Saturday, May 17, 2008

Tian Chua: Gergasi 2Mata ...


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai

KITA salinkan ucapan Chua Tian Chang atau lebih dikenali dengan Tian Chua Ahli Parlimen Batu dari PKR, di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, semasa membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong bermula pada jam 8.24 malam. Inilah ucapan beliau yang disunting dari laman web Parlimen Malaysia…


“Tuan Yang di-Pertua, terima kasih saya ucapkan kerana membenarkan saya menyertai perbahasan usul menjunjung kasih titah perasmian Agong...


Jawapan Isu Anwar


Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah memberi sokongan kepada saya dan Pakatan Rakyat dan khususnya pengundi Batu. Sebelum saya mulakan, saya juga ingin ingatkan bahawa bila kita bahas tadi tentang isu Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai seolah-olah disifatkan sebagai agen Yahudi, Israel. Saya ingin ingatkan dan juga mempersoalkan pendirian kerajaan yang membenarkan dua pemain Israel dari Chelsea yang berasal dari Israel dibenarkan bermain dalam negara kita dan juga di bawah tuntutan Amerika Syarikat, negara kita di bawah Menteri Pertahanan telah menghalau keluar penyertaan Iran dari menyertai Pameran Alat Tentera di Langkawi. Adakah ini menunjukkan bahawa kita sebagai sebuah negara yang berdaulat dan juga bebas dari pengaruh negara-negara barat?


Seorang Gadis Tidak Berdosa…


Perkara yang ingin saya sentuh adalah mengenai satu kes kematian yang berhubung kait dengan Menteri Pertahanan. Baru-baru ini, seorang anak gadis yang tidak berdosa telah meninggal dunia kerana cita-cita menteri yang ingin menguasai agenda politik masa depan negara. Kita kesal dengan sikap menteri berkenaan sehingga hari ini masih keras dan berdiam diri dalam isu ini. Saya renung adakah menteri faham dan bersimpati terhadap rintihan, kesedihan dan kegelisahan ibu-bapa gadis yang mati ini. Saya bukan saja merujukkan kepada Altantuya Shariibu, tetapi yang saya maksudkan juga adalah Too Hui Min, seorang gadis muda yang mati pada 07 Mei di Kem Geo Kosmo, Kuala Kubu Baru.


Program Latihan Khidmat Negara yang telah dicadangkan pada tahun 2001 dan dilaksanakan pada 2003 di mana 85,000 anak muda mula mengambil bahagian dalam program latihan pada tahun itu. Sepanjang pelaksanaan PLKN, banyak accident dan kecelakaan berlaku. 16 April yang lalu, adik Afiq Zuhairi yang menjalani latihan di Kem Sentosa, Chendriang, meninggal dunia setelah dihantar ke hospital. Sehingga hari ini, ibu-bapa adik Afiq belum lagi tahu punca penyakit dan kematian. Senarai kematian dalam kem latihan adalah panjang sekali. Tahun 2004, Awang Mohamad Fadzil, 17 tahun mati dalam 23 April. T Saravanan yang berada di Kem Gua Musang juga lemas semasa ber picnic di Gua Musang.


Saya boleh bacakan list yang panjang yang merupakan peristiwa-peristiwa kemautan anak-anak muda kita. Dalam senarai yang panjang ini, belum lagi kita masukkan isu rogol, kecederaan dan kejadian-kejadian accident yang lain. Jika Dato’ Seri Najib adalah seorang menteri yang berwibawa, beliau seharusnya mengaku tanggungjawab terhadap kematian 20 lebih anak-anak muda ini. Di banding dengan Program Khidmat Negara di Singapura, yang telah dijalankan lebih daripada 30 tahun telah hanya mencatatkan kematian, satu kematian dalam tempoh empat tahun. Ini bukan satu rekod yang sangat membanggakan.


Kalau program ini adalah program yang kita ingin membentuk generasi akan datang yang akan memimpin negara kita, program ini harus dikaji semula sehingga kita mendapatkan formula untuk menyelesaikan masalah dan mempertingkatkan keselamatan untuk anak-anak muda kita. Ini bukan dosa yang paling besar bagi Menteri Pertahanan.


Keselamatan Negara


Bagi saya, Menteri Pertahanan gagal di banyak lagi bidang. Keselamatan negara bukan dijamin dengan alat-alat pertahanan yang canggih dan moden. Pembelian Sukhoi dari Rusia, Perancis yang membekalkan Scorpene, kereta kebal dari Poland, dan lain-lain senjata yang mahal bukan penjaminan keselamatan negara. Pembelian peralatan moden atau yang hi-tech tidak semestinya memperkukuhkan kedudukan keselamatan negara. Dato’ Sri Haji Mohd. Najib telah menjamin kepada kita bahawa pembelian Sukhoi dan submarine ini adalah mengikut prosedur yang betul. Sepatutnya kalau prosedur ini betul, saya harapkan pembelian senjata ini dapat diaudit di bawah supervision Parlimen.


Keselamatan Negara. Dalam isu keselamatan negara, yang lebih penting bukan senjata atau peralatan yang moden, kalau kita sering menyatakan modal insan di zaman ini kita seharusnya menjaga modal insan dalam industri keselamatan atau pertahanan. Saya tidak bersetuju sama sekali dari Ahli Parlimen Maran yang telah mengkontradiksi sendiri bahawa kita sepatutnya menjaga kebajikan dan kesejahteraan tentera dan pasukan keselamatan kita dan cara kita berasa bersyukur kepada pasukan keselamatan bukan dengan membiarkan mereka hidup dalam keadaan sengsara. Bukan membenarkan mereka kehidupan yang tidak tentu selepas bersara, pencen yang tidak mencukupi, peluang pekerjaan yang tidak ada, tidak ada peruntukan perumahan dan lain-lain lagi.


Sungguhpun kita mengkritik profesionalisme pasukan polis atau pasukan tentera kita, tidak bermakna kita tidak harus memberi jaminan kepada kebajikan dan kesejahteraan pasukan kita. Ini adalah satu tanggung jawab kerajaan kepada sesiapa yang berkorban dan berkhidmat kepada negara kita. Isu pokok dalam keselamatan negara adalah keutuhan dan kedaulatan nasional. Dalam isu ini, keutuhan nasional tidak boleh dikekalkan hanya melalui paksaan atau propaganda patriotisme yang kosong.


Tuan Yang di-Pertua, bagi saya ancaman yang paling besar bagi keselamatan negara dan kedaulatan nasional adalah pembangunan yang tidak seimbang di antara timur dan barat. Diharap negara kita, kalau kita hidup di bawah sistem yang merupakan tidak seimbang, kita tidak akan dapat menjamin kedaulatan nasional. Bila negara kita tidak menjaga keseimbangan dalam pengagihan kekayaan di wilayah-wilayah yang kita anggap sebagai sempadan Malaysia ini, kita tidak merasa adil kepada rakyat kita sendiri dan secara indirect keselamatan negara kita akan terancam.


Gergasi 2 Mata


Tuan Yang di-Pertua, pembangunan negara kita selama ini, Barisan Nasional bangga dengan rekod pembangunan. Setiap kali ada pilihan raya, pembangunanlah disebut. Kita tidak nafikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai oleh Malaysia selama sepanjang tahun hujung 80an ke 90an sebanyak dua digit. Kita juga tidak menafikan banyak pembangunan telah dibawa oleh kerajaan, tetapi ini adalah merupakan tanggung jawab kerajaan. Kita harus meneliti adalah pengagihan dalam isu ini kalau kita memandang dengan gini coefficient yang kita mengukur sebagai standard pengagihan negara kita dapat kedudukan gini coefficient Malaysia dari segi ketidaksamarataan individu, Malaysialah paling teruk di Asia dalam Gini coefficient satu posisi yang lebih baik dari Papua New Guinea di negara Asia.



Kuala Lumpur penuh dengan gedung-gedung gergasi sky scrappers dengan izin, dan bangunan yang tertinggi di dunia, tetapi pembangunan ini kita telah dapat membiayai dengan dana dan sumbangan dari kebanyakan dari negeri-negeri yang mengeluarkan petroleum. Anehnya, negeri-negeri yang mengeluarkan petroleum seperti Sarawak, Sabah dan Terengganu merupakan negeri yang paling miskin di Malaysia. Semua pembangunan fizikal dan apa yang kita nikmati hanya terhad kepada golongan-golongan tertentu. Kita dapati bahawa pembangunan merupakan gergasi dua mata. Pembangunan membawa kemajuan dan kemakmuran juga membawa peminggiran kepada masyarakat kita. Di kawasan saya, kawasan Batu terdapat warga emas, ibu tunggal, OKU yang hidup dengan peruntukan hanya RM300.00 sebulan.



Di sebuah kota yang kita anggap sebagai world class city, masih terdapat ramai penduduk yang hidup di dalam kemiskinan. Itulah sebabnya kita harus mengingati perancangan perbandaran ini amat penting untuk memastikan bukan sahaja pengagihan kekayaan yang baik tetapi juga perancangan untuk memastikan mutu hidup penduduk-penduduk di kota kita. Hakikat yang sebenar dalam pembangunan yang telah kita alami dalam 40 tahun yang lalu, kita telah menyaksikan kemiskinan di bandar semakin teruk. Jenayah berleluasa, masalah perumahan yang tidak diselesaikan, traffic jam yang telah memburukkan imej kota kita. Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya di sini membawa satu kisah seorang pengundi saya. Sheikh Ahmad adalah seorang pengundi di kawasan saya, seorang penyokong UMNO turun-temurun selama tiga generasi.


Dia juga seorang askar yang berpangkat mejar yang sudah bersara. Tiga generasi sebelum Encik Sheikh Ahmad ini berkhidmat untuk negara kita di dalam tentera. Mereka duduk di pinggir Sungai Batu berhampiran dengan Jalan Ipoh, berhampiran dengan KTM. Mereka telah mula, keluarga mereka telah membuka kawasan paya di kawasan KTM dan dibenarkan untuk mendirikan rumah keluarga mereka. Datuk dan nenek moyang mereka telah mula membangunkan sebuah kampung yang kemudiannya telah dibangunkan sebanyak dua ratus lebih keluarga.... Saya… di bawah dasar setinggan sifar, rumah mereka dirobohkan dengan ganti duit RM2,000.00 sahaja. Ini adalah kisah banyak yang disifatkan sebagai setinggan di tanah kita.


Sebenarnya banyak setinggan ini ada yang disifatkan setinggan ini duduk di atas tanah rizab Melayu. Tanah rizab Melayu hari ini telah hilang di bawah Kerajaan Barisan Nasional yang lama, Selangor telah hilang 9,000 hektar tanah rizab Melayu di bawah Akta Pengambilalih Tanah 1960. Pemilik tanah tidak diganti dengan tanah tetapi dibayar dengan pampasan yang begitu sedikit sahaja. Kampung tradisi di kawasan Batu, seperti Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak, Kampung Melewar, Kampung Bandar Dalam, Kampung Puah akan menjadi nama-nama kenangan dalam sejarah kita.... (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Datuk Ronald Kiandee meminta YB Batu membuat ucapan penggulungan).


Kalau kita betul-betul mempertahankan… Sedikit lagi… Mempertahankan agenda Melayu, inilah nasib orang-orang Melayu yang kita harus bela. Sedikit saja saya juga ingin membawa rintihan guru-guru Sekolah Agama di Wilayah Persekutuan. Guru-guru agama sekolah agama tidak dibayar gaji. Mereka dibayar elaun yang kurang RM600 hingga RM700 sebulan. Kita tidak akan harap guru-guru agama hidup di bawah taraf gaji minimum yang dicadangkan oleh MTUC. Apa yang kita sebutkan semua ini, saya ingin memperingatkan seorang tokoh intelek yang baru meninggal dunia pada 23 April yang lalu iaitu Saudara Rustam Sani.


Rustam Sani telah menyifatkan nasionalisme yang kita telah laungkan dengan penuh semangat ketuanan Melayu, agenda Melayu ini sebagai failed nationalism. Kalau kita lihat di Dewan ini dengan perebutan tentang babi, dengan kekurangan negara kita minyak masak, beras dan inflasi yang tinggi bukan saja kita failed sebagai failed nationalism tetapi kita adalah sebuah failed nation….


(Timbalan Yang di-Pertua Dewan mengingatkan masa yang sudah habis). Ya, saya akan gulung. Kita selama ini telah gagal menjadi sebuah bangsa negara selama 44 tahun. Kemerdekaan Malaysia ini hanya 44 tahun kalau kita mengambil sensitif bahawa kemasukan Sabah Sarawak adalah tarikh permulaan kita membentuk sebuah negara yang dinamakan Malaysia....


Kita merasa malu bila kita melihat di Malaysia ini.... [Dewan riuh]. (Timbalan Yang di-Pertua mengingatkan masa). Saya akan habiskan. Saya, Malaysia ini kita tidak dapat seimbangkan pembangunan negara kita. Saya harap, di sini saya ingin menyeru kepada semua kita mulakan satu yang disebutkan new dew dalam hari ini ulang tahun 13 Mei, kita mulakan, melupakan hantu 13 Mei dan kita move forward sebagai sebuah nation yang baru, dengan izin.


Saya menganggap sebagai apa yang kita laungkan dalam ketuanan rakyat iaitu kita membawa semula seluruh rakyat Malaysia baik pun dari Sabah dan Sarawak atau semua kaum di Malaysia ini untuk membentuk sebuah negara yang saksama dan tanpa, tanpa lagi... Dihantui oleh sejarah lama dan dibebani oleh sifat perkauman yang lama. Dengan itu saya mohon... (Terpaksa berhenti kerana masa sudah tidak mengizinkan..)”


Sekian catatan dari Parlimen Malaysia, wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 16-05-08. KL.

Mukhriz: 3 Perkara Untuk Anwar


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


TIGA Perkara yang dilontarkan oleh Dato’ Mukhriz bin Tun Mahatir Ahli Parlimen Jerlun dari UMNO mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim Penasihat PKR, di Dewan Rakyat Parlimen ke 12, Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, semasa membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong bermula dalam ucapannya yang bermula pada jam 3.02 petang.


Begini, antara sebahagian dari sedutannya..


{ “Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh sedikit mengenai apa yang telah diperkatakan oleh Yang Berhormat dari Gombak dan juga Yang Berhormat dari Padang Serai tadi yang telah menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah insan yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia. Saya tertanya-tanya mengenai tiga perkara yang telah dilaporkan dalam media asing tetapi tidak diberi liputan oleh media tempatan


Yang pertama, mengenai artikel dalam majalah Time dalam edisinya bertajuk The 2008 Time 100. Laporan mengenai Datuk Seri Anwar ditulis oleh rakan karibnya Paul Wolfowitz, bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat merangkap ketua strategi perang Iraq untuk George W. Bush. Mengapa harus Datuk Seri Anwar bersekongkol dengan pembunuh lebih satu juta rakyat Iraq ini?


Yang keduanya, mengenai artikel dalam akhbar Israel iaitu Jerusalem Post yang menggambarkan Datuk Seri Anwar sebagai Malaysia’s Future Prime Minister seperti yang telah disebut oleh kedua-dua Yang Berhormat, yang saya sebutkan tadi dalam Dewan yang mulia ini. Adakah ini juga bukti bahawa Israel juga setuju Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia dan kalau setuju mengapa?


Yang ketiga, mengenai sebuah badan bukan kerajaan atau NGO yang bernama Foundation of The Future. NGO ini menerima dana sebanyak 35 juta dolar dari Jabatan Negara atau State Department Kerajaan Amerika Syarikat, 10 juta dolar dari Bahrain dan 11 juta lagi dari sumber-sumber lain yang tidak ketahui. Pengerusi Foundation of The Future tak lain tak bukan Datuk Seri Anwar sendiri insan yang dikatakan bakal Perdana Menteri Malaysia. Di NGO ini jugalah Datuk seri Anwar mengambil kerja Shahariza, teman wanita Paul Wolfowitz yang telah mencetuskan kontroversi di Bank Dunia baru-baru ini.


Soalnya, adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlibat secara langsung dalam organisasi yang diragui latar belakangnya.... (Tuan Yang di-Pertua mengingatkan masa cuma lima minit lagi.) ...dan berkawan rapat dengan pengikut fahaman neo-konservatif yang membunuh rakyat Islam di Iraq Paul Wolfowitz ini hendak kita benarkan mengambil alih kepimpinan negara tercinta ini? Sudah tentu tidak. Selagi nyawa di kandung badan.. UMNO tetap akan mempertahankan kedaulatan negara kita! (Disambut dengan tepukan).” }


Cubalah kita sama-sama fikirkan bagi mengatasinya.. Sekian, wallahu ‘aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 16-05-08. KL.

Terrorism & Misteri Pembunuhan Dr Joe Fernandez...


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


TUAN Gobind Singh Deo Ahli Parlimen Puchong dari DAP, di Dewan Rakyat Parlimen ke 12, Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, dalam membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong pada jam 7.09 petang, antaranya menyebutkan…


{“Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya tanya di sini apakah perubahan-perubahan yang telah dibuat oleh kerajaan sejak 25 November 2007 untuk masyarakat India sehingga sekarang melainkan Thaipusam dijadikan cuti umum. Kerajaan telah pun gagal sama sekali membawa sebarang perubahan untuk masyarakat India. MIC juga masih berdiam, tiada sebarang usaha dilaksanakan untuk mengkaji secara mendalam masalah-masalah orang India di Malaysia.


Sepatutnya kerajaan bekerjasama dengan lima pemimpin Hindraf untuk menyelesaikan masalah India, tapi mereka ditahan di bawah ISA pula. Saya menyeru kepada kerajaan supaya bebaskan pemimpin Hindraf ini tanpa syarat dengan serta-merta. Saya juga cadangkan supaya satu badan khusus ditubuhkan untuk menangani masalah-masalah rakyat miskin tidak kira bangsa atau kaum. Ini adalah perlu untuk kami meneliti dan mengkaji secara mendalam masalah-masalah golongan miskin di negara ini dengan secepat mungkin.


Sehubungan dengan itu Tuan Yang di-Pertua, saya ingin juga sentuh sedikit berkenaan dengan undang-undang ISA. Adalah jelas bahawa undang-undang ISA ini memang telah pun disalahgunakan di negara ini. Sebagai contoh, tahanan pemimpin-pemimpin Hindraf; satu daripada alasan yang diberikan untuk menahan adalah bahawa mereka terlibat dalam aktiviti terrorism. Walhal, kita semua tahu bahawa pemimpin atau presiden MIC sendiri dalam satu wawancara yang diberi kepada pemberita di India beliau sendiri mengatakan bahawa tidak ada sebarang bukti untuk menunjukkan bahawa mereka ini terlibat dalam apa-apa aktiviti terrorism.


Jadi dia sebagai pemimpin kerajaan, dia sendiri tahu tidak ada bukti-bukti yang menunjukkan mereka ini terlibat dalam aktiviti terrorism, tapi tahanan mereka pula berasaskan alasan itu. Tidak masuk akal! Ini dalam masa pemerintahan Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi. Kemudian kita lihat juga satu lagi contoh. Baru-baru ini kita dengar bahawa terdapat satu keputusan dalam inquest case Dr Joe Fernandez di Pulau Pinang. Beliau telah dibunuh, ditembak pada 4 November tahun 2000.


Saya ingin membuat petikan daripada apa yang dikatakan oleh Majistret apabila memberikan keputusan dalam inquest itu. Beliau berkata bahawa tidak ada sebarang bukti menunjukkan siapa yang melakukan ataupun alasan-alasan atas mana pembunuhan itu dilakukan. Majistret yang mengendalikan enquiry berkata bahawa memang tidak ada sesiapa yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan yang berlaku pada tahun 2000. Saya ingin bacakan untuk Ahli Yang Berhormat di sini satu surat yang dihantar oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 19 September 2001.


Tun Mahathir Mohamad telah menulis satu surat kepada Perdana Menteri United Kingdom; Honourable Tony Blair Prime Minister United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, London. Adalah seperti saya baca.


A Truly, terrorism is a heinous crime and it must be reduced to bearable levels if not stopped altogether. Malaysia has no love for terrorists”.


Iaitu kita setuju yang ini tapi Tuan Yang di-Pertua ini yang penting. Ini perkataan-perkataan dalam surat Tun Dr. Mahathir.


“At this very moment we have identified and put under detention a number of Malays who had fought with the Afghans against the Russians, have been trained and inspired by Osama bin Laden, and who have returned with the objective of overthrowing the present Malaysian Government which they consider as not being Islamic”.


Ini penting Tuan Yang di-Pertua.


They has assassinated a Christian member of the Kedah State Legislative Council, robbed banks, exploded a few bombs and tried to raid a police station to steal guns”


dengan izin. Ini satu surat yang menunjukkan bahawa Menteri Dalam Negeri pada masa itu berkata bahawa beliau tahu bahawa kumpulan ini yang terlibat dalam kes pembunuhan dan saya hendak tanya siapa yang betul. Perdana Menteri menulis surat kepada Perdana Menteri England adakah dia betul ataupun adakah Majistret betul. Kalau Majistret betul adakah sesiapa yang ditahan. Dia kata…


a few Malays has been identified and detained under the ISA "


…oleh kerana pembunuhan itu. So, ini menjadi keadaan di mana memang terdapat skop keluasan untuk undang-undang ISA disalahgunakan. Saya menyeru supaya kerajaan melihat kembali sekiranya rakyat atau penama tersebut masih ditahan seperti mana dinyatakan oleh Tun Mahathir. Jikalau mereka masih dalam tahanan ISA memandangkan keputusan inquest ini saya memohon agar mereka dibebaskan dengan serta-merta dan tidak ditahan lagi di bawah undang-undang ISA ini.” [disambut dengan tepukan].}


Hal-Hal Seperti ini patut diberi penjelasan sebenarnya kepada orang ramai, supaya orang tidak menuduh Islam atau Hindu itu sebagai terroris atau pengganas, kerana yang ganas sebenarnya adalah undang-undang ISA itu sendiri.


Sekian, pendedahan ini hanya makluman. Wallahu ‘aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 16-05-08. KL.

Friday, May 16, 2008

Dato' Khalid: Air Percuma, Kerajaan Lain Cemburu?


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


TAN SRI Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dari PKR di Dewan Rakyat Parlimen ke 12, Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, dalam membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong pada jam 12.25 tengahari, antaranya menyebutkan…


{“Tuan Yang di-Pertua, setelah membaca teks Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong setebal 20 muka surat kini saya memohon izin menarik perhatian Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat ke muka 12 perenggan 30. Dalam hal ini perhatian saya tertumpu pada perenggan 30 dalam Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada muka surat 12 iaitu titah Baginda yang berbunyi:

Lebih 12 juta pekerjaan akan diwujudkan dalam pelbagai sector ekonomi. Beta juga sukacita sehingga kini sejumlah RM30 bilion pelaburan akan dilaburkan dalam sektor hartanah, pelancongan dan rekreasi di Wilayah-wilayah Iskandar Malaysia”.


Berhubungan dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mengatakan lebih 12 juta pekerjaan akan diwujudkan dalam pelbagai sektor ekonomi. Saya dengan ini mengemukakan maklumat lain yang disandarkan kepada Laporan Tahunan 2007 - Bank Negara Malaysia, bagaimana ia menunjukkan guna tenaga untuk negara kita bagi tahun 2007 adalah berjumlah 11,399,400 orang.


Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, persoalan yang saya bangkitkan di sini ialah berkaitan dengan jangkaan dan kiraan guna tenaga iaitu sebanyak 11.4 juta pada tahun 2007 dengan 12 juta pekerjaan yang bakal ditawarkan sepanjang lima tahun yang mendatang. Ini bermakna dalam tempoh 10 tahun negara menawarkan lebih 23 juta pekerjaan dan saya mohon kerajaan memberikan andaian-andaian mengapa angka tersebut dapat dinyatakan dan ini memberikan kita kesan kerana andaian-andaian itu mestilah betul, kerana dalam keadaan ekonomi dunia yang ada sekarang andaian-andaian itu akan menunjukkan angka-angka tersebut boleh dan terpaksa ditukar.


Sebagai perbandingan, bagi guna tenaga di negeri Selangor, pada tahun 2007 sebanyak 2.94 juta tidak termasuk kiraan 1.5 juta pekerja asing. Projection ataupun unjuran guna tenaga negeri Selangor mulai tahun ini hingga tahun 2020, hanya pertambahan hampir satu juta iaitu dengan mengambil kira usaha Kerajaan Negeri Selangor mengurangi pergantungan kepada pekerja asing. Di antara misi dan usaha Kerajaan Negeri Selangor ialah usaha merealisasikan visi bagi golongan pekerja.


Antaranya mengadakan latihan kemahiran bagi tenaga pekerja tempatan dan bakal pekerja di kalangan anak-anak lepasan sekolah dan penganggur yang berusia 25 tahun ke 35 tahun di samping mengkaji perubahan permintaan pasaran guna tenaga yang dinamik. Berhubung dengan titah Seri Paduka Baginda yang berbunyi..

”Beta juga sukacita sehingga kini sejumlah RM30 bilion pelaburan akan dilaburkan dalam sektor hartanah, pelancongan dan rekreasi di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia”.


Saya dengan ini menarik perhatian Tuan Yang di-Pertua, Dewan dan Ahli-ahli Yang Berhormat terhadap malapetaka yang menimpa Zon Perdagangan Bebas (FTZ) Pelabuhan Klang yang sudah diberi tahu mengalami kerugian berbilion-bilion ringgit akibat pelbagai perilaku yang tidak jujur oleh pihak pelabur dan pihak yang bertanggungjawab. Dalam pada rakyat terutama di Selangor tertanya-tanya terhadap malapetaka yang sudah pun menimpa projek Zon Perdagangan Bebas, Pelabuhan Klang (FTZ) yang masih belum terjawab.


Kita sebagai Ahli-ahli Yang Berhormat terutama yang baru di dalam Dewan yang mulia ini perlu bersikap berhati-hati dalam hal membelanjakan berbilion-bilion ringgit duit rakyat. Tegasnya, kita tidak sanggup lagi menanggung derita malah menanggung malu kehilangan berbilion ringgit yang sesuatu buruk berlaku. Mungkin kepada Wilayah Pembangunan Iskandar, Malaysia sebab banyak pihak kini sudah mula mempersoalkan yang wilayah itu akan lebih menguntungkan negara lain, bukan rakyat Malaysia.


Kemusykilan saya ini diharap pihak kerajaan prihatin dan memberi penjelasan tentang beberapa financial feasibility dan juga exit strategy pelabur-pelabur agar dapat rancangan yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat terutamanya dalam usaha pembangunan negara akhirnya menguntungkan rakyat jelata. Tuan Yang di-Pertua, saya juga merasakan ramai Ahli-ahli Dewan ini berminat tentang air percuma. Antara yang membincangkan perkara tersebut termasuk rakan-rakan saya daripada Batu Pahat dan juga dari Pontian.


Mereka-mereka ini telah membangkitkan dengan adanya air percuma, mereka merasakan terdapat pembaziran penggunaan air yang lebih banyak dan akan memberi beban kepada masyarakat. Yang sebenarnya untuk pengetahuan Ahli Dewan, walaupun kita bersedia memberi air percuma oleh sebab itu adalah sebagai satu usaha kebajikan Kerajaan Negeri Selangor, mungkin banyak kerajaan-kerajaan lain cemburu tentang kebolehan Kerajaan Negeri Selangor. [Tepuk]


Kita telah menggunakan mekanisme harga untuk mengurangkan ketidakgunaan yang berlebihan oleh pengguna- pengguna suri rumah. Umpamanya sebagai contoh, mekanisme harga ini telah menekankan penggunaan 20 meter kiub yang pertama dikenakan harga 50 sen dan penggunaan meter kiub yang seterusnya sudah ada dibuat dalam bil air SYABAS ini sudah jelas menunjukkan harganya dinaikkan kepada RM1.03 sen. Kalau penggunaan itu melebihi lagi, harga itu akan naik kepada RM2.00.


Jadi, apabila mereka menggunakan air percuma 20 meter kiub dengan percuma, tetapi oleh sebab keghairahan untuk menggunakan air, dia menggunakan lebih banyak, bayarannya akan bertambah dua kali ganda. Jadi oleh sebab itu, kini kita melatih masyarakat kita berjimat cermat menggunakan mekanisme harga bagi salah satu cara untuk menunjukkan bagaimana penggunaan harga itu dapat menentukan masyarakat dapat menggunakan dengan sebaik-baiknya. Ini satu pengajaran yang baik untuk negeri-negeri yang lain...


...Supaya mereka akan dapat menggunakan perkara ini. Walau bagaimanapun, saya juga berminat tentang beberapa kenyataan yang telah dibuat oleh Yang Berhormat daripada Pontian yang menyatakan pada pemikiran mereka bahawa pemberian air percuma ini merupakan satu rasuah Pakatan Rakyat kepada rakyat Selangor. Walaupun kabilah ini tidak boleh dipastikan, tetapi saya berharap Yang Berhormat dari Pontian bolehlah menulis surat kepada Ketua Perhubungan Negeri UMNO Selangor supaya menyatakan pandangan tersebut dan jika mereka tidak berminat untuk mendapat air percuma bolehlah menulis surat kepada Menteri Besar [Tepuk]


dan kita telah menyediakan satu program komputer untuk mengasingkan nama-nama mereka. Lebihan kewangan tersebut, saya akan berikan kepada Sekolah Agama Rakyat, sekolah Cina, sekolah Tamil untuk kegunaan mereka. [Tepuk] Jadi kalau... (Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat], Dato’ Ismail Kasim [Arau], Tuan Ahmad Maslan [Pontian] mohon laluan tetapi tidak diberi.) Dewan ini berharap, mereka boleh menulis surat kepada Menteri Besar Selangor untuk... Saya pun tidak mendapat penjelasan dahulu. Jadi oleh sebab itu, saya minta teruskan usul saya ini. [Tepuk]


Sebab saya fikir, ini adalah satu pengajaran bagaimana pengurusan social contract, kebajikan yang dapat dilakukan dengan cara teratur dan tertib yang boleh menolong rakyat terbanyak. Jadi, saya berharap perbincangan macam ini terus diteruskan supaya negara kita makmur, rakyat kita makmur dan cara penggunaan kita dengan cara ekonomi yang berkesan. Terima kasih.”}


Bagus… Kalau betul kerajaan negeri lain cemburu, mereka boleh tiru dan belajar, supaya rakyat dapat manfaatnya. Malau-malu pun takpa asal mahu. Asal rakyat tertindas terbela!

Sekian Wallahu ‘aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 16-05-08. KL.

Dr Mohd Hayati: Homeopathy, Beras, Buruh Paksa & Cermin Gelap...


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


DR MOHD Hayati bin Othman, Ahli Parlimen Pendang Kedah dari PAS, di Dewan Rakyat Parlimen ke 12, Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 10, Rabu 14 Mei 2008, dalam membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong pada jam 11.56 pagi, berucap dan memberi cadangan …


“Terima kasih kerana memberi kesempatan kepada saya untuk sama-sama berbahas dalam perbahasan menjunjung kasih di atas perasmian Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Walaupun saya menyediakan teks sebanyak lima belas muka surat, tetapi oleh kerana lima minit, kerana saya nak baca tajuk sajalah.


Yang pertamanya…

…dalam para 37, Duli Yang Maha Mulia telah menyatakan tentang Traditional and Complimentary Medicine (TCM) yang telah dipraktikkan sekarang ini di dalam hospital-hospital awam. Jadi saya rasa perkara ini merupakan satu bentuk complimentary yang agak baik untuk kita praktiskan kerana disebut tiga buah hospital telah mengadakan pioneer dalam program ini iaitu di Kepala Batas, di Putrajaya dan juga Hospital Sultan Ismail di Johor Bharu. Ini cuma saya nak beri sedikit pandangan bahawasanya ada satu lagi bentuk traditional medicine dan juga complimentary ini yang perlu dimasukkan dalam tiga bentuk yang telah dibuat di tiga hospital ini iaitu homeopati.

Ini merupakan salah satu daripada bentuk perubatan yang telah pun berada di negara maju seperti Jerman, England dan juga di India dan Pakistan yang telah mempraktikkan sehingga mereka mempunyai hospital-hospital yang agak canggih untuk merawat menggunakan Sistem Homeopati ini. Jadi saya rasa kementerian boleh memberi satu ruang ataupun peluang sama ada membentuk kolej-kolej homeopati ataupun hospital-hospital homeopati di dalam negara kita.


Tajuk yang kedua

…adalah tentang pertanian. Kalau kita lihat daripada laporan akhbar semalam. Cuma dapat RM180 serelung untuk satu musim padi. Ini saya rasa sesuatu yang menyedihkan kepada petani kita. Keringat yang mereka curahkan hasilnya hanya RM180 saja serelung. Ini bermakna mereka terpaksa mengeluarkan kos ataupun belanja yang banyak untuk mengerjakan sawah mereka. Ini melibatkan kos-kos seperti berikut:

Perbelanjaan Kos (RM)
Merumput 40
Membajak 100
Benih padi 75
Racun dan baja tambahan 150
Membaja 65
Tuai 90
Sewa 300

Apa yang menjadi masalah sekarang Tuan Yang di-Pertua, adalah tentang bekalan-bekalan baja yang diberikan kepada petani. Kebanyakannya disebut oleh petani sebagai baja second grade ataupun baja low quality. Begitu juga dengan vitamin yang diberikan. Vitamin ini bukan vitamin orang Tuan Yang di-Pertua. Vitamin untuk padi tidak digunakan oleh petani kerana hasil yang didapati selepas mereka menggunakan vitamin ini, padi semakin mengecut, semakin tidak ada hasil.

Jadi mereka tidak menggunakan vitamin yang diberikan oleh kementerian ataupun Jabatan Pertanian kerana pada anggapan mereka, vitamin ini, vitamin yang tidak memberi vitamin yang sebenar kepada padi. Oleh sebab itu, berlonggok-longgoklah vitamin yang dibekalkan oleh Jabatan Pertanian di rumah-rumah mereka.


Tajuk yang ketiga…

…adalah pampasan kepada mangsa-mangsa buruh paksa pembinaan landasan kereta api Thailand ke Burma tahun 1942 hingga 1946. Saya telah mendapat keluhan daripada rakyat di kawasan saya, yang telah menjadi buruh paksa yang mengatakan mereka ini akan dibayar pampasan oleh satu persatuan ataupun Kerajaan Jepun yang berjumlah RM1.6 juta untuk seorang buruh paksa ini. Akan tetapi sampai sekarang, saya tidak tahu ke manakah perkara ini perlu dirujuk. Mungkin Kementerian Dalam Negeri ataupun Kementerian Luar Negeri, saya pun tidak arif.

Saya harap pada kementerian yang mempunyai maklumat berhubung dengan pampasan kepada buruh paksa Jepun yang membuat landasan kereta api tersebut, supaya memberi perhatian terhadap keluhan yang dikemukakan oleh rakyat ini. Khabarnya seramai 72,000 rakyat negara ini telah pun menjadi buruh paksa. 30,000 pulang semula ke tanah air, 42,000 hilang entah ke mana. Mungkin telah menjadi makanan harimau ataupun telah maut di Burma dan juga Myanmar. Dan akhir sekali...”


“Masa! Masa Yang Berhormat.” Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan.


“Akhir sekali.

...Akhir sekali, amaran oleh JPJ laporan akhbar pada hari ini, mengatakan akan mengadakan sekatan jalan raya dan mengenakan tindakan ke atas mereka yang menggunakan kenderaan cermin gelap. Jadi ini saya rasa merupakan satu masalah yang perlu dihadapi oleh Kementerian Pengangkutan bahawa mereka yang mengimport kereta ini memang diimport kereta cermin gelap, terpaksa ditukar cermin yang cerah.

Belanja RM300, mendapat kelulusan daripada PUSPAKOM tetapi apabila diberikan kepada pengguna di cermin gelapkan balik kereta tersebut. Yang menjadi mangsa adalah pengguna. Jadi saya harap kalau hendak import itu biarlah daripada awal ia tidak gelap. Cerah daripada Jepun sampai ke sini. Terima kasih.” Dr Mohd Hayati menutup cadangannya.

“Okey Yang Berhormat, terima kasih!” Sambut Timbalan Yang di-Pertua Dewan.


Sekian Catatan Santai dari parlimen untuk kali ini.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 16-05-08. KL.

Datuk Abdul Ghafur: Program SMS Menipu & Rosakkan Remaja?



Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


SOALAN:

“(a)… Apakah kementerian sedar melalui media elektronik terdapat banyak program berbentuk program realiti mahupun berbentuk kuiz yang mempelawa penyertaan rakyat melalui kemudahan SMS; dan (b)… Keuntungan kerajaan, stesen media elektronik yang diperolehi melalui program berbentuk demikian dan berapa dibelanjakan oleh rakyat yang menyertai program-program sedemikian.” Demikian Soalan Datuk Abdul Ghafur bin Saleh Ahli Parlimen Kalabakan dalam Penggal Pertama Mesyuarat 1 Bil 7 Khamis 8 Mei 2008 lalu.


JAWAPAN:

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato’ Joseph Salang anak Gandum menjawab...

Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Kalabakan atas soalan yang dikemukakan. Kementerian sedar bahawa pada masa ini terdapat 29 program berbentuk Sistem Khidmat Pesanan Ringkas atau SMS di stesen-stesen televisyen swasta di negara ini. Kerajaan tidak mengambil keuntungan secara langsung dari program-program berbentuk SMS. Sejak Januari 2008, sejumlah RM5,395,840 telah dibelanjakan oleh rakyat Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, tidak semua program berbentuk SMS tidak berfaedah kepada orang ramai. Program SMS dalam kategori maklumat atau info bertujuan menggalakkan hubungan interaktif antara penonton dengan program atau stesen televisyen meningkatkan strategi promosi atau pemasaran, memberi peluang kepada penonton bagi mendapatkan maklumat mengenai program dan selebriti. Stesen televisyen juga mengiklankan perkhidmatan kandungan premium seperti cuaca, tips, horoskop dan sebagainya.

Program dalam kategori derma pula bertujuan untuk memungut derma atau sumbangan melalui SMS yang dihantar oleh orang ramai. Antara program dalam kategori ini adalah Program Bersamamu (TV3) dan Nation Care Charity (NTV7). Kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM sentiasa memantau program-program berbentuk SMS dan mengawal penyiarannya dengan mengenakan peraturan-peraturan tertentu. Terima kasih.”


SOALAN TAMBAHAN:

“Tuan Yang di-Pertua, saya sedar bahawa ada penghantar SMS ada memberi maklumat, tetapi apa yang saya maksudkan ialah program media seperti Program Akademi Fantasia, Program Gang Starz, program-program berbentuk kuiz, yang sebenarnya ini satu penipuan. Ini satu penipuan, kementerian harus meneliti semua program. Yang berfaedah, kita teruskan.

Jadi saya mahu tahu, program-program penipuan ini merosakkan remaja kemudian mereka ini dijanji bermacam-macam, merosakkan remaja. Jadi saya mahu tahu sama ada kementerian boleh bagi kepada Dewan yang mulia ini, bagi tahu yang mana program yang berfaedah kita terus, yang menipu rakyat, bolehkah kementerian cegah daripada penipuan.” Tanya Datuk Abdul Ghapur lagi.

JAWAPAN;:

Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada Yang Berhormat Kalabakan atas soalan tambahan. Sebenarnya, pada takrifan kementerian, sekiranya sesuatu program didapati tidak memberi faedah atau menjatuhkan rohani rakyat Malaysia, kementerian tidak akan memberi kebenaran agar program ini dianjurkan oleh sesiapa. Dalam takrifan kementerian, bagi saya peluang untuk menerangkan iaitu bagi takrifan pertandingan yang berbentuk SMS.

Pihak SKMM berpandangan bahawa program yang berbentuk SMS adalah takrifan sebagai program, di mana keseluruhan rancangan tersebut adalah bergantung sepenuhnya kepada penyertaan para peserta atau penonton melalui perkhidmatan SMS. Oleh itu, berdasarkan tafsiran di atas, hanya program berbentuk kuiz, permainan televisyen dan program perbualan atau chat show wajar dikategorikan sebagai program SMS. Penggunaan SMS dalam program-program lain seperti peraduan, derma, undian dan sebagainya adalah di tahap yang minima.

Oleh yang demikian, adalah tidak wajar program-program tersebut dikategorikan sebagai program berbentuk SMS. Justeru, bilangan program SMS yang terkini di stesen-stesen televisyen di bawah Media Prima Berhad dan Astro adalah seperti berikut: (i) Game show; (ii) Permainan chat; (iii) Perbualan. Kesemuanya adalah: (i) TV3 - 2; (ii) NTV7 - 0; (iii) 8TV - 3; (iv) TV9 - 1; dan (v) Astro - 6.

Akademi Fantasia yang ditanyakan oleh Yang Berhormat, tidak dikategorikan sebagai program SMS di Astro, kerana ia tidak tergolong dalam takrifan program SMS yang disebut di atas tadi. Akademi Fantasia merupakan program realiti, pencarian bakat dan turut memaparkan proses pembelajaran peserta di samping konsert mingguan. Elemen SMS hanya digunakan untuk menentukan para pemenang. Terima kasih.” Jawab Dato’ Joseph Salang lagi.

SOALAN TAMBAHAN:

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Datuk Ronald Kiandee yang mempengerusi dewan tersebut membenarakan soalan dari Yang Berhormat Bachok, Tuan Nasharudin Mat. Isa.

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Izinkan saya membaca satu SMS. Soalan kita berkaitan dengan SMS yang dihantar kepada anak saya yang baru tingkatan tiga dan diforwardkan kepada saya pagi tadi. Penghantarnya, nombor 22123000. Isi SMS nya adalah:

‘Wild youth collection. We have all funny clips and hot sexy mobile videos. Type ON YOU. Send to 33499 now. Free registration’.

Bagaimana pihak kementerian nak respon pada SMS yang sebegini dihantar kepada pelajar Tingkatan 3 dan ramai lagi saya rasa yang memperoleh SMS yang sebegini, dalam rangka untuk kita bertindak seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Kalabakan sebentar tadi, yang memberikan kesan negatif kepada budaya, akhlak, khasnya remaja-remaja kita. Terima kasih.” Kata Tuan Nasaruddin.

JAWAPAN:

Jawab Dato’ Joseph Salang anak Gandum, “Terima kasih Yang Berhormat dari Bachok. Tuan Yang di-Pertua, pertanyaan atau soalan tambahan dari Yang Berhormat Bachok adalah terkeluar dari soalan pokok. Namun demikian saya mengharapkan...”

“Yang Berhormat, kalau terkeluar tidak payah jawab!” Sampuk Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Ronald Kiandee.

Kata Dato’ Joseph Salang anak Gandum lagi, “Yang Berhormat Bachok boleh menyampaikan pesanan SMS itu kepada... (Beberapa Ahli menyampuk hendak bercakap) Eh, bukan kepada saya, nanti saya pula…

Tuan N. Gobalakrishnan Ahli Parlimen Padang Serai dan beberapa lain bangun hendak bercakap.

Ahli Yang Berhormat sila duduk, sila diam Yang Berhormat.” Arah Timbalan Yang di-Pertua lagi.

“Ini masa depan negara kita!” Jawab N Gobalakrishnan.

“Yang Berhormat Padang Serai duduk!” Timbalan Yang di-Pertua mengarah sekali lagi.

Dato’ Joseph Salang anak Gandum menyambung jawapannya kepada Yang Berhormat Bachuk lagi, ...Kepada syarikat telekomunikasi di mana anak Yang Berhormat menjadi pelanggan. Terima kasih!”

Itulah antara dialog dan perbincangan di parlimen yang boleh kita fikir-fikirkan bersama. Benarkah program yang ada kaitan dengan SMS di bawah Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato’ Joseph Salang anak Gandum itu termasuk projek menipu rakyat dan merosakkan anak-anak remaja?

Sekian Catatan Santai dari parlimen untuk kali ini.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 16-05-08. KL.

Thursday, May 15, 2008

Guan Eng: PP Hilang Pelabur RM1 Billion Kerana BN...



Ibnu Hasyim:
Catatan Santai

YB GUAN Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Bagan dari DAP di Dewan Rakyat Parlimen ke 12, Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, dalam membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong pada jam 11.51 pagi, antaranya menyebutkan…


Minta maaf. Di sini, kami harap bahawa isu-isu yang menjadi perkara pokok kepada pengundi-pengundi bolehlah diuruskan dengan segera oleh Kerajaan Pusat. Contohnya penubuhan IPCMC yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Polis harus didirikan dengan segera. Kedua, undang-undang yang melanggari dan mencabuli hak asasi manusia baik ISA, OSA ataupun Akta Hasutan. Ia mesti dihapuskan dengan segera dan yang penting sekali ialah PPBA iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang mengongkong kebebasan akhbar. Ia juga harus dimansuhkan dengan segera.


Ketiga, pembahagian ekonomi yang adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia dalam menangani masalah inflasi. Rakyat Malaysia dalam kesusahan, dan di sini kami berharap bahawa kekayaan negara bolehlah dikongsi bersama. Saya tidak faham mengapakah keuntungan yang di kecapi oleh Petronas selama ini masih dikawal dan dimiliki oleh satu syarikat sahaja. Sudah sampai masanya bahawa kekayaan ini boleh dikongsi bersama dengan rakyat; hususnya rakyat miskin supaya sekurang-kurangnya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban inflasi yang dihadapi oleh semua.


Jikalau RM80 bilion keuntungan oleh Petronas setiap tahun, kita hanya tuntut separuh sahaja bukan segala-gala nya. RM40 bilion dibahagikan kepada orang miskin bukanlah lebih, bukanlah melampau hanya sebuah keluarga RM6,000 setahun sahaja bukankah ini sesuatu yang dapat menunjukkan kasih sayang, keprihatinan dan juga bahawa Kerajaan Malaysia adalah milik rakyat dan bukanlah milik satu atau dua orang. Di samping itu, saya juga ingin menimbulkan tentang masalah yang harus di ambil perhatian oleh kerajaan.


Saya ingin menarik perhatian Tuan Yang di-Pertua tentang buku ‘The Tipping Point’ dan saya rasa Malaysia sekarang adalah satu contoh yang paling jelas bahawa kita mungkin dalam peringkat the tipping point. Satu, ialah politik tsunami pada 8 Mac. Berikutan tsunami politik ini keadaan yang berubah telah menunjukkan kemungkinan bahawa ada perubahan yang lebih besar dan di antara agen-agen tipping point ini adalah selain daripada ketua umum PKR Datuk Seri termasuk juga Yang Berhormat dari Gua Musang dan juga Yang Berhormat-Yang Berhormat, Ahli-ahli Parlimen daripada Sabah dan termasuk juga Yang Berhormat dari Rembau yang juga merupakan agen tipping point ini.


Satu lagi perkara bukan individu yang memungkinkan tipping point ini berlaku, yang boleh membawa perubahan yang lebih besar adalah masalah rasuah. Di sini kami boleh bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tahu kegagalan sebelum ini untuk menangani gejala rasuah dan telah mencadangkan beberapa langkah-langkah untuk menunjukkan komitmen beliau dalam menangani rasuah. Saya bimbang bahawa usaha beliau tidak akan tercapai sekiranya tidak ada hasrat politik, sekiranya beliau tidak ada pembantu yang dapat menyempurnakan tugasnya.


Apa gunanya kalau dia satu orang yang hendak hapuskan rasuah dan yang lain-lain tidak begitu committed. Dalam aspek ini ada banyak kes rasuah yang belum ditangani dan saya rasa kalau rasuah ini tidak ditangani, ia mungkin menjadi satu lagi unsur utama tipping point yang saya telah sebutkan tadi. Di antara contoh-contohnya ialah seperti yang saya sebut dalam soalan tambahan kepada Yang Berhormat Menteri tadi. Gas, subsidi gas yang telah diberikan oleh Petronas, sejak tahun 1997 sebanyak RM58.2 bilion dalam bentuk gas subsidi telah diberikan. RM48.8 bilion kepada sektor tenaga manakala RM9.4 bilion kepada sektor bukan tenaga dan dalam jumlah ini yang diberikan kepada sector tenaga iaitu khususnya TNB dan IPP.


Kebanyakan gas subsidi dinikmati oleh IPP, saya bagi satu contoh untuk tahun 2007 gas subsidi yang telah diberikan oleh Petronas adalah sebanyak RM15.6 bilion. Di mana TNB hanya mendapat RM5 bilion sahaja. Sektor yang bukan swasta RM3.9 bilion, tetapi yang paling banyak ialah IPP - RM6.7 bilion. Di sini Tuan Yang di-Pertua saya hendak mencadangkan kurangkanlah gas subsidi kepada IPP kerana mereka adalah syarikatsyarikat yang telah disenaraikan dalam Bursa Malaysia yang boleh mendapat keuntungan berbilion-bilion ringgit. Mengapakah mereka boleh menikmati subsidi berbilion-bilion ringgit dan membolehkan mereka mendapat keuntungan berbilion-bilion ringgit?


Manakah keadilan, manakah kesaksamaan, manakah keprihatinan kerajaan untuk rakyat-rakyat miskin? Di sini kerana Malaysia kekurangan gas, di Pulau Pinang kerana ketidak adaannya bekalan gas, sungguhpun ada paip gas yang telah dibina dengan harga berbilion ringgit, tetapi kerana tidak ada gas, Pulau Pinang kehilangan pelaburan asing RM1 bilion. Saya difahamkan oleh pihak Kerajaan Pusat untuk satu Malaysia kita hilang RM6 bilion kerana tidak ada bekalan gas. Apa gunanya kalau kita adalah pengeluar gas, kalau kita tidak boleh menampung bekalan tempatan.

Di sini saya juga hendak mempertikaikan macam mana Petronas menggunakan sumber kewangan yang sedia ada. Contohnya dalam keadaan di mana Kerajaan BN enggan memberikan wang Petronas kepada rakyat. Philharmonic Orchestra yang hanya dianggotai oleh 5% pemuzik tempatan… Saya hendak tanya, adakah benar bahawa sejak Malaysia Philharmonic Orchestra itu bukan RM500 juta telah dibelanjakan? Kalau benar macam mana ia boleh membantu mereka yang miskin, mereka yang tidak ada beras sekarang yang tidak mampu beli sekarang.

RM500 juta untuk menampung Malaysian Philharmonic Orchestra yang bukan dianggotai oleh orang tempatan, tetapi kebanyakan oleh orang asing. Sebanyak 95% pemuzik asing dibayar di antara RM16 ribu dan RM28 ribu sebulan. Setiap orang diberikan cuti berbayar 2 bulan setiap tahun. Ketua muzik atau konduktor dibayar RM130 ribu sebulan, manakala pembantunya RM50 ribu sebulan. Jumlah perbelanjaan orkestra Malaysia ini adalah RM33.5 juta sebulan. Adakah ini jumlah yang telah dibelanjakan?

Saya harapkan bahawa konduktor muzik Malaysia Ooi Chean See telah meletak jawatan... ...kerana tidak diberikan peranan penting. Dan saya hendak tahu bagaimana Petronas sanggup membazirkan wang begitu banyak, tetapi tidak diberikan banyak faedah kepada pemuzik tempatan. Alangkah baik kalau wang ini bolehlah disalurkan untuk membantu orang miskin di Sabah kita tidak akan menentang, dan saya rasa yang Ahli-ahli Parlimen daripada Sabah pun akan setuju.

Itulah pandangan Lim Guan Eng tentang pembaziran Kerajaan BN. Apakah pemikiran beliau sama atau sudah berpandukan Khalifah Umar Abdul Aziz, Khalifah Islam dari kerajaan Bani Umayyah yang menyamai ciri-ciri hidup Khalifah Ar-Rasyidin Umar Al-Khattab Khalifah II Kerajaan Islam di Madinah? Apakah kehilangan pelabur asing di Pulau Pinang RM1 bilion sebagai langkah yang boleh ditafsirkan penekanan ke atas negeri yang dikuasai pembangkang dari Kerajaan Pusat?. Nampak tibalah masanya, Kerajaan Pusat pimpinan BN terpaksa ditukar oleh kuasa rakyat!

Sekian Wallahu ‘aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 14-05-08. KL.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails