Saturday, September 13, 2008

Misteri Pulau Puaka Di Aceh.


Ladang ganja di Aceh

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan.

SAYUP-SAYUP dari pantai sekitar Banda Aceh, nampak kebiruan kelumpuk-kelumpuk kepulauan. Antaranya ialah Pulau Aceh atau Pulau Beras.. adalah sebuah pulau berhampiran Pulau Sabang. 

Kalau Pulau Sabang terkenal sebagai tempat perlancungan, tetapi pulau ini agak lain sikit. Apa lainnya?

“Sebelum tsunami pulau itu dipenuhi pokok-pokok ganja, menjadi antara pengeluar dadah ganja terbesar di Aceh. Waktu itu, undang-undang dadah berbahaya tidak seketat sekarang. Perusahaan penanaman ganja menjadi sumber pendapatan penduduk.” Kata seorang, yang saya temui di Chow Kit, KL.

Dikatakan, beliau adalah generasi awal orang Aceh penghijrah dari negaranya, yang meneroka di KL sebagai peniaga-peniaga kedai runcit Aceh.. berkembang hingga berselerak bercambahan seperti yang ada sekarang. 


Mengimbau kenangan lama beliau, katanya..

“Aku anak Krung Gueh keluaran Sekolah Ekonomi Asas Luok Seumawe, sewaktu umur 21 tahun telah bertolak ke Medan, melalui Dumai... aku masih ingat, waktu itu bertarikh 1 Jan 1979. Pada pagi jam 7.00 sampai di Pantai Kundur Melaka, dengan pas lawatan. Kami 7 orang dibekal RM4-00. Kagum aku dengan ringgit Malaysia masa itu, kami dapat makan seorang seketul roti dan; sebungkus air kotak, bila dibayar masih berbaki RM1.60. 

"Hebat fikirku, memang Malaysia mewah dan kaya! Di situlah timbul ilhamku untuk jadi seorang peniaga. Walaupun mulanya aku menjadi buruh di Felda Sungai Koyan 2, Raub, tetapi akhirnya aku dapat peluang mengedar rokok kretek Gudang Garam Indonesia di KL. Untungnya lumayan masa itu, membuat perniagaan aku cepat meningkat.”

“Berapa untung sebungkus masa tu?” Aku tanya.

“Gudang garam merah, jualan runcit RM5 sebungkus.. memang mahal kerana tidak cukup barang. Tolak borong RM4-00, aku untung RM2-00 lebih sebungkus. Ha! kerana rokok kreteklah peniaga-peniaga kedai runcit kecil tepi jalan bisa hidup bertumbuhan dan berkembang!”

“Tak salah ke dari sudut undang-undang negara?”

“Mungkin waktu itu kerajaan bagi can, nak tolong orang Aceh. Rokok simpan bawah meja, bila pembeli minta baru keluarkan!” Jelas beliau.

“Begitukah juga dengan pengedaran ganja?”

“Ssshht!” Sambil jari telunjuknya diletak dibibir. “Sejak dulu lagi Malaysia adalah antara negara penerima ganja terbesar dari Aceh!”

Hal ini mengingatkan semasa muda-muda saya di kampung Balik Pulau, Pulau Pinang. Ketika berjalan-jalan di tepi pantai, bila terserempak dengan penyeludup-penyeludup, akan dihadiahkan sebungkus kecil ganja, sebagai proses ‘tutup mulut’. Maka murahlah harga ganja di situ, dan mudahlah juga anak-anak muda jadi penagih. 

Seingat saya 1 kertus ganja baru 50 sen saja. (1 kertus = 1 balutan padat termasuk daunan dan biji ganja, bulatan sebesar syiling 20 sen, panjangnya kira-kira 3 inci.). Ramai anak-anak muda kampung saya jadi penagih ganja.

Minggu lepas, semasa saya berkunjung ke Aceh, saya bertanya seorang kawan kakitangan sebuah akhbar tempatan mengenai pulau itu, apakah masih ada kegiatan tanaman ganja di situ? Jawabnya, “Ya, masih banyak!”

“Apakah pihak berkuasa tidak pergi memberkas penanamnya?”

“Kalau pergi ke pulau itu di sebelah siangnya, tidak pernah ada penduduk, walaupun pokok-pokok ganja masih berkembang subur. Nak tangkap siapa, tiada orang? Namun ganja-ganja di situ tetap beredar di pasaran. Itulah sebenarnya yang menjadi misteri di pulau berpuaka itu!”

Bila sebut ‘berpuaka’, teringat pula cerita seorang nelayan yang sering menangkap ikan sekitar pulau itu sebelum tsunami. Dia pernah melihat sebuah kapal dari luar negara berlabuh. Membawa beberapa bahan peledak, dan meletupkannya di dasar laut berhampiran pulau itu, bergegar dan menimbulkan gelombang agak besar juga. 

Berita itu tersebar luas di Banda Aceh, tetapi ianya lenyap terus bila datang gelombang yang jauh lebih besar lagi, iaitu tsunami 2004. Apakah ianya juga sebuah legenda misteri berpuaka di pulau itu??

Akhirnya berkata seseorang di depan saya, yang ditemui di Chou Kit ini, “Kita orang-orang Aceh, kini visa tsunami tinggal di Malaysia sudah terancam, kita perlu fikirkan bagaimana untuk terus berniaga di sini.. atau memegang visa perniagaan, walaupun terpaksa berulang-alik ke Aceh!”

Nampaknya, saya pun sudah dianggap mempunyai roh sebagai rakyat Aceh, selepas baru pulang dari Aceh. Sekian, catatan perjalanan kali ini, Wallahu aklam.

Catatan Perjalanan: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
Chow Kit 
KL. September13, 08.

Lihat..
E-Buku IH-15: Aceh, Sebelum & Selepas Hasan Tiro'
E-Buku IH-15: Aceh, Sebelum & Selepas Hasan Tiro'

Thursday, September 11, 2008

Hati-hati Baca Al-Qur’an Dalam Internet.. Group University UK


BY ASYOK KUMAR

LCCT: September10 – Umat Islam perlu berhati-hati bila membaca Al-Quran melalui internet kerana banyak tulisan yang salah, kata Dr Hj Mohd Hasyim, selaku Presiden Group Universiti Ulu Klang yang baru pulang dari Banda Aceh dalam pertemuan dengannya di sini semalam.

Beliau diberitahu dalam pertemuan dengan rakannya di IAIN Raniri, Banda Aceh. Contohnya, dalam ‘The Holy Quran’ pada situs http://WWW.geocities.com/hollywod/academy , banyak sekali teks Quran yang salah, yakni teks penulisannya, seperti dalam bahagian surah Al Imran 153, ada dua pengulangan kata dalam teks tersebut.

Beberapa surah yang ditemui teks berganda antara lain dalam Surat Al A’raf, Surat Yusuf, Israil, Al Ahqof, Attahrim, Al fatir, Al Mumtahinah, dan lain-lain. Beliau juga mencadangkan masyarakat yang akan membaca Al Qu’ran melalui internet supaya tidak membaca The Holy Quran, namun boleh membaca Al Qu’ran internet dengan membuka situs http://www.qurancomplex.org milik pemerintah Arab Saudi, atau Al Quran internet yang dikeluarkan oleh mana-mana negara melalui bahagian agamanya yang sah.

Sementara itu di Bandung, Ketua MUI Jawa Barat yang membidangi Syariah dan Fatwa, Prof DR Rahmat Syafii, menyatakan, pihaknya akan segera mengambil sikap atas banyaknya teks Al Qur’an yang salah dalam internet.

Kampung Kedah Aceh, Selepas Tsunami..


Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan

KAMPUNG Kedah (di Kecamatan Keudah) terletak di tebing Sungai Aceh membelahi tengah-tengah Banda Aceh, bersempadanan dengan Kampung Jawa. Sebelum berlakunya tsuami pada hari Natal 25 Disembar 2004, Kampung Kedah terkenal sebagai sarang jenayah, maksiat, perjudian, pelacuran, perompakan, pembunuhan, samseng-samseng mabuk dan pengedaran dadah. 

Sehingga di situ diwujudkan sebuah penjara bagi penjenayah-penjenayah di tapak pasar (seberang sungai depan Kampung Kedah) yang ada sekarang. Orang-orang keturunan India di Banda Aceh terdapat ramai di situ, dan banyak juga vihara Buddha sembahan orang-orang Cina. Tiba-tiba tsunami datang merubah segala-galanya. 

Begitu.. cerita saya dapat, antaranya dari sekumpulan beberapa anak muda yang sedang membakar ikan-ikan tongkol pagi itu sebelum sahur bersama-sama saya.

“Mari Pak! Kami ra’i bapak ..bakar ikan-ikan tongkol yang baru naik dari bot nelayan tadi, manis dan enak kali.. buat sahur.” sambil tangannya sedang memotong dan merencung buluh kecil, menjolok masuk ke mulut ikan memudahkan pembakaran. 

Mereka membakar ikan depan sebuah warung mee Aceh, yang baru ditutup habis niaga pagi itu, depan sebuah hotel terkenal membelakangi Sungai Aceh, diseberangnya itulah terletak Kampung Jawa dan Kampung Kedah.

“Siapa bapak yang baru tiba itu? Orang GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dari mana?” Tanya seseorang dari mereka tentang saya, kata pengenalan hingga mereka boleh jadi baik dengan saya.

“Oo. Tidak. Dia bukan orang GAM, tapi orang Malaysia.” Jawab temannya.

Rupanya, tempat saya nginap itu adalah bekas markas unit latihan GAM sebelum perjanjian damai dengan RI (Republik Indonesia) beberapa tahun lalu, yang sudah beberapa kali disergap tentera RI, dan ramai pemimpinnya ditangkap di situ. 

Hotel itu milik seorang wanita pimpinan tertinggi GAM yang terkorban dalam tragedy tsunami di penjara tentera RI, baru menjalani 2 tahun dari hukuman 20 tahun penjara kerana kegiatan politiknya. Dikatakan Gabernor Aceh sekarang adalah anak didik beliau.

Pada suatu pagi menjelang sahur, pemuda yang bertanya temannya tentang saya itu terus tanya saya pula.. 

“Maaf Pak! Aku nak tanya terus terang, aku intai gerak-geri bapak di hotel.. agak lain. Bapak tidak pernah ada di kamar, kecuali beberapa jam waktu tidur. Bapa sewa kamar paling murah [Iaitu satu kamar Rp 40,000 (RM16) – ada 4 katil. Kalau tinggal 4 orang, bererti sewanya RM4 per orang, tiada di hotel lain semurah itu di situ]. 

"Bapa sering tengah malam berada di tempat-tempat ganjil, seperti ujung tebing sungai ini (Lam pulo), Kampung Kedah, dan Peunayong (di sebut juga China Town). Tempat yang pelancong-pelancong kurang berkunjung, tetapi kalau makan-minum di depan hotel-hotel terkenal bagi orang luar itu, biasalah! Jadi saya nak tanya bapa, apa sebenarnya misi bapak ke sini??” katanya.

“Ooo..” Jawab saya. Tapi terputus.

Terputus kerana mengingatkan beberapa jam sebelum ini, saya berada di Kampung Kedah minum-minum ringan bersama-sama beberapa anak muda di situ. Saya tanya tentang pekerjaan mereka, jawab seorang pemuda Kampung Kedah berumur 27 tahun..

“Kerja kami agak lain dari yang lain.. tetapi halal. Kami sudah tinggalkan kerja perampokan sebelum tsunami dulu. Sekarang kerja kami mengeluarkan besi-besi tua atau khazanah yang tenggelam di perut sungai Aceh lantaran tsunami. 

"Kerja kami menyelam. Bila terjumpa, mobil, motosikal, enjin atau lain-lain, kami tarik keluar dari atas rakit kami. Kami jual. Ada NGO-NGO dari luar negara membantu kami dengan menyediakan kelengkapan seperti alatan penyelaman..” Kata pemuda itu.

“Ada jumpa apa-apa selain besi-besi lusuh?” Tanyaku.

“Jumpa juga barang hiasan termasuk emas perak. Jumpa binatang-binatang berbisa dan berbahaya. Banyak juga jumpa tengkorak manusia korban tsunami…” Jawab seorang yang agak matang dari mereka. 

“Walaupun begitu kami redza dengan kerja kami. Tsunami datang tepat pada saatnya, di kala pemuda-pemuda kami sudah hanyut dengan maksiat yang mungkin sudah sampai ke puncaknya. Bahkan ada yang sudah bosan dengan kerja-kerja maksiat, seolah-olah berdoa minta pada Tuhan supaya ditukarkan masyarakat ini dengan masyarakat yang baru. 

"Tsunami datang, memusnahkan penjara-penjara itu, digantikan dengan pasar. Ya. Habis kerja-kerja ini, aku ingin jadi pengusaha dan pedagang, kami benci penjara. Itulah azam baru kami selepas tsunami!” Katanya.

Saya sambung jawapan saya yang terputus tadi, 

“Ooo. Saya adalah seorang penulis. Misi saya ialah untuk menerangkan reality masyarakat. Di sini saya nak dapatkan informasi mengenai anak-anak kampung Kedah, apakah ada hubungan dengan negara Kedah di Malaysia. Saya pernah menulis mengenai Bahasa Kedah di selatan Myanmar. Mengenai Pulau Perlis dan Pulau Kelantan di Medan. 

"Oleh itu, jangan tuan salah faham, saya bukan agen luar negara atau agen Jakarta untuk mengintip bekas-bekas GAM di sini. Saya tinggal di hotel ini secara kebetulan sahaja, kerana murah. Saya tidak dibiayai oleh mana-mana pertubuhan atau kerajaan.” Kata saya sungguh-sungguh.

Nampaknya, dia berpuas hati.

Saya terus menyambung perbualan, “Maaf, saya pula nak tanya tuan, adakah tuan tahu, mengapa kampung itu dinamakan Kampung Kedah? Apakah ada hubungan dengan rakyat atau negara Kedah Malaysia di masa silam?”

“Maaf Pak, aku kurang tahu…” Itulah jawapannya. 

Begitulah rata-rata jawapan yang saya temui bila bertanya mengenai kampung itu di Banda Aceh. Tiada yang ambil peduli. Bahkan lebih mengecewakan, bila seorang yang saya temui di depan Kantor Kecamatan Keudah di kampung itu menjawab…

“Tidak ada kena mengena nama Keudah dengan negeri Kedah di Malaysia. ‘Keudah’ asal dari nama ‘kuda-kuda’, kerana di sini pernah dijadikan penempatan kenderaan binatang ternak kuda secara besar-besaran di zaman kolonial Belanda dulu.”

Jawapan yang membuat harapan mengkaji fasal Kampung Kedah itu terhenti.

“Ayuh Pak! Ikan bakar sudah siap. Mari kita ratah sama-sama!!” 

Saya terus join mereka, seolah-olah kami sudah kenal lama. Hal yang mencungkil kembali kenanagan lampau semasa remaja di kampung saya dulu, kami sering bakar ikan ramai-ramai.

Itulah catatan perjalanan yang santai, buat kali ini. Insya Allah bersambung.

Catatan Perjalanan: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com
)
Di Hotel Rajawali
Banda Aceh Darus Salam
September9, 08.

Lihat..
E-Buku IH-15: Aceh, Sebelum & Selepas Hasan Tiro'

E-Buku IH-15: Aceh, Sebelum & Selepas Hasan Tiro' 

Wednesday, September 10, 2008

Janji Damai Helsinki: Mana Islamnya?


 Di sini masjid tempat saya tertidur.

Ibnu Hasyim: Catatan Perjalanan Di Aceh.

“TIDAK pernah saya mimpi dapat tidur di masjid ini… begitulah kuasa Allah SWT telah menghantarkan saya tidur di sini kira-kira 1 jam lamanya!” Kata saya kepada kawan saya itu, setelah terbangun dengan kejutan suara bacaan Qur’an yang akan menyusul dengan suara azan Asar. Maklumlah bulan puasa, kami agak keletihan.

Itulah sebuah masjid yang pernah saya lihat gambarnya tidak sampai 4 tahun lalu bila diserang tsunami seperti gambar di atas. Hingga tinggal masjid itu saja berwarna putih, lain semua kelihatan lumpur berwarna hitam kecoklatan. Antara kawasan di Aceh yang paling teruk dilanyak gelombang itu, pada Disember 2004. Rumah-rumah, pokok-pokok dan segala di sekelilingnya musnah.

“Di situ, sebelum tsunami terdapat penempatan tentera Republik Indonesia (RI) dan penjara tempat mengurung rakyat Aceh (Gerakan Aceh Merdeka atau GAM) yang dianggap sebagai pemberontak!” Kata kawanku setelah kami bangun dan keluar dari masjid itu, melintasi jalan kampong yang di kiri kanannya terdapat rumah batu rakyat baru dibina.. merentas runtuhan kepingan bebatu pejal arah yang ditunjukan jarinya...

Sebelum itu, saya dibawa melawat kesan-kesan tsunami lain seperti sebuah kapal besar menghempap beberapa rumah bersama penghuninya yang terkambus tidak dapat ditarik keluar. Bot-bot di atas bumbung rumah. Masjid yang diwakafkan kerana semua pemilik tanahnya terkorban. Hadiah simpati dari kerajaan luar seperti Amerika, Negara-negara Eropah, Arab, Asia termasuk Malaysia, syarikat-syarikat antarabangsa seperti Coca-cola, NGO-NGO seperti Palang Merah Kuwait dan lain-lain. Semuanya dipamerkan.

Kawanku berhenti di sebuah masjid yang agak ganjil berbentuk senibina kecinaan, “Kita solat Asar di sini… di masjid yang diwakafkan oleh bangsa Cina.” Dia mengajakku.

Selesai solat, dalam perjalanan pulang kami melalui beberapa perkampungan di kaki bukit dan gunung, agak jauh sikit dari bandar.. katanya “Dulu sebelum tsunami, kami takut lalui jalan ini, kerana di sini seolah-olah medan peperangan dan pertempuran antara GAM dan tentera Indonesia, walaupun di siang hari. Bahkan di Banda Aceh pun rakyat takut juga, apabila menjelang malam bandar sudah sunyi.. takut terkena peluru sesat!! Kini rakyat mula terasa bebas dan gembira.”

“Begitulah keadilan Tuhan. Di sebalik kesusahan ada kemudahan, disebalik malapetaka ada ujian dan nikmat.” Sambut saya.

“Ya! Nikmat, sehimgga tercetusnya perjanjian persefahaman gencatan senjata antara kerajaan RI dengan GAM atau perjanjian di Helsinki! Suatu rahmat kepada rakyat, dapat menghirup udara keamanan setelah puluhan tahun dalam suasana perang! Oo ya. Apa pendapat encik mengenai isi perjanjian damai itu??”

“Maaf Pak. Saya terpaksa beri pendapat saya. Memang saya sudah teliti perjanjian itu, saya cari tidak ada sepatahpun tertulis perkataan ‘Islam’ dalam catatan perjanjian itu. Yang ada antaranya ialah hak hasil bumi Aceh. Itu memang baik!”
'Menunggang kuda' Aceh, dipersukankan untuk rakyat, adalah termasuk ajaran Islam.

Kawan saya itu macam terperanjat. Kata saya lagi..

“Saya kagum dengan budaya rakyat Aceh. Sepanjang perjalanan hari ini melalui kota dan desa, saya tidak nampak seorang Muslimat pun yang tidak pakai tudung, atau seseorang yang makan atau minum semasa berpuasa ini. Suatu budaya beragama yang baik, perlu dikekal atau dipertingkatkan.. perlu dimasukkan dalam perjanjian Helsinki supaya tidak dihapuskan oleh budaya Jakarta. Kerana 'penguasa' itu adalah pengawal agama. Saya rasa tentu bapak sendiri pun kurang enak kalau anak-anak muda Aceh sebegini lambat laun menyerap bertukar jadi seperti muda-mudi yang rosak akhlak di Jakarta??”

Sekian catatan perjalanan saya setakat ini. Insya Allah.

Catatan Perjalanan: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
Depan Masjid Raya
Banda Aceh Darus Salam
September8, 08


Lihat..
E-Buku IH-15: Aceh, Sebelum & Selepas Hasan Tiro'
E-Buku IH-15: Aceh, Sebelum & Selepas Hasan Tiro'