Friday, January 23, 2009

Bunuh Tahanan? Sokong Tubuh Pasukan Siasat Bebas.. Dr Mohd Hasyim

By Asyok Kumar

IBNU Hasyim, seorang blogger atau nama sebenar Dr Hj Mohd Hasyim selaku Presiden Grup Universiti Ulu Klang bersetuju dengan cadangan anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam agar Polis menubuhkan badan bebas untuk siasat kejadian kematian tahanan kerana ianya melibatkan insiden yang berlaku dalam premis Polis dan mangsa sedang ditahan ketika itu.


“Melihat laporan berita berhubung kematian A. Kuhan, 23 semasa masih ditahan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya (lihat http://www.ibnuhasyim.com/ Thursday, January 22, 2009 Misteri Kematian Di Lock up Subang Jaya?), masyarakat digambarkan seolah-olah pihak polis terlibat dalam kes pembunuhan tahanan, walaupun berita malam tadi pihak polis telah membuat penafian, mendakwa kematian mangsa adalah disebabkan oleh penyakit asma dan paru-paru berair, yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.” Jelas beliau ketika dihubungi pagi ini.

Sementara itu dalam web Tranungkite pagi ini, telah menyiarkan tulisan Herman Samsudeen menceritakan pengalamannya yang pernah dipukul di dalam lokap.

“SAYA dan beberapa teman lain juga pernah ditahan dan dimasukkan dalam lokap kerana sertai demontrasi satu ketika dahulu. Ketika dalam lokap kami dipukul oleh sekumpulan tahanan. Selepas memukul kami mereka pergi pula ke sel lain yang berhampiran dan memukul tahanan lain hingga kepala orang itu berdarah. Walaupun kumpulan itu mengatakan bahawa mereka juga tahanan seperti kami tetapi lagak mereka amat mencurigakan kerana mereka mempunyai semua kunci sel yang ada dalam lokap itu.

Ini bermakna mereka boleh pukul sesiapa sahaja yang mereka mahu.
Setiap pagi juga, merekalah yang mengagihkan makan pada semua tahan. Pendek kata polis hanya berada di pintu lokap sahaja. Apa yang berlaku di dalam lokap dikawal oleh ‘tahanan tiruan’ ini. Kami syak mereka juga polis kerana dalam setiap sel ada cctv, tetapi setiap kali mereka menyerang tahanan lain tiada seorang polis pun datang meleraikannya.

Selain itu, saya juga sering dengar cerita dari sahabat-sahabat lain yang pernah ditahan lebih dari satu malam. Mereka juga dibelasah teruk. Sama ada cerita mereka benar atau tidak saya tidak tahu. Tapi kita juga sudah pernah lihat bagaimana Polis bertindak ganas secara terbuka semasa perhimpunan membantah kenaikkan harga minyak di KLCC, perhimpunan penduduk di Cheras dan juga tragedi Batu Buruk.” Demikian Tulis Herman Samsudeen.

"Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga!" Jelas Dr Mohd yang juga mahu menjaga nama baik pihak polis di negara ini. (AK)

1 comment:

Anonymous said...

Salam. Saya setuju dengan Ibnu Hasyim. Memang wajar satu pasukan siasatan bebas ditubuhkan untuk menyiasat apa yang sebenarnya yang berlaku terhadap tahanan tersebut. Pemikiran rakyat telah diracuni dengan dakyah bahawa polis adalah ganas dan kejam. Sepatutnya lemparan sebegini tidak sepatutnya kerana kita tidak tahu apa yang sebenarnya. Bila dah ada hasil siasatan yang mengatakan memang polis yang melakukan kekejaman tersebut, anggota yang terlibat harus menerima hukuman atas kelakuan mereka. Bukan seluruh institusi polis yang menerima palitan lumpur tersebut...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails