Wednesday, September 24, 2008

Imbasan Ramadzan: Di Mana Kesan Puasa Dalam Politik Kita?


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
FIRMAN Allah SWT bermaksud, ‘Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusu' dalam sembahyangnya'' (Al Mu'minuum: 1). Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda bermaksud “Ramai orang yang mendirikan sembahyang tetapi hasilnya ialah penat dan lelah sahaja''. (Riwayat: Ibn Majah). Manakala dalam ibadat puasa pula, Rasulullah telah memberi peringatan sabdanya bermaksud “Ramai umat Islam berpuasa tetapi hasilnya ialah lapar dan dahaga saja!''. (Riwayat: Ibn Majah dan Nasai).
Seperti juga ibadat sembahyang, berpuasa pun boleh tak dapat apa-apa. Cuma dapat lapar dan dahaga saja.. Oleh itu, agama menekankan dalam beribadat kepada Allah hendaklah hasil produk ibadat tersebut mempunyai kualiti yang tinggi. Bagaimana mendapatkan puasa yang berkualiti tinggi? Hendaklah ada cop kelulusan dari kerajaan Penciptanya, iaitu ‘memenuhi kehendak Allah’ di mana memberi pulangan lumayan atau pahala yang maksima, kerana ibadat puasa yang dibuat secara ikhlas dan penuh keimanan.
Sebut saja bermutu tinggi, perlu diketahui bagaimana yang rendahnya? Ulama-ulama menyebutkan, puasa yang berkualiti rendah atau dhaif berlaku adalah kerana…
* Tidak memahami matlamat beribadat kepada Allah;
* Berpuasa sebagai mengambil kesempatan menjaga kesihatan semata-mata;
* Tidak berpegang teguh dengan disiplin puasa kerana ibadat-ibadat yang lain pun dibuat sambil lewa atau lepas batuk di tangga sahaja; dan
* Mempunyai iman yang lemah atau berjiwa kerdil kerana menganggap diri mereka sebagai orang awam sahaja.
Imam Ghazali pada zamannya telah membuat kajiselidik mengenai gred atau mertabat puasa yang diamalkan oleh umat Islam. Menurut beliau ada 3 gred..
* Puasa umum;
* Puasa khusus; dan
* Puasa istimewa.
Puasa Umum adalah merujuk kepada puasa yang dibuat semata-mata menahan makan, minum dan menjauhi hubungan seks di siang hari. Pengamal-pengamalnya kelihatan berpuasa tetapi tidak memperolehi pahala kerana mereka tidak memelihara adab-adab berpuasa yang lain. Cuma dapat lapar dan dahaga sahaja! Imam Ghazali menamakan ‘puasa umum’ kerana puasa gred ini mungkin kebanyakan dilakukan oleh umat Islam yang daif atau miskin iman.
Manakala Puasa Khusus, adalah merujuk darihal puasa yang bukan sahaja menahan lapar dan hubungan seks di siang hari, tetapi juga menjaga adab tertib berpuasa dan menahan seluruh anggota pancaindera daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan atau merosakkan amalan puasa. Puasa khusus adalah amalan puasa orang-orang solih samada mereka itu orang awam atau alim ulama. Secara lebih luas sifat puasa khusus ialah:
* Menahan penglihatan atau mengelakkan pandangan yang boleh mengganggu dan melalaikan hati mengingati Allah dan merosakkan keimanan;
* Mengawal lidah daripada bercakap hal-hal keji dan sia-sia;
* Jauhkan diri dari mendengar perkara keji dan sia-sia;
* Menjauhi makanan syubahat dan haram ketika berbuka puasa;
* Mengelakkan banyak makan ketika berbuka supaya rezeki yang diperolehi itu tidak membazir; dan
* Malu kepada Allah kerana bimbangkan amalan puasa yang tidak dapat memenuhi harapan Allah atau tidak diterima Allah.
Akhirnya kita lihat puasa special atau Puasa Istimewa pula. Merujuk mengenai puasa yang bukan sahaja menahan lapar, hubungan seks siang hari dan menghindari segala pancaindera dari melakukan perkara haram seperti di atas… malah puasa gred ini menggembleng, mengarahkan penumpuan hati, fikiran, perasaan dan tingkah laku berpuasa hanya semata-mata untuk Allah, tanpa sedikit pun memikirkan hal-hal keduniaan. Puasa istimewa ini adalah menjadi amalan para rasul dan nabi-nabi, juga merupakan martabat puasa paling tinggi di sisi Allah. Oleh itu, jangan kita jadi manusia yang tidak berjiwa besar, kerana meng’gred’kan diri kita kepada ‘puasa umum’ sahaja.
Kesimpulannya, program bulan Ramadan merupakan agenda latihan tahunan Allah SWT untuk membersihkan jiwa dan melatih umat Islam dengan harapan pengajaran puasa akan menjadi budaya atau gaya hidup sihat, zahir dan batin… bahkan menjadi amalan sepanjang masa. Program Ramadzan perlu diterjamahkan dalam menghidupi gaya hidup Islam secara keseluruhannya, seperti firman Allah SWT berfirman bermaksud..
Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikut langkah syaitan.'' (Al-Baqarah: 208).
Mengapa hanya sanggup tahan lapar dahaga ikut sebahagian cara hidup Islam.. sedangkan ada lagi arahan lebih besar, melaksanakan politik, kekhalifahan dan negara Islam untuk menyelamatkan manusia sejagat tidak dipedulikan?
Itulah imbasan sepanjang Ramadzan yang kita lalui. Ya, marilah kita melihat dan menilai diri kita, di tahap mana puasa kita? Apakah kita berpuasa atau ber’puas’an. Kalau kita lulus ujian, gred berapa yang kita dapat? Sejauh mana peranan kita dalam usaha menegakkan hukum dan kerajaan Islam di muka bumi sebagai lanjutan dari kesan berpuasa? Mahukah puasa kita tiada kesan??
Begitulah catatan santai untuk kali ini, as-salamu ‘alaikum?.
Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
September24, 08. KL.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails