Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
KELUAR saja buku saya ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’, saya hadiahkan kepada Tuan Haji Yusuf Rawa, kerana beliaulah penasihat kami, tempat rujukan dan apa-apa hal pun, kami cari beliau.
Contohnya, bila ceramah politik Ustaz Hadi yang kami rancang di Balik Pulau dibatalkan di saat akhir oleh pihak polis, kami tanya pendapat beliau. Katanya sebagai penyelesaian, “Batalkan ceramah politik, gantikan dengan ceramah agama, pindah ke tempat berdekatan..” Ertinya ceramah tetap dijalankan juga! Begitu juga mengenai kitab-kitab yang dijadikan teks pengajian di markas atau tenaga pengajar, kami kami rujuk kepada beliau. Juga mengenai buku saya itu setebal 672 itu, “Ada sikit maklumat yang tak betul..” katanya.
Yaitu pada muka surat 291 baris kedua dari bawah tertulis, ‘Beliau yang mendapat anugerah Jaksa Pendamai dari kerajaan Kedah …’ sebenarnya bukan ‘Kedah’ tetapi Pulau Pinang. Di sini saya mengambil kesempatan untuk membetulkan tulisan tersebut, iaitu maklumat tentang biografi dirinya. Haraf maaf, terutama kepada pembaca buku saya itu! Mengenai biogarfi beliau tak payah saya ulang lagi, kerana sudah ramai yang tahu. Banyak sudah ditulis orang, dan dalam buku saya itu agak panjang juga.
Yang penting cuma beliau yang lahir pada 8 Mei 1922 itu telah diamanahkan memimpin PAS menggantikan Dr Mohd Asri Haji Muda, Yang Di Pertua (YDP atau istilah baru Presiden) PAS ke 4, setelah Haji Ahmad Fuad Hasan, Dr Abbas Alias dan Dr Burhanuddin Al-Helmi pada Muktamar Agung PAS ke 28. Muktamar yang diadakan di Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur pada 22 Oktober 1982. Saya ada dalam majlis itu pada masa itu.
Begini serba sikit lapuran ceritanya…
Pada hari pertama muktamar itu seperti biasa ucapan dasar YDP PAS, dibentangkan. Ucapan yang banyak menimbulkan tidak puas hati perwakilan. Pada saya perwakilan pada masa itu mulai berubah.. antaranya kerana..
1.. Ahli PAS mula pertikaikan ‘pendekatan PAS ala kebangsaan’, bahkan hingga ada yang menuduh perjuangan PAS tidak Islamik yang perlukan perubahan.
2.. Semboyan kepimpinan ulama seperti yang berlaku di Iran dalam revolusi Islam pimpinan Ayatullah Khomeini 1979 menggulingkan Syah Iran yang didalangi Amerika, juga mempengaruhi muktamar.
3.. Ramai perwakilan yang bertakbir ‘Allahu Akbar’ bila bersetuju menyambut ucapan pemimpin menggantikan budaya ‘tepuk tangan dan bersorak’ sebelum itu.
4..Mereka mahu pimpinan atasan mereka termasuk YDPnya terdiri dari ulama atau berpendidikan agama yang tinggi.
5..Ucapan atau ulasan kepada ucapan dasar YDP itu dikatakan menghina majlis-majlis usrah ahli PAS dan suara-suara takbir ahli PAS kononnya dipengaruhi oleh negara Iran..
6.. Mungkin juga kerana kepimpinanan Mohd Asri sudah menampakkan kelemahan, terutama mengheret PAS ke dalam Kerajaan Campuran bersama BN, PAS disingkir dari BN, Politik Darurat merampas Kelantan secara curang dari PAS, kekalahan teruk dalam PRU 22 April 1982 dan lain-lain.
Pada hari kedua muktamar, tiba-tiba YDP PAS Haji Mohd Asri mengumumkan perlepasan jawatan.
1.. Hal ini berlaku, apabila ucapan dasar YDP dikritik hebat dan ditolak.
2.. Cadangan Mohd Asri supaya melantik Ustaz Abu Bakar Omar jadi Pengerusi Tetap muktamar juga ditolak. Yang terpilih waktu itu adalah Ustaz Kassim Ahmad dari Terengganu. Suatu tamparan kuat ke muka beliau.
Saya masih ingat, sebelah petangnya, waktu mengundi melantik Pengerusi Tetap, kiraan awalnya berpihak ke Ustaz Abu Bakar Umar, tetapi dibuat pengiraan semula atas alasan perwakilan masih belum masuk penuh. Undi waktu itu hanya melalui angkat tangan saja. Di sinilah teknik yang digunakan oleh puak-puak penentang Mohd Asri amat berkesan. Hal ini diakui sendiri oleh jurukiranya Saudara ….. (Maaf, belum mohon kebenaran untuk memaparkan namanya..) yang menambah jumlah undi penentang Mohd Asri. Menurutnya waktu itu kalau dikira betul-betul mungkin kemenangan berpihak kepada Mohd Asri.
Perlepasan jawatan Allahyarhan Mohd Asri disambut dengan takbir gembira beberapa kali oleh hadirin. Saya yang tak tahu politik dalaman parti apa-apa waktu itu turut gembira dengan melambung kain serban merah yang saya pakai. Kalau tak salah, saya mewakili PAS Kawasan KL Bandar yang di’group’kan dengan kumpulan pro Mohd Asri. Sekian lapuran muktamar ke 28 tersebut yang meletakkan Tuan Haji Yusuf Rawa sebagai orang nombor 1 dalam PAS.
Tuan Haji Yusuf juga pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang ke 2, dalam tempoh masa yang agak lama. Beliau menggantikan Pesuruhjaya pertama Pulau Pinang, yang diarahkan menjadi Pesuruhjaya pertama Terengganu bagi menggerakkan PAS di situ hingga berjaya PAS menawan Terengganu dalam PRU pertama lepas merdeka tahun 1959.
Teringat kisah lucu, gurauan dengan beliau se waktu berada di rumahnya…
“Nama ‘Rawa’ di hujung nama ana ini banyak memberi tuah pada PAS..” Kata beliau. Nama beliau sebenarnya Haji Yusseof bin Haji Abdullah Ar-Rawa. ‘Rawa’ adalah keturunan bangsawan dari tanah besar Sumatera, yang menjadi keturunannya.
“Fasai apa pulak Tuan Aji?” Saya tanya.
“Pernah ana jumpa seorang dari Menteri dari Negara Arab, bila ana perkenalkan nama ana Yusuf Abdullah Ar-rawi (Rawa), dia sangat gembira. Sangkanya kami adalah dari satu keturunan, ‘Ar-rawi’. Maka dia beri 3 biasiswa untuk pelajar Malaysia belajar di negara Iraq. Saya beri pada PAS.. Salah seorang dari mereka yang dihantar belajar di sana adalah Haji Hasan Shukri.” Jelas beliau.
Rupanya Tuan Haji Hasan Shukri juga adalah orang yang membantu saya percepatkan penubuhan cawangan-cawangan dan PAS Kawasan Parlimen Balik Pulau, semasa beliau bertugas di pejabat Agung PAS, masa itu.
Saya masih kenang jasa-jasa mereka semua. Kisah sejarah PAS Balik Pulau akan bersambung lagi, tetapi mungkin akan terputus sementara kerana saya tiada di Malaysia mulai besok. Insya Allah bertemu lagi akan datang…
Catatan santai: ibnuhasyim.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) Oktober08, 08 KL..
2 comments:
Maaf. nak tanya. Ustaz ke mana? Boleh tolong sambung catatan perjalanan lagi?
T.kasih.
Mohd Ali KL.
Saya harap lebih banyak sejarah Haji Yusof Rawa diceritakan agar generasi masa kini ramai tidak tahu sumbangan beliau. Hakikatnya, beliaulah yg telah meletakkan foundation yang kukuh dalm PAS
Post a Comment