Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
KAMPUNG Kedah (di Kecamatan Keudah) terletak di tebing Sungai Aceh membelahi tengah-tengah Banda Aceh, bersempadanan dengan Kampung Jawa. Sebelum berlakunya tsuami pada hari Natal 25 Disembar 2004, Kampung Kedah terkenal sebagai sarang jenayah, maksiat, perjudian, pelacuran, perompakan, pembunuhan, samseng-samseng mabuk dan pengedaran dadah.
Sehingga di situ diwujudkan sebuah penjara bagi penjenayah-penjenayah di tapak pasar (seberang sungai depan Kampung Kedah) yang ada sekarang. Orang-orang keturunan India di Banda Aceh terdapat ramai di situ, dan banyak juga vihara Buddha sembahan orang-orang Cina. Tiba-tiba tsunami datang merubah segala-galanya.
Begitu.. cerita saya dapat, antaranya dari sekumpulan beberapa anak muda yang sedang membakar ikan-ikan tongkol pagi itu sebelum sahur bersama-sama saya.
“Mari Pak! Kami ra’i bapak ..bakar ikan-ikan tongkol yang baru naik dari bot nelayan tadi, manis dan enak kali.. buat sahur.” sambil tangannya sedang memotong dan merencung buluh kecil, menjolok masuk ke mulut ikan memudahkan pembakaran.
Mereka membakar ikan depan sebuah warung mee Aceh, yang baru ditutup habis niaga pagi itu, depan sebuah hotel terkenal membelakangi Sungai Aceh, diseberangnya itulah terletak Kampung Jawa dan Kampung Kedah.
“Siapa bapak yang baru tiba itu? Orang GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dari mana?” Tanya seseorang dari mereka tentang saya, kata pengenalan hingga mereka boleh jadi baik dengan saya.
“Oo. Tidak. Dia bukan orang GAM, tapi orang Malaysia.” Jawab temannya.
Rupanya, tempat saya nginap itu adalah bekas markas unit latihan GAM sebelum perjanjian damai dengan RI (Republik Indonesia) beberapa tahun lalu, yang sudah beberapa kali disergap tentera RI, dan ramai pemimpinnya ditangkap di situ.
Hotel itu milik seorang wanita pimpinan tertinggi GAM yang terkorban dalam tragedy tsunami di penjara tentera RI, baru menjalani 2 tahun dari hukuman 20 tahun penjara kerana kegiatan politiknya. Dikatakan Gabernor Aceh sekarang adalah anak didik beliau.
Pada suatu pagi menjelang sahur, pemuda yang bertanya temannya tentang saya itu terus tanya saya pula..
“Maaf Pak! Aku nak tanya terus terang, aku intai gerak-geri bapak di hotel.. agak lain. Bapak tidak pernah ada di kamar, kecuali beberapa jam waktu tidur. Bapa sewa kamar paling murah [Iaitu satu kamar Rp 40,000 (RM16) – ada 4 katil. Kalau tinggal 4 orang, bererti sewanya RM4 per orang, tiada di hotel lain semurah itu di situ].
"Bapa sering tengah malam berada di tempat-tempat ganjil, seperti ujung tebing sungai ini (Lam pulo), Kampung Kedah, dan Peunayong (di sebut juga China Town). Tempat yang pelancong-pelancong kurang berkunjung, tetapi kalau makan-minum di depan hotel-hotel terkenal bagi orang luar itu, biasalah! Jadi saya nak tanya bapa, apa sebenarnya misi bapak ke sini??” katanya.
“Ooo..” Jawab saya. Tapi terputus.
Terputus kerana mengingatkan beberapa jam sebelum ini, saya berada di Kampung Kedah minum-minum ringan bersama-sama beberapa anak muda di situ. Saya tanya tentang pekerjaan mereka, jawab seorang pemuda Kampung Kedah berumur 27 tahun..
“Kerja kami agak lain dari yang lain.. tetapi halal. Kami sudah tinggalkan kerja perampokan sebelum tsunami dulu. Sekarang kerja kami mengeluarkan besi-besi tua atau khazanah yang tenggelam di perut sungai Aceh lantaran tsunami.
"Kerja kami menyelam. Bila terjumpa, mobil, motosikal, enjin atau lain-lain, kami tarik keluar dari atas rakit kami. Kami jual. Ada NGO-NGO dari luar negara membantu kami dengan menyediakan kelengkapan seperti alatan penyelaman..” Kata pemuda itu.
“Ada jumpa apa-apa selain besi-besi lusuh?” Tanyaku.
“Jumpa juga barang hiasan termasuk emas perak. Jumpa binatang-binatang berbisa dan berbahaya. Banyak juga jumpa tengkorak manusia korban tsunami…” Jawab seorang yang agak matang dari mereka.
“Walaupun begitu kami redza dengan kerja kami. Tsunami datang tepat pada saatnya, di kala pemuda-pemuda kami sudah hanyut dengan maksiat yang mungkin sudah sampai ke puncaknya. Bahkan ada yang sudah bosan dengan kerja-kerja maksiat, seolah-olah berdoa minta pada Tuhan supaya ditukarkan masyarakat ini dengan masyarakat yang baru.
"Tsunami datang, memusnahkan penjara-penjara itu, digantikan dengan pasar. Ya. Habis kerja-kerja ini, aku ingin jadi pengusaha dan pedagang, kami benci penjara. Itulah azam baru kami selepas tsunami!” Katanya.
Saya sambung jawapan saya yang terputus tadi,
“Ooo. Saya adalah seorang penulis. Misi saya ialah untuk menerangkan reality masyarakat. Di sini saya nak dapatkan informasi mengenai anak-anak kampung Kedah, apakah ada hubungan dengan negara Kedah di Malaysia. Saya pernah menulis mengenai Bahasa Kedah di selatan Myanmar. Mengenai Pulau Perlis dan Pulau Kelantan di Medan.
"Oleh itu, jangan tuan salah faham, saya bukan agen luar negara atau agen Jakarta untuk mengintip bekas-bekas GAM di sini. Saya tinggal di hotel ini secara kebetulan sahaja, kerana murah. Saya tidak dibiayai oleh mana-mana pertubuhan atau kerajaan.” Kata saya sungguh-sungguh.
Nampaknya, dia berpuas hati.
Saya terus menyambung perbualan, “Maaf, saya pula nak tanya tuan, adakah tuan tahu, mengapa kampung itu dinamakan Kampung Kedah? Apakah ada hubungan dengan rakyat atau negara Kedah Malaysia di masa silam?”
“Maaf Pak, aku kurang tahu…” Itulah jawapannya.
Begitulah rata-rata jawapan yang saya temui bila bertanya mengenai kampung itu di Banda Aceh. Tiada yang ambil peduli. Bahkan lebih mengecewakan, bila seorang yang saya temui di depan Kantor Kecamatan Keudah di kampung itu menjawab…
“Tidak ada kena mengena nama Keudah dengan negeri Kedah di Malaysia. ‘Keudah’ asal dari nama ‘kuda-kuda’, kerana di sini pernah dijadikan penempatan kenderaan binatang ternak kuda secara besar-besaran di zaman kolonial Belanda dulu.”
Jawapan yang membuat harapan mengkaji fasal Kampung Kedah itu terhenti.
“Ayuh Pak! Ikan bakar sudah siap. Mari kita ratah sama-sama!!”
Saya terus join mereka, seolah-olah kami sudah kenal lama. Hal yang mencungkil kembali kenanagan lampau semasa remaja di kampung saya dulu, kami sering bakar ikan ramai-ramai.
Itulah catatan perjalanan yang santai, buat kali ini. Insya Allah bersambung.
Catatan Perjalanan: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Di Hotel Rajawali
Banda Aceh Darus Salam
September9, 08.
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Di Hotel Rajawali
Banda Aceh Darus Salam
September9, 08.
6 comments:
Asalamualaikum,
Penulisan Abdullah Hussein merungkai suasana Aheh pasca perang Jepun dan sehingga menuju kemerdekaan. Bagaimana Pulau Pinang sebagai pelabuhan penghubung kepada gerakan merdeka Acheh.
Komen atas pengkomen di atas..
Tolong jelaskan sikit, atau bagi sumber rojokan. Aku minat nak tahu..
As-salamu alaikum!
aKUaNAKpULAU
Assalamu,alaikum..Salam kenal
Sudah lama saya tinggalkan Banda Acwh lebih kurang 5 tahun yang lalu...saya biasa lewat kampung kedah karena mau mancing ujung kampung jawa,dulu saya tinggal di samping mesjid raya baiturrahman lebih kurang 10 tahun lalu hijrah ke jakarta tahun 2002,Menurut saya kampung kedah di Banda Aceh lebih banyak di huni oleh pendatang luar seperti india dan suku2 lain diluar Aceh ,terutama anak2 asrama polisi kedah sehingga wajar pengaruh budaya luar memporakporandak mental putra-putri Aceh yang ada di kampung tsb, tapi Allah sudah memberikan hukuman yang setimpal dgn datangnya Tsunami,subhanallah.mengenai hubungan kedah malaysia dengan kedah Aceh hubungan nya sangat erat sejak jaman keemasan sultan2 Aceh..lebih detailnya di buku "Aceh sepanjang abad'bedanya kedah di malaysia lebih maju sekarang dibawah kerajaan malaysia dan kedah di aceh hanya sebuah desa kumuh dipinggiran krueng aceh.
Hotel yang disebutkan adalah Hotel Rajawali di desa aku. Nama pemilik asalnya ialah Cut Nur Asyikin.
Semasa hidupnya, mengabdikan diri pada perjuangan membela perdamaian Aceh. Lahir di Pidie, tanggal 27 Desember 1955, wafat sebagai syuhada di LP Lho'ga sebagai narapidana politik yang dijatuhi hukuman 11 tahun penjara.
Saat tsunami datang, sehari sebelum harijadi kelahirannya yang ke 49, ibu Cut Nur Asyikin menjadi korban.
Al-fatihah.
Cukup menarik tulisan perjalanan saudara. Unik dan ori.
Saudaramu sehaluan tidak seperjalanan,
Redhuan D. Oon
Kampong Kedah sebab memang asal penduduk disitu dari Kedah yangtelah bercampur baur dgn penduduk Aceh..asal dulu mereka adalah yang ditawan semasa Aceh menyerang Kedah pada zaman Ibu Negara Kedah dulu di Kota SipUteh,Kodiang...lebih kurang 5,000 orang Kedah bersama Sultannya dibawa ke Aceh.Pada era pemerintahan Sultan Sulaiman Shah II (1602-1625), Kota Siputih telah musnah akibat serangan Aceh pada tahun 1619. Baginda ditawan dan dibawa ke Aceh dan mangkat di sana. Puteranya iaitu Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (1626-1651) akhirnya mengasaskan pusat pentadbiran baru di Kota Naga. Makam yang ada ini dikenali sebagai Makam Puteri Lindungan Bulan.
MAKAM PUTERI LINDUNGAN BULAN
Dalam tradisi lisan, kisah Puteri Lindungan Bulan sering dikaitkan dengan serangan Aceh ke atas Kedah kerana kemarahan Raja Acheh yang gagal memiliki puteri Raja Kedah yang berdarah putih. Tindakan Raja Kedah yang enggan menyerahkan puterinya yang berdarah putih sebaliknya menyerahkan puterinya yang berdarah merah telah menyebabkan Acheh bertindak menyerang Kedah.
Post a Comment