Ibnu Hasyim Catatan Santai
‘KORBAN’, semata-mata dari segi bahasa ertinya ‘dekat’. Dari segi istilah ia bermaksud ‘menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya.’ Hari Raya Aidiladha, Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban merupakan hari perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke 10, 11, 12, dan 13 Zulhijjah setiap tahun.
Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah. Aidiladha adalah peringatan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dalam menunaikan perintah Allah SWT.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian cantik, bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi Hari Raya Korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat di pagi hari, biasanya agak awal sedikit dari Hari Raya Aidil Fitri. Selepas bersembahyang, upacara korban pun dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid dan dibahagi-bahagikan kepada golongan fakir miskin, sebagai lambang pembelaan Islam dalam membasmi kemiskinan. Itulah pengorbanan.
Bila sebut pengorban, saya ingin menghadiahkan tip untuk pelayar-pelayar web ini bersama ucapan Selamat Hari Raya Korban tahun ini.. Apa tipnya? Mari kita lihat dan renung sebuah hadis Ashabul Ukhdud dalam kitab terkenal ‘Riyadhus Shalihin’ oleh Imam Nawawi…
Kisah seorang pemuda Mukmin berada di suatu negara bukan Islam, yang dipimpin oleh seorang raja musyrik dan kafir. Raja itu ingin membunuh pemuda beriman ini, puas dia berusaha membunuhnya berulang kali.. Dia lemparkan pemuda itu dari atas gunung.. dia lemparkan pemuda itu ke lautan.. tetapi setiap usaha membunuh itu tetap gagal kerana Allah selalu menyelamatkan pemuda ini. Maka hairanlah raja musyrik itu.
Pada suatu hari pemuda ini bertanya kepada raja tersebut, “Apakah tuanku benar-benar ingin membunuhku?”
“Ya!” Jawab raja itu. “Semua ini aku lakukan adalah untuk membunuhmu.”
Pemuda itu menyarankan, “Kalau begitu, kumpulkanlah orang ramai di sebuah tanah lapang, kemudian ambillah satu panah dari tempat panahku, letakkan di tempat sasaran. Lepaskanlah ke arahku, dan katakan, “Dengan nama Allah, Tuhan pemuda ini!”
Sebelum itu cubaan membunuhnya dilakukan dengan menyebut nama raja, bukan dengan nama ‘Allah Tuhan pemuda ini’. Maka raja pun laksanakan saranannya. “Dengan nama Allah, Tuhan pemuda ini.” dilepaskan anak panah itu tepat mengenai sasaran. Maka matilah pemuda itu.
Tiba-tiba bersorak dan menjeritlah orang ramai, mereka mengatakan, “Rupanya Tuhan sebenar adalah Tuhan pemuda ini! Tuhan sebenar adalah Tuhan pemuda ini!!”
Mereka ingkari pertuhankan raja musyrik itu. Kata mereka, raja itu telah melakukan segala cara untuk membunuh pemuda ini, ternyata tidak berjaya. Tetapi ketika dia mengucapkan satu kalimat, ‘Dengan menyebut Allah, Tuhan pemuda ini’ pemuda ini boleh mati. Kalau demikian pengatur semua kejadian ini, sebenarnya adalah Allah! Maka berimanlah semua mereka. Sehingga Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullah mengulas, “Perbuatan pemuda ini mendatangkan manfaat yang besar bagi Islam.”
Kita lihat pula pandangan Syaikh Allamah Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin dalam Syarah Riyadhus Shalihin 1/165-166 mengenai hadits kisah Ashabul Ukhdud ini, kata beliau...
“Sesungguhnya seseorang boleh mengorbankan dirinya untuk mashlahat kaum Muslimin secara umum.. Pemuda ini menunjukkan kepada raja yang menuhankan dirinya suatu hal yang dapat membunuhnya, iaitu dengan mengambil sebuah anak panah dari busurnya… Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata, kerana ini adalah jihad fisabilillah… Sebuah umat beriman semuanya dalam keadaan pemuda ini tidak kehilangan apa-apa, kerana dia mati dan pasti dia akan mati cepat atau lambat…”
Inilah satu contoh pengorbanan seorang mujahid yang memilih mati syahid. Saya telah huraikan dalam tulisan sebelum ini (Saturday, December 6, 2008 Sejarah Politik B.Pulau 4: Ada Kaitan Dengan Memali?) mengenai pengorbanan As-syahid Ustaz Ibrahim Libya. Begitu juga dengan ramai lagi individu-individu lain seperti As-syahid Syed Qutb, Hasan Al-Banna, Saiful Mujahidin Umar Mukhtar dan lain-lain. Kalau dalam organisasi atau pertarungan melalui peti undi pula, walaupun banyak parti-parti Islam yang pada zahirnya nampak gagal memerintah sesebuah negara, tetapi sebenarnya banyak memberi manfaat kepada perjuangan Islam di negara tersebut.
Di situlah pentingnya pengorbanan, terutama kepada pemimpin-pemimpin atau wakil-wakil rakyat di negara ini. Inilah sebuah tip kisah pengorbanan hadiah Hari Raya Aidil Adha dari saya kepada anda!
Selamat Hari Raya, maaf zahir batin!
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Disember7, 08. KL
No comments:
Post a Comment