Monday, June 01, 2009

Aceh: Pekan Koboi Islam Di Singkel..



Gambar-gambar yang diambil beberapa hari lepas ini, menunjukkan rumah-rumah, kedai trasisional, masjid yang dinaiki air kerana seluruh kawasan itu telah turun akibat tsunami.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan

AZAN subuh bergema di udara Singkel yang tenang damai pagi itu. Suaranya bergema menendang gegendang telinga insan makhlukNya, supaya bangun membuktikan pengorbanan tanda cinta kepada Penciptanya, dengan kalimat 'Solat lebih baik dari tidur!' bagaikan deringan loceng jam penggerak.. Tanda saya sampai ke pekan itu pagi itu.. Ramai Muslimin Muslimat solat bersama-sama, termasuk saya yang masuk agak lewat 'masbuq', kerana van yang saya tumpangi baru sampai.

Itulah pertama kali saya menjejakan kaki di situ, terdapat banyak masjid-masjid di dipekan itu. Waktu sampai tadi, terlihat rumah-rumah kedai pekan kecil itu yang berbalam-balam, masih gaya tradisional, dan banyak yang masih dibuat dari kayu. Lepas subuh saya berjalan kaki ambil angin pagi hingga ke hujung jalan dan singgah di sebuah warung di pengkalan sebuah sungai. Hari mulai terang, orang ramai nampak sibuk mengangkat barang menaikkan ke atas se buah bot dan ramai penumpang-penumpang sedang menunggu untuk menumpang. Bot itu akan menuju ke Pulau Banyak.

Kata seseorang di kedai itu, "Dulu ramai pelancung, pergi ke pulau itu melalui sini, tetapi kini sudah tiada lagi. Pekan ini menjadi pekan mati.. Apalagi bila kampung ini sudah tenggelam separuh kerana digegarkan tsunami tempo hari.. Kamu lihat itu!" sambil jarinya menunjukkan arah deretan rumah-rumah yang sudah tenggelam separuh, bahkan ada yang hingga paras bumbung. Rumput-rumput bersarang, menandakan sudah lama tidak diambil berat.

"Masjid yang sudah tenggelam separuh.. Kami sudah tidak sembahyang lagi di situ! Jalanraya yang sudah rusak, masih belum diperbaiki. Kalau mahu tulis dalam web, beritahu pemimpin kami, bahawa mengapa hal ini masih belum diatasi sedangkan tsunami sudah lama berlalu? Mengapa mereka tidak ambil peduli, pekan ini sudah jadi pekan koboi!" katanya yang semakin berang.

Pada saya sesudah menaiki beca keliling-keliling, bertemu dan menginterbiaw beberapa penduduk dan menunggu hingga malam, saya lihat kegiatan agama masih tetap seperti dulu, bahkan nampak lebih kuat dari tempat lain. Sesudah saya sembahyang di masjid tadi, program-program agama terus berjalan. Kalau nak kata pekan koboi juga, ia adalah 'Pekan Koboi Islam' walaupun kudanya tak nampak atau tiada.

Apalagi bila ada kuburan seorang ulama terkenal yang sempat saya lawati iaitu Abdul Rauf Singkil, di pinggir sungai berhampiran pengkalan yang disebutkan. Siapa Abdul Rauf Singkil?

(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Singkil, Aceh.

Mei 26, 2009

1 comment:

PG said...

Salam Pak Hasyim.
Semoga sentiasa dirahmati Allah.
Kembara Pak Hasyim penuh bermakna.Teruskan pengembaraan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails