Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
“SESUNGGUHNYA
Kami telah turunkan (al-Quran) ini
pada malam Lailatul Qadar.”
(-Al-Quran Surah Al-Qadr: Ayat1.)
“Telah datang kepada kamu
Ramadzan bulan membawa berkat,
Allah menyelubungi kamu,
lalu ia menurunkan rahmat
serta menghapuskan kesalahan-kesalahan.
Allah SWT perkenankan doa pada bulan itu.
Allah juga melihat perlumbaan
antara kamu pada Ramadzan
dan menyampaikan kebanggaanNya
terhadap kamu pada malaikat.
Oleh itu
hendaklah kamu
buktikan kebaikanmu padaNya.
Sesungguhnya orang yang celaka itu
ialah orang yang dijauhkan
atau diharamkan oleh Allah
dari mendapat rahmatNya.”
(Hadis Riwayat Tabarani.)
Menurut pandangan Imam Ghazali, Lailatul Qadar ini boleh diketahui melalui..
*Jika awal Ramadzan pada Ahad atau Rabu, maka Lailatul Qadar pada malam 29 Ramadzan.
*Jika awal Ramadzan pada Isnin, Lailatul Qadar pada malam 21 Ramadzan.
*Jika awal Ramadzan pada Selasa atau Jumaat maka Lailatul Qadar pada malam 27 Ramadzan.
* Jika awal Ramadzan pada Khamis, Lailatul Qadar pada malam 25 Ramadzan.
*Jika awal Ramadan pada Sabtu, maka Lailatul Qadar pada 23 Ramadzan.
Selain tanda itu, malam ini juga boleh dikenali dengan beberapa tanda, iaitu..
*Malam itu langitnya kelihatan suci bersih. Bulan bercahaya segar dan terang benderang.
*Udaranya nyaman, tidak sejuk dan tidak panas.
*Langit tidak diganggu bintang.
*Matahari pada waktu paginya memancarkan cahaya seimbang seperti cahaya bulan purnama.
Lailatul Qadar ialah satu malam yang amat agung pada setiap Ramadzan. Ia juga malam perhubungan mutlaq antara bumi dan alam Al-Mala’ul-A’la. Pada malam itu juga diturunkan Al-Quran keseluruhannya ke langit dunia sebelum diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW seperti firman Allah dalam surah Al-Qadr, ayat1 di atas. Mencari Lailatul Qadar adalah sunat hukumnya… Kerana menurut hadis Rasulullah SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim menyatakan bahawa Baginda berusaha sedaya upaya pada malam 10 akhir Ramadzan melebihi usahanya daripada malam-malam lain.
Banyak cerita-cerita dan riwayat yang dikatakan berlaku pada malam itu perlu kita selidiki mengenai sejauh mana ia bertepatan dengan Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Banyak pandangan-pandaangan sahabat dan ulama mengenainya, antaranya ialah seperti pandangan Imam Ghazali yang disebut di atas. Mengapa Allah SWT tidak tentukan dan tetapkan masa Lailatul Qadar supaya hambaNya itu tidak tercari-cari dan ternanti-nanti?
Antara rahsia dan hikmahnya, ialah supaya umat Islam terus mencari-cari dengan menggandakan amal ibadah sepanjang malam bulan Ramadzan. Lailatul Qadar bagaikan sebuah kem memotivasi diri, bagi membangkitkan semangat beribadat kepada Khalik dari makhlukNya. Menyemarakkan budaya ibadat menjelang Ramadzan.
Begitulah kira-kira catatan santai untuk kali ini, sekadar muhasabah diri sebagai imbasan Ramadzan menuju Hari Raya Aidil Fitri, moga sama-sama dapat manfaat. Selamat terus berpuasa. Wassalam.
Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
September23, 08. KL.
No comments:
Post a Comment