Ibnu Hasyim:
Catatan Santai Dari Parlimen
“Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh. Saya juga mohon untuk bersama-sama memberikan pandangan saya pada hari ini berkenaan dengan isu pendidikan ini.
Pertamanya, saya ingin mengetahui ataupun mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri Pelajaran ataupun kementerian sendiri, bagaimanakah kementerian pada masa ini menangani permasalahan bahasa rojak yang digunakan oleh anak-anak murid. Bahasa rojak ini bukan sahaja bahasa campuran antara Melayu dan juga bahasa Inggeris seperti yang sering kali dipaparkan di media elektronik di mana bapa-bapa menteri, juga ibu-ibu menteri dan juga yang lain-lain pimpinan pun bercakap menggunakan bahasa rojak, campuran antara bahasa
Melayu dan juga bahasa Inggeris.
Akan tetapi pada masa yang sama juga, anak-anak kita menggunakan bahasa SMS. Anak-anak kita menggunakan bahasa friendster dan chating. Saya difahamkan oleh ramai guru-guru yang mengatakan di dalam karangan bahasa Melayu mereka, mereka menggunakan ringkasan-ringkasan tulisan ataupun perkataan- perkataan yang diringkaskan seperti mana mereka saling membalas SMS. Jadi saya kira ini adalah di antara perkara yang juga perlu diberi perhatian di bidang pendidikan ini terutamanya guru-guru yang dilatih bagaimana untuk mengatasi permasalahan ini.
Isu kedua yang ingin saya bangkitkan adalah isu disiplin pelajar. Saya bersetuju dengan ramai rakan-rakan saya di mana yang telah membangkitkan isu disiplin pelajar. Kita lihat disiplin
Pada umur yang begitu muda, mereka telah pun tercemar akhlak mereka, tercemar pemikiran dan
Merekalah yang akan mewarisi negara kita pada masa akan datang. Ahli-ahli Yang Berhormat, Tuan Yang di-Pertua, sehubungan dengan perkara tersebut, saya mahu mencadangkan supaya mata pelajaran Islam di sekolah-sekolah hendaklah diperkasakan. Sekarang ini mata pelajaran Islam seolah-olah merupakan satu mata pelajaran untuk melengkapkan sahaja kurikulum. Ia tidak diberi perhatian ataupun penekanan yang sewajarnya. Mata pelajaran Islam tidak perlu lulus, tidak perlu mendapat pencapaian yang cemerlang ataupun tidak menyumbang kepada grading dalam keputusan peperiksaan.
Kita lihat mata pelajaran Islam juga tidak melahirkan anak-anak, pelajar-pelajar dan juga remaja-remaja yang soleh dan solehah. Malah, mata pelajaran Islam yang ada sekarang ini boleh dikatakan tidak pun mampu untuk mendidik anak-anak kita untuk tetap ataupun dikatakan membudayakan solat dalam diri mereka. Menurut kajian-kajian, ramai daripada pengkaji-pengkaji di kalangan kita, umpamanya Yang Berbahagia Dato’ Dr. Fadilah Kamsah mengatakan 80% daripada anak-anak kita, remaja kita tidak solat ataupun tidak bersembahyang.
Ini adalah satu perkara yang sangat menyedihkan, satu perkara yang sangat mengecewakan setelah 51 tahun negara kita merdeka, sepatutnya masyarakat kita, remaja kita, pewaris-pewaris kita menjadi lebih baik daripada kita tetapi malangnya, nampaknya sekarang mereka akan menjadi satu kumpulan masyarakat yang semakin teruk, semakin meninggalkan agama dan mungkin pada bila-bila masa juga mereka akan menggadaikan akidah mereka. Jadi saya lihat di sini solat tidak diberi keutamaan.
Saya mahu mencadangkan di sini supaya pihak Kementerian Pelajaran bersungguh-sungguh memberikan penekanan tentang pelaksanaan solat semasa di sekolah, bersungguh-sungguh untuk memastikan setiap waktu solat itu, anak-anak murid, pelajar-pelajar diperingatkan, malah guru-guru sendiri membimbing pelajar-pelajar ini untuk solat berjemaah bersama-sama.
(Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai] minta laluan bercakap: Terima kasih Tuan Speaker dan Titiwangsa. Seperti kita sedia maklum berkaitan dengan solat, kita dapati ramai daripada waris, khususnya menjelang cuti sekolah, mereka akan hantar ke Summer Camp. Di sana kita dapati anak-anak ini akan berkekalan hinggalah tiga, empat bulan anak-anak ini akan kekal dalam sembahyang mereka dalam kerja-kerja rumah seumpamanya, hasil daripada pengawasan kem yang hanya dua hari tiga malam sahaja, sedangkan di sekolah, setiap hari, seminggu lima hari. Apakah Yang Berhormat Titiwangsa bersetuju guru ini juga perlu dibawa ke Summer Camp untuk memastikan teknik-teknik atau cara untuk mengekalkan solat anak di rumah? Terima kasih.)
Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Jerai iaitu kadang-kadang kita berasa hairan kenapakah agaknya di negara kita seolah-olah ada satu trend, ibu bapa terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan yang ekstra, berlebihan untuk menghantar anak-anaknya mengikut kursus-kursus, kem-kem dan sebagainya kerana saya kira dengan penuh penghormatan kepada guru-guru di sekolah yang bertungkus-lumus mendidik anak-anak kita, seolah-olah anak-anak kita ini tidak mendapat satu motivasi yang secukupnya semasa dalam sesi persekolahan sehingga terpaksa pula ibu bapa menambah di luar membayar sehingga sampai RM200, RM300 dalam satu-satu sesi termasuklah dalam hendak melekatkan budaya solat itu dalam diri mereka.
Ini kita belum bercakap lagi tentang Al-Quran sama ada anak-anak kita, orang Islam ini khatam Al-Quran yang merupakan panduan kepada orang Islam. Sebab itulah antara yang saya kira faktor kenapa berlaku pelbagai perkara kepada anak-anak remaja kita, dengan mat rempitnya, HIVnya, pergaulan bebasnya, seks bebasnya, ini satu fenomena yang walaupun kita membangun, walaupun kita menjadi antara negara termaju, walaupun kita penuh dengan pencakar langit tetapi kalau masyarakat rosak, kalau anak-anak kita rosak, tidak ada nilainya lagi kepada kita semua.
Jadi saya bersetuju dengan Yang Berhormat Jerai tadi supaya kita mendesak Kementerian Pelajaran untuk mengkaji balik cara-cara pengajaran, pedagogi dan sebagainya, terutama kepada guru-guru yang sedang dilatih, guru-guru pelatih. Dengan ini mereka sendiri boleh menjadi motivator ataupun memotivasikan anak-anak murid, dengan mereka itu menjadi contoh kepada anak-anak murid mereka sendiri. Sila…
(Dato’ Seri Azmi bin Khalid [Padang Besar] menambah: Tuan Yang di-Pertua, saya hormati ucapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Titiwangsa tadi. Cuma saya hendak bertanya, berapa peratuskah yang dikatakan segala pencemaran dalam masyarakat, perangai anak-anak muda kita, pewaris-pewaris kita ini, berapa peratus dibebankan tanggungjawab kepada sekolah dan berapa peratuskah dibebankan kepada ibu bapa sebab solat kalau ibu dan bapa tidak mengamalkan, anak-anak juga tidak akan mengamalkan. Kalau bapa menghisap rokok, anak sewenangnya melihat rokok sebagai perkara biasa. Jadi pengaruh bapa dan ibu, saya hendak tanya Yang Berhormat bersetuju atau tidak bahawa penting sekali di rumahnya itu lebih berat tanggungjawab untuk membawa anak-anak kepada tahap moral, perwatakan yang lebih baik sebab sekolah hanya mampu membuat sesuatu sahaja, tetapi yang lain adalah datang tanggungjawab daripada ibu bapa.)
Tuan Speaker, saya bersetuju 200% dengan Yang Berhormat Padang Besar. [Disampuk] 200%, 300% pun tidak apa. (Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena] menyampuk: Ha, tengok, PAS terbuka. UMNO yang bengap. [Ketawa]) Ini adalah kerana... (Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]menyampuk: Bapa tadi itu bapa PASkah atau bapa apa itu?) Pula dah. [Ketawa] Ini adalah kerana ibu bapa memang mempunyai peranan yang besar. (Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang] menambah: Mana la betul, kata orang bengap ini macam… Takkan PAS kata orang bengap?)
Kita bercakap tentang pendidikan di sekolah. Banyak betullah virus-virus di sini, Tuan Speaker. Virus-virus ini patut kena rawatan ini. Tuan Speaker, saya bersetuju bahawa ibu bapa mempunyai peranan yang besar dari segi pendidikan anak-anak, penerapan solat dan sebagainya. Malah dalam ajaran nabi kita, Nabi Muhammad SAW, anak itu hendaklah dididik solat, disuruh untuk solat sejak daripada umurnya 7 tahun dan sehinggalah umurnya 10 tahun, sekiranya tidak solat, maka anak itu boleh dipukul. Pukul untuk mendidik, bukanlah pukul untuk patah riuk dan sebagainya. Jadi masa tiga tahun yang diberikan kepada ibu bapa untuk menerapkan budaya solat itu kepada anak-anaknya dan saya telah membuat perkiraan sebab ini adalah isu ataupun topik favorite saya apabila saya memberikan motivasi ataupun kuliah-kuliah.
Selama tiga tahun ini bermakna ibu bapa termasuk guru-guru, sebab antara 7 hingga 10 tahun ini anak-anak bukan duduk di rumah sahaja tetapi mereka juga duduk di sekolah. Antara masa tiga tahun ini, ibu bapa dan guru-guru akan menyuruh mempraktikkan meletakkan anak dia dalam Akademi Solat sebanyak 5,475 kali suruhan, arahan, galakan dan sebagainya. Barulah solat itu membudaya ataupun menjadi agenda yang penting dalam hidup anak-anak kita. Ini ajaran nabi kita, Nabi Muhammad SAW. Setelah 10 tahun barulah anak itu boleh dipukul. Berapa ramai ibu bapa yang pukul anaknya kerana tidak solat? Kita tanya diri kita sendiri kerana kita ibu bapa. Saya ini sudah jadi opah, sudah jadi nenek dah!
Ya, sila, sila. (Tuan Haji Salleh bin Haji Kalbi [Silam] diberi laluan bercakap: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Titiwangsa. Saya tertarik dengan perbahasan yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Titiwangsa, menyentuh tentang istilah pendidikan agama ataupun yang dihubung kait dengan solat, tetapi apabila kita merujuk kepada Sabah dan Sarawak, adakah Yang Berhormat setuju supaya pihak Kementerian Pelajaran mengambil kira juga sebab kita melihat kepelbagaian etnik. Sebagai contohnya, kalau di negeri Sabah, terutamanya macam di daerah saya ada 35 etnik iaitu Dusun, Bajau dan sebagainya.
Bagi yang beragama Islam itu mungkin kita boleh perkenalkan sistem iaitu Kementerian
Terima kasih Yang Berhormat Silam. Tuan Speaker, sebenarnya saya pun memang hendak pergi ke arah itu kerana kita semua sedar bahawa negara kita adalah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang kepercayaan. Saya kira juga dalam institusi pendidikan di mana guru-guru dilatih perlulah di situ ada kurikulum yang khusus, di mana guru-guru ini dilatih untuk melatih anak-anak muridnya menghormati budaya kaum lain, kepercayaan kaum lain, pada masa yang sama, tidak meninggalkan kepercayaan asasi mereka, terutama khususnya kepada orang Islam itu sendiri dan ini adalah sangat penting.
Hormat kepada orang lain yang mempunyai kepercayaan lain, hormat kepada kaum lain yang mungkin berbeza daripada kita. Bahasanya, kebudayaannya, tatacara kehidupannya mungkin berbeza. Pada masa yang sama juga, guru-guru patut juga dilatih untuk melatih anak-anak itu terutama orang lelaki, kaum lelaki menghormati kaum wanita, antara sebab utama masalah-masalah keganasan ke atas kaum wanita, kes-kes rogol yang meningkat adalah kerana pihak lelaki tidak menghormati kaum wanita. Kaum wanita dilihat sebagai simbol objek seks. Jadi ini sangat penting, ini bukan salah guru sahaja, suasana keliling.
Dalam perjalanan kita ke sini kalau sesiapa melalui Jalan Tun Razak berhampiran dengan Jalan Pekeliling, perkara ini saya sudah bangkitkan dan saya lihat ada sedikit perubahan di mana ada iklan ditunjuk di situ iaitu iklan pakaian BUM. Saya sudah bangkitkan, satu iklan seperti ini ditunjukkan satu bukan budaya kita. Tidak ada satu pun orang Melayu di situ, tidak ada satu pun orang Cina, tidak ada satu pun orang India, yang ada orang putih, orang daripada Barat dengan pakaian Barat, dengan cara pergaulan Barat yang ditunjukkan antara lelaki dan perempuan. Setelah agaknya saya bangkitkan sebelum ini dalam Dewan yang sama sebelum ini...
..Maka Tuan Yang di-Pertua, seluar yang pendek tadi telah dipanjangkan ditambah, dicat sikit, dada yang terbuka luas tadi telah ditutup sikit. Jadi dia modifiy sikit Tuan Yang di-Pertua.
(Dato' Ismail Kasim [Arau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada sahabat saya daripada Titiwangsa. Saya ingin tanya pandangan Yang Berhormat kalau sekiranya Yang Berhormat boleh berkongsi dengan saya berhubung dengan maslah ataupun fenomena Yang Berhormat bangkitkan tadi iaitu melihat gejala keterlaluan yang kita anggap cukup serius. Bukan sahaja tanggungjawab UMNO, PAS dan semua kita sebagai bapa, sebagai pemimpin yang telah diberi amanah oleh Allah SWT. Jadi, dalam konteks ini saya melihat peranan ibu bapa sekarang ini yang menjadi tanggungjawab utama telah mula berkurangan. Kenapa kita masih menyalahkan mana-mana pihak? Sedangkan tidakkah sedar dalam diri ibu bapa pukul satu atau dua atau tiga pagi, bagaimana anak-anak boleh berada di luar rumah dengan bebas?
Kita boleh ada faktor-faktor menolak seperti keadaan kediaman yang tidak selesa, keadaan-keadaan lain tetapi sebagai ibu dan bapa. Bagaimana kita boleh membiarkan anak kita berada di luar rumah lebih daripada masa yang secukupnya yang sepatutnya berada di bawah kawalan kita? Memang kita tahu kehendak remaja kadang-kadang sekarang kalau ditegur sekali dia ada rebels iaitu dalam diri mereka kalau mengikut Dr Hassan Langgulung yang mengemukakan teori stress and stormnya di mana remaja dalam konteks ini, dia tidak boleh ditegur, dia cepat memberontak, dia cepat menzahirkan perasaan tidak puas hati, tetapi sebagai ibu dan bapa kita gagal.
Kalau kita gagal menangani di peringkat olahan konkrit ini, di mana remaja dianggap di peringkat inilah yang memerlukan kawalan sepenuhnya. (Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena] menyampuk: Dia stress lah macam pelajar UiTM lah dihasut oleh BN.) Tidak ada lack of controlling. Yang Berhormat Pokok Sena jangan kacau. Saya dengan Yang Berhormat Titiwangsa sahaja ini. Apa pandangan Yang Berhormat tentang berhubung dengan ini? Kacau daun lah. (Seorang Ahli mencelah: Jahat Yang Berhormat Pokok Sena).
Terima kasih Yang Berhormat Arau. Tuan Yang di-Pertua, saya hendak setuju juga 300% dengan Yang Berhormat Arau, memang betul. Kita tidak nafikan apa yang dikatakan itu, ibu bapa sepatutnya mengawal anak-anak, mungkin saya ini anak merdeka sudah umur 51 tahun tetapi saya masih ingat lagi... (Dato' Seri Azmi bin Khalid [Padang Besar]: [Bangun]).
Nantilah kejap Yang Berhormat. Bagi selesai yang ini dulu. Bagaimana saya dididik oleh Allahyarham bapa saya seorang bekas Mufti Selangor dan juga bekas Mufti Perak, bekas Imam Besar Masjid Negara yang pertama. Beliau mungkinlah bukan seorang bapa yang pandai menggunakan psikologi, ketegasannya. Begitulah seorang bapa dulu-dulu, tetapi dia begitu mengawal, dia tidak membiarkan kita bergaul begitu sahaja dan paling saya rasa cukup bangga adalah kerana walaupun dia seorang mufti, seorang ulama yang mungkin tidak tinggal serbanlah, memang tidak tinggal serban, tetapi dia memberikan pendidikan dan juga perhatian yang sama rata antara anak lelaki dan perempuan.
Memastikan setiap anak lelaki dan perempuan mendapat pendidikan sampai ke peringkat yang tertinggi. Memastikan kami di rumah ini antara yang saya tak boleh lupa mesti solat jemaah, mesti makan berjemaah, makan pun berjemaah. Di situlah dia akan tengok mata tiap-tiap anak, daripada situ dia boleh detect kalau ada dengan izin anak-anak dia yang mungkin ada sedikit hendak melencong sana-sana. Jadi, saya kira pendidikan seperti ini sehinggalah saya bersekolah, saya beritahu sehingga saya bersekolah, di sekolah asrama apa yang tak ada...
Tuan Yang di-Pertua, di sekolah asrama ini, hendak jadi baik boleh, hendak jadi buruk boleh, minta maaf cakap, minta maaf... Minta maaf. Ada satu insiden yang saya tak boleh lupa sampai sekarang ya. Saya mohon keampunan kepada Allah semoga diampunkan kepada guru saya itu. Bagaimana, beliau ini seorang warden, saya tak mahu sebut sekolah mana tapi dia telah menunjukkan gambar lucah... (Tuan Yang di-Pertua mengarah: Duduk dulu dua-dua Yang Berhormat, kita dengar...) Kejap cerita seronok ini. Dia telah menunjukkan gambar lucah kepada saya apabila saya pergi ke... (Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena] mencelah: Sebab seronok Yang Berhormat Batu Pahat bangun itu...)
Beberapa kawan saya pergi mengunjungi dia minum-minum teh maka yang ditunjukkannya adalah gambar lucah tetapi Alhamdulillah dengan pendidikan asas yang kuat oleh ibu bapa saya di rumah saya tidak tertarik langsung, saya tidak mahu tengok. Demi Allah memang saya tak tengok dan saya tidak tertarik dan saya rasa pada masa itu kekebalan yang ditanam oleh ibu bapa saya, alhamdulillah membentengi saya daripada melakukan perkara-perkara yang orang kata melanggar disiplin sekolah. (Dato' Haji Lilah Yasin [Jempol] mencelah: Tak tengok macam mana tahu gambar lucah?) …Bagi Yang Berhormat Padang Besar dululah.
(Dato' Seri Azmi bin Khalid [Padang Besar]: Terima kasih Yang Berhormat. Saya memang bersetuju apa Yang Berhormat sebut tadi cuma saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat kemungkinan Yang Berhormat bersetuju bahawa kita patut mengkaji. Kenapakah gejala sosial yang banyak berlaku adalah di kalangan masyarakat Melayu.. Orang Cina, orang Tionghoa gejala dadah tidaklah begitu berleluasa. Gejala sosial yang lain rogol kalau kita lihat tidak begitu banyak di kalangan Cina. Peratusan population dia dibanding dengan peratusan yang ada di dalam tempat-tempat tahanan dadah dan juga pusat-pusat serenti orang Cina, orang Tionghoa jauh berkurangan daripada peratusan population.
Bermaknanya, walaupun orang Cina liberal dari segi pakaian, kalau di Pulau Pinang mereka pakai short merata-rata tetapi gejala rogol dan gejala-gejala yang disebutkan oleh Yang Berhormat tidak begitu ketara. Mat rempit tidak ketara, lepak tak ketara. Jadi di manakah bezanya? Apakah sebabnya? Saya hanya bertanya kepada Yang Berhormat sama ada kita wajar membuat penyiasatan dan membuat kajian. Apakah bezanya cara mereka mendidik anak-anak, cara mereka membesarkan anak-anak, cara mereka bergaul dalam keluarga? Agar kita dapat kemungkinannya mempelajari sedikit sebanyak kebaikan yang ada pada mereka supaya kita dapat menerapkan kepada kita.)
Satu pandangan yang cukup baik daripada Yang Berhormat Padang Besar, Tuan Yang di-Pertua. Saya kira kajian itu memang patut di buat, saya ingat bukan Yang Berhormat Padang Besar sahaja yang ada persoalan seperti itu, saya juga dan kami semua juga. Cuma pada saya sendiri dan ramai sahabat-sahabat saya. Pada kami apabila kita mengaku kita sebagai orang Islam, dilahirkan sebagai orang Islam oleh ibu bapa kita yang juga beragama Islam. Panduan kita adalah al-Quran. Apabila kita tinggalkan al-Quran, maka musibah dan balanya adalah, inilah yang berlaku dalam masyarakat kita tetapi saya kira dari segi kajian itu tidak menjadi satu masalah, malah sepatutnya telah ada kajian tersebut.
Kementerian mana, mungkin kementerian sahabat saya, Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mungkin agaknya, di situ sepatutnya atau pun saya percaya institusi-institusi pendidikan, di UPSI misalnya university pendidikan. Sepatutnya telah ada kajian-kajian di kalangan pensyarah-pensyarahnya yang hendak membuat PhD dan sebagainya tentang fenomena yang kita anggap agak pelik berlaku dalam negara kita. Seterusnya, saya nak meneruskan juga tentang... (Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat] mohon untuk beri penjelasan.) Okeylah, boleh Yang Berhormat… Sedikit sahaja, ya, sedikit, jangan panjang sangat. Saya hendak pergi Permatang Pauh ini, jangan panjang sangat!
(Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Saya tak pergi Permatang Pauh, tak penting. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya memang tertarik dengan isu peranan ibu bapa, contoh yang diberikan oleh Titiwangsa itu sudah pun membuktikan bahawa sebenarnya ibu bapa memainkan peranan yang penting. Cuma, saya nak bangkitkan isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Titiwangsa tadi, tentang penderaan lelaki terhadap golongan wanita ini. Ini memang saya pun cukup marah sebenarnya dengan isu lelaki mendera wanita, dan saya menyokong 300% Yang Berhormat Titiwangsa. Cuma, kalau ikut senarai ini, Yang Berhormat disenaraikan sebagai ‘Menteri Wanita, Kebudayaan dan Kesenian’, ‘Kabinet Pakatan’ September ini, Tuan Yang di-Pertua. Jadi, saya ingin tahu, apakah yang akan dilakukan oleh Yang Berhormat mengenai dengan isu lelaki mendera wanita dan masalah peranan ibu bapa ini, macam mana kita hendak pastikan ibu bapa ini betul-betul menjalankan tugas keibubapaan mereka ini, terima kasih.)
(Dato’ Haji Lilah Yassin [Jempol] mencelah: Lelaki dera lelaki pun kena jawab.) Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat. Saya ingat saya hendak memecahkan rekod hendak menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama di Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, apa yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Batu Pahat tadi itu, saya juga bersetuju 300%. Saya hendak meneruskan lagi apa yang ingin saya perkatakan di sini iaitu, oleh sebab kepelbagaian agama dan kepercayaan kita tadi. Kalau boleh maknanya, dalam kurikulum pendidikan di peringkat guru-guru pelatih ini hendaklah juga kurikulum itu boleh menjuruskan kepada kita melahirkan bahawa God fearing citizen, God fearing society, God fearing leaders, dengan izin, Tuan Yang di-Pertua.
Banyak masalah-masalah yang berlaku. Saya kira bukan sahaja orang Melayu yang ada masalah. Walaupun mungkin Melayu yang banyak yang jadi doktor, self service doctor. Dia cucuk sendiri, dadah, tetapi Cina juga terlibat dalam banyak masalah ekstasi. Anak-anak gadis Cina, anak-anak remaja Cina, ramai yang lari daripada rumah. Begitu juga kaum India, ramai yang keciciran dan bermasalah. Tanpa menafikan menonjolkan permasalahan di kalangan orang Melayu Islam... Jadi, saya kira ini sepatutnya kita ambil kira bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga kepada semua kaum di negara kita, mereka pewaris kita.
(Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Mutalib [Maran] dibenarkan mencelah: Ya, terima kasih. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Titiwangsa. Saya tertarik apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Titiwangsa dan juga berkaitan dengan Yang Berhormat padang Besar tadi, isu penglibatan orang lain juga, orang bukan Melayu, Cina, India dan sebagainya tentang masalah-masalah sosial ini. Saya pernah bekerja di satu daerah, saya tak perlu sebut daerahnya. Kita telah bina satu kawasan rekreasi untuk kebaikan sebenarnya, tetapi ada seorang bapa Cina jumpa saya.
Dia kata, “Tuan, saya dapati ramai juga anak-anak Cina yang terlibat dengan masalah-masalah
Kalau boleh, mungkin Yang Berhormat Titiwangsa sebagai seorang wanita yang saya kenal, kita dapat mencari jalan supaya tanggapan ini dapat kita perbetulkan.
Saya bimbang, kalau benda ini dibiarkan, kalau mungkin kita tak buat kajian yang baik yang boleh menghasilkan sesuatu finding yang cukup dengan izin, yang cukup berkesan bagi kita mengatasi masalah sosial ini, kita takut kerana anak-anak Melayu, anak-anak bangsa lain, India, Cina, mereka ini bergaul bersama-sama. Sebab itu kita lihat dalam kes-kes kita jumpa di kelab-kelab malam dan sebagainya, melibatkan Melayu, Cina dan sebagainya. Jadi, kalau kita biarkan isu sosial ini berlaku begitu sahaja dalam kaum lain, ia boleh menular kepada kaum Melayu. Bagaimana pandangan Yang Berhormat? Terima kasih.)
Sebab itu saya katakan tadi, bukan orang Melayu sahaja yang orang kata ada masalah sosial ini, semua kaum, anak-anak kaum lain juga ada masalah sosial. (Dato’ Seri Azmi bin Khalid [Padang Besar]: Minta laluan.) ….Baru hendak cakap. Sekejap, sekejap, nanti habis idea
Kalau boleh saya kongsikan di sini, [Membaca sepotong ayat al-Quran] Acuan Allah, model Allah, system Allah. Maka manakah yang lebih baik daripada acuan, model dan sistem Allah ini.
(Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan] mohon laluan.) Minta maaf, saya tak dapat bagi sebab tinggal tiga minit sahaja lagi. Kemudian saya hendak pergi Permatang Pauh… Kemudian seterusnya, saya juga merasakan mata pelajaran sivik perlu diperkasakan semula, sebab sampai sekarang setelah 51 tahun sudah kita merdeka. Masalah sampah yang paling basic pun masih belum dapat kita urus dan tangani dengan baik. Saya tidak menyalahkan kerajaan 100%. Attitude, habit, apa sudah jadi dengan orang kita sehingga tidak sayang kepada negara kita sendiri, tak sayang kepada sungai kita sendiri, tak sayang kepada tanah-tanah kita sendiri, tidak sayang kepada hutan kita sendiri. (Dato’ Seri Azmi bin Khalid [Padang Besar]: Bersetuju, bersetuju bulat-bulat.)
Jadi, saya mengharapkan supaya dalam kurikulum pendidikan ini mesti ada di situ mata pelajaran sivik yang menekankan tentang alam sekitar, yang menekankan tentang kebersihan, menekankan ketepatan masa, kesungguhan dan kekuatan minda dan sebagainya sehingga kita boleh melahirkan atlet-atlet, ahli-ahli sukan yang sepatutnya berjaya di Olimpik dan sebagainya. Jadi, ini antara perkara yang sepatutnya telah kita selama berapa tahun anak kita di sekolah, enam tahun campur lagi lima tahun, sebelas tahun, campur lagi prasekolah, dah hampir 12 tahun tetapi kita masih tidak boleh lagi menerapkan satu nilai yang mulia. Nilai yang orang kata kita boleh berbangga dengan anak-anak kita, bukan straight A’s, dengan izin, bukan itu sahaja yang kita perlu lihat, tetapi keseluruhannya.
Kemudian seterusnyalah, sebelum saya mengakhirkan, saya mohon di sini jugalah kalau
Jadi, sekolah agama rakyat ini bukanlah untuk melahirkan orang-orang PAS juga tetapi
Sekian catatan santai yang agak panjang dari Parlimen Malaysia untuk kali ini, wallahu ‘aklam.
Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Ogos24, 08. KL-P.Pauh.
No comments:
Post a Comment