Thursday, May 07, 2009

Kes Nik Abduh: ‘Saya Beritahu Dia Satu…’ -Nik Abdul Aziz.

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau memberi sepenuh kebebasan kepada anak lelakinya, Nik Abduh untuk terus memberi pandangan termasuk dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan parti. Mengakui beliau ada menegur Nik Abduh berhubung tulisannya dalam blog, http://nikabduh.wordpress.com yang menyentuh soal parti baru-baru ini.

Nik Aziz menegaskan bahawa anaknya itu seorang yang terpelajar dan tahu selok belok PAS kerana terlibat secara langsung dalam parti sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan. "Terpulanglah pada Nik Abduh. Saya tegur dia satu (perkara). Saya beritahu dia, tapi saya tak nak sebut di sini. Pergilah tanya dia. Dia (Nik Abduh) ada ilmu, dia belajar di luar negeri, dia juga terlibat dengan politik, dia jadi Timbalan Ketua Pemuda Negeri, dia ada ilmu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan keras Nik Abduh terhadap beberapa pihak dalam parti termasuk para pembantu bapanya yang didakwa memberikan gambaran dan nasihat yang salah dalam isu politik. Ini termasuk isu cadangan kerajaan perpaduan antara BN dan PAS serta apa yang dianggap sebagai usaha melaga-lagakan Nik Aziz dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ekoran tulisannya bertajuk 'Kerja-Kerja Bodoh Dalam PAS', Nik Abduh yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa turut dipanggil ke tribunal Dewan Ulama PAS oleh Dewan Pemuda PAS Kelantan bagi memberikan penjelasan. (Sumber BERNAMA dll 2MA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails