"RAYA ni saya balik. Ya... saya balik... mak tunggu. Lagi empat hari... ya… mak... mak… isshhh!”
Sayup-sayup Ann mendengar suara emak menjawab ya. Tapi, Ann hanya mendengar emak menyebut ya berkali-kali dan selebihnya, Ann tidak mendengar apa-apa lagi. Talian jadi sangat bising tiba-tiba dan akhirnya terputus.
Ann mendongak ke langit. Ada helikopter palang merah antarabangsa merentasi awan, mengganggu transmisi. Telefon satelit Ann genggam kuat, hati marah benar. Sukarnya untuk berhubung pada waktu-waktu begini.
Ann mengatur langkah masuk ke bangunan tiga tingkat di tengah Tashkent. Bangunan ini menjadi ibu pejabat Pertubuhan Islam Antarabangsa. Tingkat satu menjadi lokasi memberi bantuan perubatan dan makanan, tingkat dua menjadi gudang menyimpan stok makanan dan ubat-ubatan dan tingkat tiga menampung lebih 20 sukarelawan.
Bilik Ann di tingkat tiga paling kanan. Di tepinya ada pokok tua yang agam. Pokoknya sudah kehilangan daun dan dibalut putih salji yang tebal.
Ya, salji tebal sejak semalam. Musim dingin ini baru bermula. Namun, sudah dua kali Ann tidak dapat lena kerana ribut salji. Kalau dibanding taufan Ike atau Katrina, ribut salji yang ini bukanlah apa-apa. Sekurang-kurangnya, pihak kaji cuaca belum mengisytiharkan darurat.
Namun, Ann terganggu benar dengan bunyi angin yang kuat. Ann terasa seluruh Tashkent ini seakan runtuh, seperti mana ia sudah pun runtuh selama dalam cengkaman Kesatuan Soviet.
Hari sudah cerah, sudah jam 7 pagi dan Ann masih belum bersahur. Sejak ribut salji melanda jam tiga pagi tadi, sejak Ann tersentak daripada mimpi jam tiga pagi tadi, Ann tidak boleh menyambung tidur hingga kini.
Anehnya Ann juga tidak berselera makan. Sisa sup berbuka tadi sudah dipanaskan dan roti sudah dipotong-potong kecil. Tapi Ann hanya memandang, selera tidak bangkit. Sebaliknya, ingatan menjurus-jurus pada sambal ikan bilis bercampur tempe dan acar buah yang kerap emak hidangkan waktu bersahur.
Ingatan itu rupanya membunuh selera Ann!
Kelmarin juga Ann tidak bersahur. Hanya minum segelas susu. Perut seakan masih sendat dengan makanan tradisional Uzbekistan pilav, nasi dengan daging goreng, lobak merah dan bawang merah bercampur kismis dan kacang pea yang Ann nikmati waktu berbuka puasa.
“Teruja hendak balik kampung, sampai tak nak makan,” Dr Landau, sukarelawan dari Perancis selalu mengusik. Ann sengih. Bukan dia sengaja, tetapi sungguh dia tidak berselera untuk makan.
Setiap kali mengingatkan 1 Syawal yang bakal dirai di kampung halaman, dadanya bergetar kuat menahan keterujaan. Setiap kali memandang beg pakaian yang sudah siap dikemaskan, dadanya berdebar hebat dan setiap kali mencium-cium tiket penerbangan yang akan membawanya pulang, jantungnya seakan berhenti berdegup. Gembira, dia terlalu gembira.
Malah sejak seminggu lalu, Ann bukan saja sudah mengemas pakaian yang akan dibawa pulang, tapi sudah juga mengemas gambar-gambar yang akan ditunjukkan pada saudara mara. Untuk emak, Ann sudah bungkuskan selendang panjang tenunan Uzbekistan yang cantik.
Pada perbualan minggu lalu dengan emak Ann sudah berpesan, lemang dan rendang kita bakar sama-sama malam sebelum raya. Ann mahu sama-sama menebang buluh, membersihkannya, mengukur kelapa, memerah santan, memasukkan pulut dalam buluh dan membakarnya. Ann juga ingin mengait daun kelapa, mahu menjalinkannya menjadi sarung ketupat yang cantik beranyam.
Ann tersengih sendiri. Waktu ini terasa hanya jasad saja berada di bumi Uzbekistan yang muram Ramadannya dan gersang Aidilfitrinya. Seluruh jiwa seakan sudah lama terbang menyeberang laut, kembali dalam dakapan emak.
Di luar, ada perbualan dalam bahasa Turki dan Inggeris, yang diselang seli gelak ketawa singgah di telinga. Ada bunyi ngauman enjin juga kuat memecah pagi Ann bangun meninjau.
Dari jendela Ann lihat ada sukarelawan yang memandu jentera penyodok salji, membuka jalan yang tersekat. Ada sukarelawan yang mengalihkan ranting dan dahan pokok yang bersepah kawasan persekitaran. Ann menyentap baju panas dalam almari dan turun menyertai mereka.
Tashkent selepas bebas daripada Kesatuan Soviet bukanlah seindah dijangka. Walaupun sudah merdeka, kerana terlalu lama dicengkam komunisme, menjadikan bukan saja Tashkent, tetapi seluruh Uzbekistan ini jauh daripada penghayatan dan kefahaman tentang Islam.
“Kamu ini aneh, orang mahu kerja pejabat hawa dingin dan gaji ribuan ringgit, kamu hendak jadi sukarelawan,”
Ya, waktu kawan-kawan sekursus memilih menjadi ahli ekonomi atau berkhidmat di bank-bank perdagangan sebaik tamat pengajian, Ann memilih ke Tashkent. Seluruh keluarga menjerit membantah, malah kekasih hati yang berjanji sehidup semati juga meninggalkan Ann kerana Ann mahu ke Tashkent.
Namun, waktu orang lain tidak pun memberi sokongan, emak mewajarkan pilihan Ann menyumbang bakti di Uzbekistan.
“Siapa lagi yang mahu memulihkan jati diri saudara seagama kalau bukan kita sendiri? Mahu terus Uzbekistan hanyut? Sudah lama dicengkam Soviet, sekarang sudah merdeka, apa salah kita tolong? Tak banyak, sikit pun, sekadar ajar anak-anak mereka mengenal huruf alif, ba dan ta, dan mengakui Tuhan itu satu pun, sudah bermakna,”
“Tapi emak, Ann itu perempuan. Ha, kau hendak pergi berapa tahun? Sanggup kautinggalkan emak sendiri? Nanti sanggup kau hendak berhari raya dengan orang Uzbekistan. Menangislah seorang diri. Elok-elok duduk di Malaysia, hendak pergi negara lepas perang,” abang tidak penat melemahkan semangat.
Ann masih ingat renungan mata emak tepat dalam mata bundar abang. Merenung mata itu, Ann dapat menyingkap seluruh amarah yang emak simpan.
“Emak boleh membesarkan kamu semua sendirian selepas ayah kamu meninggal waktu Ann dalam pantang. Emak masih boleh hidup tenang dan kuat. Adakah kamu fikir Ann tidak mewarisi kekuatan emak? Lagi pun, Aidilfitri itu akan lebih bermakna, jika kita bijak memaknakannya, tidak kira kita di mana,”
Abang dan kakak terdiam. Abang ipar dan kakak ipar tergamam. Walau mereka mengomel di belakang, Ann berangkat juga ke Tashkent, dua bulan selepas itu atas restu emak.
Dan, jangkaan emak benar-benar menyambut Ann di Tashkent. Jangkaan tentang Islam yang suram di Uzbekistan. Jangkaan tentang Islam yang kurang penghayatannya di negara Asia Tengah itu.
Sejak kecil, emak sangat terpesona dengan kisah Laluan Sutera yang merentas Uzbekistan di Tashkent, Bukhara dan Samarkand. Kata emak, kegemilangan Islam di Uzbekistan dulu, dalam kelas tersendiri. Di situ, lahirnya dua tokoh Islam masyhur, al-Khawarizmi dan Abu Rayan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni.
Namun, semua kegemilangan Uzbekistan itu terpadam sebaik dicengkam kuat Kesatuan Soviet. Masyarakat mengenal al- Khawarizmi dan al-Biruni tanpa mengenal Uzbekistan. Ann seakan-akan terdengar emak bercerita. Emak, seorang guru sejarah tingkatan enam di sekolah berhampiran rumah.
Lalu, ketika Ann melahirkan hasrat menyertai Pertubuhan Islam Antarabangsa sebagai sukarelawan di Tashkent, Uzbekistan, emak mewajarkan walau hampir seluruh keluarga membangkang. Kata emak, walau tubuhnya tidak sampai ke Tashkent, jiwa emak sudah ada di sana melalui kamu, kamu Ann.
Lalu Ann tahu, pemergian ke Tashkent sebenarnya bukan saja membawa dirinya sendiri dan amanat seluruh umat Islam yang mahu melihat Uzbekistan bangun dan menghidupkan kembali kegemilangan lalunya, tetapi jua membawa hasrat dan jiwa emak yang terlalu lama berahi pada sejarah kehebatan Uzbekistan.
Sejarah Asia Tengah di bawah Kesatuan Soviet adalah sejarah penuh eksploitasi, kerap emak mengulang-ulang ayat itu. Malah seingat Ann, emak pernah bercerita, Stalin yang takut dengan kuasa minoriti di Kesatuan Soviet menghimpunkan pelbagai etnik di Uzbekistan untuk melemahkan dan menekan populasi asal. Stalin juga mahu Uzbekistan bergantung secara ekonominya dengan Russia.
Ann menghirup udara Tashkent sebaik saja Uzbekistan bebas daripada Kesatuan Soviet. Awalnya, Ann tidak tahu apa-apa tentang Uzbekistan. Ann hanya tahu tentang Uzbekistan daripada kisah-kisah yang emak khabarkan dan serba sedikit pembacaan. Justeru, Ann kurang bijak meneka percaturan politik di Uzbekistan. Seingat Ann, dia ada menulis surat kepada emak tiga bulan selepas sampai di Tashkent.
Mak,
Saya tidak faham percaturan politik di sini. Waktu kita berlumba-lumba datang menabur bakti di negaranya, mereka berlumba-lumba pula menjadi hero.
Selepas bebas daripada Kesatuan Soviet, Uzbekistan menggubal perundangan baru, tetapi mengharamkan parti pembangkang utamanya, Birlik. Bebas daripada kesatuan Soviet juga tidak bermakna mereka bersatu hati, sebaliknya semakin banyak pula siri keganasan pada kumpulan yang dituduh pelampau Islam.
Mungkin 70 tahun dicengkam komunisme, mereka gagal membezakan antara agama dan budaya. Jadi, semua penganut Islam yang mahu kembali pada amalan agama, bertudung, menyimpan jambang dan berjubah itu dianggap pelampau agama.
Tapi surat itu tidak emak balas, entah mengapa.
Salji tebal di hadapan bangunan sudah habis disodok. Beberapa sukarelawan bersiap dengan pikap, bersedia untuk masuk ke kampung-kampung kecil di utara Tashkent. Malam ini mereka mahu berkampung di sana, berbuka puasa dengan penduduknya dan bersolat tarawih. Ann juga akan mengikut.
Tiga tahun di Tashkent, sudah tiga Aidilfitri Ann raikan di sini. Aidilfitri yang gersang dan suram. Cukuplah, tahun ini, Ann akan pulang. Ann tidak rela meraikan Aidilfitri tanpa perasaan. Perasaan kasih dan sayang sesama insan. Ann akan pulang empat hari lagi sebenarnya. Aidilfitri bakal menjelang 1 Oktober nanti, Ann akan pulang 29 September nanti.
Tidak sabar rasanya mahu menikmati lemang dan rendang. Tidak sabar rasanya mencium tangan emak. Terbayang-bayang Kuala Lumpur, terasa-rasa hentakan punggung di kerusi pesawat waktu kapal terbang mendarat. Ann tersengih pada setiap ingatan-ingatan itu. Oh... Tashkent... aku tidak rindu padamu Aidilfitri nanti, Ann tersengih sendiri.
Di sini, Aidilfitri dan Ramadan seakan tiada maknanya. Pada mereka, ia hanya sahur, berbuka puasa dan solat sunat Aidilfitri. Tiada kunjung mengunjung tiada maaf bermaafan. Semuanya kering dan kontang. Tiada rasa dan waktu-waktu begitu, tiba-tiba Ann jadi terlalu nostalgia dan melankolik pula, teringat beratur panjang, menanti giliran mencium tangan emak di pagi Aidilfitri.
Ann masih ingat Aidilfitri pertama di sini, solat sunat raya berlangsung sebaik selesai solat Subuh kerana kebanyakan mereka pengikut mazhab Hanafi. Ann terkejut dan tentunya nyaris terlepas kenikmatan solat sunat raya!
“Kami meraikan Navrus pada 1 Januari, musim bunga pertama bukan Aidilfitri,” kata-kata itu datang daripada seorang warga tempatan, Ana Karimov.
Ann meminjamkan telinga untuk Ana Karimov bercerita tentang keistimewaan Navrus. Ann tidak berminat untuk berdebat mengenai keistimewaan Aidilfitri dengannya. Biarlah, dia masih terlalu hijau dalam mengenal keistimewaan Ramadan dan Syawal. Ann maafkan dia, atas alasan terkurung selama 70 tahun dalam Soviet.
Kenderaan pikap yang akan membawa Ann dan enam sukarelawan yang lain ke utara Tashkent sudah penuh dengan muatan. Tapi waktu hendak bertolak, angin bertiup dengan kencang.
“Ribut salji!,” Ann panik.
1 Oktober
Mak,
Selepas tiga tahun tidak pulang raya bersama dan kali ini saya gagal lagi untuk menunaikan janji. Ketahuilah mak hati saya tidak pernah tenang. Doa saya untuk mengucup tangan emak pada pagi Aidilfitri tidak tertunai jua.
Seperti emak kata, Tuhan berikan apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu. Saya terima semuanya mak, walau dalam linang air mata.
Penerbangan keluar masuk di Lapangan Terbang Tashkent dibatalkan sejak dua hari lalu. Kata mereka mungkin dalam tiga atau empat hari nanti ia akan pulih. Apabila sudah terlalu lama berada dalam dakap Soviet, waktu-waktu nanar begini, mencari-cari jalan keluar sendiri, memang memakan masa. Saya maafkan mereka kerana ribut salji ini kehendak Tuhan jua adanya. Walaupun saya masih terkial-kial memaafkan diri sendiri kerana gagal mengotakan janji bersama emak pada Aidilfitri.
Sejak, dua hari lalu ribut salji belum berhenti. Malah anginnya makin kencang, melebihi dua kali ganda taufan.
Mak, saya tidak tahu bilakah surat ini akan tiba ke pangkuan emak. Saya hanya menulis dan menulis meluahkan seluruh gundah dan segala resah. Buat masa ini, sistem pengangkutan dan komunikasi di Tashkent lumpuh sama sekali. Bekalan elektrik sudah dua hari terputus. Salji tebal di Tashkent sudah menjadi ais setebal dua meter.
Kelmarin perintah berkurung dan darurat diisytiharkan. Tetapi saya dan beberapa sukarelawan lain mengikut pasukan tentera memberi pertolongan kepada penduduk di kawasan pedalaman .
Waktu-waktu sukar begini, saya menyaksikan sudah ramai yang tahu untung nasib perlu diadukan kepada Allah yang berkuasa. Saya melihat darurat dan perintah berkurung tidak menghalang mereka membanjiri masjid dan muazin melaungkan azan.
Waktu takbir bergema di langit Tashkent yang diserkup salji, saya terasa satu kenikmatan yang sukar diceritakan dengan kata-kata menusuk dalam hati. Ia sangat indah, melebihi keindahan percikan warna warni bunga api yang menghias gelap langit. Ia kemudiannya bagai api, memanaskan hati setiap warga Tashkent, mencairkan perasaan yang beku lewat makna Aidilfitri.
Untuk pertama kalinya emak, saya terasa sangat teruja solat sunat Aidilfitri sebaik tamat solat Subuh. Sejuk yang menikam, salji yang tebal, angin yang kencang tidak sedikitpun mematahkan semangat Muslim di sini berhari raya.
Terkurung dalam masjid sementara menanti kenderaan tentera membawa kami pulang ke kediaman masing-masing. Kami sempat bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Kami sempat berdakapan sesama Muslimah, menangisi pemergian Ramadan. Kami sempat menjamah roti, sup dan pilav.
Entah mengapa kali ini saya merasakan Aidilfitri di Tashkent sungguh menyentuh hati. Ia membakar seluruh kerinduan saya pada kampung halaman. Walau langit Tashkent mendung dan buminya tebal bersalji, ada magis dalam setiap hati kami. Seperti emak percaya, saya juga kini percaya, Aidilfitri itu akan lebih bermakna jika kita bijak memaknakannya.
Emak, terima kasih kerana mewajarkan saya ke sini, empat tahun lalu.
Biodata Penulis..
HAFIZAH Iszahanid, lulusan Sarjana Muda Seni Gunaan dari Universiti Malaysia Sarawak pada 2000. Mula menulis karya kreatif pada usia 16 tahun dan pernah menyertai Minggu Penulis Remaja kelolaan DBP. Kembali aktif dalam penulisan kreatif kebelakangan ini dengan beberapa cerpen mendapat tempat dalam pelbagai majalah seperti Nur, Jelita, Wanita dan Dewan Sastera. Sudah menghasilkan dua novel, Noktah di Hujung Rindu (2005) terbitan Marshall Cavendish dan yang baru menjengah pasaran, Kala Hujan Menitis, terbitan Buku Prima.
Diangkat dari web http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Sastera/20081004053610/Article/print_html
Sekian, wallau aklam.
Sesiapa yang ingin melancung ke Uzbekistan, sila klik gambar di iklan sebelah ‘Universiti Kehidupan - Kembara ke Uzbekistan Bersama Ustaz Amin’.
Ibnu Hasyim, catatan santai,
Jan29, 2009. KL.
No comments:
Post a Comment