteri-pak menteri turun, pegawai-pegawai kementerian turun untuk urusan-urusan parti, kewangan mana yang digunakan. It’s high time, dengan izin.


Kita asingkan tugas politik kita, kerja politik kita daripada tugas kerajaan. Kita mesti mengasingkan political work from governmental work. Government and party is not the one and the same thing, dengan izin, Tuan Yang di-Pertua. Kalau-kalaulah kita menggunakan, misalnya turun untuk kerja-kerja parti dengan wang rakyat, kami tidak reda, kami tidak halal kerana itu adalah wang rakyat... ...dan parti tidak berhak mengguna wang rakyat untuk kerja-kerja parti. (Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman Ahli Parlimen Pasir Salak mencelah: Menteri Besar Perak yang buat kerja ini.) Tuan Yang di-Pertua, kenapa sensitive sangat? Kalau betul Menteri Besar menggunakan… (Ramai yang mencelah.)


Saya ingin menyentuh mengenai kuota. Saya bukan tidak menyokong kuota meritokrasi. Saya sokong. Tadi bila Yang Berhormat Batu Pahat menyebut mengenai wanita merasa terhina sekiranya kita menggunakan kuota kerana wanita sekarang hendak dia diiktiraf sebagai orang yang layak kerana kemahirannya, kebolehannya dan bukan kerana dia seorang wanita. Begitu juga saya rasa kalau kita menggunakan sistem kuota tanpa panduan yang baik, berasaskan meritokrasi, maka kita menghina bangsa kita sendiri. Kita orang Melayu patut sampai ke satu tahap bila kita hendak teruskan kuota dan yang tidak berasaskan meritokrasi. Ini kerana kalau kita sayangkan mereka, kita sayangkan anak-anak kita, mereka perlu belajar bersaing dengan pelajar lain.


Saya bersetuju dengan Pasir Mas mengenai meritokrasi. Bila kita bercakap mengenai meritokrasi, kita tidak hanya bercakap mengenai meritokrasi berasaskan kelulusan akademik. Dalam meritokrasi itu, faktor seperti pendapatan keluarga, sekolah dari mana mereka datang, mana mungkin kita membezakan seorang penuntut yang mendapat 9A daripada MCKK misalnya, dengan seorang murid yang mendapat 9A daripada Sekolah Menengah Pokok Sena di Padang Terap. Itu sekolah saya dahulu. Tidak mungkin kita membezakan. Jadi tentulah kalau ada dua manusia, dua penuntut dengan sama keputusan akademiknya, meritokrasinya dan tempatnya terhad, tentulah kita bagi kepada mereka yang dari sekolah luar bandar.


Bagi saya, kita orang Melayu tidak patut takut dengan soal meritokrasi dan system meritokrasi jika sekiranya sistem meritokrasi itu diberi weightage.. (Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan masa sudah habis.) ...ataupun pemberatan yang adil, maka kita akan lihat selagi mana orang Melayu yang miskin yang berada di luar bandar memerlukan bantuan daripada kerajaan, maka mereka tetap akan mendapat bantuan ini. Sekiranya mereka ini adalah daripada bangsa lain sekalipun, jika kita menggunakan pemberatan yang adil, maka mereka juga patut diberi bantuan. Tidak timbul soalan bila kita membuat meritokrasi, maka orang Melayu akan terpinggir.


Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.”

Sekian catatan santai dari Parlimen Malaysia, wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 20-07-08. KL.

3 comments:

Anonymous said...

Aku sokong hang bongkar masalah pembaziran dalam pemerintahan, demi kepentingan rakyat..

Tahniah juga pada Dr Mariah.

Oleh
aku anak pulau..

Anonymous said...

SAYA tertarik apabila membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar.

Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad. Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika e ngkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitulmal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabi-Nya S.A.W

(lihat: 'Abd al-Ghani al-Daqar, al- Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun atas permintaan penaja yang membayar harga ceramah akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat. Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah, bercerita kepada makcik-makcik yang khusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir 'nasi lemaknya'. Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebaga i menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk penganjur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas. Maka insaflah makcik dan pakcik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah 'ceroi' akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka. Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soala n, tapi soalan yang belum 'dijakimkan', "Apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?" Sebelum harga minyak naik, telah sekian lama mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup pada kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.

Pembaziran

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya):

"Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya". (Surah al-Isra: 26-27).

Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun. Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.

Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah? Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri? Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh 'orang biasa'. Apakah patut pada saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka? Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat. Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan 'berhiburan' dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka? Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan. Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi raky at. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua. Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala- galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma'ruf dan al-An- Nahy 'an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin 'Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan 'Am al- Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa 'Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerja nya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. 'Umar enggan makan bahkan berkata: "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?" (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr). Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan juga buat 'Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu 'Umar bertanya: "Dari mana diperoleh ini?". Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata 'Umar: "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa" (Ibn Sa'd, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir). Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini. Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa. Saya kadang- kala begitu hairan apabila seseorang dianggap 'berjiwa rakyat', hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat? Jik a hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti 'Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan Rasu-lNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.

Tanggungjawab

Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana. Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekah kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program televisyen lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya ber tambah letih dengan keadaan sekarang? Pada masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.


Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/

Anonymous said...

Kalau saya jadi Perdana Menteri saya tidak akan membazirkan duit dan masa untuk bantu Negeri Kelantan atau mana mana Negeri Pembangkang hanya kerana hendak mengambil hati mereka.Bantu pada Negeri yang sokong penuh kepada Kerajaan kerana selama ini Pembangunan Negara adalah hasil dari titik peluh kerajaan yang memerintah.Pegawai kerajaan yang menyokong Parti Pembangkang cuma pandai ponteng kerja kerana kecewa kalau saya dah berhenti kerja aje dari makan gaji buta.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails