Sunday, April 26, 2009

Muktamar Pemilihan PAS, Ke Arah Perintah M’sia..

Tok Guru Nik Azizs & Tok Guru Abdul Hadi

Ibnu Hasyim Catatan Santai

PAS akan mengadakan pemilihan dan muktamar ke-55 awal Jun ini di Stadium Malawati, Shah Alam. Mesyuarat peringkat kawasan dan tiga sayap utama, Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama, akan berakhir bulan depan. Dari tinjauan rambang ke beberapa kawasan PAS di Malaysia, setakat ini jawatan Presiden tiada pertandingan, dan akan kekal kepada Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Manakala Datuk Husam Musa Naib Presiden sekarang pula ingin diangkat sebagai pemimpin nombor dua parti itu, menggugat kedudukan Timbalan Presiden sekarang, iaitu Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Mungkin juga Saudara Muhamad Sabu, Naib Presiden sekarang, juga akan dicalunkan ke Timbalan Presiden.

Nama-nama lain yang disebut-sebut akan dicalunkan sebagai Naib Presiden selain dari Ustaz Ahmad Awang yang mempertahankan kedudukannya, muka baru Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang baru menang di Bukit Gantang juga MB Pakatan Rakyat di Perak, Tuan Ibrahim Tuan Man Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dr Mujahid Yusuf Rawa Ketua Lajnah Perpaduan Kaum, Ustaz Taib Azamudden Md Taib Ahli Parlimen Baling, Saudara Salahuddin Ayub yang akan melepaskan jawatan Ketua Pemuda, Datuk Mahfuz Omar Ketua Penerangan PAS sekarang dan beberapa lagi, termasuk Ustaz Nasharuddin Mat Isa Timbalan sekarang atau Muhamad Sabu sendiri.

Sebenarnya ramai lagi yang layak seperti Ustaz Nik Amar Kelantan, Ustaz Azizan Razak MB Kedah, Ustaz Idris Ahmad, Dr Muhammad Hatta Ramli dan beberapa dari Terengganu atau lain-lain negeri yang layak dicalonkan. Yang penting pada saya, pemimpin-pemimpin PAS yang dicalonkan kali ini hendaklah terdiri dari pemimpin yang boleh diterima oleh rakyat berbagai kaum di negara ini, dan mempunyai rekod khidmat yang cemerlang kepada rakyat. Contohnya seperti Datuk Seri Mohamad Nizar, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Datuk Husam Musa dan sebagainya.

Pemimpin-pemimpin sebegini perlu dipersiapkan demi menyambut kalau berlaku kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 yang akan diadakan kira-kira tiga tahun lagi, mengalahkan BN dan mengambil alih pemerintahan negara ini. Apalagi kalau PAS mampu meraih kerusi parlimen melebihi dari parti-parti Pakatan lain, yang melayakkan PAS memegang jawatan Perdana Menteri (PM) Malaysia. PAS perlu siap menentukan siapa PM samada Tuan Guru Abdul Hadi, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat MB Kelantan sekarang, atau yang selain mereka.. kerana jawatan tertinggi dalam PAS terutama sebagai pemegang dasar adalah Majlis Syura Ulama, yang diketuai oleh Mursyidul Am iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Maka perlu diingatkan kepada para perwakilan PAS kali ini, anda perlu memilih pemimpin ke arah persiapan untuk memerintah Malaysia, insya Allah.. Allahu akbar!

Ibnu Hasyim Catatan Santai
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
April 26, 2009.
KL.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails