Saturday, March 15, 2008

Kerjasama BN/Anwar, Surat Peribadi Mukhriz Mahathir..



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


UNTUK dapatkan kemenangan selesa, iaitu kemenangan 2/3 di parlimen bagi BN,( iaitu 2/3 dari 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, adalah sebanyak 148 kerusi) sedangkan BN kini memiliki 140 sahaja, maka BN perlu jalinkan hubungan kerjasama sekurang-kurangnya dengan salah satu dari parti-parti pembangkang yang menang, atau individi-individu dari parti tersebut yang boleh di’curi’ atau di’beli’ sokongan dan kerusinya.

Parti-parti yang menang itu, ialah Keadilan 31 P (kerusi Parlimen) & 40 N (kerusi Dewan Undangan Negeri) , DAP 28 P & 73 N, PAS 23 P & 83 N dan Bebas 0 P & 2 N. Oleh itu kalau BN nak selamat, BN kena cepat-cepat bertindak, sebelum pihak pembangkang bertindak dulu merampas parlimen dan menukar PM seperti dalam tulisan terdahulu ‘Teori Anwar Jadi PM Beberapa Bulan Lagi...’

Selepas tulisan itu keluar, ada seseorang memberitahu saya bahawa usaha-usaha sedang dijalankan ke arah itu, contohnya tawaran kepada parti-parti politik di Sabah seperti dalam komen pembaca di Tranungkite.Net (Iaitu tawaran royalti minyak yang lebih & satu jawatan TPM untuk Sabah) dan beberapa lagi. Tetapi dalam cubaan pertahankan negeri Perak nampaknya tindakan BN cukup cepat.

Saudara Tarmizi Mohd Jam pengendali Blog Sanggah Tok Sago menceritakan pada saya bagaimana beliau diminta jadi orang tengah dalam cubaan mem’beli’ 2 ADUN PAS di Perak. Alhamdulillah, nampaknya beliau tak termakan dengan sogokan ‘benda’ walaupun beliau bukan tergolong manusia jutawan atau serban besar. Begitu juga cubaan melalui Mufti Perak dan beberapa individu lain.

Saya juga ada menukilkan kisah sahabat saya, Saudara Adam Ahid bekas Pesuruhjaya PAS Serawak yang cuba di’beli’ dengan RM350,000 supaya tarik diri dari pencalunan dalam PRU 11 melawan Dato’ Sri Adenan Satem. (Sila lihat tulisan dalam blog saya ‘Wajah Tok Guru Halang Calun PAS Dibeli..’ pada 31Ogos 2007). Begitu juga semasa Kelantan hanya tinggal kelebihan 1 kerusi saja penggal lepas sebelum PRU 12, seorang ustaz biasa cuba di’beli’ dengan RM6juta tunai dibawa ke rumah beliau. Apa jawabnya?

“Mu pulanglah dengan wang sebanyak itu, kamu salah pilih orang!” Katanya dengan tenang.

Jadi, kalau BN boleh buat kerjasama dengan parti DAP, seperti yang terjadi kepada parti Gerakan (Gerakan juga pembangkang kuat sebelum masuk BN) pada tahun 1969, maka BN akan dapat memiliki semula Pulau Pinang (BN 11 + DAP 19 = 30 dari 40 kerusi yang dipertandingkan), Perak (BN 28 + DAP 18 = 46 dari 59 kerusi yang dipertandingkan) dan Selangor (BN 20 + DAP 13 = 33 dari 56 kerusi yang dipertandingkan).

Bagi kerusi Parlimen pula kedudukannya sudah melebih 2/3 iaitu BN 140 + DAP 28 = 168, sedangkan 2/3 kerusi parlimen cuma berjumlah 148 sahaja. Kedudukan BN tetap akan teguh semula.

Begitu juga kalau BN boleh buat kerjasama dengan PAS, seperti yang pernah berlaku pada tahun 1969, maka BN akan dapat memiliki semula Kelantan (BN 6 + PAS 38 = 44, dari 45 kerusi yang dipertandingkan), Kedah (BN 14 + PAS 16 = 30 dari 36 kerusi yang dipertandingkan), Perak (BN 28 + PAS 6 = 34 dari 59 kerusi yang dipertandingkan) dan Selangar (BN 20 + PAS 8 = 28 dari 56 kerusi yang dipertandingkan).

Kedudukan di Selangor jadi sama banyak, cuma perlu 1 lagi kerusi untuk memerintah. Kedudukan di parlimen juga selesa iaitu iaitu BN 140 + PAS 23 = 163, macam dengan campuran dengan DAP juga. BN juga boleh buat kerjasama dengan PKR. BN akan dapat memiliki semula Perak (BN 28 + PKR 7 = 35, dari 59 kerusi yang dipertandingkan) dan Selangar (BN 20 + PKR 15= 35 dari 56 kerusi yang dipertandingkan).

Kedudukan di parlimen juga selesa iaitu iaitu BN 140 + PKR 31 = 171, melebihi dari semua gabungan dengan parti-parti lain. Tetapi kalau mampu dibuat kerjasama dengan semua parti-parti pembangkang maka akan lebih selamat lagi, tetapi PM akan tetap menjadi milik BN, dan peluang Dato’ Seri Anwar jadi PM akan terlepas.

Sekiranya beliau masuk UMNO (atau pemecatannya dari ahli UMNO dulu dijadikan tidak sah) melalui Pak Lah dan PKR menyertai gabungan BN (samada sendirian atau bersama-sama parti pembangkang lain), di saat kem Pak Lah sedang teruk diserang lawannya, maka ada harapan beliau jadi PM. Kem mana yang menyerang kem Pak Lah sekarang? Anda akan tahu bila anda baca tulisan sebelum ini ‘Pertarungan 3 Tokoh, Teori 2 Anwar…’, yang peluru berpandu terbarunya adalah ‘Surat Peribadi Mukhriz…’ kini sedang gegar dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Pemuda UMNO sekarang...

Kita sambung lagi dalam sembang-sembang PRU 12 akan datang. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 15-03-08. KL.

Thursday, March 13, 2008

Melayu Terpinggir, Apa Tsu Koon Buat? Dr Mohd Hasyim Cabar Pak Lah..





By ASHOK KUMAR

PUTRAJAYA 13 Mac – Orang-orang Melayu Pulau Pinang sehingga sekarang pun masih terpinggir, apakah yang bekas Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon buat semasa memerintah negeri itu selama kira-kira hampir 30 tahun, apalagi setelah DEB diperkenalkan pada tahun 1971 selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969, yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat?

Demikian pertanyaan oleh Dr Mohd Hasyim selaku Presiden Group Universiti Hulu Klang, dalam suatu majlis pertemuan ringkas makan malam bersama anak-anak Melayu Pulau Pinang Wilayah Persekutuan di sini malam tadi.

Beliau bersetuju dengan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang baru, mengenai DEB merupakan punca kepada kronisme, rasuah dan ketidakcekapan. “Konon.. tujuan DEB seperti serampang dua mata. Dua mata apa? Sebenarnya melahirkan dua bentuk masyarakat yang jurangnya terlalu jauh. Miskin tegar dan kaya tegar!”

Kata beliau lagi, yang juga seorang penulis dan penganalisis politik anak Pulau Pinang, “Saya cabar Pak Lah selaku Pengerusi BN, Perdana Menteri Malaysia dan anak Melayu Pulau Pinang supaya menyenaraikan di media umum jumlah orang-orang Melayu Pulau Pinang yang telah bebas dari kemiskinan, terpinggir, atau telah menjadi kaya kerana DEB.”

Pertarungan 3 Tokoh Teori 2 Anwar..



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


PADA saya, di samping sebab-sebab lain kejatuhan BN Kelantan pada PRU 1990, ialah kerana peranan Tengku Razaleith Hamzah menyebabkan Kelantan terlepas ke tangan PAS & Semangat 46, walaupun jasa beliau pada BN tetap tidak boleh dilupakan iaitu merampas Kelantan dari PAS pada PRU 1978. Begitu juga kejatuhan BN Terengganu dalam PRU 1999 kerana tentangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim memporak-perandakan BN, apabila beliau disingkirkan dari UMNO.

Hal ini menyebabkan Terengganu jatuh ke tangan PAS dan Keadilan, walaupun dapat dirampas kembali pada PRU berikutnya. Kini dalam PRU 2008 baru lalu lebih parah lagi, bila 4 negeri, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor tumbang dirampas PAS, DAP dan Keadilan. Tiga tokoh menjadi watak utama dalam pertarungan tersebut, iaitu Pak Lah PM sekarang, Tun Dr Mahathir mantan PM dan Dato’ Seri Anwar yang pernah hampir jadi PM lantas kini sedang berhempas-pulas naik, mungkin akan jadi PM.

Hero pertama, saya lihat adalah Dr Mahathir. Beliau disebut-sebut sebagai group awal bersama Datuk Musa Hitam (mantan TPM), Dato’Harun (mantan MB Selangor) dan lain-lain yang memberi tekanan kepada PM ke 1 Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman. Dr Mahathir pernah dipecat Tengku dan pernah juga menggunakan pentas PAS bagi mengkritik Tengku. Akhirnya Tengku terpaksa melepaskan jawatan selepas peristiwa 13 Mei.

Timbalannya Tun Abdul Razak (ayah Najib, TPM sekarang) dilantik sebagai PM ke 2, dan Tun Hussain Onn (ayah Dato’ Hashamudin) yang ada hubungan keluaga dengan Tun Abdul Razak jadi PM ke 3. Dikatakan Tun Abdul Razak menunjukkan Dr Mahathir sebagai pengganti PM ke 3, iaitu PM ke 4 dan seterusnya Tengku Razaleith sebagai Timbalan Dr Mahathir. Di bawah Tun Hussien Onn, UMNO terus bergolak, termasuk dalam kes penangkapan Dato’ Harun. Tun Hussein juga terpaksa melepaskan jawatan.

Tidak dapat dipastikan apakah hal ini juga adalah angkara Dr Mahathir disebalik perlepasan jawatan tersebut. Bila Dr Mahathir jadi PM ke 4, beliau menyokong Dato’ Musa Hitam regunya dulu merebut jawatan TPM mengalahkan Tengku Razaleith.. Menjadikan pimpinannya, di bawah regu terkenal ‘2M’. Dato’ Seri Anwar pula berjaya membina kepimpinannya melalui ABIM dan melonjak naik di peringkat antarabangsa. Tetapi beliau ditahan selama 2 tahun (waktu itu dianggap pembangkang) dan dibebaskan, di mana akhirnya beliau bersetuju masuk dalam kabinet Dr Mahathir.

Maka bertarunglah Anwar di dalam kabinet Dr Mahathir hingga berjaya naik ke TPM yakni no 2 selepas PM. Kenaikannya tersekat kerana PM ke 4 itu masih belum mahu undurkan diri. Disinilah berlaku pertembungan sehingga beliau dipenjara sekali lagi. Maka Pak Lah atau Dato’ Seri Abdullah Badawi dilantik sebagai TPM mengganti beliau. Dr Mahathir yakin Pak Lah mampu meneruskan misinya hingga ke wawasan 2020, di mana perancangan telahpun siap diatur. Saingan-saingan politik telahpun dibersihkan.

Beliau pun mengisytihar pelepasan jawatan dan Pak Lah dilantik sebagai PM ke 5. Dato’ Seri Najib pula sebagai Timbalannya. Rupanya, menurut penganalisis-penganalisis politik, pagar yang diharap itu mula memakan padi sendiri. Banyak projek-projek rancangan Dr Mahathir dibatalkan seperti projek jambatan bengkuk, keretapi ke China dan lain-lain. Yang paling menyayat hati beliau ialah pembebasan Anwar dari penjara.

Bebaskan Anwar, bagaikan melepas seekor harimau ganas untuk bertarung dengan beliau yang sudah hilang kuasa. Mungkinkah pendedahan ke mahkamah ‘kes vedio VK Lingam’ adalah sebiji peluru siri serangan awal keatas beliau? Kini sisa-sisa kuasa dan kekuatannya mula diperturunkan kepada anaknya Datuk Mukhriz, Ahli Parlimen Jerlun (P.005) dan bekas kroni-kroni (yang masih tinggi dan tidak turun majoriti kemenangan dalam PRU 12), adalah sebagai langkah menguatkan pertahanan.

Tulisan saya dalam blog lalu ‘Siapa Pencetus Gelombang Senyap Belakang BN?’memaparkan bagaimana pengaruh Dr Mahathir sebagai pencetus gelombang senyap dari utara adalah serang-balas selanjutnya. Usaha-usaha menekan supaya Pak Lah letak jawatan PM kini dan menaikkan Timbalan (Dato’ Seri Najib) yang ditunjuki Dr Mahathir sebelumnya adalah sebiji lagi peluru berpandu dilancarkan ke atas kem Pak Lah. Pak Lah kini dianggap penderhaka kepada gurunya Dr Mahathir.

Apakah kini Anwar akan terperangkap berlindung di dalam kem Pak Lah? Atau beliau sudah ada hubungan untuk pertahankan Pak Lah? Kini tiba masanya bagi Anwar bangun bersama regu pembangkang (Keadilan, PAS dan DAP) memimpin, bukan saja untuk selamatkan kem Pak Lah bahkan bagi menyelamat Kerajaan Malaysia dari hancur kerana pertembungan antara dua kem dalam BN tersebut... Hal yang pernah dilakukan oleh Tun Abdul Razak selepas peristiwa 13 Mei.

Hal ini terpaksa dilakukan beliau kalau sekiranya Plan A (Sila lihat tulisan terdahulu ‘Teori Anwar Jadi PM Beberapa Bulan Lagi..’) gagal. Maka inilah Plan B (Sila lihat ‘Teori 2, Anwar Jadi PM..’) untuk tindakan lanjut.

Kita sambung lagi dalam sembang-sembang PRU 12 akan datang. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 13-03-08. KL.


Wednesday, March 12, 2008

Teori 2, Anwar Jadi PM...



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI

SEBELUM kita lihat teori ke 2 Dato’ Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, ekoran dari tulisan sebelumnya ‘Teori Anwar Jadi PM Beberapa Bulan Lagi..’, rasanya elok juga saya paparkan kisah silam sedutan dari buku ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’, Bab 26: di bawah tajuk ‘1969 Tahun Cabaran’. Buku setebal 672 muka surat itu saya tulis dan dicetakkan pada Januari 1993.

Begini kira-kira ringkasan sedutannya:

“Pada tahun 1969 juga sebelum berpulangnya Dr Burhanuddin ke rahmatullah, telah diadakan pilihanraya peringkat kebangsaan (PRU) , iaitu pada 10 Mei. [Dr Burhanuddin adalah Yang Di Pertua Agung PAS waktu itu (Presiden PAS ke 3). Beliau ditahan di bawah ISA pada Januari 1965 atas tuduhan terlibat dalam komplot menentang Malaysia. Beliau jatuh sakit dalam tahanan, dibebaskan bersyarat pada Mac 1966, dan syarat tersebut ditarik balik pada 22 September 1969 tetapi meninggal dunia pada 25 Oktober 1969 kerana keuzuran.]

Dalam pilihan raya tersebut, PAS memenangi 12 kerusi parlimen, iaitu 3 di Kedah, 6 di Kelantan, 2 di Terengganu dan 1 di Perak. Di DUN pula PAS dapat 40 kerusi, iaitu 1 di Perlis, 8 di Kedah, 19 di Kelantan, 11 di Terengganu dan 1 di Perak. Kepincangan Parti Perikatan (parti pemerintah) jelas terserlah. Undi parlimen bukan Melayu merosot sebanyak 40%. ‘Angka 13’ menjadi angka sial bagi MCA yang hanya peroleh 13 dari 33 kerusi yang dipertandingkan. (Khabrnya Pak Lah amat minat dengan angka 13).

Seramai 24 calon bukan Melayu dari parti pembangkang menang. Undi parlimen orang Melayu kepada Perikatan juga merosot sebanyak 54%. PAS Berjaya memperoleh kembali sokongan mereka yang hilang semasa pilihan raya 1964. Pulau Pinang telah dikuasai oleh pembangkang iaitu Parti Gerakan (Gerakan Rakyat Malaysia) yang merampas dari MCA. Kelantan masih tetap di tangan PAS yang memilikinya sejak PRU 1959, pilihan raya pertama selepas merdeka.

Kegoncangan berlaku pada Perikatan kerana kemenangan lawannya calon-calon Parti Gerakan, DAP (Democratic Action Party) dan PPP (People’s Proggressive Party). Ini bermakna calon-calon Perikatan dan MCA telah kecundang. Parti Buruh memulau pilihan raya dan dikatakan cuba menghasut supaya pilihan raya gagal. Beberapa peristiwa dan keadaan tegang timbul di Pantai Barat Semenanjung sejak April kepada Mei tahun itu.

PKM (Parti Komunis Malaya) yang bergerak di bawah tanah dikatakan turut mengambil kesempatan memanaskan suasana. Bermula dengan perarakan pada 11 dan 12 Mei 1969 di KL Selangor (Wilayah Persekutuan wujud selepas itu), terus berlanjutan kepada apa yang disebut ‘Peristiwa 13 Mei’. Hal ini mengundang Perdana Menteri pertama Malaysia letak jawatan dan diganti oleh Timbalannya Tun Abdul Razak bin Hussain.

Tun Abdul Razak mencetuskan idea, kekal dan perluaskan Perikatan kepada formula kewujudan Barisan Nasional. BN akhirnya mampu menyeret Parti Gerakan (yang menguasai Pulau Pinang), PAS (yang menguasai Kelantan), PPP (yang menguasai Majlis Perbandaran Ipoh) dan beberapa parti lagi ke dalam gabungan tersebut (walaupun akhirnya PAS ditendang keluar dari BN menjelang PRU 1978).

Dalam PRU 1974, BN menang 104 dari 114 kerusi parlimen di Semenanjung dan 31 dari 40 di Sabah & Sarawak, suatu kemenangan yang besar.”

Perikatan mula ditolak rakyat dalam PRU 1969 itu, antara penyebabnya ialah kemiskinan, tidak puas hati orang Melayu kerana beri terlampau banyak keistimewaan kepada bukan Melayu (Sila rujuk Harold Crouch, Lee Kam Hing, Michael Ong: ‘Malaysian Politics And The 1978 Eletion’ & Ucapan Tun Dr Ismail ‘Utusan Malaysia’ 19 Julai 1969), salahguna ISA, rasuah, keruntuhan moral remaja (Amaluddin Darus: ‘Lintasan Politik Malaysia’), kes-kes jenayah dan lain-lain. Akhirnya meletup menjadi api rusuhan kaum tragedi 13 Mei.

Hampir sama dengan penolakan rakyat dalam PRU 12 baru-baru ini, iaitu kenaikan harga barang & cukai (ada kaitan dengan kemiskinan), tidak puas hati antara kaum (India-isu Hindraf, Cina & Melayu), rasuah & salahguna kuasa, moral & jenayah dan lain-lain. Cuma hal-hal seperti ini tidak disimbah minyak menjadi api seperti rusuhan 13 Mei itu, tetapi kali ini perlu dipadukan supaya wujud satu kekuatan seperti idea formula Tun Razak selepas 13 Mei itu.

Saya nampak orang yang layak membawa gagasan tersebut adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri. Beliau sedang di dalam penjara, pun boleh dikeluarkan dengan penghormtan (jemputan ke luar negara dengan pesawat kerajaan Saudi) membuktikan ‘kaki-kaki’ beliau masih bertapak kukuh di dalam BN. Apalagi di saat BN sekarang tiada wakil masyarakat Cina dan India yang diiktiraf rakyat melalui pilihan raya. Dato’ Seri.. jangan tunggu lama-lama..

Bagaimana beliau akan naik jadi PM? Kita sambung lagi dalam sembang-sembang PRU 12 akan datang. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 12-03-08. KL.


Tuesday, March 11, 2008

Teori Anwar Jadi PM Beberapa Bulan Lagi...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

“BETUL ke ada teori Datuk Seri Anwar untuk jadi Perdana Menteri dalam beberapa bulan lagi?” Itulah antara yang ditanyai pada saya ekoran tulisan saya yang lepas.

“Ya.” Jawab saya. “Jumlah kerusi parlimen di Malaysia yang ditandingi berjumlah 222 kerusi. BN menang 140 kerusi. Pembangkang dapat sebanyak 82 kerusi (iaitu Kadilan 31, DAP 28 dan PAS 23). Untuk menjadikan pembangkang kuasai parlimen dan menukar PM sekarang kepada PM pembangkang, ialah melalui perlunya pembangkang dapat lebih kerusi dari BN. Setakat ini, BN lebih 58 kerusi (iaitu 140 kerusi BN ditolak 82 kerusi pembangkang) dari pembangkang. Kalau pembangkang boleh dapatkan lebih separuh dari 58 kerusi tersebut , sekurang-kurangnya 30 kerusi BN di‘curi’ oleh pembangkang, menjadikan BN peroleh 110 dan pembangkang dapat 112 kerusi, barulah Pak Lah akan tersungkur dari kerusi PM. Itulah teorinya!”

“Curi??” Kawan saya itu macam terkejut.

“Ya. Saya sebut perkataan ‘curi’ kerana nak bezakan dengan perkataan ‘beli’, yang perlu gunakan wang. Suatu hal selalu berlaku kepada wakil-wakil rakyat pembangkang yang lompat kepada parti pemerintah yang banyak wang … Sila teliti balik dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. Dan saya juga bimbang dengan penubuhan kerajaan negeri Perak, yang kerusi pembangkang cuma lebih 3 kerusi saja, iaitu BN 28 kerusi dan pembangkang 31 kerusi (DAP 18, Keadilan 7 dan PAS 6). Saya bimbang kerana ini satu ujian besar kepada wakil-wakil rakyat pembangkang, kerana BN cuma perlu dapatkan 2 kerusi saja lagi, untuk tumbangkan kerajaan pembangkang di Perak. Harga kerusi mereka (pembangkang) terlalu mahal sekarang, apalagi maufakat antara pembangkang-pembangkang di Perak masih rapuh lagi! Jadi sebelum kerusi pembangkang di’curi’, pembangkang kena curi kerusi parlimen mereka dulu!! ”

“Ha.. itu bukan kerja mudah..” Dia masih ragu.

“Betul, itu bukan kerja mudah, tetapi saya yakin Dato’ Seri Anwar, Penasihat Keadilan itu mampu buat. Masih ramai lagi setiakawan-setiakawan beliau ada dalam BN, terutamanya seperti di Sabah dan Serawak. DAP juga pun saya yakin mampu main peranan di kalangan kerusi-kerusi milik bukan Melayu dalam BN.”

“Tapi Dato’ Seri Anwar masih belum jadi ahli parlimen lagi?”

“Itu sebab saya sebut dua tiga bulan lagi. Bulan depan ‘edah pantang larang berpolitik’ yang dikenakan atas beliau akan tamat. Beliau akan bertanding di Permatang Pauh (P.044) yang akan dikosongkan oleh isteri beliau Dr Wan Azizah. Kerusi yang menang dengan majoriti besar hari tu..”

“Jadi ada harapan le Anwar jadi PM…”

“Ya. Ada lagi satu teori bagaimana Anwar boleh jadi PM… Kita sambung lagi dalam sembang-sembang PRU 12 akan datang. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 11-03-08. KL.

Siapa Pencetus Gelombang Senyap Belakang BN?



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


GELOMBANG senyap dari utara rupanya telah meranapkan sebahagian kekuatan BN. Tidak pernah berlaku begini dalam sejarah Malaysia sebelumnya, walau dalam Pilihan Raya Umum tahun 1969 yang hampir menghanyutkan Pulau Pinang dan Selangor dari tangan Perikatan. Gelombang yang bertolak dari Kedah terus ke Pulau Pinang, Perak dan Selangor, bahkan tempiasnya hingga ke Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Kenapa saya sebut dari utara? Kerana Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor BN masih boleh bertahan. Kenapa Perlis tidak kena tempiasnya? Kerana ada sebab-sebab tertentu yang sama dengan sebab kemenangan calon BN (Datuk Mukhriz Tun Mahathir) di Jerlun (P.005) dengan majoriti 2,205 undi, lebih dari PRU sebelumnya (calonnya Datuk Abdul Rahman Ariffin) yang berjumlah 2,142 undi.

Sedangkan di P.041 Kepala Batas, calon BN Perdana Menteri Pak Lah sendiri mojoriti kemenangannya merosot kepada 11,246 undi, dari PRU sebelumnya berjumlah 18,122 undi.
Di P.085 Pekan kawasan Timbalan Perdana Menteri, majoritinya kemenangannya bertambah kepada 26,464 undi, dari sebelumnya 22,922 undi. Apakah kemerosotan BN kali ini kerana faktor Pak Lah yang sudah dibuktikan dengan kelemahan setelah beberapa tahun memerintah?

Yang juga sama dengan anggapan sebelumnya kemenangan BN PRU 11 dulu kerana faktor beliau dengan slogan ‘Mr Clean’nya setelah baru beberapa bulan memerintah?? Khabarnya di Perlis, nasib baik Menteri Besar Perlis masih terpilih bertanding di DUN Perlis, kalau tidak mungkin Perlis akan menghadapi nasib macam negeri Kedah juga. Kononnya, MB Perlis itu terpilih di saat-saat akhir, setelah rayuannya diterima PM.

Ada juga kalangan menyebutkan kerana beliau dipilih jadi MB di bawah pimpinan Dr Mahathir, maka beliau digolongkan sebagai kroni Dr Mahathir yang masih taat. Sebab itu di Perlis BN masih boleh bertahan, kerana pengaruh Dr Mahathir masih kuat di kalangan pengundi-pengundi BN. Begitu juga di P.006 Kubang Pasu kubu kuat BN, sepatutnya calon di situ adalah Datuk Mukhriz anak Dr Mahatihir, tetapi dipindahkan ke P.005 Jerlun. Kesannya walaupun BN menang di Kubang Pasu dengan majoriti 7,060 undi tetapi agak kurang berbanding PRU sebelumnya yang berjumlah 13,712 undi.

Mengapa pula pengundi-pengundi bukan Melayu tidak menyokong BN ? Telah saya ulas ramalan di blogger saya sebelum PRU 12 lagi di bawah tajuk ‘4 Sebab Pembangkang Tawan Pulau Pinang?’ pada hujung Januari lalu. Antara sebab-sebabnya ialah:

“Pertama: Dalam tinjauan awal kami kepada ketua-ketua masyarakat orang Cina di PP (Pulau Pinang), didapati mereka mula ‘beralih angin’ kepada pembangkang. Mereka akan tolak BN antaranya, atas 2 sebab.

Satu… Mereka sudah tidak yakin lagi dengan kepimpinan BN mampu menaikkan balik ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Mereka risau perniagaan mereka yang mulai merosot akan terus menjunam. Hal ini mungkin melibatkan cara hidup mereka berubah kepada merudum.

Dua… Seperti yang dibangkitkan oleh YB Hamdan Abdul Rahman ADUN Permatang Pasir dalam pembahasan Rang Undang-Undang Pembekalan 2008 (pada 19.11.2007) , kata beliau “Perangkaan jenayah yang disebutkan itu (disenaraikan mengikut tahun bagi negeri PP) ‘adalah amat membimbangkan sekali’ … kes-kes itu termasuklah kes bunuh, kes cabul kehormatan, kes samun senjata api, kes curi, kes curi motosikal, kes pecah rumah, kes ragut dan lain-lain …meliputi semua daerah dalam negeri kita P.Pinang ini.’ Ketakutan yang meruncing ini, termasuk penculikan kanak-kanak yang tak mampu diselesai oleh kerajaan menyebabkan rakyat akan menolak BN.

Kaum India juga begitu. Buktinya, dalam himpunan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini, walaupun kerajaan terpaksa beri cuti umum bagi Selangor Wilayah untuk meramaikan, namun kehadiran dilaporkan amat tidak memuaskan. Sebuah akhbar melaporkan, untuk pertamakali sejak 40 tahun, sebuah pertubuhan Hindu Divine Life Society (DLS) terpaksa membuang begitu sahaja makanan percuma yang disediakan untuk 20,000 orang, tetapi kehadiran jauh lebih rendah.

Hal ini menolak tafsiran kehadiran yang berjumlah kira-kira 1 juta oleh Presiden MIC. Dikatakan, sebab itu orang India PP sedia membantu pembangkang untuk pilihan raya ke 12 ini.”

Apakah faktor Dr Mahathir juga mempengaruhi pengundi-pengundi bukan Melayu ini? Atau sebab-sebab di Pulau Pinang tersebut di atas juga mempengaruhi pengundi-pengundi Melayu? Begitu jugakah dengan peranan Datuk Seri Anwar dari Parti Keadilan Rakyat turut mempengaruhinya? Insya Allah tunggu ulasan selanjutnya, di bawah tajuk ‘Teori Anwar Jadi PM Beberapa Bulan Lagi..’

Lagi sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 10-03-08. KL.

Monday, March 10, 2008

Putusan PRU 12: Rupanya BN Kereta Buruk..

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

Berikut adalah senarai terakhir keputusan bagi jumlah kerusi di kawasan Parlimen dan Dun setiap negeri berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Parlimen
BN : 137
BA : 82 - (PAS-23), (KeADILan-31), (DAP-28)
Jumlah kerusi : 222

* Sabah dan Sarawak masih terdapat 3 kerusi yang masih belum membuang undi.

Dewan Undangan Negeri (Dun)

*Dun Perlis : BN (14), PAS (1) jumlah kerusi = 15
*Kedah : BN (14), PAS (16), KeADILan (4), DAP (1), Bebas (1) = 36
*Kelantan : BN (6), PAS (38), KeADILan (1); = 45
*Terangganu : BN (24), PAS (8); = 32
*Pulau PInang : BN (11), PAS (1), DAP (19), KeADILan (9), = 40
*Perak : BN (28), PAS (6), DAP (18), KeADILan (7), = 59
*Pahang : BN (37), PAS (2), DAP (2),Bebas (1), = 42
*Negeri Sembilan : BN (21), PAS (1), DAP (10),KeADILan (4); = 36
*Melaka : BN (23), PAS (0), DAP (5), = 28
*Johor : BN (50), PAS (2), DAP (4); = 56

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan besar pembangkang di lima buah negeri di Semenanjung Malaysia sebagai 'Tsunami' yang melanda Umno/BN.

Kini kereta buruk BN sudah jalan senget.. Kita kena pecut laju lagi.. potong dia..

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 09-03-08. KL.

Sunday, March 09, 2008

DOA TOK GURU


Ibnu Hasyim: Catatan Santai

Doa Tuan Guru Nik Abd Aziz bin Nik Mat
- Mursyidul AM PAS

Ditulis oleh PAS Kelantan 06 Mac 08



"Wahai Tuhan Kami, berilah kami perasaan takut kepadaMu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan dan berilah kami ketaatan kepadaMu yang menyampaikan kami ke syurgaMu, dan berilah dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia."

"Wahai Tuhan kami
berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami. Dan janganlah engkau jadikan bencana bagi kami dalam ugama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya kami dan tidak sampai batasan ilmu kami. Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami."

"Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungan dengan nur kesucian Engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat jalal Engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik."

"Wahai tuhan kami, Engkaulah penolong kami, maka kepada engkau kami mohon pertolongan. Wahai tuhan kami, Engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada Engkaulah kami pohon selamat. Wahai Tuhan bagilah kelemahan dan kehinaan yang mana segala tengkuk pembesar dunia."

"Dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun, selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman siksaMu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada Tuhan bagi kami melainkan Engkau demi kebesaran wajah engkau dan kemuliaan kesucian engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba Engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari Engkau wahai tuhan yang Maha Pemurah."

"Wahai Tuhan sama ada Engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana Kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan kamu menundukkan mereka seperti seperti Kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun kamu lipat balik rancangan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri , dan kamu hancur leburkan pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan pendirian mereka dan Ya Allah turunkan bendera mereka rapat ke bumi, Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya, Wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu."

"Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungna kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat mengubati hati dan menjadikan penawar, menyihatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian."


Sekian untuk panduan kita semua.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 09-03-08. KL.

fAJAr kEBANGKITAn


bUKAN tsunami..
tapi fajar kebangkitan sudah menyinsing..
Kebangkitan rakyat
kebangkitan bersama agama
revolosi dan evolusi…
menerangi maya ini.

Biar hantu-hantu semua lari.
Biar syaitan bertebaran
bukan dirawat tapi merawat.
bukan benda saja, tapi bersama roh dan jiwa.

Menyerang dengan menerang
Mungkar terus dihalang.
Kini masa cubaan
dalaman dan luaran.

Fajar kebangkitan sudah menyinsing..
Akan terus menyinsing..
Hingga ‘tiada tuhan melainkan Allah’
berkibar dan menyerlah.
Barulah benar-benar terserlah
fajar telah menyinsing..

Dari: iBNu hASYIm 9Mac08KL.