Ibnu Hasyim:
Catatan Santai
NABI SAW pernah meramalkan, sebuah kuasa besar Kerajaan Romawi Timur atau Byzantium (ibukotanya Konstantinopel) akan tumbang. Kata beliau.. “Konstantinopel (Constantinople) akan jatuh di tangan seorang pemimpin yang sebaik-baik pemimpin, tenteranya sebaik-baik tentera, dan rakyatnya sebaik-baik rakyat.”
Maka pada 29 Mac 1432 Masehi, lahirlah Sultan Muhammad Al-Fateh. Ketika berita kelahirannya sampai, ayahnya Sultan Murad II sedang membaca Al-Quran tepat pada Surat Al-Fath ayat 1.. “Sesungguhnya Kami telah memberikan padamu kemenangan yang nyata.” Waktu itu, Sultan Murad sedang mempersiapkan penyerbuan ke atas Konstantinopel.
Tiba-tiba datanglah seorang ulama besar Islam ke istana Sultan dan beliau mengatakan bahawa bayi itulah yang nantinya akan menaklukkan Konstantinopel seperti sabda Rasulullah SAW tersebut. Apakah itu isyarat bahawa sultan tersebut akan menjadi orang besar yang mencipta sejarah hebat? Ulama itu bernama Syeikh Syamsuddin Al Wali, seorang syeikh tarekat Naqsyabandiyah. Sultan Murad sangat yakin dengan ilham Syeikh Syamsuddin Al Wali sehingga baginda menyerahkan putera mahkota yang masih kecil kepada Syeikh Syamsuddin untuk dididik.
Syeikh Syamsuddin mendidik muridnya ini dengan disiplin tarikat yang cukup kuat. Penuh dengan latihan mengekang hawa nafsu dan hidup susah. Sultan Muhammad menjadi seseorang yang berjiwa kuat dan sangat tahan uji. Beliau dididik memiliki cita-cita besar iaitu menepati janji Tuhan melalui Rasulullah SAW menaklukkan Konstantinopel. Ayahnya mendatangkan panglima-panglima berpengalaman mendidik beliau dalam ilmu peperangan. Beliau sendiri juga adalah seorang intelektual yang gemar mengumpulkan ilmuan-ilmuan di istana untuk berdiskusi.
Pada usia 19 tahun beliau naik tahta menggantikan ayahnya. Mulailah persiapan penaklukan dilakukannya. Beliau mendidik tentara dan rakyatnya agar menjadi orang-orang yang bertaqwa. Seluruh tentera dan rakyatnya dididik agar sanggup bangun malam dan merintih munajat pada Tuhan. Sebaliknya di siang hari mereka bagaikan singa-singa lapar yang berjuang di jalan Allah. Beliau juga mengadakan operasi intelijen untuk membebaskan seorang ahli pembuat meriam dari penjara Romawi. Bersama juruteranya beliau membangunkan benteng, kapal-kapal perang dan meriam-meriam yang canggih sesuai dengan ukuran zaman itu.
Bahkan dalam membangun benteng Rumeli Hasari di Selat Bosphorus beliau turun tangan ikut mengangkat batu dan pasirnya. Setelah persiapan matang, dimulailah penyerbuan ke Konstantinopel. Perang yang hebat berkecamuk lebih satu bulan, belum juga menampakkan tanda-tanda kemenangan. Bahkan pasukan Islam mengalami kesukaran mendekati benteng Romawi di tepi Selat Bosphorus tersebut, kerana di taut oleh pasukan Romawi yang memasang rantai-rantai besar dan panjang hingga menghalang kapal mendekat rapat.
“Wahai Guruku, bilakah saat yang dijanjikan itu akan tiba?” Tanya Muhammad Al-Fateh dalam suasana tidak jelas itu kepada gurunya Syeikh Syamsuddin Al Wali.
“Pada hari ke 53, hari Selasa pukul 11 pagi!” Jawab Syeikh Syamsuddin.
Sultan Muhammad sangat yakin pada ilham gurunya. Beliau makin bersungguh-sungguh meningkatkan ketaqwaan pada Allah dan mengajak tenteranya melaksanakan hal yang serupa, sebab hanya orang bertaqwa yang mendapat bantuan Tuhan. Maka pada suatu malam Mei 1453 terjadilah peristiwa yang luar biasa. Jurutera Sultan telah menemui inovasi teknologi yang boleh disebut terobosan besar zaman itu. Iaitu, mereka berusaha membuat agar kapal-kapal perang Islam dapat berjalan di darat. Dengan mengelilingi selat pada tengah malam, tibalah kapat-kapal pasukan Sultan Muhammad At Fateh ke bahagian belakang benteng Konstantinopel.
Kota Konstantinopel sebenarnya adalah kota yang sangat strategik kerana dilindungi oleh benteng alami, iaitu bukit-bukit. Kapal-kapal tentera Islam berjumlah 70 buah mendarat di Semenanjung Pera di pinggir bukit itu dan berusaha mendakinya. Di situlah terjadilah keajaiban yang merupakan karamah bantuan Allah SWT pada malam itu. Secara lahiriah, meskipun kapal-kapal itu dapat ‘dipaksa’ berjalan di darat dengan menggunakan balok-balok kayu raksasa tetapi untuk mendaki bukit membawa 70 kapal layar berukuran besar dalam tempo beberapa jam adalah suatu hal yang mustahil.
Telah diceritakan juga, ketika Sultan Muhammad Al-Fateh memasuki Konstantinopel, prajuritnya menjumpai maqam sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayyub Al Anshari RA. Di maqam tersebut mereka melihat sebahagian kaki As-syahid Abu Ayyub tersembul keluar dari tanah. Kaki tersebut putih bersih tidak rosak sama sekali, walaupun beliau telah wafat selama 600 tahun lalu. Inilah karamah para sahabat Nabi.. Panglimanya dan Sultan pun bergiliran mencium kaki tersebut. Sultan mengambil giliran yang terakhir.
Ketika Sultan Muhammad Al Fateh hendak mencium kaki sahabat Rasulullah itu, tiba-tiba kaki tersebut masuk ke dalam tanah. Telah diceritakan pula bahawa pada petang hari setelah penaklukan bersejarah itu, Syeikh Syamsuddin Al-Wali bermimpi bertemu dengan Abu Ayyub Al-Anshari. Abu Ayyub menyampaikan ucapan selamat pada Sultan Muhammad Al-Fateh kerana berjaya menakluk Konstantinopel dan menyatakan Abu Ayyub sendirilah yang sepatutnya mencium kaki Sultan Muhammad Al Fateh sebagai orang yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, bukan sebaliknya.
Pada hari Jumaat pertama di Konstantinopel, ketika diadakan sholat terdapat masalah dalam menentukan siapa yang menjadi imam. Sultan pun meminta seluruh tenteranya berdiri dan bertanya, “Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga kini, pernah tinggal sholat fardhu silakan duduk!”
Tidak ada seorang pun yang duduk. Ini bererti seluruh tentera Sultan waktu itu, sejak usia baligh tidak pernah meninggalkan sholat fardhu.
“Siapa yang sejak baligh hingga kini, pernah meninggatkan sholat sunat rawatib silakan duduk!” Tanya Sultan lagi.
Sebahagian tenteranya masih tetap tegak berdiri dan sebahagian lagi duduk. Jadi ada sebahagian dari tentera Sultan yang sejak balighnya tidak pernah meninggalkan sholat sunat rawatib.
Kemudian Sultan bertanya lagi, “Siapa yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan sholat tahajjud silakan duduk!”
Kali ini seluruh tenteranya itu duduk. Yang tinggal berdiri hanya beliau sendiri. Ternyata, rupanya sejak usia baligh Sultan sendiri belum pernah meninggalkan sholat tahajjud. Maka beliaulah yang paling layak menjadi imam sholat Jumaat. Memang benarlah kata Rasulullah SAW, “Sebaik-baik pemimpin, sebaik-baik tentera dan sebaik-baik rakyat.”
Rupanya, beliau dan tenteranya bukan orang yang pernah meninggal sholat fardhu walau satu waktu sekalipun. Bahkan beliau sendiri pun tidak pernah meninggalkan sholat sunat rawatib dan sholat tahajjud tengah malam. Itu, dan begitulah antara ciri-ciri kemenangan tentera Islam dan sebaik-baik pemimpin… seterusnya tentera dan rakyat.
Soalnya sekarang, apa hubungan dan kena-mengenanya beliau dengan Negara Urbekistan sehingga berjaya meraih ‘Sultan Muhammad Al-Fateh, Pemimpin Yang Dijanjikan’, ‘Mehmed II The Conqueror’ atau ‘…in the Last Days, Islam will rise back from the East’?
Bila diteliti, Syeikh Syamsuddin Al-Wali guru dan jurulatih rohaniah beliau adalah seorang syeikh tarekat Naqsyabandiah berasal dari Khurasan. Atau kini, di Uzbekistan! Pada saya itulah yang penting diketahui antara syarat kemenangan Islam, dalam menghadapi musuh-musuh Islam dahulu dan sekarang, bila anda melawat Uzbekistan! Insya Allah kita sambung lagi kisah-kisah dari Uzbekistan.
Ibnu Hasyim,
Catatan Santai…
Jan17, 2009
4 comments:
Constantinople: Sultan Mohammad (Mohammed The Conqueror)--> TURKI versus Giovanni Giustani--> ROME TIMUR
Fakta:
1) Sultan Mohammad II sememangnya sakit hati setiap kali melihat tembok Kota Constantinople. Constantinople sering kali diibaratkan sebagai lambang empayar Kristianiti. Pada umur 22 tahun telah diangkat menjadi sultan pada 1451. Memulakan angkatan bersenjata tersusun pertama di dunia dengan kehebatan berdozen peledak bom, meriam ampuh yang mampu merobek dinding batu kota-kota hebat. Diceritakan keampuhan meriam itu yang dilengkapi dengan peluru seberat 1400 paun. Giustiani tidak memiliki persenjataan sehebat Sultan Mohammad II, tetapi berlindung dengan meriam kecil, busur panah, dan berbagai senjata kecil tetapi pantas.
Di akhir peperangan dimenangi oleh Sultan Mohammad II yang menandakan perluasan empayar Turki telah mencalari ego angkuh empayar Kristian terutamanya keangkuhan lagenda Kota Constantinople.
Dalam teks sejarah yang ditulis sarjana Barat, Sultan Mohammad II dipropagandakan sebagai pembunuh ganas yang hauskan darah. Mereka menghidupkan lagi kebencian terhadap Sultan Mohammad II dengan meriwatakan beliau sebagai protege Vlad The Impaler (Dracula). Sehinggakan mereka menulis sejarah propaganda mengatakan beliau amat hormatkan Dracula hingga membunuh pegawai beliau yang tidak mahu menurunkan serban tanda hormat semasa lawatan Darcula bertemu beliau.
Apapun sejarah yang diangkat oleh Barat untuk tujuan provokasi dan menanam sifat benci pada pemimpin Islam, mereka tetap terpalit dengan peristiwa hitam kejatuhan Kota Constantinople.
Mengapa hari ini tiada lagi tokoh sehebat ini dalam dunia Islam?
Malah tokoh bukan Islam lebih tersohor dalam agenda kepimpinan sepertimana Chavez dan Castro.
Bangkitlah wahai Amir Islam!
kenapa selitkan cerita karut marut pulak ni ?
Mungkin karut dan marut bagi anda. Apa yang dikongsi oleh saya itu adalah merupakan teks sejarah yang ditulis oleh William Weir dalam bukunya ' 50 Battles That Changed The World'.
Buku ini diluluskan penjualannya di Malaysia dan kebanyakkan kutub khanah awam menyusun buku ini dalam kategori sejarah. Secara tidak langsung buku ini diangkat sebagai karya rujukan sejarah.
TETAPI, banyak fakta dalam buku itu sudah dipropagandakan tanpa rasa bertanggunjawab oleh William Weir sendiri. Penulis cuba membangkitkan sifat kebencian terhadap Amir Islam yang berjaya menakluki dunia Kristian. Penulis menggambarkan Penakluk Islam sebagai kaum Gasar.
Buku ini diangkat sebagai bahan sejarah di kutub khanah. Apa akan jadi jika ramai golongan pelajar dan anak muda yang membaca buku ini dan menafsirkan Amir-amir Islam yang masyhur ini sebagai bangsa Gasar dan kejam?
Bukankah ini satu lagi bentuk penjajahan minda oleh golongan Barat? Saya rasa bertanggunjawab untuk berkongsi dan membongkar isu ini kerana terpanggil dengan panggilan jihad. Saya tidak mampu berjihad dengan mengangkat senjata. Tetapi biarlah dengan kudrat dan daya ini saya mampu berjihad melalui penulisan ringkas sebegini..
Harap anda tidak menyalahkan saya di atas karut marut yang ditulis tetapi jika anda rasa bertanggungjawab, harap anda sebarkan kisah ini buat rakan-rakan Muslim yang lain.
Alhamdulillah
Post a Comment