Saturday, December 20, 2008

Haus Di Maqam Abi Waqqas..


Ibnu Hasyim: Catatan Perjalanan Di China.

SEGELAS minum, tak puas. Tambah segelas lagi, terasa sedap pula, maklumlah air meneral asli. Tambah lagi. Mungkin juga kerana saya berjalan agak jauh, tak boleh masuk kereta ke kawasan itu. 

Kawasaan tempat Maqam Abi Waqqas, atau orang China di sini sebut 'Wangqas'. Rata-rata menganggapnya maqam seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, Saad Abi Waqqas, walaupun ada yang mengatakan bukan beliau, tetapi rakan seperjuangan beliau. Jelasnya di situ ada banyak lagi kubur atau maqam sahabat seperjuangan beliau.





Gambar bawah: Ibnu Hasyim sedang minum air dari perigi Abi Waqqas.

Air yang saya minum itu, air dari perigi Saad Abi Waqqas. Lihat gambar ke 3 dan ke4 bawah. Ada pam ke perigi kecil tertutup di depan saya itu. Saya tekan pam itu, airnya keluar, masuk ke cawan plastik dan saya minum. 

Ada papan peringatan menceritakan sejarah dan tarikh pembinaannya. Al-hamdulillah, puas sungguh saya minum . Kalau nak derma, boleh derma di tabung yang dikhaskan di situ. Di situlah terletak kawasan permakaman. Kebetulan waktu itu masuk waktu zohor, saya bersembahyang berjamaah bersama-sama.

Menurut sejarah, makam berkenaan adalah tempat perkuburan dua orang sahabat yang awal datang ke Republik Rakyat China dipercayai pada abad ke 7. Mereka mengembangkan Islam sehingga wafat di Quangzhou.
Selepas penubuhan Republik Rakyat China, Kerajaan pusat telah menghulurkan dana untuk melakukan pembaikan makam berkenaan. 


Dalam tahun 1961 Kerajaan Wilayah Fijian mengisytiharkan makam tersebut sebagai salah satu perkara yang penting dalam mengekalkan warisan kebudayaan di wilayah berkenaan.

Menurut catatan rasmi (annals) daripada Dinasti Tang, (618-905M), dan catatan serupa dalam buku 'A Brief Study of the Introduction of Islam to China' karya Chen Yuen, bahawa Islam mula datang ke negeri China sekitar tahun 30H atau 651M (kurun ke 7 Masehi), iaitu melalui satu utusan yang dikirimkan oleh Khalifah Usman ibnu `Affan (memerintah kira-kira 12 tahun (23-35H/644-656M). 


Menurut Lui Tschih, seorang penulis Muslim Cina pada abad ke 18 di dalam karyanya' Chee Chea Sheehuzoo' (perihal kehidupan Nabi), utusan itu diketuai oleh Penglima Besar Saad ibnu Abi Waqqas (seorang sahabat Nabi, tergolong daripada 10 orang yang dijamin memasuki syurga).

Islam berkembang lebih dulu di negeri China dari negeri-negeri lain di luar tanah Arab. Ia dikembangkan bukan melalui peperangan dan pertumpahan darah. Hal ini serupa dengan perkembangan agama Islam di Wilayah Asia Tenggara yang menepati kedudukannya sebagai bandar-bandar persinggahan menerusi lautan di antara tanah Arab dan tanah China. 


Pedagang-pedagang Arab pada umumnya datang melalui lautan, melintasi pesisir India dan pesisir Asia Tenggara menuruti musim angin. Sebahagian di antaranya tinggal dan menetap pada bandar-bandar dagang dan pesisir yang dilintasi, boleh jadi mereka tinggal menetap di pesisir Champa, Vietnam, Melaka sebagai bandar persinggahan ke China dan dari China.

Cerita-cerita pengorbanan seperti itulah yang membuat saya haus ingin tahu, di negara bukan Islam yang saya lawati sekarang ini. Sepatutnya negara ini menjadi sumber atau perigi ilmu Islam kepada kepada penghuninya, atau seluruh manusia di dunia. 

Jauh perjalanan, banyak pengalaman. Itu hikmah banyak ayat-ayat dalam Al-Quran menyuruh penganutnya mengembara di muka bumiNya ini... Carilah ilmu, hilangkan kehausan.

Ibnu Hasyim,
Disember20, 2008.
Guangzhou

Lihat juga..
E-Buku IH-33: Catatan Perjalanan


E-Buku IH-33: Catatan Perjalanan  
Dari Cina Ke M'sia, Ikut Jalan Darat

2 comments:

Anonymous said...

Tq atas kerjasama masa di china

Ibnu Hasyim said...

Kak Jatn,

Saya masih belum sampai ke M'sia lagi..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails