"Tidak ada peruntukan undang-undang untuk membolehkan permohonan injuksi umpamanya," katanya. Beliau berkata lagi, apa pun yang dilakukan oleh Zambry atau Mahkamah Rayuan, kuasa membubar dewan tidak boleh disekat atau dihalang oleh mahkamah. "Mahkamah Tinggi telah memberi sedikit laluan semalam (11 Mei) dan terpulang kepada istana untuk memainkan peranan bagi menyelamatkan negeri Perak dari terus dilanda krisis sejak 5 Februari lalu", tambahnya.
Aziz berkata melalui pembubaran semua masalah akan selesai. "Kerajaan yang sah dan tidak was-was dapat dibentuk, istana dapat bebas dari pelbagai tuduhan dan prasangka dan rakyat gembira kerana negeri bebas dari suasana keliru dan tidak menentu," tegas beliau. Satu-satunya cara menyelesaikan krisis politik Perak yang makin kusut dan mengelirukan ialah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak supaya rakyat dapat memberi keputusan. Pandangan yang sama juga diberikan oleh Tan Sri Abu Talib Othman, Pengerusi Suhakam. Abu Talib adalah bekas Peguam Negara (1988-1994). Selain Abu Talib, Presiden Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh juga berpandangan demikian.
Semalam, bekas Menteri Kewangan dan Naib Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga menyeru Sultan Perak membubarkan DUN. Aziz berkata di dalam keadaan sekarang sultan boleh bertindak membubarkan DUN mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak. "Di bawah peruntukan ini sultan tidak perlukan permohonan dari menteri besar dalam membubarkan DUN. Saya berpendapat di bawah Perkara 36(2) ini sultan boleh menggunakan apa yang dipanggil kuasa simpanan (reserve powers). Ini amat kritikal kerana jika tidak keadaan akan makin runcing dan mengelirukan," tambahnya.
Pakar perlembagaan itu menegaskan kuasa sultan membubar dewan dalam keadaan sekarang tidak bergantung kepada kedudukan Dato Seri Nizar atau Dato Seri Dr Zambry. Aziz tidak bersetuju dengan hujah peguam Zambry yang seolah-olah melihat kuasa sultan membubar DUN terikat atau tergantung kepada kedudukan Zambry. "Kuasa sultan adalah kuasa budibicara dan tidak tertakluk kepada kepentingan sesiapa. Yang penting di sini ialah suasana dan kestabilan di dalam negeri," kata Aziz lagi.
Mahkamah Rayuan bagaimanapun menerima hujah peguam Zambry. Profesor UIAM itu berpendapat di sisi undang-undang tidak ada siapa yang boleh menghalang atau memohon injunksi menyekat keputusan sultan membubarkan DUN. "Sebab itu benar seperti kata ramai penganalisis bahawa bola berada di gelanggang sultan; maksudnya sultan perlu bertindak menyelamatkan negeri dan jangan dibiarkan isu ini berlarutan di mahkamah," tegas Aziz. Sebelum ini Majlis Peguam, Abu Talib dan Dato Param Cumaraswamy menyebut bahawa mahkamah bukan tempat dan cara untuk menyelesaikan krisis politik di Perak.
Tarmizi Mohd Jam
No comments:
Post a Comment