Tuesday, May 12, 2009

Kes Perak: Pakatan Sedia Kerjasama Dengan BN, Tapi…


IPOH Selasa Mei 12, 2009. Susulan keputusan mahkamah semalam Pakatan Rakyat bersedia untuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) mengatasi kemelut tiga bulan, tetapi mahu DUN dibubarkan untuk pilihan raya baru. "Kita mahu kembali kepada rakyat, biar rakyat membuat keputusan," kata Exco Kanan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, Datuk Ngeh Khoo Ham ketika ditemui di sini.

Pengerusi DAP Perak itu berkata, mahkamah bukan tempat yang sesuai untuk menyelesaikan kemelut politik Perak. Terdahulu Exco Pakatan memasuki bangunan SUK pukul 7.30 pagi tadi dengan diketuai Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang disahkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh mahkamah semalam. Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional sedia bekerjasama dengan pihak pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia bukanlah bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.


Najib berkata, kerjasama kedua-dua pihak mestilah menjurus kepada saling hormat menghormati antara satu sama lain dan mematuhi undang-undang negara. Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakatan pembangkang tidak pernah menolak ruang untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak.


Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, tidak ada alasan untuk pakatan pembangkang menolak niat baik mana-mana pihak yang mahu mengadakan perbincangan demi kepentingan rakyat. (2MA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails