Saturday, January 26, 2008

Menternak: Tak Perlu Beri Makan, Dia Beri Penternak Makan...





CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

"NAK tahu apa ternakan yang boleh kita pelihara, tak perlu kita beri dia makan, tetapi dia cari untuk kita dapat makan?” Saya tanya dalam satu majlis ceramah ekonomi kepada guru-guru pesantren (pusat pengajian Islam cara tradisional, kalau di Malaysia disebut ‘pondok’) di Pekan Kisaran, dalam kawasan Medan, Indonesia, kira-kira 10 tahun lalu.

Soalan ini saya lontarkan setelah berceramah kira-kira setengah jam mengenai pembangunan ekonomi di pesantren tersebut.

"Ha. Bagus tu Pak! Memang kami perlu tahu sangat. Pesantren kami pun butuhkan (perlukan) wang untuk biayai pengajian.” Jawab salah seorang dari mereka.

“Pesantren kami memiliki 20 hektar tanah perkebunan nyiur diselangi tanaman kopi yang kini sedang menampung pembiayaan pembelanjaran. Apa pendapat bapak yang boleh kami buat untuk tambah lagi pendapatan?”

"Ooo…” Saya jelaskan…


"Pertama… Jika ustaz naik kereta dari Kisaran ini menuju ke kota Medan, kira-kira beberapa kilometer di sebelah kiri jalan, ustaz akan jumpa suatu papan tanda tertulis di situ ‘bibit-bibit lebah untuk dijual’.

Di situlah ustaz boleh rundingkan untuk dapatkan bibit-bibit atau benih-benih, cara-cara menternak dan harga permulaan modal. Saya telah pun ke situ semalam, saya lihat tidak banyak sangat modalnya, boleh diternak secara sampingan di ladang nyiur pesantren dan hasilnya pun boleh tahan…

Untuk penerangan lanjut ustaz boleh beli buku cara menternak lebah, antara ratusan buku-buku pertanian di Pustaka Gramedia, tingkat 2, Medan (kalau tak salah ingatan saya).

Itulah antara ternakan yang kita tidak perlu beri dia makan, dia cari sendiri, tetapi madunya kita ambil sebagai sumber pendapatan kita.”

"Oo… Bapak lebih tahu dari kami anak tempatan sini!” Sampuk salah seorang dari mereka memuji.

"Kalau saya duduk sini macam ustaz pun, boleh jadi saya tak tahu juga!” Gurauan saya cuba mencuit hati mereka.


"Kedua… Telah saya terangkan di penerangan awal tadi bagaimana politik di Asia Barat, ulama-ulama Islam termasuk Syeikh Aminul Husaini waktu itu menfatwakan ‘haram’ menjual tanah pada orang Yahudi. Kerana orang Yahudi terus menindas umat Islam, bahkan kini mereka terus-menerus merampas tanah-tanah orang Islam dengan kekerasan. Rupanya setelah saya tinjau beberapa hari di sini, ‘perampasan tanah’ seperti ini juga berlaku terhadap orang Islam di sekitar pekan Kisaran di sini. Orang-orang Islam mula dihambat keluar dari pekan ini…”

Mereka nampak terkejut. “Bagaimana dan apanya?? Kami masih belum nampak…”

Teringat saya beberapa hari sebelum itu, saya naik beca berhampiran pasar di Kisaran kira-kira masa lepas waktu asar.

Terdengar bunyi bising dengungan kumpulan-kumpulan burung masuk sarang nak tidur. Saya lihat tak banyak pun, berbanding dengan bunyinya yang kuat macam banyak.

"Maaf Pak! Itu bukan bunyi burung langsung (terus dari burung)… Itu bunyi burung yang di 'tape’kan. Burung pun bisa ditipu Pak. Bunyi rakaman burung ramai-ramai itu, untuk panggil kawan-kawannya tidur di sarang rumah buatan manusia...” Jelas tukang beca yang membawa saya itu.

Rumah itu berbentuk rumah kedai batu 4 tingkat. Terdapat lobang-lobang untuk burung masuk tidur. Suatu yang agak ganjil, di pekan agak pendalaman tetapi terdapat banyak bangunan tinggi 4 tingkat. Rupanya, itulah rumah perusahaan sarang burung.

"Burung apa? Apa hasil dari burung itu?” Saya tanya.

"Burung walet (burung layang-layang). Dia buat sarang dengan campuran air liurnya.. Sarangnya dijual terlalu mahal, dieksport keluar negara. Buat ubat kononnya… ubat kuat tenaga batin, macam tongkat ali di Malaysia. Dulu ada hotel di stesyen keretapi Kisaran. Tetapi kerana banyak si walet buat sarang, dan harga sarang walet lebih lumayan dari bisnes hotel, maka hotel itupun ditutup. Itu sebab bapak lihat banyak sarang-sarang walet bertaburan di bekas bangunan yang masih bertulis hotel itu. ”

Kerana hal-hal begini, saya mula membuat tinjauan mengenainya. Hampir semua pengusaha-pengusaha walet adalah orang bukan Islam, yakni orang-orang Cina dan orang Melayu Indonesia yang beragama Kristian.

Kedudukan pekan Kisaran yang strategik untuk ternakan tersebut, menyebabkan tanah-tanah di situ menjadi mahal berkali-kali ganda. Akhirnya banyak tanah-tanah orang Islam terjual dan terlepas ke tangan orang bukan Islam.

Saya meneruskan ucapan saya kepada ustaz-ustaz dari pesantren itu, “Perampasan tanah di sini berlaku tidak dengan kekerasan, tetapi melalui jualbeli secara rela kepada orang bukan Islam.

Mereka membeli dengan harga yang mahal untuk ternakan burung walet. Sehingga orang Islam menjualnya dan terpaksa berpindah dari sini ke pendalaman lagi. Bank-bank pula sanggup memberi pinjaman kepada mereka.

Di Medan contohnya, ada syarikat-syarikat pembinaan menjual bangunan-bangunan yang dibuat khas untuk ternak walet dan boleh dibeli melalui pinjaman bank.

Kerana perusahaan ini amat menguntungkan. Apa tidaknya? Bukan penternak yang memberi makan padanya.. burung itu sendiri yang keluar pagi dan pulang petang dengan perut penuh berisi mencari makan di sungai dan laut, tapi akhirnya memberi pendapatan lumayan kepada penternak melalui sarangnya. Maka berlakulah perampasan tanah besar-besaran ke atas orang Islam.”

"Nampaknya berternak ini juga sebahagian dari jihad. Kita mulakan dengan ternak lebah dulu, mengikut kemampuan kita.” Cadangan salah seorang dari mereka. Masing-masing pun bersetuju.


Beberapa bulan selepas itu saya datang lagi. Apa yang mereka kata, rupanya mereka kotakan. Selepas mereka bawa saya melawat tempat-tempat ternakan lebah mereka, “Nah bapak! Inilah hasil diskusi kita dulu, nanti waktu mahu pulang bawalah madu-madu (berisi dalam botol) ini sebagai ole ole dari Kisaran.” Kata salah seorang dari mereka.

“Oh ya, lepas ini kalau ada kesempatan, kita bincang pula pasal pasaran. Kalau boleh kita nak tembusi pasaran Malaysia!”.

“Al-hamdulillah!” Saya jawab..

Catatan Santai:
http://www.ibnuhasyim.blogspot.com/
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
26-01-08. KL

Friday, January 25, 2008

Datuk A.Samad Said Sebenarnya Mula Menentang Kerajaan...

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

DATUK A. Samad Said, seorang Sasterawan Negara yang tidak mahu lagi guna gelaran itu, kini mengambil sikap ‘tidak akan menerima sebarang jemputan ceramah atau program berkaitan Kompenan Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas)’ kecuali atas nama peribadi.

Penentangan ini terpaksa dilakukan ‘…demi masa depan generasi sastera dan dunia kreatif di negara ini yang kelihatan semakin terpinggir.’

Difahamkan, baru-baru ini Kementerian Pelajaran telah mengumumkan untuk menukarkan teks sastera sekolah dengan novel-novel remaja popular seperti karya Ahadiat Akashah, Zaid Akhtar dan Sharifah Abu Salem.

Antara alasan yang dikemukakan ialah sebahagian teks yang sedia ada ‘terlalu berat dan tidak sesuai’ di peringkat pelajar sekolah menengah. Sebaliknya karya-karya popular yang banyak beredar di pasaran tempatan hari ini dapat mengurangkan 'tekanan dan kebosanan’ pelajar.

Beliau yang lebih 4 dekat bergelumang dengan dunia kreatif menyebutkan, pengarang mesti berani mempertahankan hak mereka… Seorang pengarang tidak hanya tahu menulis, tetapi juga berani bersuara tentang masa depan bangsa dan negara, samada melalui karya kreatif atau sebaliknya.

Beliau meluahkan perkara tersebut di majlis bacaan puisi dan naskhah Kata Suara di Galeri RA Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau seolah-olah memberi amaran, pemilihan ‘karya-karya picisan’ sebagai sesuatu yang cukup berbahaya kepada pembentukan generasi baru. Contohnya, seperti penggunaan bahasa Melayu ‘bersifat rojak’ (diselang seli bahasa Inggeris) dan bahasa pasar. Begitu juga mengenai 'mesej remaja’ dalam karya-karya tersebut boleh membawa kepada impak negatif.

Ada yang menyebutkan beliau cuma ‘merajuk’ saja. Tetapi pada saya tidak. Apabila beliau mula melihat mesej remaja yang boleh membawa kepada kesan-kesan negative, maknanya beliau mula memperluaskan perjuangannya kepada membela kebenaran dan menentang kemungkaran.

Bererti beliau akan menolak dasar negatif dan mungkar seperti yang dibawa oleh Kementerian Pendidikan dan kerajaan BN hari ini.

Bolehkah jadi begitu? Kalau kepada Prof Shahnon Ahmad boleh, kenapa kepada orang lain tidak. Akhirnya A.Samad Said menutup majlis tersebut dengan bacaan puisi ‘Suara Dari Dinding Madrasah’ yang mengangkat tema mengenai isu sekolah-sekolah agama di negara ini.

Wabillahi taufik wal hidayah, assalamu ‘alaikum!


Catatan Santai: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 24-01-08. KL

Thursday, January 24, 2008

Mengapa PAS Mampu Bertahan Di DUN Permatang Pasir Pulau Pinang?




CATATAN SANTAI
IBNU HASYIM


DALAM hujan lebat menyebabkan banjir di Seberang Perai… sebuah rumah hampir tenggelam. Penghuninya keluarga Melayu, sedang menunggu-menunggu orang datang nak selamatkan mereka dengan bot atau sampan. Mereka dah tak boleh buatkan apa-apa lagi.

Tiba-tiba sebuah bot datang, seseorang keluar hendak membantu. Tetapi ketua keluarga rumah itu tak mahu dibantu. Dia terpinga-pinga. Malu ada. Segan pun ada. Kerana dia adalah seorang Jawatankuasa Kemajuan Kampung di situ.

Dia amat membenci pembangkang, lebih-lebih lagi PAS. Rupanya dalam bot itu dia nampak seorang pemimpin PAS, ADUN Permatang Pasir, Parlimen Permatang Pauh. Iaitu YB Ustaz Hamdan Abdul Rahman. Itu sebab dia rasa malu ditolong.

“Sudahlah! Ketepikan sementara soal politik. Yang penting nyawa kita sekeluargga perlu diselamatkan, insya Allah. Mai naik sini…” Kata YB Hamdan mengajak. Akhirnya, dia naik juga.

YB Hamdan sentiasa turun bersama rakyat, menangani masalah rakyat. Buat kebajikan, menepati Negara Kebajikan seperti dalam manifesto PAS.

Khabarnya, pagi-pagi lepas sembahyang subuh, beliau menunggang basikal mengunjungi rakyat marhein. Saya pernah berkunjung ke pejabat beliau, melihat beliau mengagihkan puluhan ribu RM wang derma atau zakat kepada golongan miskin setiap tahun.

Mungkin itulah antara sebab beliau dapat bertahan beberapa penggal di DUN kawasannya.

Dalam pembahasan Rang Undang-Undang Pembekalan 2008 cadangan YAB Ketua Menteri di DUN Pulau Pinang, nak luluskan bajet pembelanjaan negeri berjumlah RM299,329,360.00, beliau turut membangkitkan masalah alam sekitar, antara banyak masalah-masalah yang dikemukakan.

Menurut beliau, masalah pencemaran sungai menjadi satu punca akibatkan banjir. Berlaku banjir kilat bila hujan melebihi 50 mililiter sejam kerana sistem perparitan dan longkang sedia ada tidak mampu menampung.

Menurut beliau lagi, dalam tahun itu (ucapan beliau di dewan pada 19.11.2007) dua kejadian banjir kilat berlaku didalam bulan April. Dalam kejadian terbaru bulan lalu (Oktober 07) pula lebih 800 penduduk di Seberang Perai selatan dan Seberang Perai Tengah termasuk kawasan saya di Permatang Rawa menghadapi risiko banjir, apabila rumah mereka dinaiki air lebih satu meter.

Beliau mencadangkan di dewan itu, antara langkah-langkah perlu diambil ialah…

Pertama: Penguakuatkuasa oleh Jabatan Alam Sekitar keatas punca-punca pencemaran yang telah dikenal pasti.

Kedua: Mempergiatkan lagi aktiviti kesedaran awam bagi mencegah pencemaran sungai melalui perbagai program dibawah Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran.

Ketiga: Kalau perlu, wujudkan undang-undang sungai atau River Law peringkat kerajaan negeri bagi memantau atau mengenal pasti cara dan kaedah terbaik menjaga sungai-sungai kita dari tercemar.

Kerja-kerja YB Hamdan sebegini, amat disenangi oleh rakyat di kawasannya atau di luar kawasannya. Sesuai dengan Negara Kebajikan yang diperjuangkan oleh PAS.

Sehingga berkatalah sahabat kita sekeluarga yang telah terselamat dari banjir itu, sewaktu di dalam bot bersama YB PAS, “Yang ditunggu-tunggu tak tiba (mungkin rakan BNnya), bayang pun tak nampak! Dalam PRU akan datang, aku dan keluarga tetap akan mengundi PAS atau BA!!”

Lagi, sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini.


Lihat artikal-artikal mengenai Pulau Pinang dalam laman web penulis:http://www.ibnuhasyim.com
1.. Pulau Pinang: Pi Mai Pi Mai, Tang Tu!
2.. Pulau Pinang: Balik Pulau Bayan Lepas …
3.. Pulau Pinang: Sekuntum Bunga Seroja..


Catatan Santai: http://www.ibnuhasyim.com/
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
24-01-08. KL

Wednesday, January 23, 2008

Penyanyi Aishah Lebih Cerdik Dari Menteri Penerangan...




CATATAN SANTAI:
IBNU HASYIM


ADA akhbar menyebutkan ‘Aishah Tak Mahu Anak Jadi Penyanyi’. Aishah yang akan membuat persembahannya dalam Anugerah Juara Lagu ke 22 (AJL22) pada 27 Januari ini, kali terakhir beraksi dalam persembahan seperti itu ialah pada tahun 1995 untuk lagu ‘Cinta Beralih Arah’.

Menurutnya yang sudah berpuluh tahun berpengalaman jadi penyanyi mengaku, ‘kalau boleh dia tak mahu dua anaknya iaitu Azhad Ahlami, 8, dan Armand Azahari,14, menjadi artis’.

Walaupun begitu, dia yang sudah kelihatan memakai tudung kepala mengatakan ‘setakat ini kedua-dua anaknya itu tidak menunjukkan bakat dalam bidang seni. Apa yang dia mahu mereka belajar dan berjaya terlebih dahulu dalam pelajaran’.

Apa yang penting, Aishah pandai meletakkan kepentingan pelajaran di tempat teratas berbanding dengan karyanya sebagai penghibur, yang seolah-olah tidak terhibur lagi dengan bidang tersebut.

Bukan macam Menteri Penerangan, memaksa penonton-penonton tv dengan program-program hiburan yang sarat berbanding dengan pelajaran dan pendidikan. Apalagi kalau dinilai dari sudut agama Islam tentang halal haramnya. Masya Allah.

Penyanyi Sharifah Aini pun pandai memilih pelajaran untuk anaknya yang dikatakan belajar di Saudi Arabia. Nak buat macam mana, Menteri Penerangan cuma melaksanakan dasar kerajaan Barisan Nasional dan UMNO yang tidak Islamik. Sebab itulah ada orang sebut UMNO saja pilih mantan ‘mamak cendol’ jadi menterinya.

Itulah, sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Wallahu aklam.

Catatan Santai: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 23-01-08. KL

Kerdipan Sebelah Mata Pelacur...


CATATAN PERJALANAN
IBNU HASYIM


SATUN atau Setoi, adalah sebuah bandar di Selatan Thai, bersempadan dengan negeri Perlis. Sebuah pelabuhan, yang kadang-kadang orang Malaysia pergi ke sana malalui jalan laut dari Kuala Perlis, atau Langkawi, walaupun ada sempadan daratnya di Wang Kelian, Padang Besar dan lain-lain.

Majoriti penghuni di wilayah selatan ini ialah orang Islam berbangsa Melayu. Bahasa pertuturan harian mereka adalah bahasa Melayu dan Thai.

Dari pekan inilah aku menaiki bas untuk ke Hatyai. Bas biasa sahaja. Aku melangkah naik mengambil tempat duduk. Tempat duduk untuk dua orang, tapi aku cuma baru duduk seorang.

“Di sini masih kosong?” Seorang wanita muda bertanya berbisik kepadaku. Jarinya menunjuk ke tempat yang kosong di sebelahku itu.

Aku mengangguk.

Dia terus duduk di sebelahku itu. Wajahnya agak muda dan cantik juga. “Nak ke mana bang?” Sapanya.

“Pattani.” Jawabku. Aku lihat ramai lagi penumpang sedang naik bas ini, dan memilih tempat yang masih banyak kosong lagi. Tapi fasal apa dia pilih duduk di sebelahku?

“Adik juga mahu ke Pattani…” Dia memulakan perbualan, walaupun aku tak tanya. “…kerana mak adik sakit, adik terpaksa pulang segera walaupun tergesa-gesa…”

Baru aku dapat menangkap maksudnya. Pasti dia akan minta wang, kerana orang luar yang datang ke sini biasanya bawa banyak wang. Maklumlah biasanya kota Hatyai terkenal dengan kota pelacuran.

Dia kenal aku orang luar. Terkenal pelancung-pelancung datang ke Hatyai biasanya kerana pelacuran. “Tapi… adik tak cukup duit.” Sambungnya dengan suara lembut. Terputus-putus, bagaikan dalam kesedihan.

Namun aku masih membisu.

“Adik orang susah. Perlu duit. Adik terpaksa buat apa saja untuk membantu mak adik yang sakit. Bagaimana kalau kita tidur bersama malam ni? Tak salah bantu adik kan??”

Berderau darahku bila dengar cetusan kata-katanya. Aku tidak mahu terperangkap. Bukan pertama kali aku hadapi ini dalam pengembaraan dan perjalananku. Kenanganku mula melangkau batasan negeri.

Teringat aku semasa mula-mula sampai di Manila beberapa tahun lalu. Dalam teksi dari airport menuju ke hotel, aku sudah diiklan dengan wanita-wanita genit Filipina dikatakan amat menarik dan memikat pelancung. Sampai di hotel bertalu-talu serangan pertanyaan bagaikan memaksaku memiliki teman tidur.

“Tidak ada lelaki yang tidak mahu perempuan di sini. Sini syurga lelaki asing di Asia. Kecualilah kalau lelaki itu berpenyakit atau tak ada wang!!” Kata wanita penjaga hotel itu macam megejek dan tidak percaya bila aku beritahu, aku tidak mahu. Dia beri kunci bilik dan kunci kotak kecil keselamatan.

“Nah! Lihat ini…” Sambil menunjukkan satu ruang kecil terletak di bahagian pendaftaran.

“Tempat simpan barang-barang penting seperti passport dan wang supaya selamat... kerana kadang-kadang ada juga wanita nakal yang suka curi wang pelanggan. Juga nak elakkan tuan kehabisan wang tunai sebab terlanjur berseronok-seronok.” Katanya sambil tertawa.

Sewaktu melintas ke bilik penginapan aku terserempak gambar bogel besar sama tinggi denganku terpampang di dinding, “Gambar siapa ini??”

“Gambar seorang artis Filipina…” Jawabnya dengan megah. Disebut namanya, tapi aku tak ingat.

Petang itu, aku turun dari hotel, merayau-rayau mencari kedai makan orang Islam. Aku terserempak sebatang jalan yang dipenuhi kelab-kelab hiburan. Dari jauh ternampak wanita-wanita muda berpakaian bikini.

Hanya tutup ‘perkakas-perkakas dalam’ tertentu saja dengan pakaian berjurai-jurai macam daun kelapa, yang orang kampong buat ketupat. Mereka berhimpun depan pintu masuk menunggu pelanggan.

Baru pelanggan mendekat, mereka datang berkerumun tarik tangan pelanggan masuk ke kelab masing-masing. Ramai pelanggan dari negara-negara Barat dan Arab.

Macam juga di Belakang Mati Chow Kit Road, belakang Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur… mereka juga berebut-rebut menarik pelanggan. Maknyak-maknyah dengan pakaiannya menjolok mata dan menjijikkan tetapi mampu menarik pelanggan.

Bahkan mampu bersaing bersama pelacur-pelacur berbagai gred. Ada pelacur murahan gred tua! Macam-macam ada! Begitukah negara Islam seperti yang disebutkan oleh pemimpin-pemimpin Malaysia?? Buat malu saja. Kalau negara Thai dan Filipina kita faham le...

“Bagaimana?? Boleh tidur dengan adik malam ini?” Pertanyaan itu menyentak dan memutuskan lamunan yang membuat aku lupa pada wanita disebelahku.

Aku jadi serba salah. Aku cuba jelaskan dengan baik. “Begini adikku… Bukan itu tujuanku kemari. Terus terang aku katakan, aku tak bawa banyak duit.” Aku cuba gambarkan keikhlasan yang sungguh-sungguh. “Lebih-lebih lagi aku seorang Islam. Islam sungguh-sungguh. Tak mahu buat dosa besar itu… Itulah yang sebenarnya!”

Dia nampak tersinggung. Kecewa dengan tembakan kata-kataku. “Terima kasih saja le, bang! Tak pernah adik dengar jawapan yang macam ni!!” Dengan tidak buang masa dia terus bangun, mencari tempat duduk yang lain… Memasang perangkap baru yang lain pula.

Catatan Perjalanan: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 01-01-2008. KL



Kerdipan Sebelah Mata Pelacur… II


“LEBIH-LEBIH lagi aku seorang Islam. Islam sungguh-sungguh. Tak mahu buat dosa besar itu…” Kata-kata yang hampir seperti inilah juga membuat aku berkenalan dengan seorang pemuda, pemandu motosikal tambang di pekan Sungai Kolok. Sebuah pekan di Thai sempadan dengan Rantau Panjang Kelantan.

“Abang nak perempuan ke?” Kata muqaddimahnya untuk mencari pelanggan. Kerjanya, disamping ambil upah bawa penumpang, juga dapat komisyen bila ada pelanggan yang nak perempuan, dari taukeh-taukeh niaga perempuan atau hotel-hotel.

“Perempuan di sini muda-muda belaka, belasan tahun atau lebih sikit. Tak macam balik sana Malaysia, mahal dan tua-tua pula. Puluh-puluh RM saja sehari semalam, tak masuk sewa hotel. Boleh guna sini saja atau bawa keluar sebagai teman perjalanan.” Aku jumpa dia depan sebuah hotel di pekan itu.

Tiba-tiba sebuah jeep Land Rover baru berhenti di depan kami. Dalamnya dipenuhi dengan wanita-wanita muda. Bagaikan rombongan penuntut-penuntut sekolah menengah sedang bercuti hendak pergi berkelah di pantai. Mereka membimbit dan menggalas seorang satu beg pakaian. “Siapa mereka ni, nak ke mana pula??”

“Itulah perempuan cari makan, macam yang aku sebut tadi. Mereka dipanggil oleh taukeh hotel bila ada pelanggan nak lihat atau nak pilih mereka. Tu sebab mereka bawa beg pakaian, bila terpilih mereka terus ikut pelanggan, tak perlu balik ke tempat taukeh, ambil beg pakaian lagi.” Jelasnya lagi. “Eh. Abang tak nak perempuan ke?”

“Tidak. Aku orang Islam. Aku tidak mahu buat kerja dosa besar itu…” Kataku tegas. “Tapi kalau sekadar jalan-jalan melawat pekan Sungai Kolok ni, boleh le.” Aku tidak mahu kecewakannya.

“Moh!” Dia bersetuju. Aku membonceng di belakang motosikalnya berkeliling pekan. Melintasi kedai-kedai dan lorong. Ada kedai papan dan batu. Melintasi beberapa masjid, taman permainan dan lain-lain. Akhirnyanya kami berhenti disebuah deretan kedai-kedai lama berdinding papan yang sudah lusuh warnanya. “Nak masuk?” Dia mempelawa.

Aku pun turun motosikal terus mengikutnya, masuk dalam kedai itu. Terkejut aku, bila melihat dalam kedai itu berhias cantik. Lampu-lampu neon berwarna-warni, bagaikan dalam kelab-kelab malam di bandar-bandar besar.

Semasa melangkah masuk loceng isyarat berbunyi, tanda ada pelanggan datang. Wanita-wanita pelacur yang sedang berehat, berbual dan tidur-tidur ayam pun dikejutkan. Mereka bangun dan duduk berbaris dalam cermin. Bagaikan patung permainan yang dipamerkan dalam almari.

“Tuan mahu yang mana? Boleh pilih!” Kata penjaganya kepadaku.

Aku pura-pura merenung dan menggelengkan kepala, seolah-olah dagangannya tidak baik.

“Kenapa?” Tanya penjaga itu.

“Mereka tahu cakap Melayu?” Aku bertanya.

“Tidak!” Jawabnya.

“Cakap Inggeris??” Aku bertanya lagi mencari alasan untuk tidak mahu. Penjaga itu bertanya kepada mereka dalam bahasa Thai, ada dua dari wanita-wanita itu mengangkat tangan. Berdebar juga dadaku takut ada yang tahu bahasa Inggeris, jadi aku terpaksa mencari alasan lain pula untuk tidak melanggani mereka…

Tapi katanya, “Yang itu boleh cakap Cina bukan cakap Inggeris.” Selamat aku. Aku pura-pura merungut, akhirnya keluar dari situ.

Sambil berjalan, kawanku pemandu motosikal sewa itu menjelaskan, “Sebenarnya puak-puak betina cari makan ni, bukan nak sangat kerja tu, mereka terkurung dalam cermin siang malam, tak boleh keluar.

Lainlah kalau ada pelanggan yang bawa keluar. Barulah bebas sikit, macam burung keluar dari sangkar. Barulah boleh lihat dunia bebas. Kadang-kadang ada yang cuba lari, tapi ditangkap semula oleh taukehnya.”

“Tapi, bagaimana boleh sampai sini kalau tidak dengan rela sendiri?” Aku minta penjelasan.

Dia terus bercerita dengan rasa terharu… “Pada suatu malam, aku terdengar suara ratap tangis dengan hibanya dari satu keluarga. Mereka datang dari jauh untuk menyerahkan kedua anak gadisnya menjadi pelacur di sini.

Mereka terpaksa serah untuk dapatkan pinjaman kira-kira RM10,000 dari taukeh pelacur itu. Sebagai bayar baliknya, 1/3 dari hasil pendapatan kerja anak gadisnya itu akan dipotong. 2/3 lagi, boleh guna sendiri atau bantu adik beradik di kampong.

Mereka bukan nak kerja macam ni, tetapi terpaksa! Kerana terlalu miskin dan sempit hidup. Kebanyakannya, didatangkan dari utara Bangkok seperti Chiang Mai, Chiang Rai dan lain-lain.”

“Berapa lamakah baru habis bayar hutang?”

“Bergantung pada perniagaan. Kalau maju, cepat le habis. Biasanya 4 atau 5 tahun. Lepas tu kalau nak sambung lagi pun boleh, jika masih ia muda, cantik dan kuat kerja. Tapi kalau dah layu, lembek… tak lakulah!” Dia terus bercerita, “Ada juga taukeh-taukeh perniagaan yang pergi menjelajah kampung-kampung utara Thai, janjikan kerja pendapatan lumayan seperti ini dan beri pinjam kepada mak bapa mereka. Di sana barulah boleh pilih yang cantik-cantik belaka.”

Tiba-tiba berselisih dengan kami di jalan raya beberapa bas melintas laju. Di dalamnya dipenuhi wanita muda. “Ke mana mereka dibawa pergi?” Aku tanya.

“Seminggu 2 kali mereka dibawa ke Hatyai untuk dirawat dari penyakit. Memang tempat macam ni mudah dijangkiti penyakit.

Kalau tidak dikawal ia boleh membimbang dan menakutkan pelancung luar untuk datang. Tiada pelancung luar bererti boleh menjejaskan pendapatan ekonomi negara.” Jelasnya macam pakar ekonomi.

Memang kerana ekonomi manusia boleh terjerumus ke lembah hina. Sanggup menjual anak kandungnya sendiri. Mana pejuang-pejuang hak asasi dan pembebasan wanita yang kononnya berjuang untuk kesejahteraan manusia-manusia seluruh dunia?

Di situlah perlunya negara yang berpaksikan agama dan akhlak, mampu memberikan kehidupan kepada rohani dan jasmani insan, sesuai dengan naluri dan tabii insan itu sendiri.

Tanpa disedari, bas yang ku naiki dari Satun tadi sudah sampai ke Hatyai. Penumpang-penumpang sudah mulai turun. Wanita yang tadinya duduk di sebelahku tapi berpindah ke tempat duduk lain pun turun juga. Turun bersama seorang lelaki pelancung sambil berbual mesra. Dia menoleh kepadaku, aku bertanya, “Nak ke mana pula?”

“Ke mana lagi…” Jawabnya, sambil mengerdip sebelah matanya padaku tanpa disedari oleh teman pelancung yang baru dikenali itu, “…ke hotel le!!”

“Selamat jalan!” Ucapku, kerana aku sudah terlepas dari perangkapnya yang sudah membidas mengenai orang lain. Dia sudah dapat apa yang dia mahu, malang sungguh… dan aku sudah selamat darinya. Al-hamdulillah!


Catatan Perjalanan: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 01-01-2008. KL

Tuesday, January 22, 2008

PRU Ke 12: Tukar Presiden Jika PAS Kalah...




CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

“KALAU menang, PAS janjikan sebuah ‘Negara Kebajikan’. Antara kebajikannya, ialah kurangkan harga petrol sekurang-kurangnya 30 sen (seliter) dari harga biasa (Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia mendedahkan di mana kenaikan harga minyak sudah tak dapat ditahan lagi dan kerajaan terpaksa menanggung subsidi hampir RM35bilion)… dan PAS nak hapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang menzalimi rakyat.”

Kata seseorang, sambil di tangannya memegang akhbar popular lidah kerajaan Malaysia. Berita ini dirojok daripada ucapan Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, di majlis ‘Ceramah Perdana Bersama Presiden PAS’ di Madrasah As-Saadah Kuantan pada 20 Januari, malam tadi seperti yang siarkan.

Sambungnya lagi, “PAS juga tawarkan sistem pembelanjaran percuma (tanpa apa-apa bayaran tambahan di sekolah-sekolah rendah dan menengah) bagi semua aliran, dan juga memastikan supaya khidmat kesihatan di hospital kerajaan tetap masih percuma. (Mengikut laporan, kerajaan BN sedang merancang untuk menswastakan semua hospital kerajaan pada Ogos ini). Begitu juga dalam masalah menangani rakyat miskin, contohnya warga emas akan diberi oleh PAS elaun sara hidup tiap bulan, tidak mengira kaum.”

“Mengapa PAS tak buat sejak perintah Kelantan dan Terengganu dulu? Sekarang dah tersepit dekat pilihan raya umun baru janji macam-macam!” Temannya membidas.

“Manifesto BN pun macam tu juga, mengapa masih janji-janji lagi sedangkan dia sudah pegang kerajaan? Kuasa di tangan mereka?! Yang mereka tak berani janji ialah penurunan harga minyak, pasal politik mereka cuma politik tahi minyak!!” Dia jawab balik. “PAS walaupun pegang negeri, tetapi kuasa penuh sebenarnya masih dalam kuasa Kerajaan Persekutuan, yakni kuasa di tangan mereka. Contohnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan masih dalam kuasa penuh Kerajaan Persekutuan, bagaimana kerajaan negeri nak beri kepada rakyat percuma kalau Kerajaan Persekutuan tak setuju atau sekat bantuan?? Walaupun begitu PAS masih banyak buat kebajikan kepada rakyat sekadar kuasa terhad yang masih ada padanya...”

“PAS atau BA (Barisan Alternatif) boleh menang ke?”

“Eh brother, you baca ni…” Dia macam naik berang sambil menunjukkan muka sama akhbar tersebut. “PAS yakin dapat pertahan Kelantan dan rampas semula Terengganu. Tawan Kedah dan beberapa kerusi ‘panas’ di Pulau Pinang dan Selangor. Akan berlaku kejutan lebih dari pilihanraya 1999 dan 2004!! Begitu kata Presiden PAS.”

“Kalau menang bagus le. Tapi ingat jangan ulangi kesilapan yang lepas-lepas. Menyindir pedih kawan-kawan se pembangkang, seperti menyebutkan pemimpin yang ‘expired date’ dan sebagainya lagi. Penasihat-penasihat pemimpin PAS perlu berhati-hati betul. Cari penasihat yang pandai sikit.” Sindir temannya lagi. “Tapi kalau tak menang macam mana, berani presiden PAS letak jawatan atau ditukar presidennya??”

“Maaf brother! PAS bukan macam BN. Saya ada hal, cukup setakat ini, lain kali kita bincang lagi. Untuk dapat penjelasan lanjut, sila baca akhbar ‘Harakah’. Itupun permitnya 2 x sebulan, lambang keganasan BN yang merampas hak bersuara rakyat!”

Itulah, sembang-sembang PRU 12. Wallahu aklam.

Catatan Santai: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 21-01-08. KL

Monday, January 21, 2008

Ustas Hadi Perlu Belajar Bahasa Cina.




CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

SYABAS dan tahniah kepada Saudara Herman Samsudeen, Ketua Pasukan Kerja Penerangan DPP Wilayah Persekutuan, kerana berjaya melahirkan laman web PAS berbahasa Cina dan Inggeris. Menjadikan 3 bahasa, iaitu Bahasa Malaysia :
http://dppwp.wordpress.com/, Bahasa Inggeris : http://dppwpe.wordpress.com/ dan Bahasa Cina : http://dppwpc.wordpress.com/. Selangkah lagi kedepan.

Mengenai bahasa, saya tertarik dengan pandangan seorang pengurus dan pemilik beberapa hotel termasuk Hotel Adamson Hotel KL Ir Hj Zamani Adam dalam pertemuan baru-baru ini. Menurutnya, antara kelebihan orang bukan Melayu dengan orang Melayu di Malaysia ini ialah orang bukan Melayu lebih bahasa. Biasanya masuk saja mereka ke sekolah jenis kebangsaan di Malaysia, mereka sudah tahu 3 bahasa iaitu Inggeris, Cina dan Melayu.

Dengan itu, awal-awal lagi orang Melayu sudah kalah, kecuali mereka yang mengambil dua aliran, mereka lebih bahasa Arab dalam aliran agama. Untuk bisnes, kelebihan bahasa Cina buat masa ini memberi ruang dan peluang besar lagi, bagi orang Cina mendahului orang Melayu. Menyebabkan orang Melayu rata-rata terpaksa mengikut di belakang orang Cina dalam bisnes, walaupun pada asalnya pihak kerajaan nak suruh orang Cina amal bahasa Melayu atau ikut orang Melayu melalui sekolah jenis kebangsaan.

Dari sudut politik dan pilihan raya pula, saya pernah dengar penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim sewaktu berceramah di Ijok tahun lalu depan pengundi-pengundi Cina, memulai awal ucapannya dalam bahasa Cina. Walaupun beIiau bercakap dua tiga patah, beliau mendapat sorakan dan tepukan bergemuruh, kerana orang Cina bangga ada pemimpin bukan Cina menggunakan bahasa Cina. Apalagi kalau boleh berceramah fasih dalam bahasa Cina.

Waktu mula-mula saya buka blog saya Ibnu Hasyim (sebenarnya kawan saya yang tolong bukakan, terima kasih kepada beliau!), artikal pertama yang saya tulis ialah, ‘CATATAN SANTAI, Pilihan Raya Kecil Ijok: Mampukah PAS Perintah Malaysia?’ Saya ada cadangkan, untuk perintah Malaysia, pendekatan kepada masyarakat Cina atau bukan Islam perlu disegerakan dari sekarang. Antaranya…

Pertama: Oleh kerana kaum Cina atau bukan Islam adalah pengundi yang hampir menyamai orang Islam atau Melayu, maka program-program percambahan dan pengkayaan idea (ke arah mendekati orang Cina) perlu diperbanyakkan.

Kedua: Cari jalan selesai bagaimana hendak menarik pengundi Cina menyokong PAS. Antaranya.. A. Banyakkan program kebajikan untuk orang Cina atau bukan Islam. B. Seminarkan semula mengenai cadangan-cadangan seperti Ahli PAS bukan Islam. Cina atau bukan Islam boleh jadi calun PAS dalam pilihan raya. Bukan Islam boleh jadi Presiden PAS. Buka Pusat Kebudayaan Cina atau Masjid Cina Muslim. Buat hubungan dengan individu, organisasi, atau kerajaan di negeri China. Cari jalan supaya orang PAS boleh belajar atau mengajar di negeri China. Atau projek anak angkat di China. Begitu juga pemimpin-pemimpin PAS kena pandai berceramah atau bercakap bahasa Cina.

Itulah pandangan saya waktu itu. Cuba anda bayangkan kalau Ustaz Haji Abdul Hadi selaku Presiden PAS, atau Tok Guru Nik Aziz selaku Menteri Besar Kelantan boleh berceramah, bersoal jawab, berkomunikasi atau berkuliah dalam bahasa Cina… Pada saya Dr Mujahid sebagai Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat yang masih muda lebih wajar lagi. Dalam Al Qur’an pun ada dikisahkan Nabi Sulaiman AS boleh bertutur banyak bahasa, termasuk bahasa binatang seperti semut. Dan ada kata-kata yang menyebutkan ‘Tuntutlah ilmu sampai ke negeri Cina’…

Pernah seorang bekas peguam Benggali bukan Islam (sekarang saya tak pasti sudah masuk Islam ke belum?) di Pulau Pinang mencadangkan supaya Ustaz Abdul Hadi belajar bahasa Cina. Menurutnya, beliau belajar mengenali bahasa Arab bersungguh-sungguh dalam masa 3 bulan sahaja. Kalau Ustaz Abdul Hadi belajar mengenali bahasa Cina dengan kemudahan dan ketokohan yang dimiliki, beliau yakin lebih cepat lagi.

Oleh itu, wajarkah demi kepentingan masa depan Islam saya sebagai ahli PAS dengan rendah hati mencadangkan supaya pemimpim-pemimpin tertinggi PAS belajar bahasa Cina sehingga boleh bercakap dengan fasih? Dimulai dengan Presidennya dulu…

Wassalau’alaikum.

Catatan Santai: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 21-01-08. KL

Tok Guru Nik Aziz Lebih Licik Politiknya Dari Anwar Ibrahim?


Posted on Monday, January 21 @ 11:39:05 MYT by SongkokPutih

Oleh TARMIZI MOHD JAM


SRI GOMBAK: Kesediaan PAS Kelantan untuk bertanding sendirian tanpa melibatkan PKR dalam pilihanraya ke 12 kali ini, dilihat sebagai strategi Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengembeling dan memfokuskan jentera pilihanraya PAS Kelantan menentang BN sepenuh hati. Dengan cara ini, kata penganalisis politik, Dr. Mohd Hasyim, segala isu dalaman dapat diketepikan bagi menghadapi musuh, Umno Barisan Nasional. Beliau berkata demikian dalam pertemuan singkat kali pertama Ahli Jawatankuasa Grop Universiti Ulu Klang di Sri Gombak, semalam sejak ia ditubuhkan.

Katanya, walaupun kenyataan itu cukup "pedas" tetapi Mursyidul Am PAS itu berjaya mengikat kembali sokongan ahli dan penyokong PAS seluruh Kelantan agar bekerja lebih kuat setelah PKR membuat keputusan untuk tidak bertanding di mana-mana kerusi Dun dan Parlimen dalam pilihan raya esok lusa. Isu ugutan PKR yang akan memindahkan jentera pilihanrayanya ke Selangor dan Pulau Pinang, kata Dr. Mohd Hasyim telah berjaya membangkitkan rasa tanggungjawab seluruh jentera pilihanraya PAS di Kelantan bagi meningkatkan gerakerja parti.

Sehari sebelum Tok Guru Nik Abdul Aziz mengejutkan politik Malaysia dengan kenyataan "pedasnya" itu, Dr. Mohd Hasyim yang juga penulis prolifik telah membayangkan dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh Web Tranungkite bahawa PAS Kelantan kini berada diambang bahaya, jika kekuatan parti itu gagal digembeling sepenuhnya dalam masa terdekat bagi berdepan BN menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi. Kata Dr. Mohd Hasyim, kekuatan PAS kini bukan sahaja tergugat, tetapi wibawa kerajaannya juga kian dipersoal umum setelah ia hanya bertenggek di atas kekuatan dua undi bagi menampung kekuasaan sebuah kerajaan negeri seperti yang wujud pada hari ini.

Beliau yakin, strategi Tok Guru Nik Aziz ini adalah percubaan untuk membendung beberapa isu yang mengaibkan PAS seperti dakwaan berlakunya rasuah dalam Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), pemberian konsensi balak, isu tanah dan lain-lain isu, yang dikhuatiri akan menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PAS dalam pilihan raya kali ini. Sebagai pemimpin yang sarat dengan pengalaman politik, Menteri Besar Kelantan itu ujarnya, tidak mungkin mencetuskan "kegawatan" dengan sengaja. Sudah tentulah terkandung "maslahat" tersembunyi bagi menyelamatkan PAS Kelantan dari merudum jatuh seperti kontroversinya amarann agar Dr. Syed Husin Ali tidak bertanding di Parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya ke 11 yang lalu.

"Saya yakin, tidak ramai yang nampak di sebalik kontroversi ini. Ada orang kata, Nik Aziz sudah nyayuk. Sudah tua. Pada saya, seni politik yang cuba dipamerkan Tok Guru cukup karismatik dan dia sebenarnya lebih licik dari Anwar Ibrahim," tegas beliau yang juga mantan Yang Dipertua PAS Balik Pulau, Pulau Pinang.

Berkatalah Sheikh Teluk Intan...


Friday, January 18, 2008

Ibnu Hasyim Bertanya:
Teman Menjawab

Sebelum solat jumaat, teman menerima panggilan telefon dari Ibnu hasyim. Dia tanya samada teman sudah membaca posting terbarunya, yang bertajuk 'Saya Tegaskan Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya '.

Lalu, teman jawab 'sudah'.

Dia tanya lagi , adakah tulisannya boleh membuat ahli Pas marah. Teman jawab, tidak ada sebab ahli Pas marah. Kalau ada yang marah, biarkan saja. Dan teman beritahu dia, tulisannya boleh dikatogerikan sebagai sebuah peringatan.

Dia juga menyuarakan kerisauan, kalau-kalau tulisannya sedikit sebanyak mencederakan Pas. Teman jawab, tulisannya ditahap biasa sahaja dan yang hebat adalah tajuk yang digunakan: bunyinya agak mengemparkan.

Dia ketawa senang hati. Teman tahu, dia begitu sayangkan Pas. Teman pun sepertinya, sayangkan perjuangan Pas. Musuh teman jelas. Musuh Ibnu hashyim pun jelas. Siapakah lagi, kalau bukan UMNO dan Barisan Nasional laknatullah!

Dalam perbualan kami, teman sempat memberitahunya, bahawa setiap kali Pilihanraya Umum, Kerajaan Pas Kelantan memang dalam keadaan bahaya. UMNO dan Barisan Nasional tidak pernah tidur dan sentiasa mencari jalan walau dengan apa cara sekalipun untuk menawan Kelantan dari tangan Pas.Pada pilihanraya Umum nanti, entah berapa lori duit yang akan dibelanjakan untuk membeli undi rakyat Kelantan. Sesungguhnya duit tak jadi masalah pada UMNO. Tokeh judi boleh sediakan. Tokeh arak boleh sediakan. Kontraktor-kontraktor yang diberi beberapa projek besar pun tak kedekut untuk keluarkan duit. Ah, tak payah cerita panjang-panjang tentang hal ini kerana kebanyakkan penduduk bumi dan langit tahu dan teramat tahu , dari sumber mana duit mengalir untuk memenangkan UMNO /BN.

Mati dan hidup UMNO / BN adalah kerana duit.Sebelum kami berhenti berbual, sempat Ibnu hasyim bertanya dengan nada bergurau pada teman " apakah bunyi niat pemimpin UMNO semasa hendak mula mendirikan solat".

Teman pun jawab secara berseloroh: "Sahaja aku sembahyang zohor empat rakaat kerana duit".


Posted by sheikh teluk intan at 1/18/2008 11:31

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails