Saturday, April 25, 2009

Ketenangan di Lembah Swat, Membuat AS Tidak Tenang..



Ibnu Hasyim Catatan Santai


DIA bagaikan mimpi bila akhirnya dapat pulang ke kampong halaman, setelah berbulan-bulan tinggal di khemah-khemah pelarian. Dia bernama Islamullah termasuk satu dari ribuan warga Swat yang kembali pulang ke lembah itu, setelah tercapai sepakat damai antara pemerintah Pakistan dengan puak-puak tempatan Taliban di situ.


“Saya tidak dapat berkata apa-apa lagi bagi menyatakan rasa lega. Saya seperti seekor burung yang kembali ke sangkarnya, setelah menempuh perjalanan yang jauh.." ujar petani berusia 45 tahun itu, sambil menggalas begnya di khemah penampungan orang-orang terlantar yang terletak di barat Kota Karachi, Pakistan.


Presiden Pakistan, Asif Zardari baru-baru ini mengesahkan suatu kesepakatan, iaitu menyetujui genjatan senjata bersama antara pasukan pemerintah dan puak yang pro-Taliban, setelah Pakistan bersetuju membenarkan perlaksanaan hukum Islam di Lembah Swat. Sebelum itu, sekitar 60% dari 1.5 juta penduduk Lembah Swat terpaksa meninggalkan kediaman mereka selama satu setengah tahun, kerana kawasan itu diguncang pertempuran berdarah selama 18 bulan antara dua kumpulan itu.


Kebanyakan mereka yang terlantar itu adalah terdiri dari puak Pushtun di Pakistan, termasuk Karachi, Mardan, Buner, dan Peshawar. “Saya merasa seperti tinggal di neraka," ujar Islamullah lagi ketika mengungkapkan kehidupannya di pengungsian. Ia meninggalkan Swat bersama lima anaknya. “Ketika pindah, kami sebenarnya meninggalkan segalanya, bukan hanya rumah, tetapi juga identiti, kebudayaan dan tradisi. Saya memang dapat tempat perlindungan dan makanan di sini, tetapi hal ini tetap tidak dapat menggantikan masyarakat dan kampung halaman kami." tambahnya.


Taj Mohammad seorang lagi ditemui, penduduk Charbagh, yang merupakan asas kekuatan puak Taliban tempatan di situ, juga bersiap-siap untuk pulang. “Saya akan pergi dalam beberapa hari lagi” kata pemuda yang dulunya mengelola sebuah kafe kecil di kampungnya. “Kerabat dan teman-teman pun sudah pulang, mengkhabarkan pada saya bahawa kehidupan sudah kembali normal di sebagian besar daerah, termasuk di daerah saya.”


Tetapi, lain dari Islamullah dan Mohammed, Mustaqeem Khan lebih suka menunggu sebelum pulang ke kampung halaman. “Saya belum ada rancangan pulang dalam masa singkat. Saya masih menunggu melihat kelangsungan sepakat-damai ini," katanya yang tinggal di wilayah Kabal, kawasan pertempuran sebelumnya. “Saya sokong penuh sistem peradilan syariat dan sepakat-damai. Tetapi saya bimbang tidak tahan lama kerana tekanan dalaman dan luaran.”


AS dan Barat memang tidak senang dan anti Islam. Menteri Luar AS Hillary Clinton terus menuduh Pakistan membiarkan Taliban menguasai sebahagaian wilayah di negara tersebut. Isteri bekas Persiden AS itu dalam pertemuan perbahasan mengenai keamanan di Pakistan menyebutkannya sebagai ‘ancaman yang mematikan keamanan negara dan dunia’. Dia menuduh sistem peradilan negara Pakistan yang korup mengakibatkan kawalan mereka terhadap negara bahagian lain terhad dan mencemburui kelompok Taliban (disebut juga sebagai pemberontak) diberikan keleluasaan tersebut.


Washington juga berulangkali menyatakan kekhawatirannya atas kesepakatan itu dan penegakan syariat di Swat, yang dulunya pernah menjadi resort ski dan permata dalam industri Pakistan. Dia juga menghasut minta warga Pakistan supaya berkeras menghadapi kebijaksanaan negara tersebut. Dalam laporan wartawan BBC di Washington, Richard Lister, hal ini disebutnya sebagai sebuah tindakan yang bukan biasa. Sebelumnya Presiden Barack Obama sudah menawarkan bantuan untuk menyelesaikan masalah keamanan di Pakistan.


Koresponden BBC mengatakan, Amerika sudah menawarkan jutaan dolar bantuan, tetapi mereka juga meminta kerjasama yang ‘lebih besar’ dari pemerintah negara itu. Presiden Pakistan dan Afghanistan yang kononnya diminta oleh dunia internasional untuk memerangi Taliban, dikatakan bersetuju datang ke Washington untuk membincangkan hal tersebut bulan depan. Itulah umpan mata kail yang disumbatkan ke mulut Pakistan, akan menukar perdamaian dan ketenangan di lembah Swat menjadi bergolak semula.


Washington tidak akan senang dan tenang, melihat kedamaian negara lain. Mereka tidak mahu ada negara lain yang di luar kawalan dan jangkauan mereka. Mereka paksakan ‘penjajahan’ yang dibalut dengan topeng perdamaian ke atas rakyat yang mahukan per’damai’an (salah satu makna Islam ialah ‘damai’) menurut versi rakyat itu sendiri. Rakyat yang sanggup membeli sistem damai (perundangan Islam) itu dengan darah dan jiwa mereka. Itu yang AS pura-pura tidak faham demi mengabui mata dunia yang mereka anggap boleh di’bodoh’kan supaya tidak faham!

(sumber BBC dll.)


Ibnu Hasyim Catatan Santai
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
April 25, 2009

No comments:

Post a Comment