Saturday, January 31, 2009

Sejarah PAS 19: Ekonomi & Negara Kebajikan Menurut Dr Burhanuddin.

1920an di Jalan Gemblongan, Surabaya. Tram letrik, salah satu angkutan umum kota yang penting, tetapi pada 1960an sudah tiada.

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 19

KITA dengar pemimpin-pemimpin yang telah lupa daratan dalam negara ini mengatakan bahawa perjuagan rakyat pada masa ini tidak lagi kerana agama, bahkan perjuangan hendaklah kerana perut.”

Demikian sedutan ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke 9 di Kuala Lumpur tahun 1960 yang disampaikan oleh Yang Di Pertuanya Dr Burhanuddin Al-Helmi. Ertinya PAS sudah awal-awal lagi menyedari bahaya meterialisme atau faham kebendaan yang menjadikan benda sebagai matlamat bukan sebagai alat untuk mendaulatkan kesucian agama Islam.

Menurutnya, itulah penyakit yang membusukkan jiwa dan meruntuhkan moral perjuangan mereka. Nilai perjuangan hanyalah menjadi tinggi dan bermutu selama-lamanya dengan berdasarkan membela agama, membetulkan kepincangan politik dan ekonomi yang melingkungi kehidupan umat. Kepentingan rakyat perlu dibetulkan dan kerajaan PERIKATAN telah mengemukakan Rancangan Lima Tahun tetapi masih banyak kepincangannya.

Menurutnya, perkembangan iktisad tidak boleh merombak kewajipan terhadap agama Islam, tetapi kerana kerajaan PERIKATAN tidak memperdulikan nilai, hak dan keadilan menyebabkan mereka terjerumus melakukan beberapa penyelewengan. Kerajaan tidak mempedulikan kemasukan modal asing yang tidak terhingga dan terbatas, kerana perbuatan ini akan mencengkam kembali kuku penjajahan ekonomi orang asing kepada negara dan rakyat hanyalah menjadi kuli kepada mereka, sedangkan perkembangan ekonomi tergendala dan tertekan.

Indah khabar dari rupa dalam kempen-kempen dan kerja-kerja kerajaan yang tidak berasas serta tetap untuk memajukan ekonomi rakyat. Ini kerana kerajaan masih lagi tunduk kepada orang asing, kepentingan puak pemodal sahaja dipelihara, yang didapati oleh rakyat hanyalah janji khidmat cakap sedang mata dan telinga melihat dan mendengar, yang maju dan mewah adalah orang asing.’ Maka, ‘…berhamburanlah abu dan debu yang mengelirukan mata rakyat yang dialunkan oleh angin yang timbul dari janji-janji kerajaan itu.’ Demikian menurut Dr Burhanuddin lagi.

Dalam muktamar yang ke 10 beliau menekankan, apa yang telah dibuat oleh kerajaan untuk kepentingan orang Melayu dan kemana riuhnya? ‘Seolah-olah dunia Tanah Melayu bertukar menjadi sebuah dunia lain, orang-orang yang dulunya menderita kini menjadi manusia yang berpendapatan lebih dari RM300, seperti kata Menteri Pembangunan Luar Bandar. Sendiwara riuh rendah ini sudahpun dikenal oleh rakyat…’

PAS mahu Kerajaan Persekutuan sedar, bahawa apa yang dipentingkan oleh rakyat pada masa itu ialah usaha yang bersungguh-sungguh supaya dapat menambah hasil pendapatan rakyat tiap-tiap bulan, dengan menyusun rancangan ekonomi yang sesuai dengan kehendak kehidupan rakyat. Tetapi tanda-tanda yang jelas nyata menunjukkan kerajaan tidak akan dapat melakukannya selagi masih mementingkan orang kaya, orang besar dan kapitalis-kapitalis luar negara.

Beliau mencabar Kerajaan Persekutuan supaya mengenepikan cara-cara pro kapitalis ‘dengan member lebih banyak perhatian di lapangan perekonomian secara berkecil-kecil dari rakyat.’ Beliau mahu menjadikan negara makmur yang ditegakkan oleh rakyat dan dapat dinikmati oleh rakyat. Itulah negara kebajikan menurutnya.

Dalam ucapan dasar Muktamar Agung ke 11, beliau mensifatkan pemimpin-pemimpin UMNO telah menjual hak Melayu dalam negara. ‘UMNO Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai’, ‘mereka inilah orang-orang yang menjerit seperti naga tetapi berjalan seperti semut, yang dikatakan oleh Prof Engku Abdul Aziz’, menjawab jajaan Tun Abdul Razak yang mengatakan negara ini telah makmur. Alangkah pedihnya tamparan tajam dari pakar ekonomi orang kampung itu yang mendedahkan ‘masih tiadak ada kemakmuran kepada orang kampung’.

Kasihan, Jelas Dr Burhanuddin. Mereka terpedaya oleh igauan sendiri dengan berpegang kepada pengakuan pakar-pakar luar yang datang ke negeri ini dan merayau sekejap untuk memberi pujian, yang mereka hanya tahu melihat kertasnya sahaja. Berkenaan kekacauan antara pekerja keretapi dengan majikan waktu itu beliau merumuskan, bahawa itu menandakan kelamahan kerajaan di dalam menghargai titik peluh orang lain. Banyak lagi golongan perjawatan kerajaan yang sedang menunjukkan minat mereka untuk bertindak seperti itu, membuktikan ketidak percayaan mereka kepada kesaksamaan pentadbiran Kerajaan Perikatan.

Kerana tidak ingin berlakunya kekacauan yang boleh menyusahkan rakyat negara ini, maka PAS menuntut kerajaan Persekutan Tanah Melayu memberikan layanan yang baik kepada pihak-pihak yang terniaya dalam negara. Kezaliman politik dan penindasan ekonomi tidak boleh dibiarkan, walaupun yang tertindas berdiam diri. Kerana penindasan seperti itu akan melumpuhkan ekonomi negara dan mewujudkan satu susunan masyarakat yang tidak dseimbang.

Beliau menafikan kejayaan Rancangan Kemajuan Luar Bandar kerajaan PERIKATAN dan menegaskan keseluruhannya merupakan perkhidmatan yang belum dapat menambah secara langsung pendapatan rakyat. Beliau mahu satu rancangan yang terus memberikan peluang menambah pendapatan rakyat dengan tidak payah menunggu giliran atau masa yang panjang berhasilnya rancangan tersebut. Wang yang ditaburkan kepada rakyat hendaklah dirancang dengan teratur, memberikan keutamaan layanan untuk kepentingan rakyat.

Bukan memberikan perkhidmatan kepada rakyat setelah ternyata tidak berlawanan dengan kepentingan orang tengah atau kaum-kaum pemodal besar. Beliau menegaskan, rakyat patut diberitahu bahawa kerajaan PERIKATAN telahpun memberi cuti daripada membayar cukai oleh syarikat-syarikat besar dalam negara. Diberikan taraf perintis selama lima tahun dan tidak dikawal secara berkesan kemasukan barangan, walaupun kemasukan tersebut berlawanan dengan kepentingan ekonomi rakyat kecil di dalam negara.

Syarikat kerjasama rakyat telah dicerobohi daerah perniagaannya oleh kaum pemodal kapitalis, sehingga syarikat tersebut lumpuh ditekan oleh pemodal-pemodal dari semua penjuru dengan tiada kawalan undang-undang kepada kepentingan mereka. Itulah yang dikatakan kerajaan PERIKATAN tidak jujur dalam rancangan ekonominya kerana mementingkan cukai yang banyak walaupun dengan memeras rakyat. Oleh itu beliau menyarankan agar rakyat mendukung diri dan dengan tangannya sendiri, dibantu oleh kerajaan dalam menjalankan usaha-usaha keperluan hidupnya.

Beliau melihat dari sudut Islam, yang masa keseluruhan rakyat sesebuah negara adalah mendapat perhatian dan layanan sesuai dengan kedaulatan Islam dan pemeluk-pemeluknya. Di dalam negara Islam, pembangunan rakyat hendaklah diatur dengan memberikan perimbangan kedudukan dan kesederhanaan sikap terutama dalam penyelenggaraan ekonomi negara. Kesan-kesan pembangunan ‘ekonomi mementingkan diri dan satu golongan sahaja’ dengan tidak mengindahkan kesan buruk kepada pihak lain, adalah menjadi unsur penting yang telah membawa penyakit-penyakit masyarakat.

Islam berkehendakkan peluang dan penggalakan ekonomi yang baik dan mempunyai moral untuk dikecapi oleh semua golongan masing-masing, menurut kesanggupan dan kebolehannya. Beliau mengkritik pengutamaan pengembangan ekonomi di Tanah Melayu yang ternyata sebagai satu pengembangan sahaja, dengan tidak memikirkan bahawa perkembangan itu menekan atau membantutkan kebangkitan ekonomi rakyat. Apa yang dibuat ialah menampal kelemahan ekonomi rakyat dengan memberikan khidmat-khidmat kecil kepada mereka. Maka rakyat sentiasa bersifat bergantung kepada orang lain.

Mereka terpaksa bersifat demikian kerana tidak memberikan peluang dan bantuan kepadanya bagi menghapuskan sifat-sifat kemelaratan hidup tersebut. Beliau menyebut bahawa Rasulullah SAW telah menunjukkan satu contoh pengajaran ekonomi yang mesti dijalankan oleh sesebuah negara. Apabila bertemu dengan seorang peminta sedekah di tepi jalan Raslullah telah bertanya, kenapa engkau tidak berkerja? Orang itu menjawab dengan mengatakan, apa guna berkerja kerana aku tiada sesuatupun alat untuk melaksanakannya.

Baginda terus mengambil tikar tempat duduk orang itu, disuruhnya jual dengan harga satu dirham, kemudian dimintanya daripada Saidina Abu Bakar satu dirham lagi supaya dapat dibelikan sebilah kapak untuk bekerja. Dengan itu tidaklah lagi orang itu meminta sedekah. Begitulah halnya dengan orang-orang miskin di negara ini, menurut Dr Burhanuddin lagi. Mereka perlukan bantuan untuk mula berjalan. Itulah yang mesti dilaksana dan disamakan dalam pembangunan ekonomi. Tetapi selagi kerajaan tidak tegas mengutamakan yang ramai dan miskin, maka selama itulah keadaan hidup rakyat negara ini tidak dapat dibetulkan.

Suatu penyusunan pandangan hidup dan perancangan ekonomi menurut keadaan waktu itu perlu dibuat supaya tiap-tiap individu rakyat memiliki sesuatu walaupun sedikit. Itu lebih berguna kepadanya dalam ertikata ekonomi, daripada merancacang sesuatu ‘bagi beberapa orang atau beribu orang yang pindah dan dikumpulkan sahaja’, tidaklah dapat menyelesaikan kesulitan mereka yang sedikit mempunyai modal hidup tetapi tidak teratur. Beliau berpendapat bahawa, tiada satu perancangan kemajuan akan dapat dijalankan di kalangan rakyat miskin dalam negara, melainkan dengan mengawal perkembangan ekonomi mereka daripada orang-orang yang menekan, menindas dan memeras unsur-unsur ekonomi tersebut.

Penindasan seperti itu adalah membunuh kepercayaan kepada pemangunan ekonomi di kalangan rakyat. Rasa tamak dan haloba yang ada pada manusia, hanya dapat dibatas dengan undang-undang, bukan dengan mengenakan cukai sahaja. Beliau menyarankan hendaklah dibuat undang-undang yang tegas dan berkesan bagi mencegah monopoli dan pemerasan ekonomi di beberapa peringkat. Menggalakkan kerja-kerja yang dijalankan terutama dalam sesuatu bidang khusus, hendaklah dijadikan asas pekerjaan. Syarikat kerjasama pembeli, pengguna-pengguna dan orang tengah perlu mengambil formula penyelesaian dan jawapan menurut cara Islam.

Semangat gotong-royong yang telah dipusakai sejak dulu dan masih dijalankan di beberapa tempat, hendaklah dijadikan asas hidup di dalam masyarakat, tetapi bukanlah seperti yang dibuat oleh kerajaan ‘bergotong-royong kerana hendak memurahkan belanja tetapi boros pada tempat yang lain’. Menurutnya, dalam sesebuah negara yang berdasarkan Islam, kewibawaan moral dan nilai kemanusiaan dalam ekonomi adalah penting. Bukanlah asal dapat benda dan matawang sahaja maka sesuatu perancangan ekonomi itu baik, tetapi kesan terhadap orang lain dan diri manusia itu sendiri mesti diperhitungkan.

Masyarakat kapitalis yang timbul dari dasar ekonomi bebas dibawa oleh penjajah dan sedang dianjurkan oleh kerajaan membawa bersama pegangan hidup ‘asal untung sahaja’ mestilah dikawal bersungguh-sungguh. Menegakkan kemajuan ekonomi di atas keruntuhan moral adalah merupakan satu yang bahaya kepada orang Islam dan bukan Islam. Ianya dapat dibetulkan dengan menjalankan dasar ekonomi sederhana, menghasilkan sama suatu perimbangan kebendaan dan moral yang dipentingkan oleh masyarakat sesuatu negara.

Beliau juga memberi amaran supaya jangan diulangi sejarah buruk negara ini menanggung hutang seribu juta ringgit, kerana mahu berlagak sebagai negara baru merdeka yang berjaya maju. Begitu juga langkah membanggakan kilang-kilang besar dan sebagainya, tetapi dipunyai oleh orang lain, sedangkan rakyat hanya menjadi kuli sahaja. Baginya, perlu kepada pengambilan tenaga dan modal yang ada pada rakyat di dalam negara, bagi memajukan diri rakyat sendiri, jika tidak maka akan terikatlah leher rakyat dengan cengkaman ekonomi yang merupakan satu penjajahan merbahaya sesudah penjajahan politik.

Mengajar rakyat berdiri sendiri, supaya membuat sendiri dengan kemahuan sendiri, hendaklah dimulakan oleh negara. Kalau negara dibentuk untuk berlagak sahaja seperti pada waktu itu, maka rakyatnya pun akan terbentuk sebagai berlagak tetapi tidak berisi. Beliau merumuskan bahawa Islam mempunyai formula atau cara-cara menghadapi masalah-masalah moden yang menjadi problem masyarakat samada di lapangan politik atau ekonomi. Beliau membaca firman Allah SWT bermaksud:

Pada hari ini Aku sempurnakan bagimu agama kamu dan Aku cukupkan bagimu nikmat Ku dan Aku redha Islam sebagai ad-deen bagimu.”

Dalam ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke 12 tahun 1964, beliau menekankan tentang kelemahan orang Islam mengamalkan seluruh cara hidup yang merangkumi politik, ekonomi dan social mengikut ajaran Islam. Itulah yang menyebabkan banyak kekayaan yang ada di negara-negara umat Islam itu terlepas dari tangan orang Islam sendiri. Kuasa-kuasa bukan Islamlah yang mengaut kekayaan dan membina anika rupa kemajuan dengan kekayaan yang diambil oleh mereka dari negara umat Islam.

Bukan itu sahaja menurut beliau, dengan kekayaan yang diambil oleh kuasa-kuasa besar, mereka secara langsung atau tidak langsung telah berusaha pula menyalakan api permusuhan terhadap Islam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails