Saturday, January 19, 2008

Kasihan Tok Guru Nik Aziz, Nampak Makin Letih...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


TULISAN saya yang lalu, ‘Saya Tegaskan, Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya…’ menyebab seseorang menelefon saya, katanya, “Kesian Tok Guru Nik Aziz, nampaknya beliau makin letih… Takde ke yang nak ganti?”

Saya tanya balik, “Adakah letih kerana umurnya, atau kerana semangat dan kerjabuatnya?”

Sebelum dia jawab, saya ulas dulu. “Memang dari segi umur (saya agak sekitar 70 tahun) dan tubuh zahirnya nampak macam letih atau lemah. Bahkan dari dulu lagi pun..”

Teringat saya, waktu sebelum PAS tawan Kelantan (1990) … saya dan kawan-kawan pernah bermalam bersama-sama Tok Guru di Pejabat Agung PAS di Jalan Pahang, KL. Beliau khabarnya waktu itu pun sudah terpaksa mandi air suam pagi hari kerana mengawal kesihatan. Beliau sentiasa tidur awal berbanding dengan kami yang muda-muda tidur lewat hinnga menjelang pagi.

Kadang-kadang waktu Tok Guru nak melangkah ke bilik air beberapa jam menjelang subuh, beliau secara diam-diam membantu tutup aurat antara kami yang bergelimpangan sedang nyenyak tidur tak sedar aurat terbuka atau kain terselak. Begitu, sifat rendah diri beliau. Saya sendiri pernah tersedar beberapa kali sebelum subuh melihat beliau sentiasa asyik bertahajjud dengan khusyuk…

Nampaknya, beliau yang dianggap lemah rupanya kekuatan rohaninya amat gagah melebihi kami. Walaupun kami berbadan tegap kuat dan ada yang macam ahli gusti. Kekuatan rohani rupanya mempengaruhi kekuatan jasmani beliau. Itu dulu, apalagi sekarang setelah jadi pemimpin tertinggi umat, telah teruji dengan pelbagai cubaan dan tribulasi. Semangatnya tidak letih bahkan lebih kuat dari yang muda-muda. Itu yang saya ingat kalau tidak salah.

Dalam politiknya pun begitu. Beliau begitu tegas dan keras dalam menegur pemimpin kerajaan pusat. Mula-mula perintah Kelantan, dalam kes Pergau. Kes yang melibatkan pengambilan tanah Kelantan oleh kerajaan Pusat. Kerajaan pimpinannya begitu tegas dengan Kerajaan Persekutuan, pertahankan hak rakyat Kelantan, sehingga menang total. Tidak seperti dalam kes perampasan royalti minyak di Terangganu, kerajaan Terengganu pimpinan PAS memilih jalan diplomasi lembut, yang akhirnya tinggal serabut.

Begitu juga dalam menegur dan memecat pimpinan dibawahnya. Beliau mampu merubah, menukar atau memecat, meletakkan yang ahli pada tempatnya, walaupun pimpinan itu pernah membantu menaikkan beliau atau menanam budi pada beliau. Hingga kawan dan lawan beliau sendiri yakin dan percaya pada keikhlasan (bertindak kerana amanah Allah) beliau. Yang disingkir pun pernah dinaikkan semula bila tiba masanya yang sesuai. Tiada dendam dan kesumat.

Begitu juga ketegasan dalam cara hidup sederhana beliau. Beliau mempelopori cara hidup sederhana dalam kerajaan pemerintahannya, mulai dengan dirinya, yang agak berbeza dengan pimpinan PAS memerintah Terengganu. Mungkin itulah salah satu sebab kerajaan pimpinannya boleh bertahan lama berbanding Terengganu.

Saya pernah dengar ceramah dalam keset pengajiannya, beliau memilih cara hidup sederhana seperti seorang sahabat Nabi SAW bernama Abu Zar orang Ghifar. Ciri-ciri hidup yang sama dengan Khalifah Islam ke II Umar bin Khattab atau pemimpin Bani Umaiyah Umar bin Abdul Aziz. Beliau tetap pertahankan prinsip gaya hidupnya sejak dari jadi guru agama hingga ke jadi Menteri Besar sampai sekarang.

Bukan macam setengah-setengah ustaz, sebelum dapat kuasa memuji cara hidup Umar Abdul Aziz, lepas dapat kuasa tiada lagi pujian-pujian seperti itu… Mungkin setelah ada kuasa dan harta, mereka pilih cara hidup Muawiyah bin Abu Sufian, pimpinan pertama dari Bani Umaiyah yang seakan-akan memilih gaya hidup mewah.

“Kalau begitu Tok Guru tak perlu diganti lagi le?” Kawan saya itu tanya lagi.

“Memang tak perlu diganti selagi tenaga beliau masih diperlukan, tetapi kena siapkan pengganti atau pelapis. Seperti sahabat-sahabat Nabi SAW memilih pengganti Nabi selepas kewafatan beliau. Iaitu memilih orang yang menjadi imam sembahyang mengganti beliau sewaktu beliau sedang gering, hampir wafat. Maknanya Nabi tidak pencen setelah tua. Begitu juga sahabat-sahabat beliau seperti Abu Bakar, Umar, Usman, Ali dan lain-lain yang mati dalam perjuangan. Tidak timbul soal kasihan. Yang patut kita kasihan ialah orang yang mati bukan dalam perjuangan menegakkan Islam. Na’auzubillah!”

“Jadi, tak boleh kesian ke?”

“Kalau kasihan kepada Tok Guru, cari orang suruh undi PAS!!”. Wallaku aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 18-01-08. KL.

Thursday, January 17, 2008

Saya Tegaskan, Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya...



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


EKORAN dari ucapan dan analisis saya dipertemuan ringkas penubuhan ‘Grop Universiti Hulu Klang’ di sebuah restoran Danau Kota pada 15 Januari lepas serta penyiaran berita tersebut di beberapa laman web tempatan, seorang bekas aktivis dan pimpinan PAS Tanjung Karang bertanya saya, “Betul ke mu berpendapat PAS dan Kerajaan Kelantan dalam bahaya sekarang?”

“Ya!” Saya tegaskan. Pandangan saya itu berasaskan kepada beberapa perkara.


Pertama. Pada pilihan raya umum ke 11, 21 Mac 2004 dulu, setelah berlaku petisyen, rundingan kerusi atau ‘silap mata’, realitinya PAS kekal berkuasa semula di Kelantan. Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak 4 petisyen BN dan 5 petisyen PAS yang pertikaikan keputusan pilihanraya umum itu. PAS kekal dengan 24 kerusi DUN manakala BN 21, di mana PAS lebih 3 kerusi DUN.

BN bagaimanapun mendapat satu lagi kerusi parlimen di Kelantan apabila mahkamah itu menerima petisyen calon parti itu Che Min Che Ahmad yang membantah kemenangan wakil PAS Kalthom Othman bagi kerusi parlimen Pasir Puteh. Tiba-tiba berlaku pula pilihan raya kecil Pengkalan Pasir kerana kematian ADUN PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober 2006, menyebabkan satu lagi kerusi PAS hanyut ke tangan BN dengan kelebihan 129 undi.

Itulah DUN Pengkalan Pasir yang telah dikuasai PAS sejak 15 tahun lalu. Jadi, PAS cuma lebih 1 kerusi DUN saja. Sehingga kini di 45 kerusi DUN Kelantan, iaitu BN 22 kerusi dan PAS 23 kerusi. Lebih menarik lagi, antara DUN-DUN yang PAS menang itu, salah satu darinya PAS cuma menang dengan 2 undi! Jadi, PAS perintah Kelantan dengn kelebihan 2 undi sahaja. Hingga ada yang menyindir mana ada negeri dalam dunia yang dapat memerintah dengan kelebihan 2 undi!? Itulah realiti bahayanya.


Kedua. Walaupun ADUN-ADUN PAS nampaknya tidak dapat dibeli, tetapi cubaan ‘membeli’ pertubuhan dan individu-individu penting di Kelantan mulai berjalan sekarang. Contohnya, pada awal Desember lepas, pengerusi BN Kelantan menyumbangkan RM155,000 kepada 31 pertubuhan Cina negeri itu yang bernaung di bawah Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan (GPTHK).

Begitu juga dikatakan ada cubaan ‘membeli’ individu-individu pemegang permit media massa di Kelantan. Jadi, tidak heran bila muncul laman-laman web yang memberi ruang untuk kempen-kempen burukkan pimpinan PAS Kelantan. Mereka ini sedang dalam proses me’mahal’kan diri mereka. Apalagi kalau hal ini berlaku di saat-saat akhir menjelang pilihan raya umum ke 12 ini, lebih parah dan bahaya lagi.


Ketiga: Sepatutnya media massa seperti ini perlu memainkan peranan masing-masing menyampaikan maklumat aktiviti-aktiviti kerajaan Kelantan kepada rakyat hingga ke akar umbi secara keseluruhan. Bukan kerajaan Kelantan tiada aktiviti kebajikan untuk rakyatnya. Jangan biarkan isu-isu itu diputarbelitkan oleh gergasi media kerajaan pusat, membuatkan kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan tetapi tidak mampu menyerang balas.

Sejauh mana peranan dan keberkesanan akhbar percuma kerajaan Kelantan untuk rakyatnya perlu dinilai semula. Mana lagi suara-suara nak wujudkan radio dan tv Kelantan, apakah tiada jalan keluar? Sejauh mana keberkesanan yang telah ada, contohnya web tv PAS dan lain-lain?


Keempat: Setakat ini masih belum tertonjol siapa pengganti Tok Guru Menteri Besar Kelantan. Persiapan perlu disegerakan. Komen-komen rakyat perlu dikira, kerana di tangan mereka ada kuasa mengundi.


Kelima: Masalah pengundi hantu dan undi pos. Perlu ada jalan selesai.


Itulah secara ringkas jawapan saya.


“Apakah bahayanya itu pada PAS atau rakyat Kelantan?” Dia bertanya. Beliau adalah cikgu Rashdi. Telah 13 tahun menjadi pendidik. Di zaman Mahathir beliau diberi katadua antara letak jawatan guru atau aktif dalam pembangkang. Beliau pilih aktif sepenuh masa dalam PAS di Selangor. Kini beliau pulang, lanjutkan perjuangannya di Kelantan. Walaupun begitu, beliau sentiasa berulang-alik Tanjung Karang – KL – Kelantan.

“Kerana PAS perjuangkan negara Islam dan Kelantan satu-satunya negeri yang diberi mandat memerintah walaupun kuasa penuhnya masih di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, maka tidak ada sebab rakyat perlu menukarnya. Kalau berlaku juga, bukan saja bahayanya pada rakyat dan kerajaan Kelantan, bahkan pada agama Islam itu sendiri!” Jelas saya lagi.

“Macam ni.. Kita kena buat sesuatu sebelum pilihan raya sebulan dua ini..” Katanya serius.
“Saya bercadang nak terbitkan buku. Kalau ada masa kita sama-sama kongsi pengalaman tulis buku mengenai hal ini! OK?”

“OK.. Beres! Tapi, apa tajuknya?”

“ ‘Pertahan Kelantan Dengan Darah’. Oleh Dr Hj Mohd Hasyim & Mohd Rashdi Ab Rahman. Coming soon… Tunggu!”


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 17-01-08. KL.
Ibnu Hasyim

Benarkah PAS & Kerajaan Kelantan Dalam Bahaya?





By TARMIZI MOHD JAM

PAS Kelantan kini berada diambang bahaya, jika kekuatan parti itu gagal digembeling sepenuhnya dalam masa terdekat bagi berdepan BN menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.Kekuatan PAS kini bukan sahaja tergugat, tetapi wibawa kerajaannya juga kian dipersoal umum setelah ia hanya bertenggek di atas kekuatan dua undi bagi menampung kekuasaan sebuah kerajaan negeri seperti yang wujud pada hari ini.

Demikian analisa penulis politik, Dr. Haji Mohd Hasyim dalam ucapannya di suatu pertemuan ringkas menubuhkan “Grop Universiti Hulu Klang” dekat sebuah restoran di Danau Kota, tidak jauh dari sini malam tadi.

Katanya, dengan kelebihan satu kerusi Dun dan kelebihan dua undi majoriti keseluruhannya, PAS Kelantan sebenarnya berada dalam zon bahaya tetapi kerja keras para pemimpin dan jentera pilihanrayanya amat diutamakan buat masa ini bagi mempastikan kerajaan negeri tidak terlepas ke tangan BN.Selain itu, ujar Dr. Mohd, pelbagai isu yang timbul samada dari dalam PAS mahupun dari Umno, telah mengundang pertikaian rakyat terhadap wibawa dan akauntibiliti kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz sekarang.

Jika ini gagal dibendung, beberapa isu yang mengaibkan PAS seperti dakwaan berlakunya rasuah dalam Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), pemberian konsensi balak, isu tanah dan lain-lain isu, dikhuatiri akan menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PAS dalam pilihan raya kali ini.Dr. Mohd yang juga seorang penganalisis politik tetap percaya, kegagalan PAS Kelantan menguar-uarkan pengganti Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar jika ditakdirkan berkuasa semula telah mengurangkan selera keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap PAS.

“Husam bukanlah tokoh yang boleh disifatkan sebagai Tok Guru Nik Aziz II. Dari segi latarbelakang, mungkin dia tidak disokong penuh oleh kawasan dalam Kelantan,” tegas beliau sambil menyifatkan ketokohan Tok Guru Nik Aziz telah menyatukan rakyat Kelantan untuk terus bernaung di bawah PAS sejak 1990 lagi.

Sehingga kini, terdapat tiga nama yang disebut-sebut sebagai pengganti Tok Guru Nik Abdul Aziz jika Mursyidul Am PAS itu berundur. Mereka ialah Datuk Abdullah Yaakob, Timbalan Menteri Besar sekarang; Datuk Paduka Husam Musa, Exco Kanan Kerajaan Kelantan dan Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails