Saturday, February 28, 2009

Politik Cara Agama.. Taib Azammudden

Tuan Haji Taib Azamudden

Ibnu Hasyim Catatan Santai Dari Parlimen

PARLIMEN ke12, Penggal Ke 2, Mesuarat Pertama Bil. 7 Rabu 25 Februari 2009, menyaksikan pandangan Islam yang dibawa oleh mantan Imam Besar Masjid Negara yang kini menjadi Ahli Parlimen Baling, Kedah. Beliau adalah Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib, begini ucapan dan perbincangan beliau…

{ Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua atas kesempatan dan laluan yang diberikan untuk turut sama membahaskan Titah Ucapan Menjunjung Kasih kepada Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan ingin saya menyentuh terutama sekali dalam perkara yang berkaitan dengan perkara 20 dan perkara yang berkaitan dengan perkara 8.

Tuan Yang di-Pertua, dalam situasi politik Malaysia masa kini, saya berpendapat bahawa politik sangat perlu dimurnikan dengan membawa peranan agama ke dalamnya iaitu dengan berpolitik secara agama. Jika berpolitik terpisah daripada agama dan moral, maka ini amat berbahaya kepada negara bahkan lebih bahaya daripada kemelesetan ekonomi. Politik tidak diperlakukan secara pragmatik, ‘uliteration’ yang terpisah dari nilai keagamaan. Sikap dualistic, beragama secara murni, berpolitik secara permisif bukanlah sikap tauhid seperti yang dituntut oleh agama.

Sekarang ini kita sedang menyaksikan dengan jelas bagaimana nilai etika, moral dan agama sedang tercabar dengan hebatnya. Apabila berleluasanya politik wang, rasuah, penyelewengan, pendustaan, tipu daya dan sebagainya, semuanya ini saya percaya adalah akibat daripada tidak sensitif atau tidak percaya adanya balasan Allah SWT di akhirat nanti.

(Dato’ Haji Ismail bin Mohamed Said [Kuala Krau] diberi laluan bercakap: Terima kasih Yang Berhormat Baling. Bercakap mengenai moral dan etika. Mengenai politik dan kepimpinan dalam negara kita. Yang Berhormat Baling ada pengalaman. Seseorang telah berjumpa dengan Yang Berhormat Baling ketika menjadi Imam Besar Masjid Negara. Ada pengakuan-pengakuan yang divideokan atau dirakamkan. Ketika itu Yang Berhormat Baling cukup merasakan perkara itu benar berlaku, yakin berlaku dan apakah pandangan Yang Berhormat Baling ketika itu dan ketika ini setelah menjadi wakil rakyat di Parlimen. Adakah moral pemimpin tersebut tercalar, tercemar dan beliau boleh menjadi kepimpinan sama di dalam sebelah sini atau di sebelah sana. Terima kasih. Apa pandangan Yang Berhormat Baling?)

1998. Suatu kisah yang begitu lama yang telah dieksploitasi oleh parti politik. Saya menjalankan tugas saya dan saya tidak memberi sebarang pengakuan benar ataupun tidak benar dalam tugas saya itu. Cuma ada pihak yang mengambil kesempatan untuk eksploit itu. .. Yang itu UMNOkah atau siapa tidak tahulah. Yang Berhormat Batu Pahat tahulah kot. Jadi saya sudah membuat kenyataan berulang kali dan kalau saya bersedia untuk menjawab di Dewan ini pada Parlimen Kesepuluh dulu tetapi waktu itu Yang Berhormat Menteri Penerangan tidak berani hendak timbulkan balik dalam Dewan ini. Saya akan dedahkan senarai keseluruhannya dalam tugas saya itu sendiri.

Jadi saya rasa berilah laluan untuk saya berucap dan saya pun tidak minta Tuan Yang di-Pertua untuk... Tuan Yang di-Pertua, isyarat cukup jelas kepada semua pihak bahawa pengundi mahukan perubahan. Mahukan kepimpinan negara di semua peringkat beramanah, bermoral dan berakhlak tinggi. Mereka tidak lagi mudah dipengaruhi oleh media massa konvensional yang bertalu-talu menyogokkan atau memaksakan pemikiran dan persepsi yang sama sekalipun ia bertentangan dengan hati nurani mereka. Projek pembangunan memang diperlukan. Namun dalam masa yang sama apabila unsur politik wang, rasuah, penyelewengan, nepotisme, kroni dan sebagainya semakin berleluasa dan ada tanda-tanda tidak terkawal.

Rakyat sedang memandang keadaan ini dengan rasa cukup cemas. Mereka sedang menuntut keterbukaan kerajaan. Keadilan pembahagian kekayaan negara dan keluhuran undang-undang. Apabila rakyat melihat pembaziran di sana sini, sesetengah pemimpin politik menunjukkan gaya hidup bermewah-mewah. Tidak sepadan dengan pendapatan mereka dan ini sangat mengecewakan. Secara ringkas Tuan Yang di-Pertua, saya ingin kembali membawa sedikit suasana bermewah-mewah yang pernah berlaku satu ketika dulu dengan keadaan yang disebut sebagai begitu materialistik.

Pada zaman Bani Umaiyah, di tengah-tengah itu Allah SWT dengan segala kekuasaannya telah memunculkan seorang khalifah muda dari Dinasti Bani Umaiyah yang juga bernama Umar Ibnu Abdul Aziz yang juga keturunan Sayidina Umar Ibnu Khatab. Beliau sangat menyedari kehidupan materialistik dan bermewah-mewah adalah punca utama segala keruntuhan atau kegiatan moral, sosial, politik dan ekonomi di zamannya. Budaya ini baginya membuka ruang seluas-luasnya perbuatan rasuah, politik wang, penipuan, berebut kuasa, pecah amanah, penyalahgunaan harta awam dan pelbagai perbuatan keji. Rakyat yang berakhlak rendah dan muda tertipu, saling berkhianat dengan pemimpin dan pemerintah.

Rakyat serupa ini mengelak dari tanggungjawab untuk menegur, mengkritik dan membantah sementara pemimpin pemerintah pula berkhianat dengan mengambil sesuatu yang bukan haknya. Jadi untuk mengatasi kerosakan ini, maka Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz merubah sistem nilai masyarakat. Memerangi penyelewengan habis-habisan tidak kira di pihak atasan mahupun pihak bawahan termasuklah keluarga sendiri. Mengajar supaya gaya hidup sederhana dan yang terpenting menampilkan diri dan keluarganya sebagai pemimpin teladan. Oleh itu, kepada kita sekarang, siapa pemimpin teladan yang wajar kita ikuti?

Persoalan ini harus kita jawab bersama. Tuan Yang di-Pertua, sehubungan ini, saya ingin membangkitkan beberapa isu terutama yang berlegar di dalam masyarakat kita yang lebih-lebihnya menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini yang bagi saya kalau keadaan ini dibiarkan berterusan, maka Islam yang sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama persekutuan akan diperkotak-katikkan.

Yang pertama Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini terdapat tindakan sebuah NGO di negara ini yang dikenali dengan Sisters in Islam telah pun mengadakan satu musyawarah Conference of Equality and Justice in the Muslim Family yang dijemput bersama ialah Profesor Dr. Aminah Wadut. Bagi saya tindakan ini adalah suatu tindakan yang kurang tepat kerana Aminah Wadut, beliau merupakan wanita yang telah pun heboh satu ketika dulu yang membolehkan dirinya menjadi imam sembahyang Jumaat. Beliau juga menggunakan petikan ayat-ayat al-Quran bagi memperjuangkan kesamarataan di antara lelaki dan wanita yang boleh diragui.

Mereka cuba berseminar, mereka membahaskan dan mereka membentangkan kertas-kertas kerja yang semuanya mempertikaikan dalil-dalil dan hujah-hujah yang telah pun disebut sebagai [Bercakap dalam bahasa Arab] Maknanya dalil yang telah diputuskan. Bukan masalah [Bercakap dalam bahasa Arab] Mereka cuba membahaskan. Memang kita tahu mereka ahli akademik. Akan tetapi apakah mereka sedar, Sisters in Islam sedar bahawa al-Quran ialah wahyu Allah dan hadis Rasulullah. Bukan ada satu cara untuk kita membahaskan dari sudut akademik. Wahyu bukan bertaraf akademik, hadis bukan bertaraf akademik.

Kalau kita memberi ruang Al-Quran, kita memberi ruang hadis Rasulullah untuk dibahas dari perspektif ekonomi, dari perspektif akademik, maka akan bercelarulah fakta-fakta utama dalam Islam yang menyebabkan umat Islam menjadi hanyut dan tidak berpegangan. Apakah tindakan pihak yang berkuasa atau pihak kerajaan khususnya JAKIM adalah hal-hal seumpama ini kerana kita minta JAKIM member suatu garis panduan khusus kepada apa juga bentuk yang seumpama ini pada masa-masa akan datang. Pihak kerajaan di bawah peruntukan perlembagaan ini kita minta supaya agar lebih bertegas.

Tuan Yang di-Pertua, yang kedua masih terdapat kalau kita pergi dan kita melihat di tempat-tempat atau di kedai-kedai dan sebagainya, penggunaan ayat-ayat suci al-Quran yang digunakan secara berleluasa di restoran milik bukan Islam yang digunakan untuk semata-mata menarik pelanggan beragama Islam. Isu ini sebenarnya perlu diberi perhatian serius kerana ia menjejaskan kesucian ayat-ayat suci al-Quran al-Karim, terdapat kita lihat ayat-ayat suci yang ditulis di jam-jam apa penjualan jam, hiasan yang berasaskan ayat suci al-Quran al-Karim, ada yang diletakkan di lantai, ada yang diletakkan di kaki-kaki lima, floor, yang cukup mengaibkan.

Sebenarnya umat Islam melihat keadaan ini dalam penuh rasa cukup sensitif. Setakat ini sebenarnya apa yang saya fahamkan tidak ada akta yang boleh melindungi kesucian ini. Begitu juga termasuk di dalam persoalan-persoalan yang berkaitan dengan Al-Quran yang kita dapat lihat, bebas dicetak oleh orang-orang lain yang tidak tahu menahu bagaimana cara untuk memelihara kesucian ayat ini. Ada cetakan-cetakan yang terbuang, dibakul sampahkan begitu sahaja. Inilah perkara-perkara yang harus dilihat.

Oleh itu, saya ingin bertanya bagaimanakah isu ini dibiarkan sebegitu lama, tanpa ada suatu peraturan ataupun akta khas bagi menjaga kesucian ayat-ayat al-Quran ini, begitu juga Tuan Yang di-Pertua, walaupun di Dewan ini telah pun bangkit berulang kali, persoalan-persoalan halal haram, terutama sekali yang saya ingin menyentuh dalam kesempatan ini ialah masalah sijil halal di negara kita ini sebenarnya belum selesai. Walaupun jawapan-jawapan daripada pihak kementerian seolah-olah menggambarkan untuk kita rasa lega, tapi sebenarnya masalah ini masih belum selesai.

Cuba kita lihat di medan selera ataupun di food court, sijil halal yang dipamerkan boleh diragui kerana ia adalah sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak swasta, pengusaha premis food court, Kopitiam dan restoran dilihat menggunakan sijil ini bagi menarik pelanggan. Kita beri sijil halal ini kepada HDC, Halal Development Corporation, yang semata-mata mereka mengendalikan ini dalam bentuk orientasi perniagaan, ataupun bussiness oriental dengan izin, mereka tidak beramanah sebenarnya dalam konteks menjaga masalah soal halal ini sendiri. Akta halal di Malaysia sebenarnya masih belum wujud dan ini menyukarkan pengguna terutama pengguna Islam membuat pengaduan kerana sebenarnya kita tidak menjadi kesalahan kepada pengusaha ini menggunakan logo halal syarikat swasta.

Sekarang logo halal, siapa pun boleh dapat. Banyak syarikat-syarikat swasta, bawa keluarkan logo halal dengan hanya bayar RM2 ribu lebih, RM3 ribu dapat logo halal. Ini yang menyedihkan umat Islam, kita seolah-olah dipermain diperkotak-katikkan di dalam tempat kita sendiri, di dalam negara kita sendiri. Sebenarnya saya mendesak kerajaan, pulangkan balik kuasa halal haram ini sepenuhnya kepada JAKIM. JAKIM yang berauthority, tidak ada syarikat yang ambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan membuat sebegini penipuan terhadap umat Islam dalam negara sendiri. Persoalannya, setakat ini apabila dah tidak ada akta, tidak ada undang-undang untuk menyekat penggunaan logo halal yang berleluasa dijual begitu mudah.

Tuan Yang di-Pertua, soalannya, siapa yang pantau? Yang memastikan bahawa sijil halal ini mengikut garis panduan persijilan halal yang sebenarnya, yang menyedihkan tuan-tuan, yang menyedihkan Tuan Yang di-Pertua, ada sampai pada peringkat di mana hotel-hotel, 80% hotel dalam negara kita tidak mempunyai logo halal yang peliknya function kerajaan menggunakan hotel tersebut. Kerajaan kita, kementerian kita, menggunakan hotel yang 80% tidak dijamin halal untuk function mereka. Minta maaf kepada sahabat-sahabat saya dalam UMNO, kerana saya difahamkan yang supply kuih di Persidangan Agung UMNO pun difahamkan bukan bumiputera Islam yang sediakan, kalau tidak betul, saya minta maaf, kalau betul mari kita sama baiki.

Ini serius, begitu juga kita tidak prihatin kepada produk halal, kita bantu ratus ribu botol air mineral ke sahabat-sahabat kita di Banda Acheh, Tsunami tetapi kita tidak menggunakan produk mineral yang dibuat oleh bumiputera Muslim yang terjamin halal. Syarikat ini walaupun kita dapat bantu, syarikat berkenaan menjadi jutawan dengan kerana bantu air mineral di Banda Acheh. Kita ada air gaung, ini saya rasa Kuala Krau pun setuju, kita ada air gaung dekat dengan Kuala Krau, kenapa tak guna air gaung, misalnya, tapi Batu Pahat tak adalah. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin juga menyentuh mengenai dengan walaupun benda ini agak kecil tapi sensitif kepada umat Islam, kepada sahabat-sahabat kita yang bukan Islam, kita tidak menyentuh hak mereka.

Masih terdapat terutamanya yang digunakan oleh pelajar-pelajar sekolah, oleh tukang gunting, berus-berus yang dibuat daripada bulu babi, bulu khinzir yang cukup sensitif kepada umat Islam. Kita pun seronok pergi bercukur, duduk di salon dan sebagainya, rileks, tapi kita tidak tahu pipi kita itu tadi dicomot dengan powder dan bedak yang dihasilkan, yang digunakan dengan bulu babi. Lepas itu, balik keluar, kita sembahyang. Tuan Yang di-Pertua, apakah langkah dan usaha yang boleh dilakukan untuk mengelakkan umat Islam tercemar dengan penggunaan berus yang seumpama ini. Sayang anak-anak kita di sekolah dan sebagainya, mereka menggunakan bahan-bahan ini untuk kosmetik dan sebagainya, tetapi mereka tidak tahu bahawa mereka telah pun berada dalam keadaan yang sungguh menyedihkan.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin juga menyentuh selanjutnya dengan kempen beli barangan buatan Malaysia. Memang kita sokong penuh. Tetapi langkah sokongan perlu diambil bagi memastikan peniaga bumiputera mendapat manfaat... (Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar] memberitahu: Yang Berhormat, masa Yang Berhormat sudah habis.)

Satu minit sahaja Tuan Yang di-Pertua. Minta izin Tuan Yang di-Pertua. Pasar raya-pasar raya kita, kita tidak dapat cari selain daripada Pasar raya Mydin dan sebagainya. Kalau kita pergi The Mall depan Pan Pasific itu sendiri, hendak cari gerai Islam kena turun bawah, selepas itu dekat penjuru gerai sembang-sembang, barulah nampak produk Islam dekat situ. Yang lain tidak ada. Kita ada Mid Valley yang diusaha sama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Tetapi bumiputera tidak dapat tempat. Konon kita tidak mampu bayar sewa. Kita ada Suria KLCC yang jaga orang bukan Melayu. Mat Salleh jaga.

Ini semua keadaan yang kita semua rasa cukup terkilan. Begitu juga keadaan-keadaan kita yang hebat dengan hypermarket dan sebagainya di seluruh negara, tetapi apa yang ada kepada kita. Kita buat exhibition seperti MAHA, kita da MIHAS dan sebagainya. Hanya semata-mata untuk perkenal produk, tetapi perkenalkan produk untuk dapat jualan keuntungan untuk setahun semata-mata hendak cover kos. (Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar] menegur masa lagi: Baiklah Yang Berhormat.)

Tetapi dalam exhibition itu sendiri kita cari dekat pasaran sebenarnya barang itu tidak sampai pun kepada pengguna. Barang itu tidak ada pun di pasar. Ini yang menjadi masalah walaupun saya ada lima enam perkara lagi yang hendak disentuh, Tuan Yang di-Pertua tetapi saya hormat kepada peraturan dan masa yang diberikan ini dan dengan itu saya ucapkan terima kasih.}

Syabas, Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib, berdakwah kepada Ahli Parlimen... Sekian catatan santai di parlimen kali ini. Wassalam.

ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
Feb 28, 2009. KL.

1 comment:

  1. benar hujah tu kerana ada beberapa fakta ingin saya tambah sebagai pendokong hujah tersebut:-

    1) produk keluaran Muslim kalau dibenar penjualan di hypermarket pun akan disusun dirak yang 'remote' atau terpencil. Sila lawati mana-mana hypermarket dan carilah ubat gigi jenama 'MUKMIN' dan telitilah lokasi barang tersebut.

    2) Rempah keluaran FAIZA amat sedap dan makin mendapat sambutan. Tapi sayang di hypermarket rempah FAIZA diletak di rak bawah sekali dan dibelakang rempah-rempah lain keluaran syarikat non-Muslim yan hanya menempek jenama KEMELAYUAN, KEISLAMAN dan KEJAWIAN.

    3) Produk IKS keluaran syarikat Islam di hypermarket ibarat ikan hilang sebelah sirip. Bulan ini ada tersusun di rak,..datang bulan depan dah tadak di rak bulan lalu...datang lagi bulan depan ada balik tapi di rak berlainan dan disusun di di bawah-bawah. INI SATU KERJA HALUS UNTUK MENIMBULKAN PERSEPSI AGAR PENGGUNA MERUNGUT SUKAR MENDAPAT BEKALAN BARANG TERSEBUT, MAKA AUTOMATIKNYA PRODUK NON-MUSLIM AKAN MENJADI PRODUK GANTI SEBAGAI ALTERNATIF.

    4)Contoh satu lagi, produk cecair AFY HANIF yang berasaskan serai wangi. Dulunya amat laris di hypermarket walaupun disusun di rak terbelakang ataupun 'remote'. Kerana produk ini tiada pesaing. Tetapi hari ini, tiba-tiba harga produk ini menjadi mahal di hypermarket dan secara automatik pula ada satu lagi produk hampir sama tetapi bentuk wangian pepejal keluaran syarikat NON-MUSLIM. Secara automatik produk AFY HANIFF kurang sambutan kerana harga dinaikkan oleh hypermarket secara tiba-tiba dan produk wangian pepejal tadi menjadi ganti sebagai alternatif dan MURAH pulak tu harganya dari produk AFY HANIFF.

    Sumber di atas adalah berdasarkan kajian saya sendiri semenjak tahun lalu terhadap kajian pemasaran. Dalam kajian itulah saya mendapati memang wujud unsur mencurigakan dan amat halus perlaksanaannya agar umat Islam gagal dalam perniagaan.

    ReplyDelete