Friday, May 22, 2009

Istytihar Keputusan Mahkamah Tinggi Salah, Zamri MB Perak.

Perjuangan untuk rakyat tetap diteruskan, walau siapa pun jadi MB..

PUTRAJAYA Jumaat Mei 22, 2009 : Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan itu diumumkan kira-kira pukul 3.50 petang tadi, sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu.

Hakim Datuk Md Raus Shariff yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop berkata, pihaknya mendapati keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah adalah salah. Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membuat interpretasi yang relevan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah gagal menilai dengan betul dan secukupnya kesemua keterangan yang ada padanya sehingga membuat keputusan yang salah," katanya. Mohammad Nizar dan Zambry tidak hadir di mahkamah ketika keputusan diumumkan.

Dalam penghakiman lisannya, Hakim Md Rausjuga mendapati Sultan Perak Sultan Azlan Shah membuat keputusan yang betul berhubung pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar yang baru berdasarkan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Selain itu katanya, tiada syarat mandatori dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak bahawa undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar mesti dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri dan ia boleh diperolehi atau ditentukan dengan cara lain.

Justeru, Hakim Md Raus berkata, tindakan Sultan Perak bertanya sendiri bagi memuaskan hati baginda bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti adalah betul. Katanya, Mohammad Nizar juga seharusnya meletakkan jawatan apabila sultan tidak bersetuju untuk membubarkan DUN kerana kuasa untuk membubarkan dewan adalah kuasa Sultan.

"Kami berpendapat bahawa keputusan sama ada untuk membenarkan atau tidak permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri adalah dalam bidang kuasa Sultan.. Berdasarkan keterangan dalam kes ini, permohonan membubarkan Dewan dibuat mengikut Perkara 16 (6) Perlembagaan Perak dan bukannya Perkara 36 Perlembagaan itu," katanya.

Selepas keputusan Mahkamah Rayuan diumumkan petang ini, peguam yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah, memohon mendapatkan penghakiman bertulis daripada mahkamah untuk tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan. Mahkamah bersetuju dengan permohonan itu. Sementara itu di Slim River, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima keputusan Mahkamah Rayuan hari ini dan dengan berprasangka berharap pembangkang menghormati proses perundangan. (2MA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails