Monday, September 29, 2008

Hirose Junko: Temui Jawapan Melalui Al-Qur’an.


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

SEMPENA Ramadzan, bulan turunnya Al-Quran, saya paparkan kisah menarik seorang wanita Jepun, bagaimana beliau memanfaatkan Al-Quran sebagai perlembagaan dalam kehidupan beliau. Beliau adalah pensyarah bahasa Jepun, di MARA-OISCA Japanese Centre. Namanya, Fitrah Hirose Junko yang mengakui banyak perubahan dialami sejak memeluk Islam di Masjid Kobe, Jepun pada Februari 1998.

Fitrah, 41, juga merupakan peneraju Perhimpunan Muslimah KL-Jepun sejak 2003 merasakan titik tolak kepada penubuhan persatuan untuk kaum Muslimat Jepun ini atas kesedaran beliau tentang kepentingan mempertajamkan ilmu agama dan Al-Quran apabila bergelar Muslim.

Alhamdulillah, dengan sokongan dari wakil Persatuan Muslim Jepun di Malaysia, Ustaz Abdul Wasei Haruka Kimura, kelas-kelas pengajian Islam berjaya dilaksanakan sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli.

Dahulu, pemahaman saya tentang agama itu kabur tetapi menerusi al-Quran, saya temui jawapan yang jelas. Alhamdulillah, Allah telah membuka pintu hati saya. Akui Fitrah.

Wanita ini menjejak kaki di bumi Malaysia pada Februari 1999 kerana mengikuti program pengajian Al-Quran anjuran Majlis Dakwah Islamiah Rantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEP) selama sebulan. Fitrah dan seorang teman senegaranya mengambil keputusan menyambung pengajian dengan biaya sendiri. Akhirnya mendapat peluang mengajar bahasa Jepun kepada pelajar-pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sehingga ke hari ini.

Di bumi Malaysia ini jugalah menyaksikan detik bersejarah buat anak kelahiran Pulau Shikoku, Jepun ini yang pernah bekerja sebagai jururawat di Osaka Jepun, mengakhiri zaman bujangnya dengan Ahmad Tajudin Abdul Zawawi, 48. Perkahwinan yang dibina atas rasa keikhlasan diceriakan dengan kehadiran anak-anak tiri yang masih kecil dan baru kehilangan ibu tersayang akibat kanser. Perkahwinan Ahmad Tajuddin sebelum ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Syazwan, 20, Nor Syazwani, 19, Ahmad Syazwi, 17 dan Nor Syazwina, 12. Hasil perkahwinan dengan Fitrah mereka dikurnikan Nor Maryam, 5, dan Amir Syaaban, 2.

Menurut beliau, pemahaman dan pandangan beliau berkaitan agama semakin jelas selepas mengikuti rombongan sukarelawan perubatan Jepun ke Nepal pada 1997. Pada masa itu, usia Fitrah baru 27 tahun dan belum bergelar Muslim. Naluri suka membantu mereka yang di dalam kesusahan mendorongnya bergiat aktif dalam kerja-kerja sukarelawan terutamanya membantu penduduk dari negara-negara miskin.

Sebelum ke Nepal, saya memang giat membantu menjual produk-produk kraf dari Nepal di Osaka. Hasil jualan disalurkan untuk membantu anak-anak yatim Nepal. Pada Mei 1997, di bawah Pertubuhan Bantuan Kanak-kanak Nepal, kami seramai 20 sukarelawan menjejakkan kaki di Nepal… Kehidupan mereka yang daif, melarat, kotor dan serba kekurangan amat menyentuh hati saya. Apabila melihat mereka meminta-minta sesuatu untuk dimakan begitu, menyebabkan saya tidak menyangka ada yang lebih susah berbanding kami yang jauh merasai erti maju dan kekayaan,” katanya.

Rombongan itu meneruskan perjalanan ke sebuah perkampungan terpencil, Kampung Tharu di Chitawan yang terletak kira-kira sejam menaiki pesawat dari Kathmandu, Nepal. Sungguhpun, tidak lama di sana tetapi ia membawa kesan mendalam terutamanya dari segi gambaran kehidupan di dunia ini. Sejak itu, Fitrah mula memikirkan ketidakadilan terhadap mereka yang langsung tidak merasai kesenangan sehinggalah mereka mati. Persoalan seperti ada tidak kehidupan selepas kematian sentiasa berlegar-legar dalam fikirannya.


Sekembalinya ke Jepun, bagi Fitrah anak sulung dari 3 beradik ini dan ahli-ahli pertubuhannya sentiasa berbincang sesama ahli yang pelbagai bangsa dan negara tentang pengalaman mereka yang pernah ke Nepal.

Mereka ada sebut tentang Islam. Saya ke perpustakaan dan baca tentang Islam. Keesokannya, saya bertemu dengan seorang Muslim dan diberitahu bahawa di Masjid Kobe ada seorang Jepun yang mengajarkan Islam bernama Salwa yang telah berkahwin dengan lelaki Mesir,” katanya.

Bermula di situlah pelbagai persoalan yang membebani fikirannya terjawab satu persatu. Sesuatu yang luar biasa berlaku kepada Fitrah apabila timbul sahaja kemusykilan, beliau akan memperoleh jawapannya menerusi al-Quran.

Ini menambah keyakinan dan kepercayaan saya kepada agama Islam. Dari situ jugalah saya menyedari agama Islam adalah satu-satunya agama yang menjelaskan tentang kehidupan selepas mati itu adalah kekal secara jelas…Kehidupan di dunia adalah sementara dan ia adalah ujian kepada manusia. Lantaran itu, mereka yang benar-benar beriman dengan Allah dan Rasul, akan kekal bahagia, akui Fitrah yang mula berhadapan dengan pelbagai tekanan hebat selepas bergelar Muslim.

Menurutnya, selepas pulang bercuti dari Turki dan Syria, beliau mula selesa dengan pemakaian tudung sehingga tidak sanggup menanggalkannya apabila pulang ke Jepun dan meneruskan tugas kembali.

Saya pergi kerja seperti biasa, cuma kali ini saya memakai tudung. Pada sebelah tengah hari, ketua memanggil saya dan mempersoalkan tindakan saya… Dia juga menyuruh saya membukanya tetapi saya enggan. Akibatnya, saya diberhentikan serta merta,” jelasnya.

Setelah tidak lagi mempunyai pekerjaan di Osaka, Fitrah kembali ke Kobe di mana beliau mendalami Islam. Salwa mengesyorkan beliau mengikuti program di bawah RISEP kerana menurutnya, masanya boleh terluang dengan perkara berfaedah. Inilah yang membawanya ke Malaysia.

Alhamdulillah, saya berkenalan dengan beberapa Muslim Jepun yang sudah lama menetap di sini. Menerusi bantuan kawan, saya mendapat tawaran mengajar memandangkan guru yang sedia ada akan bersara… Saya pulang ke Jepun untuk mengikuti kursus mengajar bahasa Jepun selama 3 bulan sebelum boleh menjawat jawatan guru bahasa Jepun di MARA, akur Fitrah mengimbas solat dan doa yang dipohon selepas kehilangan pekerjaan rupa-rupanya termakbul dan dirasai sekarang ini.

Ditanya apakah yang masih dicita-citakan, Fitrah berhasrat memperbaiki kelas-kelas pengajian agama anjuran Perhimpunan Muslimah KL-Jepun dari semasa ke semasa.

Apa yang sedang saya usahakan sekarang ialah menunaikan haji kerana saya ingin benar menyaksikan kebenaran Islam di depan mata tidak sekadar dengan mengikuti sejarah keagungan Islam menerusi pembacaan. Alhamdulillah kursus haji telah saya ikuti pada tahun lepas… Di samping itu, kepada pelajar-pelajar saya yang akan bekerja di Jepun agar dapat menunjukkan Islam yang sebenar. Ini kerana masyarakat Jepun masih beranggapan, Islam adalah agama yang kasar dan ganas.

Untuk berdakwah cara tradisional bukanlah jawapannya kerana bagi saya walaupun orang Jepun tidak ada agama namun pandangan mereka tentang aspek kebersihan, penjagaan masa, hormat-menghormati dan banyak lagi adalah terbaik. Sebab itulah agak sukar untuk berdakwah, cuma yang saya harapkan ialah hidayah daripada Allah,” kata Fitrah yang merahsiakan pengIslamannya daripada pengetahuan keluarga selama setengah tahun.

Kini, alhamdulillah keluarga semakin terbuka dan menerima saya dan anak-anak termasuk anak-anak tiri dan suami. Fitrah juga meluahkan rasa syukur dan berterima kasihnya kepada suami yang begitu memahami, bertolak ansur, sentiasa menyokong, baik hati dan sentiasa ringan tulang.”

Demikianlah catatan santai di aidufitri kali ini yang disunting dari www.axx.com Insya Allah bertemu lagi akan datang…

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
September29, 08. KL.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails