Ibnu Hasyim: Catatan Santai Dari Parlimen
KITA pilih ucapan Dr Siti Mariah binti Mahmud Ahli Parlimen Kota Raja dari PAS, di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Ke 2 Bil 33, Rabu 16 Julau 2008, semasa membahaskan RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN TAMBAHAN (2008) 2008 Bacaan Kali Kedua. Inilah ucapan beliau yang disunting dari laman web Parlimen Malaysia…
“Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana membenarkan saya bersama-sama membahaskan mengenai anggaran perbelanjaan mengurus tambahan pertama ini. Tuan Yang di-Pertua, kalau kita lihat balik kepada anggaran perbelanjaan ini memanglah kebanyakannya adalah untuk mengurus. Jadi saya merasakan bahawa kerajaan kita banyak membelanjakan untuk pengurusan dan kita kena ingat kakitangan kerajaan, pegawai-pegawai yang membuat keputusan, menteri-menteri kita diamanahkan ataupun kerajaan diamanahkan untuk mentadbir dan mengurus wang rakyat.
Ini adalah satu amanah yang besar. Jangan sampai kita dalam mengurus kewangan negara ini membazir, tiris ataupun bocor di dalam penggunaan wang ini. Saya hendak memberikan beberapa contoh yang saya rasakan tidak patut berlaku kerana sedangkan rakyat kita sekarang ini terutamanya dahulu pun ramai yang susah tetapi sekarang makin susah. Sekarang kalau kita lihat majlis-majlis keraian yang diadakan oleh manamana jabatan sekalipun untuk mesyuarat, untuk program-program perasmian dan sebagainya sebahagian besar kewangan itu digunakan untuk perbelanjaan ini.
Ini adalah perbelanjaan hangus dan kita lihat bahawa kadang-kadang jamuan yang dihidangkan dengan menu-menunya dan sebagainya ini adalah wang rakyat. Kadang-kadang saya tak faham kenapa bila kita pergi mesyuarat maka makanan tengah hari disiapkan. Makan tengah hari disiapkan... ...dan bila kita lihat di situ bukan disiapkan hanya untuk orang yang bermesyuarat tetapi kadang-kadang hampir satu jabatan akan tumpang makan sekali. Saya rasa kita patut ubah budaya ini kerana ini adalah wang rakyat. Ramai rakyat kita susah sedangkan kita bergaji tinggi.
(Ada YB yang minta laluan bercakap, tapi tidak diberi..) Kalau kita pergi keluar negara kalau kita lihat kalau disiapkan makanan pun ala kadar. Mungkin hanya sandwich atau kuih-muih tetapi tidaklah elaborate dengan izin seperti yang berlaku... ...di negara kita ini. Ya. Jadi saya minta amanah ini... ...semua orang yang mempunyai kuasa membuat keputusan, membuat bajet dan segala-galanya... Mesti ingat duit ini duit rakyat. Sekiranya ada di antara rakyat kita yang kebuluran, tidak makan satu hari, kita menanggungnya. Ini amanah. Jadi saya harap begitu.
Begitu juga saya harap menteri-menteri, pegawai-pegawai tinggi, kalau tidak betul saya, tolong betulkan. Risalah di hadapan saya ini menunjukkan bahawa ada elaun-elaun sehinggakan RM40 ribu setahun kepada Perdana Menteri atau kepada menteri, tolong verify. RM40 ribu setahun untuk dapur dan perhiasan rumah. Peruntukan percutian, tiket penerbangan RM50 ribu, untuk hotel, duit poket dan sebagainya. Bil elektrik percuma ditanggung kerajaan, telefon percuma ditanggung kerajaan. Saya minta perkara-perkara ini disemak semula. Ini kerana kalau kita hidup sebagai rakyat biasa pun, bil telefon tidak rasmi mesti kita tanggung sendiri. Kenapa perlu rakyat menanggung bil telefon kita ini?
Kalau kita melihat kepada Sayidina Umar Al-Khattab, Sayidina Abu Bakar, kita mesti melihat balik kepada para sahabat-sahabat ini bagaimana pemerintahan mereka yang menjaga amanah rakyat ini. Banyak lagi pembaziran dan pemborosan yang berlaku di dalam negara kita. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, ingatlah kalau kita hanya memikirkan hanya untuk mengayakan manusia, banyak mana pun rakyat tidak akan merasa cukup. Begitu juga para menteri, banyak mana pun tidak akan mencukupi. Jiwa dan hati rakyat perlu kita lunakkan dengan contoh yang baik daripada pemimpin-pemimpin.
Kalau setakat 10% kita memotong elaun kita, ini tidak mencukupi. Ini tidak mencukupi kerana banyak lagi elaun yang lain. Saya kadang-kadang bila sudah jadi wakil rakyat ini, pagi orang bagi makan, tengah hari orang bagi makan, malam orang bagi makan, saya pun hairan. [Disampuk] Ini saya hendak beritahu kerana kenapa perlu rakyat menjamu kita? Kenapa perlu jabatan-jabatan menjamu kita? Kita menjalankan tanggungjawab kita. Kita ada gaji kita, elaun kita untuk kita beli makan tengah hari kita, makan pagi kita, makan malam kita. Ini saya minta kita semua mengambil tanggungjawab ke atas perkara ini.
Kedua ialah saya ingin menyebut mengenai... (Ada YB-YB yang minta laluan bercakap, tapi tidak diberi..) ...pertambahan RM20 juta lagi. Saya menyokong untuk Orang Asli dan sebagainya. Cuma saya hendak bertanya, dari mana peruntukan kerajaan ini diambil kepada penghulu-penghulu Pusat? Dari mana akan diambil elaun-elaun untuk JKKP ini? Adakah ia daripada wang ini? Kita hendak tengok di dalam Parlimen ini dibentangkan banyak mana dihabiskan kepada JKKP dan penghulu-penghulu Pusat ini.
Mereka, bagi saya, adalah ejen-ejen UMNO untuk memastikan dan kerja mereka adalah kerja politik, pelantikan politik dan kehadiran mereka di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat adalah untuk memecahkan masyarakat kita di sana. Tuan-tuan, eh tuan-tuan, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian... [Disampuk] Ya, ya, minta maaf. Masih tersasul, tidak apa. Tuan Yang di-Pertua, saya rasa tidak patut kewangan Persekutuan bukan sahaja digunakan untuk JKKP ini tetapi saya hendak tanya tiap-tiap kali pak menteri-pak menteri turun, pegawai-pegawai kementerian turun untuk urusan-urusan parti, kewangan mana yang digunakan. It’s high time, dengan izin.
Kita asingkan tugas politik kita, kerja politik kita daripada tugas kerajaan. Kita mesti mengasingkan political work from governmental work. Government and party is not the one and the same thing, dengan izin, Tuan Yang di-Pertua. Kalau-kalaulah kita menggunakan, misalnya turun untuk kerja-kerja parti dengan wang rakyat, kami tidak reda, kami tidak halal kerana itu adalah wang rakyat... ...dan parti tidak berhak mengguna wang rakyat untuk kerja-kerja parti. (Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman Ahli Parlimen Pasir Salak mencelah: Menteri Besar Perak yang buat kerja ini.) Tuan Yang di-Pertua, kenapa sensitive sangat? Kalau betul Menteri Besar menggunakan… (Ramai yang mencelah.)
Saya ingin menyentuh mengenai kuota. Saya bukan tidak menyokong kuota meritokrasi. Saya sokong. Tadi bila Yang Berhormat Batu Pahat menyebut mengenai wanita merasa terhina sekiranya kita menggunakan kuota kerana wanita sekarang hendak dia diiktiraf sebagai orang yang layak kerana kemahirannya, kebolehannya dan bukan kerana dia seorang wanita. Begitu juga saya rasa kalau kita menggunakan sistem kuota tanpa panduan yang baik, berasaskan meritokrasi, maka kita menghina bangsa kita sendiri. Kita orang Melayu patut sampai ke satu tahap bila kita hendak teruskan kuota dan yang tidak berasaskan meritokrasi. Ini kerana kalau kita sayangkan mereka, kita sayangkan anak-anak kita, mereka perlu belajar bersaing dengan pelajar lain.
Saya bersetuju dengan Pasir Mas mengenai meritokrasi. Bila kita bercakap mengenai meritokrasi, kita tidak hanya bercakap mengenai meritokrasi berasaskan kelulusan akademik. Dalam meritokrasi itu, faktor seperti pendapatan keluarga, sekolah dari mana mereka datang, mana mungkin kita membezakan seorang penuntut yang mendapat 9A daripada MCKK misalnya, dengan seorang murid yang mendapat 9A daripada Sekolah Menengah Pokok Sena di Padang Terap. Itu sekolah saya dahulu. Tidak mungkin kita membezakan. Jadi tentulah kalau ada dua manusia, dua penuntut dengan sama keputusan akademiknya, meritokrasinya dan tempatnya terhad, tentulah kita bagi kepada mereka yang dari sekolah luar bandar.
Bagi saya, kita orang Melayu tidak patut takut dengan soal meritokrasi dan system meritokrasi jika sekiranya sistem meritokrasi itu diberi weightage.. (Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan masa sudah habis.) ...ataupun pemberatan yang adil, maka kita akan lihat selagi mana orang Melayu yang miskin yang berada di luar bandar memerlukan bantuan daripada kerajaan, maka mereka tetap akan mendapat bantuan ini. Sekiranya mereka ini adalah daripada bangsa lain sekalipun, jika kita menggunakan pemberatan yang adil, maka mereka juga patut diberi bantuan. Tidak timbul soalan bila kita membuat meritokrasi, maka orang Melayu akan terpinggir.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.”
Sekian catatan santai dari Parlimen Malaysia, wallahu ‘aklam.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 20-07-08. KL.