Wednesday, August 27, 2008

Masalah Pembantu Rumah Asing... Dr Siti Mariah

Ibnu Hasyim:
Catatan Santai Dari Parlimen


DIPERSEMBAHKAN di sini soal jawab di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Ke 3 Bil 39, Isnin 25 Ogos 2008, mengenai kandungan jawapan-jawapan lisan bagi pertanyaan seperti berikut, disunting dari laman web Parlimen Malaysia…


SOALAN


Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Ahli Parlimen Kota Raja] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapakah jumlah pembantu rumah asing mengikut negara asal mereka yang bekerja di negara ini dan adakah kerajaan bercadang mewujudkan akta-akta bertujuan mengawal selia serta menjaga kepentingan dan kebajikan mereka serta juga para majikan.


JAWAPAN


Timbalan Menteri Dalam Negeri [Dato' Chor Chee Heung]:


Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat dari Kota Raja yang telah pun mengemukakan pertanyaan pada pagi ini mengenai satu isu yang cukup penting buat masa ini. Tuan Yang di-Pertua, mengikut statistik dari Jabatan Imigresen Malaysia sehingga 30 Jun 2008, terdapat seramai 256,097 orang pembantu rumah asing yang bekerja di negara ini. Terdapat sembilan buah negara yang menjadi negara sumber bagi membekalkan pembantu rumah asing ke Malaysia. Negara-negara tersebut dengan jumlah pembantu rumah asing sehingga 30 Jun 2008 adalah seperti berikut.


Negara Jumlah (Orang)
Indonesia 237,256
Philippines 10,112
Kampuchea 7,003
Sri Lanka 682
Thailand 382
Vietnam 298
India 164
Nepal 46
Laos 1
Lain-lain 153


Mengurus pekerja asing termasuk pembantu rumah asing memerlukan perundangan dan peraturan-peraturan komprehensif dan berkesan. Bagi pembantu rumah asing, kerajaan telah pun mengadakan garis panduan peraturan dan akta-akta di bawah Akta Imigresen 1999 yang mencukupi bagi melindungi, menjaga kepentingan dan kebajikan pembantu rumah asing di negara ini. Kerajaan ini juga menetapkan syarat-syarat permohonan untuk pembantu rumah asing supaya mereka tidak dieksploitasi oleh majikan.


Sebagai contoh, pembantu rumah asing beragama Islam hanya dibenarkan bekerja dengan majikan beragama Islam sahaja. Sekiranya ada majikan bukan beragama Islam yang ingin mengajikan pembantu orang asing yang beragam Islam maka majikan tersebut diwajibkan menandatangani perakuan pengambilan pembantu rumah asing yang beragama Islam. Di dalam perakuan ini, majikan diwajibkan menyediakan bilik penginapan khusus yang memberi kebenaran menunaikan ibadat wajib seperti sembahyang dan berpuasa.


Pembantu rumah asing juga tidak dibenarkan menguruskan kerja-kerja rumah yang haram dari segi Islam seperti menguruskan kerja berkaitan dengan anjing dan babi. Jabatan Imigresen Malaysia telah pun menetapkan sebanyak 30 garis panduan dan syarat-syarat pengambilan pembantu rumah asing. Tuan Yang di-Pertua, sehingga kini kerajaan telah pun menandatangani memorandum persefahaman MoU berhubung dengan pembantu rumah asing dengan Indonesia. Ini merupakan salah satu langkah daripada kerajaan bagi menjamin kebajikan dan kepentingan pembantu rumah asing Indonesia di Malaysia.


Perjanjian yang serupa akan ditandatangani dengan negaranegara sumber yang lain. Kerajaan juga telah mewujudkan talian khas ataupun hotline di bilik gerakan ibu pejabat Imigresen yang beroperasi tujuh hari seminggu dan 24 jam sehari bagi memberi kemudahan kepada pembantu rumah asing dan majikan membuat aduan kepada pihak Imigresen, sekian terima kasih.


KOMEN


Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Terima kasih Timbalan Menteri. Saya berterima kasih kerana tadi disebut mengenai ada peraturan-peraturan mengenai pekerja ataupun pembantu rumah asing di rumah majikan bukan Islam. Tetapi hakikatnya Timbalan Menteri ialah pembantu asing ini sendiri tidak mengetahui hak mereka. Kita lihat dan sering menerima aduan bahawa mereka sering tidak diberi hak-hak asasi ini seperti kemudahan untuk solat, berpakaian. Kerana ada di antara mereka apabila datang ke Malaysia menutup aurat, tetapi apabila bekerja dengan majikan yang bukan Islam dipaksa memakai pakaian yang tidak menutup aurat.


Mengenai hotline Imigresen pembantu rumah ini, saya sendiri pun, malah ramai majikan tidak mengetahui wujudnya hotline ini. Malah apabila mereka datang kepada kita, kebanyakan tidak menerima dengan lengkap butiran-butiran mengenai pembantu asing ini. Saya juga mendapat maklumat, terdapat pakatan di antara agensi-agensi pekerja tertentu dengan juga majikan-majikan supaya hak-hak mereka ini, mereka gugurkan. Maknanya kalau kamu mahu bekerja di rumah ini, kamu mesti ikut apa yang majikan hendak dan mereka tidak tahu tentang hotline ini dan majikan sendiri tidak tahu hotline ini.


Jadi saya minta kepada kementerian untuk menguar-uarkan dan setiap pembantu asing yang datang kepada kita dibekalkan dengan satu booklet ataupun satu buku nota lengkap dengan pengenalan diri dan apakah nombor- nombor yang dapat mereka hubungi dan siapakah yang dapat mereka hubungi kerana setakat ini saya merasakan bahawa mereka tidak dilindungi dan hak-hak mereka sebenarnya amat-amat diabaikan, terima kasih.


Dato' Chor Chee Heung: Terima kasih Yang Berhormat Kota Raja. Memang bagi pihak Jabatan Imigresen, kita akan melakukan segala-gala yang boleh supaya segala maklumat yang diberikan bukan sahaja kepada majikan, tetapi juga kepada pembantu rumah asing khususnya dari negara-negara yang beragama Islam. Terima kasih kepada maklum balas yang diberikan oleh Yang Berhormat. Saya balik kementerian saya akan bincang dengan pihak atasan pihak Imigresen supaya kita mengetatkan lagi supaya kedua-dua belah pihak iaitu majikan dan juga pekerja asing kalau datang dari Indonesia ini memang memahami termasuk juga maklumat tentang hotline, sekian terima kasih.


Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pertanyaan tambahan saya ialah kementerian pada tahun lalu telah mengumumkan iaitu kos bayaran iaitu agensi pengambilan pembantu rumah ini hanyalah RM2,400. Tetapi hingga ke hari ini ia tidak pun terlaksana. Agensi masih lagi mengenakan kos yang tinggi antara RM5,000 hingga RM6,000. Jadi apakah tindakan yang telah diambil.

Kedua untuk mengatasi masalah pembantu rumah yang sering lari, apakah kerajaan tidak berhasrat untuk juga mengenakan sample DNA pembantu rumah ataupun cap jari diambil. Biasanya mereka ini apabila lari, masuk balik dengan menggunakan pasport dengan nama lain tetapi dengan adanya DNA, ini mungkin masalah-masalah ini dapat diatasi, terima kasih.


Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Mohon Tuan Yang di-Pertua, mohon Timbalan Menteri menyatakan nombor hotline juga, terima kasih.


Dato' Chor Chee Heung: Terima kasih Yang Berhormat. Terdapat dua soalan tambahan di sini. Mengenai yuran yang akan dibayar oleh bakal majikan kepada agensi, sebagai maklumat tambahan di sini pihak Imigresen telah pun mengadakan beberapa mesyuarat dengan persatuan agensi pembantu rumah asing dan pihak Imigresen telah pun menetapkan satu jumlah yang munasabah. Tetapi oleh kerana begitu susah payah bagi ini ditetapkan sebab pihak Indonesia source country tidak bersetuju dengan bayaran-bayaran yang tidak dikenakan, maka mesyuarat itu gagal.


Buat masa ini selepas kita mengkaji semula kita dapati bagi supply and demand, the market forces menentukan jumlah yang harus dibayar oleh bakal majikan kepada sesebuah agensi. Sebagai maklumat tambahan, buat masa ini saya dapati yuran yang dibayar oleh bakal majikan di antara RM3,000 hingga RM5,000. Ini termasuk levi yang akan dibayar kepada kerajaan iaitu RM360 pada setiap tahun, pas PLKS iaitu RM60 setahun, bayaran proses di imigresen RM10, visa tidak tetap mengikut negara; contohnya Indonesia RM15, dan FOMEMA juga kena bayar RM190.


Maka, buat masa ini di antara RM3,000 hingga RM5,000. Walau bagaimanapun kerajaan sentiasa mencari langkah macam mana hendak berbincang dengan persatuan, agensi pembantu rumah asing supaya mereka ini dapat turunkan dia punya caj. Pada pendapat saya tinggi juga, kalau di antara setakat RM2,000 hingga RM2,500, mungkin munasabah tetapi kita akan berusahalah. Mengenai dengan pembantu rumah asing yang sentiasa lari, memang ini adalah menjadi satu masalah. Bagi tahun 2007 sahaja terdapat dalam lingkungan 12,000 pembantu rumah asing yang lari dari majikan.


Bila ianya berlaku, bukan sahaja majikan akan dikenakan denda dan kita juga akan mengesan, mencari balik pembantu rumah dan kita akan usir balik ke negara asal tetapi ini adalah satu masalah yang bukan senang ditangani. Ini didapati adalah perbuatan sindiket-sindiket yang berada di negara ini. Kita telah mengesan sindiket-sindiket dan kerajaan sedang mengambil tindakan tegas terhadap mereka ini. Saya tahu ini adalah satu masalah. Saya mempunyai begitu ramai kawan yang sentiasa buat aduan kepada saya juga. Kerja tidak sampai tiga bulan, terus lari.


Selepas itu, majikan pula kena tanggung segala-galanya. Untuk makluman Dewan yang mulia ini mengenai pertanyaan Yang Berhormat Lo’Lo’ ini, saya tidak ada hotline di sini. Saya akan berikan kepada Yang Berhormat sebab ini tidak ada di dalam ini. Yang Berhormat berminat?


Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: DNA macam mana? DNA?


Dato' Chor Chee Heung: DNA itu kita belum laksanakan lagipun. Akta DNA pun belum diluluskan oleh undang-undang ini. Bila ianya diluluskan, saya pun tidak pasti sama ada ianya akan dilaksanakan sebab nanti bakal majikan juga terpaksa bayar juga tambahan. Nanti Yang Berhormat pun kacau lagi kan? Saya terima hotline pula, untuk Yang Berhormat. Hotline dia ialah 03-88801555 atau empat angka terakhir itu 1556. Okey Yang Berhormat?


Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Menteri pun baru tahu sahaja?

Dato' Chor Chee Heung: Ha?

Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Menteri baru dapat maklumat sahaja?

Dato' Chor Chee Heung: Sebab apa ini semua diketahui oleh pegawai kita. Kadang-kadang kita tidak tahulah, tidak boleh salahkan saya sebab saya tidak mempunyai masalah mengenai ini tetapi pegawai kita tahu, ini kerja pegawai kita. Sekian, terima kasih.


Sekian catatan santai dari Parlimen Malaysia untuk kali ini, wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
Ogos26, 08. KL-P.Pauh.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails