A selection of antique, hand crafted
Chinese jade (jadeite) buttons.
Ibnu Hasyim Catatan Santai
WAJAHMU cantik seperti jade,
Pipimu berseri-seri bagaikan jade
di bawah sinaran bulan purnama.
Tanganmu licin seperti batu jade.
Pahamu putih bagaikan jade
baru terselak dari tabir.
Langkahmu cantik seperti batu jade
yang dijuntai-juntai.
Suaramu halus bagaikan bunyi jade
tatkala dihantuk-hantuk…
Demikianlah pinjaman dari kecantikan jade untuk menzahirkan hasrat hatinya kepada seorang kekasih wanita. Apa itu jade?
Unworked jade.
Jade adalah sejenis batu. Batu jade, menurut pakar-pakar galian adalah sejenis ‘silicate’ (logam) mengandungi mengandungi calcium dan magnesium. Sukatan keras batu jade ini, ialah kira-kira 7 berbanding 10 bagi batu berlian, dan padatnya pula antara 2.9 dan 3.3. Rupa dan warna aslinya, putih berkilat seperti agar-agar dicampur susu. Boleh diwarnakan mengikut penggemarnya.. Putih, biru, hitam, kuning, merah, perang atau hijau. Warna di batunya pula boleh berubah-rubah mengikut kelamaan, suhu dan tempat.
Umpamanya, kalau tertanam dalam tanah lebih banyak berubah dari terletak di luar begitu sahaja. Tertanam 500 tahun contohnya, akan ditembusi unsur-unsur yang merubah warnanya. Kalau 1,000 tahun berubah jadi batu biasa. Kalau 2,000 tahun jadi macam tulang reput. Kalau 3,000 tahun jadi lembek macam tanah liat dan hancur terus kalau sudah 6,000 tahun. Begitulah kira-kira ceritanya.
Kalung Kerang dan Manik batu Jade
Pada kurun ke18 dikatakan alat-alat perhiasan rumah dibuat dari batu jade sangat diminati oleh orang Cina, dan tidak ada batu yang boleh mengatasi batu jade dalam kehidupan mereka. Dalam pergaulan dan dalam agama pun. Mereka sangat sayang dan sanjung pada ‘batu bagi segala batu’ ini. Kalau seorang sarjana disanjung oleh masyarakat Cina, bagaikan buluh yang boleh dilentur-lentur tidak patah, maka seseorang yang tinggi budi di umpamakan Kalung Kerang dan Manik batu Jade bagai batu jade ini.
Batu jade melambangkan ketinggian budi, cantik rupa dan mulia diri seperti yang digambarkan pada kata-kata pemujaan kepada seorang kekasih wanita di atas. Cerita-cerita tua Cina penuh dengan berbagai kisah sakti, hikmah dan khasiat batu ini. Dari boleh beri umur panjang hingga kepada boleh memelihara mayat supaya jangan busuk. Kalau batu jade dipakai dan dibawa ke mana-mana, boleh jadi pendinding dari hantu syaitan, kemalangan dan malapetaka. Kilauan cahayanya juga menjadi ukuran gambaran sihat pemakainya.
Dipandang dari segi seni dan falsafah hidup orang Cina, pujangga agung Cina, Konfusiaous berpendapat mengenai jade sebagai…
*..lambang kebijaksanaan.
*..cahayanya lembut bersinar membayangkan sifat murah hati.
*..sihat halus lagi keras pejal bayangan dari kebijaksanaan.
*..sifat tajam halus tidak mencederakan, membayangkan kewajipan seseorang terhadap jiran tetangga.
*..tergantung juntai ke bawah macam nak jatuh, membayangkan keadilan.
*..memberi bunyi yang nyata dan nyaring bila dipukul dan dihantukkan, sebagai tanda dapat menghiburkan.
*..retaknya yang tidak berkabur tanda kesetiaan.
*..suasananya yang tenang jernih membayangkan syurga, bukit, sunyi dan tenang nyaman.
Kalau lukisan sangat dihargai bila dipandang atau muzik bila didengar, maka batu jade memberi keseronokan kegirangan bila dipandang, dipegang dan dicium mesra. Dulu orang Cina suka membuat alat perkakas rumah seperti pisau, kapak atau panah dengan batu ini, kini tinggal sebagai barang hiasan yang harganya sangat mahal. Kemudian timbul pula ukiran berkonsep agama di muka batu itu hingga ribuan tahun lamanya. Dengan penyataan, yang kadang-kadang penuh emosi, bercita-cita murni atau mengharukan perasaan.
Sehingga mahaguru-mahaguru Cina yang besar-besar dulu pun menghargai dan membayangkan ilham serta inayahnya pada ukiran-ukiran batu jade. Ada juga yang menggunanya semasa mengkapankan mayat sebelum dikebumikan, selain dari hal-hal agama atau lencana kebesaran raja pada masa dahulu. Tangkal azimat dari jade diikat pada tubuh mayat atau disemat dalam baju mayat.. Atau barangan jade kegemaran si mati semasa hidupnya dikuburkan bersama-samanya juga.. sehidup semati dengan kecintaannya.
Itulah jade, yang ingin saya hadiahkan kepada anda semua sempena Tahun Baru Cina ini. Gong Xi Fa Cai.. Hadiah gambaran ‘kecantikan jade’, tetapi bukan batunya.. Kalau batunya, susah sikit… kerana berat!!
Sekian, wallau aklam.
Ibnu Hasyim, catatan santai,
Brincang Cameron Highland, Phg.
Jan27, 2009.
No comments:
Post a Comment