JALANRAYA ini 10 tahun lalu pernah saya lalui.. Jalannya berlopak-lopak dan terdapat lobang besar tempat air bertakung, walaupun letaknya di tengah-tengah lalu lalang manusia. Sekali sekala terjerembab dengan beberapa ekor babi berwarna hitam meluru arah saya, membuat saya rasa takut juga kalau tergesel tentu kena samak. Itulah jalan besar antara pejabat Immigration Poi Pet di Negara Kemboja bersempadanan Aranyaprathet Thailand menuju ke ibunegara Phnom Penh.
Itu, 10 tahun lalu. Setelah 5 tahun kemudian, saya lalui lagi jalan itu, bersama beberapa kawan antaranya Wan Rahim Wan Abdullah Ahli Parlimen Malaysia sekarang, juga mantan speaker DUN Kelantan, Haji Hashim mantan ADUN Kelantan orang lama, dan Encik Elias seorang ahli perniagaan Pulau Pinang. Jalan ini agak baik sikit, dan bangunan-bangunan mula bertumbuhan di kiri kanan jalan. Kami cari masjid dan singgah di sana. Masjid masih papan dan sedang dibangunkan.
Hari ini saya berada lagi di sini. Gambar ini diambil dari sebuah kedai makan Islam antara dua buah kedai Islam yang ada di pekan ini. Kali ini saya berada di sebuah surau pula kira-kira setengah kilometer dari masjid dulu itu, agak jauh lagi dari jalan besar ini. Apabila masjid itu dibina dari batu, yang juga terdapat sebuah bangunan madrasah, maka runtuhan masjid lama dari kayu itu dipindahkan di atas sebuah tanah perkuburan orang Islam, yakni berjalan pahala pewakaf-pewakafnya. Ianya kini dipanggil surau. Surau Toul Sebau. Di sini ada madrasah, iaitu Madrasatul Hidayah Islamiah, Poi Pet City.
“Kalau di sekitar masjid terdapat kira-kira 20 keluarga orang Islam di mana anak-anak mereka belajar asas agama di madrasah masjid itu , maka sekitar surau ini terdapat kira-kira 50 keluarga, anak-anak mereka kira-kira 70 orang adalah pelajarnya. Lepas solat zohor nanti kita boleh ambil gambar bersama-sama pelajarnya..” Ujar Ustaz Ismal Abdullah guru sukarelanya kepada saya, sewaktu kami berada di rumah seorang lagi AJK surau itu, iaitu Saudara Ramly Hamzah.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada ramai kawan-kawan dari Malaysia yang membantu sehingga siapnya sebuah masjid di sini. Kami pilih nama ‘Masjid Muhajirin’, nama pilihan Dr Harun Din dari Malaysia yang turut menyumbang dalam pembangunannya. Begitu juga kepada Wan Rahim Wan Abdullah dan rombongannya dari Kelantan. Juga kepada Pak Leh atau Haji Idris dan rombongannya dari Pulau Pinang..” Kata Imam Soleh Yaakob, imam surau ini dan Imam dua masjid tersebut, juga turut bersama-sama.
“Pada tahun 1991, kami cuma berasal dari 6 keluarga di sini. Kami datang dari Kampong Cham bermukim, cari rezeki dan mengembangkan Islam di sini.. Al-hamdulillah jadi seperti sekarang.” Kata tuan Imam itu lagi.
“Kami nak minta tolong tuan haji sampaikan kepada rakyat Malaysia, bahawa kami orang Melayu yang se agama dengan anda mohon bantuan untuk membeli sekeping tanah yang hendak dijual di sebelah surau ini dengan harga 850,000 wang Kemboja, iaitu kira-kira RM8,500. Selama ini surau dan madrasah ini menumpang di atas tanah perkuburan orang-orang Islam sini.”
Macam rumah di tengah-tengah itulah surau mereka.
Bawah Ibnu Hasyim ditengah-tengah tenaga pengajar dan pelajar.
Bawah lagi: Ibnu Hasyim kiri.
Bawah Ibnu Hasyim ditengah-tengah tenaga pengajar dan pelajar.
Bawah lagi: Ibnu Hasyim kiri.
“Pada sesiapa yang berminat berbuat kebajikan sila hubungi saya atau AJK kami:
Sdr Ramly Hamzah
Tel Kemboja: 012-765812
Tel Thailand: 08-31857106.” Jelas Imam itu lagi.
Tel Kemboja: 012-765812
Tel Thailand: 08-31857106.” Jelas Imam itu lagi.
“Oh.. Ada lagi, kalau ada sesiapa yang ingin mengadakan qurban dan aqiqah, terutama semasa hari raya haji di sini, boleh juga hubungi saya..” Kata saudara Ramlu pula.
Akhirnya kami bersolat zohor bersama-sama. Satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan, semasa sujud di surau, dari celah lantai papan surau itu, ternampak laluan air di bawahnya. Rupanya sebahagian dari surau itu berada di atas parit atau longkang. Sebelum itu, sewaktu saya ke masjid tadi, saya terpaksa mengharungi takungan air berlumpur di hadapan pintu masjid yang tidak dapat dielakkan, kalau tidak mahu panjat melalui dinding pagar. Kini di surau lebih dari itu lagi, walaupun berada atas lantai surau, tetapi masih di dalam air atau parit!
Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
April 2009
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
April 2009
1 comment:
suami dan saya tak sempat melawat tempat ni,kami kesuntukan masa,kami hanya sempat berjumpa Imam Negeri Haji Musa.
Post a Comment