Ibnu Hasyim:
Catataan Santai
“WAHAI ibu.. Sesungguhnya Allah telah kembalikan penglihatan dua mata anakmu, kerana kerapnya kamu berdoa!” Kata seseorang kepada seorang ibu yang menemuinya dalam mimpi di suatu malam.
Pada pagi harinya, ternyata ibu tersebut telah menyaksikan sendiri bahawa Allah telah kembalikan penglihatan kedua mata anaknya itu. Anak tersebut adalah Abu Abdullah Muhammad ibn Bardizbah, yang kelak menjadi seorang perawi hadis terkenal. Itulah Imam Bukhari yang buta matanya semasa kanak-kanak.
Imam Bukhari lahir di Bukhara pada 13 Syawal 194 H bersamaan 21 Julai 810 M. Keunggulan dan kegeniusan Imam Bukhari sudah nampak sejak masih kecil lagi. Allah SWT telah menganugerahkan kepadanya hati yang bersih, otak yang cerdas, pikiran yang tajam, dan daya hafalan yang sangat kuat, khususnya dalam menghafal hadis. Ketika berusia 10 tahun, beliau sudah banyak menghafal hadis.
Rasyid ibn Ismail, abang Imam Bukhari menceritakan, pernah Al-Bukhari semasa muda bersama beberapa murid lainnya mengikuti kuliah dan ceramah cendikiawan Balkh… “Tidak seperti murid lainnya, Bukhari tidak pernah membuat catatan kuliah. Ia pun dicela kerana tidak mencatat. Namun, pada suatu hari, Bukhari meminta teman-temannya membawa catatan mereka. Maka tercenganglah kawan-kawan mereka semua, kerana Bukhari ternyata hafal di luar kepala 15,000 hadis, lengkap dengan keterangan yang tidak sempat mereka catat!”
Tahun 210 , Bukhari berangkat ke Baitullah untuk menunaikan haji dan menetap di Mekkah serta sesekali ke Madinah. Di kedua tanah suci itulah ia menulis sebahagian karya-karyanya, dan menyusun dasar-dasar kitab ‘Al Jami As Sahih’. Ia juga menulis ‘Tarikh Kabir’nya di dekat makam Nabi Muhammad SAW. Sementara itu ketiga buku tarikhnya, ‘As Sagir’, ‘Al Awsat’, dan ‘Al Kabir’, lahir dari kemampuannya yang tinggi mengenai pengetahuan terhadap tokoh-tokoh dan kepandaiannya mengkritik.
Karya-karyanya itu tidak lepas dari pengembaraannya ke banyak negeri, Syam, Mesir, Baghdad, Kuffah, dan Jazirah Arab. Berkat geniusnya itu, Imam Bukhari berhasil merawi hadits dari 80,000 perawi, dan menghafalnya rinci dengan sumbernya. Mengembara beribu batu untuk menuntut ilmu, mempelajari dan mengumpul hadis-hadis Rasulullah SAW bukanlah satu kerja mudah. Tetapi itulah minat dan kecintaan lelaki luar biasa ini. Pernah Imam Bukhari bermusafir 8,000 kilometer untuk mendapatkan sepotong hadis sahaja. Imam Muslim bin Al Hajjaj, pengarang kitab As Sahih Muslim menceritakan..
“Ketika Muhammad bin Ismail (Imam Bukhari) datang ke Naisabur, aku tidak pernah melihat seorang ketua daerah, para ulama dan penduduk Naisabur memberikan sambutan seperti apa yang mereka berikan kepadanya. Mereka menyambut kedatangannya dari luar kota sejauh dua atau tiga marhalah (100 km), sampai-sampai Muhammad bin Yahya Az -Zihli berkata.. ‘Barang siapa hendak menyambut kedatangan Muhammad bin Ismail besok pagi, lakukanlah, sebab aku sendiri akan ikut menyambutnya.’
Karya-karyanya tidak hanya dalam disiplin ilmu hadis, tetapi juga ilmu-ilmu lain, seperti tafsir, fikih, dan tarikh. Fatwa-fatwanya selalu menjadi pegangan umat. Antara puluhan kitabnya, yang paling masyhur ialah kumpulan hadits shahih yang berjudul ‘Al-Jami Ash-Shahih’, atau lebih terkenal dengan sebutan ‘Shahih Bukhari’. Ada kisah unik tentang penyusunan kitab tersebut, iaitu… Pada suatu malam, imam Bukhari bermimpi bertemu dengan Rasulullah.. seolah-olah Nabi SAW berdiri di hadapannya. Dalam penyusunan kitab tersebut, Imam Bukhari sangat berhati-hati.
Menurut Al-Firbari salah seorang muridnya, ia mendengar Imam Bukhari berkata.. “Saya susun kitab Al-Jami Ash Shahih ini di Masjidil Haram, dan saya tidak mencantumkan sebuah hadis pun kecuali sesudah shalat istikharah dua rakaat memohon pertolongan kepada Allah.. dan sesudah meyakini betul bahawa hadits itu benar-benar shahih.”
Setelah itu, ia menulis mukadimah dan pokok-pokok bahasannya di Rawdah Al-Jannah, sebuah tempat antara makam Rasulullah dan mimbar di Masjid Nabawi. Barulah setelah itu beliau mengumpulkan sejumlah hadis dan menempatkannya dalam bab-bab yang sesuai. Proses penyusunan kitab itu dilakukan di kedua kota suci tersebut dengan cermat dan tekun selama 16 tahun. Beliau menggunakan kaedah penelitian secara ilmiah dan cukup canggih sehingga hadis-hadtsnya dapat dipertanggungjawabkan.
Dengan bersungguh-sungguh Imam Bukhari meneliti dan menyelidiki kredibiliti perawinya sehingga benar-benar beroleh kepastian akan kesahihan hadis yang diriwayatkan itu. Dengan demikian, kitab hadis susunan Imam Bukhari benar-benar menjadi batu uji dan penyaring bagi sejumlah hadits. “Saya tidak memuat sebuah hadis pun dalam kitab ini, kecuali hadis-hadis yang shahih sahaja.” Katanya pada suatu ketika.
Pernah juga pada suatu masa penduduk Samarkand mengirim surat kepada Imam Bukhari, meminta beliau tinggal tetap di negeri itu (Samarkand). Beliau pun pergi memenuhi permohonan mereka. Ketika dalam perjalanannya di Khartand, sebuah desa kecil sebelum Samarkhand, beliau singgah dulu kerana terdapat beberapa keluarganya di sana. Rupanya takdir telah menentukan, beliau jatuh sakit dan menemui ajalnya di situ. Beliau wafat pada malam Idul Fitri tahun 256 H bersamaan 31 Agustus 870 Masehi, dalam usia 62 tahun kurang 13 hari.
Sebelum meninggal, beliau berpesan bahawa jika meninggal nanti, jenazahnya hendaklah dikafan dengan tiga helai kain, tanpa baju dalam dan tidak memakai sorban. Pesan itu dilaksanakan dengan baik oleh masyarakat setempat. Mengapa begitu? Disitulah antara uniknya beliau!
Sekian catatan santai kali ini. Insya Allah, kalau ada kesempatan kita akan sambung mengenai khazanah dari Usbekistan lagi.
Ibnu Hasyim
Catatan Santai.
Jan16, 2009
1 comment:
Assalamualaikum..
Tertarik degan cerita-cerita t0k0h sebegini..b0leh tak kalau paparkan lagi tentang t0k0h2 islam @ ulama'2 islam yg lain..kalau dpt tahu tentang empat imam tu lagi ser0n0k..skadar tuk menambahkan pengetahuan..harap dipertimbangkan.
Post a Comment