Monday, March 09, 2009

Raja Thai Sama Dengan Sultan Perak?

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan

SAYA sampai di bandar Hatyai kira-kira jam 6 petang waktu Malaysia, jam 5 waktu Thailand. Saya meluru ke sebuah kaunter untuk dapatkan kenderaan mahu ke Pattani waktu ini juga. “Oo. Maaf tuan, waktu ini tiada kenderaan yang mahu ke Pattani..” Kata penjaga kaunter itu.

Teringat kata-kata seorang pemandu kereta sewa orang tempatan, yang saya temui di kedai makan tadi mengatakan, kalau dari Hatyai hendak pergi ke utara.. ada, tetapi kalau dari Hatyai ke selatan, seperti Yala, Naratiwat, Sungai Kolok dan lain-lain, tak ada kenderaan yang mahu pergi.

“Kenapa?” Saya tanya.

“Hampir hari-hari ada orang mati dibedil. Samada soldadu atau rakyat biasa. Kelmarin di nat Palas seorang soldadu atau tentera mati dibedil. Soldadu bersenjata lengkap ramai di sana-sini sekarang. Berbagai taktik dan teknik digunakan. Contohnya.. Hari itu, seorang Melayu masuk ke kedai Cina meninggalkan motosikalnya di luar kedai. Entah apa terjadi di dalam kedai terdengar bunyi letupan, taukeh kedai tertembak, lelaki itu lari keluar membonceng di belakang motosikal seorang lain, terus hilang dari pandangan.

Pihak polis atau soldadu datang menyerbu dan menyiasat, termasuk motosikal yang ditinggalkan lelaki Melayu itu. Rupanya di situ dipasang peledak yang lebih besar… Bom di motosikal itu terus meletup. Ramai soldadu yang mati dan cedera. Berbagai cara dan helah digunakan!” Ceritanya lagi.

“Huru-hara ini bermula sejak zaman pemerintah Perdana Menteri Thai Tahsin Shinawat, adakah dia anti orang Islam?” Saya tanya lagi.

“Ya. Memang mulanya, kami rakyat yang beragama Islam menganggap begitu. Selepas berlaku pembunuhan ke atas orang Islam di Masjid Kerisik, Tak Bai dan lain-lain, kami amat benci pada Thaksin. Tetapi setelah Thaksin tersingkir barulah kami mula faham siapa sebenarnya dalang di balik pembunuhan tersebut. Dalang itulah berperanan memporak-perandakan seluruh keamanan rakyat Thai hingga kini. Mereka cemburu melihat sokongan rakyat kepada Thaksin, yang membawa rakyat dan negara ke arah pembebasan dari kemiskinan, terutama di kalangan rakyat miskin di utara Bangkok.

Di selatan Thai ekonomi rakyat Islam mula meningkat di bawah Thaksin. Suasana damai mulai memberi harapan baru.. (Parti Harapan Baru yang mendapat sokongan orang Islam Selatan Thai bergabung memerintah dengan Parti Thai Rak Thai pimpinan Thaksin ketika itu). Kerana itu mereka cuba gunakan kuasa raja untuk memisahkan pemerintah Thaksin dengan rakyat Islam. Akhirnya Thaksin berjaya disingkir, dipisahkan dengan rakyat Thai, dan partinya diharamkan.” Jelas pemandu kereta sewa itu, yang kalau dilihat pandangan pemikirannya, bukan sebagai seorang pemandu kereta sewa biasa.

“Saya juga melihat perkembangan politik Malaysia sekarang, kerana ramai kaum keluarga saya masih berana di sana, terutama di negeri Perak. Ada golongan yang cuba memisahkan MB Perak dari PR Ir Mohd Nizar dengan rakyat Perak dengan menggunakan kuasa Sultan Perak. Nampaknya hampir sama sahaja peranan Raja dan Sultan-sultan di negara kamu Malaysia dan negara saya Thai yang saya cintai ini!” Katanya lagi.

Terpinga-pinga saya. Hal inilah yang membuat sesebuah negara tidak aman, menyebabkan malam ini saya terpaksa mencari bilik penginapan di hotel, tidak boleh terus ke Pattani.

Wallahu ‘aklam. Sekian.

Ibnu Hasyim
ibnuhasyim@gmail.com
Hatyai. Mac 08, 2009.

1 comment:

Anonymous said...

Sukar untuk kita memberikan pandangan tentang Thaksin ini. Jika kita beranggapan beliau seorang yang baik, kita kena selidik semula tindakan beliau semasa memerintah. Rasuah begitu berleluasa, dan syarikat milik beliau dijual kepada Temasek Holdings Singapura dengan pengecualian cukai. Dari situ nampak persamaan antara Thaksin ini dengan para pemimpin UMNO.

Dari satu sudut lain, Thaksin terkenal kerana dasar populis iaitu membantu orang miskin untuk mengubah nasib mereka. Selain itu, kejayaan beliau dalam menangani krisis ekonomi Thailand mendapat pujian meluas. Hutang dengan IMF berjaya dilangsaikan, nilai Baht kembali pulih. Nama parti beliau sendiri Thai Rak Thai bermaksud "Rakyat Thai Sayang Thai". Di sudut ini nampak persamaan beliau dengan Ir. Nizar yang berdiri atas platform berbilang kaum.

Namun, Thailand kini berdepan masalah besar, juga hampir sama dengan Perak, iaitu krisis politik yang tidak berkesudahan. Ramai wakil rakyat yang dilucutkan jawatan kerana dikatakan menipu di dalam pilihan raya. Semoga keamanan dan keadilan kembali di sana, agar kita, jiran paling rapat mereka juga dapat menikmati hasilnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails