Pemandangan di Ban Palas, Masjid di tepi jalan..
Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan Di Thailand.
SUBUH pagi, bas dari Bangkok berhenti dekat masjid di pekan Ban Palas, dalam wilayah Pattani, Thailand Selatan. Saya pun turun bersembahyang di situ. Masjid yang mencungkil kembali sebuah kenangan lama saya, pada tahun 1987. Kenangan kira-kira 22 tahun lalu, di mana saya turut berperanan menyampaikan hadiah wang kepada beberapa kanak-kanak anak mukim itu.
Ceritanya begini...
Pada suatu hari sedang saya dan kawan-kawan bercakap-cakap depan sebuah kedai gunting rambut di pekan Palas lepas tengahari itu, berhampiran sebuah sekolah Siam. Tiba-tiba terdengar bising, orang ramai merungut tidak puas hati...
"Jahat betul puak-puak Siam ni. Guru mereka pukul kanak-kanak Islam yang sedang sembahyang di sekolah! Apa patut kita ajar mereka?" Kata seorang dari mereka dalam suasana panas. Panas hati dan panas segala-galanya.
"Tenang! Tenang! Jangan bertindak sendiri. Kita ada salurannya..." Jawab yang lain. "Mari kita adukan kepada pihak yang bertanggung jawab mengenai hal ehwal agama Islam kita. Mari kita bawa kanak-kanak yang dipukul ini ke Jala (Yala), sebagai bukti dan buat pengaduan seterusnya."
Mereka semua bersetuju bertindak segera. Kerana kenderaan tidak cukup, ada yang jumpa saya minta pinjam kereta saya, walaupun kereta bernombor pendataran Malaysia. Saya bersetuju untuk menghantar mereka. Di situlah saya terlibat dalam kes agama tersebut. Mereka minta pendapat saya apa yang patut mereka buat, walaupun banyak pendapat-pendapat di kemukakan sesama mereka.
"Malam ini kita buat perjumpaan bincang apa yang patut kita buat, di samping waris kanak-kanak, jemput juga orang-orang penting dalam kampung ini." Saya beri pendapat.
Mereka bersetuju, perjumpaan malam itu dihadiri oleh pelbagai golongan. Ada yang berpendapat keras seolah-olah militan, dan yang terlalu lembut mengalah yang di anggap pengecut kepda kerajaan Siam kafir. Akhirnya, mereka tanya lagi pandangan saya...
"Saya pilih jalan tengah.. Kita kutip derma untuk beli ubat bagi anak-anak kita yang dipukul.. Juga sebagai ucap syabas kepada yang berani menyahut cabaran dan pertahankan agama itu!" Kata saya.
"Saya setuju! Inilah salah satu cara untuk menyatukan pemikiran kita yang berbagai gaya dan aliran supaya sama-sama selaras bertindak." Ada seseorang yang menyokong.
Akhirnya semuanya bersetuju, saya menterbalikkan ketayap saya jadikan tempat isi wang, memasukkan sedikit derma sebagai penggalak dan terus beredar dari tangan ke tangan mulai dari kanan saya. Upacara pengagihan wang kepada kanak-kanak yang dipukul itu diadakan pada hari Jumaat lepas sholat Jumaat, beberapa hari selepas hari itu.
Saya antara yang dijemput menyampaikan hadiah, di samping tokoh-tokoh kampung dan tokoh agama yang lain. Haji Ismail, tok guru muda dari pondok yang berhampiran, Haji Hamid, kawan saya yang sama-sama berada di Makkah sebelum itu, Abe Hawe dan ramai lagi turut serta dalam majlis itu.
Kerana sambutan begitu baik dan memuaskan, maka mulai hari itu diadakan perjumpaan setiap minggu, disamping sebagai kuliah pengajian agama, juga untuk membahaskan isu kaitan semasa, yang akhirnya disebut sebagai majlis 'usrah' atau kekeluargaan. Mulai dari itu saya sering kerap ke sana di samping menghadiri majlis usrah juga kadang-kadang di panggil sebagai penceramah agama.
Kumpulan usrah ini terus berkembang dan merebak hingga ke utara Thailand iaitu di Chiang Mai. Hasil dakwahnya, ada yang masuk Islam beramai-ramai. Penghijrahan dan pengziarahan sering diadakan, sehingga berjaya mewujudkan kampung orang Islam dan kelas-kelas pengajian di sana.
Beberapa tahun selepas itu, perhubungan saya dengan mereka agak terputus, dan pagi ini entah apa hikmahnya menyebabkan tergerak hati menjengok kawan-kawan lama saya itu.
Dia antaranya adalah Haji Hamid... saya sedang di rumahnya sekarang.
Ibnu Hasyim
Ban Palas
Jan5, 2009
Lihat..
E-Buku IH-33: Catatan Perjalanan
Lihat..
E-Buku IH-33: Catatan Perjalanan
1 comment:
Dah lama saya tak jejakkan kaki di Pathani. Rindu menusuk ke kalbu bila saya ingatkan perintah berkurung sewaktu saya menyambut Hari Raya Haji beberapa tahun lalu. Juga lama saya tak lewati chenak yang terkenal dengan burung.
Post a Comment