Ibnu Hasyim
Catatan Santai dari Parlimen:
MAI kita melawat ke sidang Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Ke 3 Bil 72, Rabu 3 Disember 2008, semasa membahaskan usul-usul berkaitan dengan Kementerian Penerangan. Kita lihat ucapan Dr Mohd Hayati YB Pendang, Kedah dari PAS, disunting dari laman web Parlimen Malaysia…
“Terima kasih Tuan Pengerusi, Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.
Butiran 02100 – Mengisi Liputan Radio FM Fasa II. Saya tengok dalam JAKIM tengok radio IKIM.fm tidak nampak. Jadi saya rasa mungkin di dalam RTM lah. Saya hendak tanya tentang radio digital IKIM.fm ini kerana banyak kawasan-kawasan yang tidak diliputi dan kalau ada liputan pun dia terputus-putus. Kadang-kadang setengah jam dia putus selepas itu sambung balik. Jadi saya harap pihak RTM kalaulah ada di bawah RTM ini, kementerian ini tolong beri perhatian kepada IKIM.fm ini.
Kemudian pembelian kenderaan, Butiran 080300. Saya harap pihak kementerian ataupun menteri tolong tengoktengok kenderaan di Pejabat Penerangan di Pendang itu banyak yang telah uzur dan telah diletak tepi. Saya ingat dua ataupun tiga buah telah tidak boleh digunakan lagi. Mereka sekarang menggunakan sebuah kenderaan yang cukup uzur saya rasa untuk mereka membuat liputan kepada program-program pun ada masalah bagi pihak pegawai penerangan di situ. Kemudian Butiran 020000 – Khidmat Penyiaran, Butiran 030000 – Khidmat Penerangan. Saya juga ingin menyentuh yang disentuh oleh Yang Berhormat Pasir Salak tadi tentang iklan-iklan.
Iklan-iklan kita dapati sekarang ini banyak menggambarkan pelakon-pelakon iklan itu bukan lagi macam rakyat Malaysia. Kalau dahulu kita lihat masa Datuk Mat Rahmat dulu dia ada unit tatatertib dia, mereka yang rambut panjang tidak boleh, yang pakai tidak senonoh tidak boleh. Akan tetapi sekarang ini nampak macam sudah tidak ada tatatertib lagi dalam mereka-mereka yang hendak disiarkan. Kita tengok rupa-rupa pengiklan-pengiklan itu pun tidak menggambarkan orang-orang Malaysia. Nampak macam rupa ‘mat salleh’, ada rupa lain daripada rakyat Malaysia. Jadi saya rasa pihak kementerian perlulah memberi perhatian semula ke atas tatatertib…
Kadang-kadang yang rambut panjang pun kita nampak sudah tidak macam lelaki lagi, rambut kadang-kadang sampai ke bahu sampai ke memang sudah teruklah, sudah tidak ada tatatertib di dalam sistem penyiaran lagi. Kemudian juga filem-filem yang ditunjukkan seperti mana yang disebut oleh Yang Berhormat Arau kalau tidak silap saya. Filem-filem tahyul banyak, kalau kita lihat Bawang Putih Bawang Merah itu ada pari-parilah, maknanya benda ini semua tidak masuk dek akal kita kalau kita tengok filem tersebut, masih ditayangkan. Kalau sebuah filem baru ini Kementerian Pelajaran telah haramkan daripada tunjukkan di sekolah-sekolah kerana ada unsur tahyul ataupun mereka kata benda-benda ghaib tetapi filem-filem ini ditunjukkan oleh RTM, anak-anak duduk depan TV tengok dia kata, ai ni mai mana pula, sekejap ada sekejap tidak ada macam biskut Chipsmore ini.
Perkara-perkara ini saya rasa perlu diberi perhatian oleh kementerian. Begitu juga dengan rancangan Bicara Mufti. Saya hendak sentuh Bicara Mufti. Biarlah mufti orang yang paling tinggi kita kata dalam sesebuah negeri dalam ilmu agama mereka. Berilah peluang kepada setiap mufti di setiap negeri memberi ruang kepada mereka untuk mereka muncul di dalam rancangan TV yang dikhususkan untuk merekadan membicarakan perkara-perkara yang kita kata tinggi ilmunya sedikit daripada hanya sama dengan ustaz-ustaz yang mengajar di masjid-masjid ataupun di surau-surau. Kemudian tentang Klasik Nasional, Yang Berhormat Sri Gading.
Saya pun memang sering juga mendengar Klasik Nasional iaitu tentang drama yang dikarang oleh penulis-penulis skrip yang menghantar skrip mereka, mereka mengatakan disiarkan di tengah-tengah malam. Jadi siapalah yang hendak dengar kalau disiarkan di tengah malam? Jadi mereka pun bila sudah terdengar skrip di tengah malam rancangan yang mereka hantar drama ini mereka kata tidak ada mood lagi hendak buat drama-drama ataupun menulis skrip drama tersebut. Akhir sekali Tuan Pengerusi tentang di negeri-negeri kami inilah negeri-negeri Pakatan Rakyat ini berilah ruang kepada Menteri Besar untuk muncul sekali sekala di dalam RTM ini, TV kah, radio kah kerana saya dapati ada satu rancangan hari itu bila Duli Yang Maha Mulia Sultan bertitah ada tetapi bila Menteri Besar bertitah sebelum itu tidak ada. Jadi sekian, terima kasih.”
Demikian ucapan Dr Mohd Hayati. Sebenarnya, pada saya banyak lagi yang perlu RTM betulkan. Umpamanya, takrif lucah yang bersesuaian dengan kehendak agama Islam. Membanyakkan rancangan-rancangan bermutu untuk pendidikan dan moral. RTM perlu adil kepada MB-MB kerajaan Pakatan Rakyat. Berita luar negara yang bukan dari sudut-pandang negara-negara barat saja.. Perlu di kawal rangkaian tv-tv lain lagi supaya sejajar dengan kehendak Kementerian Penerangan dan macam-macam lagi.
Sekian catatan santai untuk kali ini. Wassalam.
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Disember4, 08. KL
No comments:
Post a Comment