Friday, May 22, 2009

Ibnu Hasyim Ikut Jalan Laut Ke Mindanao, Terus Keliling Dunia?


Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan

JAROD atau Jalan Roda adalah satu-satu tempat orang-orang Islam berkumpul di kedai kopi siang di bandar Manado. Saya istilahkan tempat itu sebagai 'parlimen kaki lima'. Berbagai jenis pemikiran permasalahan rakyat dicurahkan dan perbincangkan. Ada wakil rakyat, pegawai kerajaan, ahli peniagaan, rakyat biasa, artis dan sebagainya saya temui sejak beberapa hari berada di Manadao. Nampaknya mereka memang gemar bertukar-tukar fikiran.

Di situlah saya dapat maklumat untuk pergi ke Filipina Selatan ikut jalan laut. Naik kapal penumpang dari Manado ke Pulau Tahuna kira-kira 8 jam perjalanan. Lepas itu, baru naik bot laju yang boleh muat kira-kira 6 orang ke perbatasan laut di pulau-pulau kecil, dan terus ke kepulauan Mindanao, dalam masa kira-kira 8 jam. Saya pun ambil keputusan untuk pergi. Malamnya jam 7, saya pun bertolak. Suasana sungguh mencabar bagi yang tak biasa seperti saya.

Pertama, naik kapal bersama rakyat awam. Penumpang kira-kira 500 oramg lebih, dalam kapal 3 tingkat. Tiap tingkat ada katil 2 tingkat, hanya tilam saja, tiada dinding. Bercampur lelaki, perempuan, kanak-kanak, bayi, tua muda... Terlentang. tertiarap, mengiring dan macam-macam gaya. Terdengar bayi menangis, cakap-cakap macam dalam pasar dan lain-lain.

Kedua, yang sangat mencemaskan saya sewaktu melintas dari kapal ke kapal untuk masuk ke kapal yang dinaiki hanya ber'titi'kan papan sekeping. Bergoyang bagaikan spring.. sangat mencemaskan saya, hampir jatuh ke laut pelabuhan yang airnya hitam kotor itu...

Ketiga, yang tidur bersebelahan saya itu, seorang perempuan muda, beserta anaknya satu, dan suaminya. Bererti 3 orang di satu tempat tidur, berhimpit-himpit, tak muat tapi dimuatkan juga, walaupun terpaksa ganggu tempat orang lain. Harga satu tetapi 3 yang dimuatkan. Jelasnya, kapal itu boleh memuatkan tambahan dua kali ganda muatan secara gelap atau tak ikut peraturan. Mungkin itulah penyebab antara sebab-sebab selalu berlaku kemalangan.

Se sampainya di Tahuna, iaitu sebuah kecamatan di kabupaten kepulauan Singihe, Sulawesi Utara. Kecamatan ini berada di pinggir laut, di mana sarana transportasi dari luar yang paling dekat adalah dermaga Tahuna. Lapangan udara terdekat dan satu-satunya yang ada di kabupaten Kepulauan Sangihe adalah bandar udara Naha yang terletak di Awu, beberapa kilometer di sebelah utara Tahuna. Saya berkeliling pulau Tahuna, dan ke Peta, mencari orang yang boleh mengantarkan saya ke Dafur, Filipina Selatan.

Orang itu bersetuju, tetapi perjalanan mesti di waktu malam, takut tertangkap. Apakah perjalanan ini salah dari sudut undang-undang? Terfikir saya. Akhirnya saya ke Kantor Imigrasi tempatan dan meminta pandangan.

"Pihak kami baru dalam proses membuka cawangan di sempadan itu pada orang luar. Tetapi kalau rakyat tempatan, memang bisa Pak!" Kata pegawai itu setelah saya berbincang di biliknya.
Saya pun fikir-fikir lagi.. Sudah 50% semangat saya untuk ke sana sudah hilang terbang. Dulu memang saya pernah ke Myanmar Selatan melalui Thai juga ikut jalan laut secara gelap... (Sila lihat Wednesday, April 16, 2008 Bahasa Melayu Kedah Di Selatan Myanmar .)

Kalau nak melalui udara di Manado, kena tunggu 10 hari lagi penerbangan sebulan sekali, itupun belum tentu ada, kerana kalau tak cukup penumpang perjalanan dibatalkan. Dan kalau sampai di sana pula belum tentu ada penerbangan ke Malaysia terus, kerana terpaksa ke Manila dulu. Manila itu sudah jauh ke utara.. Dari situ kalau pergi ke Hawaii, dan pulang ke Malaysia melintasi benua Amerika sudah keliling dunia!? Ha, Ibnu Hasyim sudah keliling dunia? Begitulah imaginasi saya untuk dapatkan 1% lagi bagi membuat keputusan samada nak pergi ke Mindanao atau tidak..

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)

Tahuna, Sulawesi.

Mei 21, 2009

2 comments:

PG said...

Salam Pak Hasyim.
Dalam blog Pak Hasyim,tulisan yang paling saya berminat dan sentiasa menunggu ialah tentang Kemabara Pak Hasyim.

Mohd Zullraidy said...

pak hasyim.
teringat nak feri dr bali ke lombok.Lembab n penuh mcm2 org.Perjalanan 8 jam.Org ckp naik speed bot 2 jam je.wahaha..

Best betul kalu boleh jalan2 lagi cam pak hasyim ni.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails