Friday, November 21, 2008

Thailand Perlu Parti Islam?

Ibnu Hasyim
CATATAN PERJALANAN:

THAI (ไทย) ertinya ‘bebas’ dalam bahasa Thai. Mengapa kerajaan Thai tidak mengamalkan kebebasan beragama?” Kata seseorang kepada saya, ketika saya masih berada di Bangkok sewaktu kami mendapat berita mengenai tunjuk perasaan pagi itu.

Saya tidak pasti adakah ianya disiarkan oleh tv Thai atau tidak. Tetapi yang jelas hari-hari tvnya dipenuhi upacara kematian keluarga rajanya yang meninggal dunia walaupun sudah berbulan-bulan berlalu. Thailand atau nama rasminya Prathēt Thai ialah sebuah negara di Asia Tenggara, bersempadankan Laos-Kemboja di timur, Malaysia-Teluk Siam di selatan, dan Myanmar-Laut Andaman di barat. Negara Thai dahulunya dikenali sebagai ‘Siam’ sehinggalah 11 Mei 1949. Nama Siam masih digunakan di kalangan orang Thai terutama sekali minoriti Cina.

Jika dilihat dari sudut politiknya, semenjak pembaharuan politik dari negara raja mutlak pada tahun 1932, Thailand telah mengalami 17 perlembagaan dan piagam. Selama ini, bentuk kerajaan sering berubah-ubah dari diktator tentera ke demokrasi pilihan raya, namun semua kerajaan ini mengiktiraf raja turun-temurun sebagai ketua negara. Perlembagaan 1997 adalah perlembagaan pertama digubal oleh Perhimpunan Mendraf Perlembagaan yang dipilih orang ramai, maka kerana itu digelar ‘Perlembagaan Rakyat’. Pilihan raya umum selepasnya diadakan pada Januari 2001.

Pilihan raya 2005 pula menyaksikan kehadiran pengundi tertinggi dalam sejarah Thai. Pada tahun 2006, timbul tekanan besar dari tuduhan rasuah menyebabkan Thaksin Shinawatra mengadakan pilihan raya kilat. Pihak pembangkang memulaukan pilihan raya ini maka Thaksin dipilih semula. Tekanan masih semakin banyak, hingga menyebabkan rampasan kuasa oleh junta tentera pada 19 September 2006. Junta ini memansuhkan perlembagaan, membubarkan Parlimen dan Mahkamah Perlembagaan. Menahan, kemudian memecat beberapa ahli kerajaan, isytiharkan pemerintahan tentera, dan melantik seorang ahli Majlis Rahsia Raja, Jeneral Surayud Chulanont, sebagai Perdana Menteri.

Junta ini kemudian menulis satu perlembagaan sementara dan melantik sebarisan panel untuk menggubal satu perlembagaan yang kekal. Larangan kegiatan politik akhirnya ditarik balik pada Julai 2007, berikutan pembubaran parti Thaksin, Parti Thai Rak Thai pada 30 Mei. Thailand adalah negara yang ke ke-49 terbesar didunia, dengan saiz negara kira-kira 513,000km, hampir sama dengan negara Sepanyol, dan dikatakan lebih besar dari negeri California, Amerika Syarikat. Jumlah penduduk pada Julai 2006 berjumlah 64,631,595. Majoriti penduduk Thailand ialah etnik Thai dan Laos yang beragama Buddha.

Manakala di 4 wilayah di selatan Thailand, majoriti penduduknya adalah Melayu Muslim, merupakan kawasan yang bersempadan dengan Semenanjung Malaysia. Selatan Thailand terdiri daripada 14 wilayah, antaranya Wilayah Narathiwat, Wilayah Pattani, Wilayah Yala dan Wilayah Satun.

Kalau dilihat sejarah pula. pada 9 Julai 1909 Gabenor Negeri-negeri Selat telah mewakili penjajah British telah berjumpa dengan Kerajaan Siam di Bangkok, konon bagi menyelesaikan masalah negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Ketika itu kerajaan Siam telah menjajah negeri Perlis, Kedah , Kelantan dan Terengganu. Pattani, Yala dan Narathiwat memang dibawah pentadbiran kerajaan Siam. Bangsa-bangsa barat terus mengekang dasar ‘pecah-pecah perintah’nya ke atas negara umat Islam sebagai lanjutan dari Perang Salib di Eropah melalui rundingan tersebut dengan menekan raja-raja dan penduduk Islam tempatan.

Melalui Perjanjian Bangkok 1909, kerajaan Siam menyerahkan negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu untuk bernaung di bawah pemerintahan Inggeris. Perjanjian tersebut telah ditandatangani di Bangkok oleh Sir John Anderson (Governor Negeri-negeri Selat) dan Setiausaha Luar Negeri Siam. Antara syarat perjanjian ialah Kerajaan Siam hendaklah juga menyerahkan balik Daerah Hulu Perak yang telah diambil oleh Raja Reman dahulu kepada Kerajaan Negeri Perak. Istiadat penyerahan itu telah dilangsungkan di Kroh, pada 16 Julai 1909. Maka tinggallah penduduk Melayu dan beragama Islam kekal di bawah negara Buddha Gajah Putih itu.

Kerana majoriti penduduk Selatan Thai orang Melayu dan beragama Islam sedangkan negara Thai diperintah oleh sebuah kerajaan Buddha, maka disitulah timbulnya masalah tidak adil ‘tiada kebebasan beragama’ tadi bagi penganut-penganut agama Islam! Itu sebab yang pertama” Saya kemukakan pandangan.

Lantaran itu PULO melancarkan perjuangan bersenjata sejak 1970an. Kumpulan nasionalis selatan Thailand mahu merdeka sepenuhnya dari Thailand berdasarkan faktor sejarah tersebut. Namun akhir-akhir ini Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) dan Bersatu dikatakan bersedia berunding dengan pihak berkuasa Thai. Kumpulan lain pula, ada yang mahu negara Islam di wilayah selatan Thailand. Kaedah perjuangan Al-Qaeda di seluruh dunia khususnya di Afghanistan menjadi sumber idea dan inspirasi.

Pihak tentera Thailand menuduh Gerakan Mujahidin Islam Pattani (GMIP) dan lain-lain kumpulan serpihan menjadi pembekal bahan letupan dan melatih ahli-ahli untuk meletupkan diri, tembak curi dan memasang dinamit pada motosikal dan basikal. Sasaran utama ialah anggota tentera, polis dan sarang maksiat. Sikap para pegawai Thai di pejabat-pejabat daerah yang mengamalkan diskriminasi dan tidak mahu memahami adat resam, perasaan dan kehendak rakyat tempatan juga menjadi punca kepada serangan-serangan kecil-kecilan ke atas pemimpin Buddha atau anggota-anggota polis yang sedang meronda.

Pihak polis pula menyerang secara senyap terhadap para imam dan guru-guru agama yang dituduh menyebarkan sentimen anti-Bangkok . Guru-guru agama dan imam di kampung-kampung hilang begitu sahaja dan penduduk Islam mendakwa polis Thailand yang melakukannya. Guru-guru di selatan Thailand dibekalkan dengan senjata api dan dilatih menggunakan bagi mempertahankan diri. Guru-guru ini dituduh menghina agama Islam dan menyebarkan agama Buddha di kalangan pelajar-pelajar Islam.

Kumpulan-kumpulan penjenayah juga dipercayai mengambil kesempatan melakukan kekacauan termasuk pembunuhan ke atas pegawai-pegawai polis yang dianggap menjadi penghalang kepada aktiviti-aktiviti haram yang mereka jalankan.

Saya menambah, “Sebab kedua pula ialah.. bagai api disimbah minyak bila Thailand terjebak dengan perangkap samar ciptaan Amerika Syarikat dalam isu yang kononnya memburu ‘pengganas Islam’.. lalu bertindak keras ke atas rakyat Islam Thai.

Kalau dilihat kepada pergolakan yang berlaku seperti di Kampung Sungai Padi, Takbai dan lain-lain kawasan, beberapa tindakan oleh Perdana Menteri Thailand waktu itu, Thaksin Sinnawatra menguatkuasakan undang-undang darurat dan penggunaan tindakan ketenteraan bagi memburu apa yang dilevelkan sebagai 'pengganas Islam' menyebabkan ramai penganut agama Islam dan Buddha terbunuh. Lebih 1500 telah terbunuh. Tragedi di Masjid Krisek mengorbankan ratusan nyawa. Luka lama di Thailand Selatan kembali berdarah!!

Penduduk yang merasakan diri mereka tertindas telah mengangkat senjata dan melakukan pengeboman demi pengeboman. Demi kebebasan beragama, mereka terpaksa menuntut hak merdeka dari pemerintah Thai.

Jadi, apa pandangan saudara?” Soalan meminta pandangan saya.

Saya jelaskan…

Pertama: Jangan jemu-jemu adakan perundingan dari kedua belah pihak, walaupun sudah banyak rundingan yang gagal. Saya lebih bersetuju seperti cadangan bekas Menteri Luar Thailand Surin Pitsuwan supaya model perdamaian Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dengan kerajaan Indonesia di Helsinki Ogos 2005 digunakan dalam menyelesaikan pertikaian di Selatan Thai. Cuma bedanya pada saya, dalam perjanjian Helsinki tiada sebut Negara Islam, tetapi dalam kes di Selatan Thai ini perlu sangat-sangat dimasukkan penubuhan sebuah Negara Islam.

Kedua: Wujudkan sebuah parti Islam, yang berjuang untuk menegakkan Islam dan Negara melalui jalan damai. Contohnya, seperti PAS di Malaysia, Parti Keadilan Sejahtera di Indonesia dan lain-lain.” Kalau PAS boleh menang di Kelantan, Terengganu, Kedah dan lain-lain (termasuk melalui Pakatan Rakyat), maka tidak mustahil Parti Islam Thai juga boleh memenangi di wilayah selatan negara, se kurang-kurangnya. Itu juga termasuk dakwah Islam!

Tetapi di sini (Thailand) kerajaan bukan Islam yang memerintah, lain dengan Malaysia??

Aaah.. Tiada bedanya dengan Malaysia, sama-sama kerajaan secular tidak tegak di atas dasar Al-Qur’an dan Hadis. Kadang-kadang berdepan dengan harimau di tengah padang lebih mudah dari menghadapi ular di dalam rumput!!” Jelas saya lagi.

Wassalam.

Catatan Perjalanan:
ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
November20. 2008.
Bangkok.



2 comments:

Ibnu Hasyim said...

Abe Mat..

guwano maghi dak ghoyat? kami tunggu diPalas ni..

Tajudeng
Palas, Pattani..

Anonymous said...

Saya setuju cadangan Pak Ibnu. Perlu ada banyak saluran untuk menegakkan Islam di mana-mana saja. Kata ulama, tidak sempurna iman seseorang Muslim selagi negaranya tidak dapat ditegakkan Negara Islam sejati..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails