DARI Udonthani ke Ubon Ratchathani, kali ini saya sambung perjalanan saya dengan bas lagi. Saya naik bas, rupanya di sebelah tempat duduk saya telah ada yang duduki. Saya hormatinya gaya hormat orang Thai, bila saya dipersilakan duduk. “Sawadi kap!”, begitulah kata hormat dalam bahasa mereka.
Dia, gaya seorang gadis berpakaian seksi, ketat dan terbuka sikit, sana sini… berambut merah yang diwarnakan, biasa kalau di sana. Nak cari yang bertudung kepala, haram takdak . Wajar, mungkin kerana hampir tiada langsung penganut Islam di sana. Kami pun berkenalan. Rupanya dia adalah seorang pegawai perikanan yang didatangkan dari ibupejabat di Bangkok ke situ. Yang saya terkejut, bila ia perkenalkan, namanya.. “Sa-fi-ah…”
Nama ayah?, saya tanya.
“A-min…” jawabnya.
“Muslim?” Saya tanya lagi. Dia mengeluarkan sesuatu dari bag kecil dalam bag tangannya. Rupanya bagaikan loket yang selalu digantung di leher. Kalau orang Kristian berlambang salib, orang Buddha dengan patung kecilnya. Tetapi yang dikeluarkannya ialah tulisan Arab bertulis Ya-sin.
“Inilah bukti saya Islam!” Katanya.
Teringat saya, pernah suatu masa saya masuk ke kedai yang dikatakan orang Islam di Songkla, tetapi tiada lambang-lambang Islam tertera di luar kedai atau pada dirinya. Bila saya ragu, dipanggil anaknya yang berumur kira-kira 6 tahun disuruh baca fatihah depan saya sebagai bukti mereka keluarga Islam. Pernah juga suatu masa Cat Steven seorang superstar mula berjinak-jinak dengan Islam, menggunakan lambing-lambang tulisan Arab dan kalimah-kalimah Allah pada album lagu-lagunya tetapi mendapat bantahan dari pertubuhan Islam.
“Saya hairan mengapa orang Islam marah, walaupun saya sudah Islam?” Kata beliau yang mengguna nama Yusuf Islam sewaktu berceramah pada suatu masa di Malaysia, “Sekarang, bila saya faham Islam, baru saya tahu sebabnya…”. Islam lebih penting penghayatan, bukan semata-mata lambang sahaja.
Begitu juga dengan amalan sembahyang, gadis itu terkejut pula melihat saya. “Maaf. Saya nak sembahyang.” Kata saya. Dia macam tercengang. Melihat pakaian saya yang tidak berjubah dan berkupiah atau serban, mungkin tidak sekuat mana dalam pegangan agama. Nak sembahyang di mana? Tempat duduk bas semua penuh, tiada ruang kosong, di mana pula nak ambil wuduk. Bas hanya berhenti sekejap turunkan penumpang sahaja. “Kita bertolak dengan bas ini dari sebelum zohor, dan dijangka sampai selepas magrib. Tiada waktu untuk sembahyang walaupun boleh di’qasar’ dan di’jamak’kan. Jadi saya sembahyang dalam suasana darurat.” Saya jelaskan, supaya jangan anggap saya bawa ajaran sesat pula.
“Saya gantikan wuduk dengan tayammum. Kerana tiada debu untuk bertayammum dalam bas ini, maka memada dengan bertayammum di dinding atau di kusyen sahaja. Dan bersholat boleh hanya sambil duduk sahaja.” Saya praktikkan apa yang saya katakan itu. Dia memerhatikan dengan teliti.
Akhirnya dia sampai ke tempat yang dituju, dia turun. Sebelum turun, katanya kepada saya, “Terima kasih. Saya pun banyak juga belajar agama dari ayah saya. Tetapi hari ini saya dapat beberapa pelajaran lagi… Satu, beda antara lambang dengan amalan. Encik tidak berlambangkan ciri-ciri yang dianggap Islam pada pakaian, tetapi mengamalkan Islam secara serius, tak kira tempat dan keadaan. Itu sebab saya lihat encik memandang remeh bila saya kemukakan lambang keIslaman saya pada encik. Kedua, jika kita faham Islam, rupanya mengamalkan Islam amat mudah, dan bersahaja. Saya amat tertarik… saya ada azam baru mengenai Islam.” Dia memberi alamat dan nombor telefonnya pada saya.
Teringat pula puluhan tahun lalu, semasa saya ke Makkah, ramai yang pergi menunaikan haji di tanah suci itu tidak sembahyang waktu semasa dalam kapal terbang, dengan alasan ‘susah dan boleh qadha’. Pada saya, mereka tidak kenal maka mereka tidak cinta!
Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
April 2009.
Salam Bang Mat...
ReplyDeleteMeluangkan masa mengikuti jejak Bang Mat di perantauan,terdetik dalam hati betapa nikmat yang Allah kurniakan pada Bang Mat,setidaknya dapat mengembara bagi mencatat pengalaman dalam hidup. Paling penting dalam waktu sama dapat memperkenalkan agama suci islam pada mereka yang belum benar-benar mengenalinya.
Telah saya komentarkan sebelum ini,akan peri penting menjelaskan tentang martabat perjuangan Islam konteks Malaysia. Terbaca catatan Bang terdetik bahawa Bang Mat agak respon tentang komen saya terdahulu.
Mengalir air mata kala membaca posting karena hamba yang masih muda ini juga dangkal dalam penghayatan dan amalan. Alhamdulillah Dr telah berjaya membangkitkan cinta pada syiar Islam melalui ruangan ini
ReplyDeleteTahniah la abg mat. moga cerita macam ini difahamkan sesama orang Islam.
ReplyDeleteKami dok ingat abg mat sakit. Rupanya merantau lagi.. Tahniah sekali lagi.. Teruskan perjuangan.
Salam Long Mat.
ReplyDeleteSememangnya Islam itu agama yang memudahkan. Agama yang menitikberatkan 'isi', bukan 'kulit'. Asalnya 50 waktu dah jadi 5 waktu pun masih ramai yang beri alasan.