Friday, June 05, 2009

Ucapan Presiden PAS Sokong Dr Mujahid Naib?



Ibnu Hasyim Catatan Santai

MUKTAMAR Tahunan PAS Ke-55 selama tiga hari bermula pagi ini menyaksikan pemilihan kali pertama selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008. Malah menurut pemerhati-pemerhati politik, muktamar yang dihadiri seramai 1,100 perwakilan dijangka membahaskan soal mencari formula baru menghadapi era baru landskap politik dan peranan golongan ulama dan profesional yang turut menjadi peratian.

Bagi jawatan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan kedudukannya kerana menang tanpa bertanding. Sementara itu jawatan Timbalan Presiden menyaksikan saingan tiga penjuru. Penyandangnya, Nasharudin Mat Isa dicabar oleh Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu. Jawatan Naib Presiden menjadi saingan Datuk Mahfuz Omar, Dr. Mujahid Yusof Rawa, Datuk Nik Mohd Omar Nik Abdullah, Salahuddin Ayub dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Seramai 54 orang bertanding untuk 18 kerusi Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat. Muktamar berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam. Proses pemilihan bermula kira-kira pukul 3 petang dan keputusannya dijangka diketahui pagi esok. Sehubungan itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS perlu menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat 'usuliy' dari segi prinsip-prinsip perjuangan, 'mu’asirah' dari segi kepimpinan dan organisasi-jentera, 'istiqbaliy' dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan.

Selain itu, beliau mahu semua peringkat ahli parti memperkukuhkan ukhuwwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jemaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar umbi. "Arahan ini juga termasuk memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS sehingga kebersamaan mereka dalam perjuangan PAS dapat terus diperkasakan," katanya. Malah, Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya ingin memimpin perubahan dalam negara ini dengan Islam, kata beliau dalam ucapan dasar bertemakan Islam Memimpin Perubahan.

"Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh," kata beliau lagi.

Pada saya arahan mengukuhkan Kelab Penyokong PAS yang termasuk antara 6 strategi pengembangan PAS dalam ucapan beliau itu boleh ditakrifkan sebagai menyokong dan memberi lalauan kepada pemimpin-pemimpin muda dan baru untuk mengendalikan PAS. Saya telah jelaskan dalam tulisan saya Wednesday, May 6, 2009 Politik Semut Dalam Pemilihan Kepimpinan PAS..

"Bila sebut fasal bahasa semut, pada ayat di atas (An-Naml: 18 &19) tadi digambarkan Nabi Sulaiman AS memahami bahasa semut, dan tersenyum mendengar dialog semut-semut itu. Nabi Sulaiman adalah pemerintah super power dunia masa itu, bukan sahaja memerintah manusia, bahkan seluruh makhluk Allah di muka bumi, termasuk binatang, unggas dan jin. Beliau mengetahui bahasa semut. Ertinya, untuk menjadi pemimpin yang hebat, ialah pemimpin yang turun ke bawah bersama rakyat, dan menyelami jiwa rakyat sehingga masalah seekor semut kecil dan kerdil pun diambil berat.

Kalau dalam kontek Negara Malaysia, pemimpin yang akan jadi pemimpin Negara ini adalah lebih baik mengetahui bahasa tempatan penduduknya., seperti bahasa Melayu, Cina dan India, disamping bahasa-bahasa lain seperti Arab dan Inggeris. “Yang penting pada saya, pemimpin-pemimpin PAS yang dicalonkan (dalam muktamar PAS Jun 2009) kali ini hendaklah terdiri dari pemimpin yang boleh diterima oleh rakyat berbagai kaum di negara ini, dan mempunyai rekod khidmat yang cemerlang kepada rakyat. Contohnya seperti Datuk Seri Mohamad Nizar, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Datuk Husam Musa dan sebagainya.” (Selain dari Ustaz Nasharuddin Mat Isa dll). Antara pandangan saya dalam tulisan lalu.. Sunday, April 26, 2009 Muktamar Pemilihan PAS, Ke Arah Perintah M’sia.. "

Saya takrifkan ucapan Presiden PAS yang menyokong Kelab Penyokong PAS itu sebagai cadangan ke arah memberi laluan kepada Dr. Mujahid Yusof Rawa yang telah membuktikan kejayaan mengetuai Lajnah Perpaduan Nasional bagi menyandang jawatan Naib Presiden PAS dalam muktamar kali ini.

Para perwakilan, sila ambil perhatian! Sekian santai-santai untuk kali ini.

Catatan Santai Ibnu Hasyim e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Shah Alam.

Jun 5, 2009.

Lampiran:

Muktamar Agung PAS dan jalan ke hadapan. Mujahid mahu bantu kukuhkan parti! CALON Naib Presiden PAS, DR MUJAHID YUSUF RAWA menulis pada portal Malaysia Insider 29 Mei lalu:

SEBAIK sahaja kembali dari tanahair pada 26 Mei, segala tumpuan saya adalah kepada politik Malaysia. Saya menyertai rombongan Speaker Parlimen ke Uzbekistan dan Kyrgystan pada 19 Mei yang lalu untuk mengukuhkan hubungan di antara Parlimen. Sebagai ahli Parlimen yang termasuk dalam kumpulan persahabatan antara parlimen bagi Negara Islam dan Timur Tengah saya bersama dengan empat ahli Parlimen yang lain telah dipilih dalam rombongan ini untuk menjayakan misi negara.

Ianya satu penghormatan untuk menggalas tanggungjawab mempromosikan Parlimen Malaysia di mata dunia. Sepanjang lawatan resmi, ketika waktu rehat sambil bersantai, kami mengambil masa keemasan untuk berbincang tentang politik Malaysia kerana agak sukar suasana bersantai ini untuk ahli Parlimen PR dan BN dapat duduk sekali dalam misi negara.

Walaupun kami bukanlah pembuat keputusan tetapi bertukar maklumat dan pandangan tentang masa depan politik Malaysia sekurang-kurangnya dapat menjadi satu “intellectual discourse” bagi menajamkan lagi kefahaman kami terhadap senario politik Malaysia dan masa depannya yang mencabar.

Tepat jam 8.30 pagi penerbangan Uzbekistan Airways mendarat di KLIA setelah perjalanan 7 jam dari Tashkent. Saya mengambil peluang untuk tidur sepanjang perjalanan namun sempat berbual dengan seorang tokoh muda Umno dari Parlimen Pulai tentang politik Malaysia serta permasalahan kepartian yang dihadapi oleh parti masing-masing.

Agak menarik kerana kami mewakili golongan muda parti masing-masing, aspirasi kami seolah sama untuk melihat politik Malaysia dan parti masing-masing maju kehadapan. Jam di Tashkent semasa waktu bertolak pukul 10 malam, saya dan YB Pulai hanya sempat bertahan sejam sahaja perbualan dan selebihnya masing-masing melayan mimpi untuk balik kepangkuan keluarga dan tanahair.

Telefon bimbit saya tak berhenti berdering selepasa sahaja diaktifkan tanda pesanan bertubi-tubi kerana sepanjang di luar negeri saya mematikan telefon bimbit. Antara pesanan baru yang diterima ialah dari SMS harakah yang diajukan dari kawan-kawan memaklumkan senarai terakhir calon-calon untuk pemilihan parti PAS dan antaranya ialah senarai terakhir lima calon untuk jawatan Naib Presiden termasuklah nama saya.

Saya tidak terkejut kerana sehari sebelum saya berangkat iaitu pada 18 Mei saya telahpun mengirimkan faks ke Pejabat Agung PAS memaklumkan pengesahan saya akan bertanding. Sememangnya keputusan untuk menerima dan mengesahkan untuk bertanding bukanlah mudah.

Beberapa kali saya teragak-agak untuk menarik diri kerana merasa terlalu kerdil berbanding dengan nama-nama besar lain yang turut dicalonkan, tetapi berbekalkan keinginan untuk berkhidmat kepada parti dan nasihat ikhlas dari saudara dan kawan-kawan saya gagahkan diri untuk menerima pencalonan jawatan ketiga tertinggi dalam PAS.

Saya telah berada dalam Jawatankuasa PAS pusat selama dua penggal, sebelum itu saya dalam Dewan Pemuda dua penggal juga. Di peringkat negeri semasa di Melaka pernah menjawat Timbalan Pesuruhjaya dan Ketua Penerangan selama beberapa penggal.

Saya juga merasai kepimpinan akar umbi apabila pernah menjadi YDP Kawasan Jasin dan Pengerusi Majlis Tindakan DUN Serkam, kini saya masih YDP tetapi di Bayan Baru Pulau Pinang dan Timbalan Pesuruhjaya Pulau Pinang setelah berpindah balik negeri asal pada tahun 2004.

Pengalaman dua kali kalah dalam PRU turut mewarnai pahit maung permainan demokrasi yang saya pilih untuk sertai dan bermain dengannya semenjak 1999. Saya berasa kerdil apatah lagi dua tokoh besar seperti YB Salehudin dan Dato’ Mahfuz Omar pernah menjadi bos saya semasa dalam Pemuda dulu.

Dato’ Tuan Ibrahim pula seorang tokoh agama yang disegani manakala Dato’ Nik Ammar memang berpengalaman dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan selama beberapa penggal. Sudah tentulah saya gentar semasa menerima pencalonan Naib Presiden, namun saya melihat bahawa PAS hari ini sudah jadi “mainstream politics”.

Semalam setelah berkempen di Penanti kawan baik saya menyebut satu perkataan yang besar tentang Pas, katanya “la ni masa untuk PAS, buatlah sesuatu supaya ia berada di hadapan!” walaupun dia mengucapkannya sambil menikmati roti nan di Restoren Subaidah Seberang Jaya, ungkapannya mempunyai implikasi yang besar dalam masa depan politik Malaysia seluruh negara.

Atas alasan melihat masa depan politik Malaysia supaya dapat membuat anjakan dari kepompong yang ada, saya beranikan diri untuk jawatan ini bagi saya membentuk lakarannya melalui landasan PAS yang mempunyai potensi besar untuk mengubah lanskap politik tanahair.

Namun matlamat besar ini bukan mudah dan bukan retorik, ia memerlukan pandangan menyeluruh kepada masa depan politik dan bagaimana PAS dapat menyesuaikan diri dalam perubahan ini, adakah PAS mahu menjadi saksi kepada perubahan? atau mangsa kepada perubahan? ataukah PAS memilih untuk menjadi peneraju kepada perubahan.

Pemikiran perubahan politik ini ada disiplinnya, ia bukan hafalan dalam buku-buku “management”, ia satu panduan bagi pengamal-pengamal membuat ramalan-ramalan tentang apakah implikasi jika tidak mengikut garispanduannya, oleh itu terpulanglah kepada kita untuk memilih apakah konsekuensinya.

Untuk memastikan keputusan yang terbaik PAS perlu bersifat artikulatif kepada dasar yang diperjuangkan di mana asas pendekatannya mestilah inklusif dan retrospektif kepada suasana kelilingnya. Semua ini memerlukan kepimpinan PAS yang menjiwai aspirasi nasional yang disandarkan oleh orang ramai kepadanya, ia bukan lagi parti eksklusif untuk golongan tertentu pada masa-masa tertentu.

Alasan saya dengan premis pemikiran sebegini bukan sahaja justifikasi untuk bertanding tetapi bebanan kepimpinan yang perlu menjadi agenda kepimpinan yang bakal akan ditentukan oleh perwakilan PAS seluruh negara.

Saya heran mengapa isu yang diperbincangkan di ambang pra muktamar ini ialah samada mahu ulamak atau tidak sebagai pemimpin atau polemic peribadi yang hanya pandai melabelkan orang ini “Erdogan” orang ini geng “muqabalah” atau orang ini “PAS tulen”. Apakah semua isu ini akan memberi kesan kepada sifat artikulatif, inklusif dan retrospektif yang terpaksa dihuraikan oleh kepimpinan baru nanti dalam agenda nasionalnya?

Lebih penting daripada itu bersediakah kepimpinan baru nanti mendidik ahlinya menjadi parti yang akan “lead the way forward?” Itulah yang bermain di benak saya sepanjang jalan dari KLIA ke Pariti Buntar dan sesekali dikejutkan oleh anak bongsu saya yang minat bertanya tentang perjalanan saya ke Asia Tengah sambil membelek gambar dalam kamera digital saya.

Hanya dengan memikirkan apakah masa depan politik Malaysia dan perkembangan global, sesebuah parti politik itu boleh maju ke hadapan. Parti politik memainkan peranan yang penting membentuk lanskap politik dan untuk dia melakukan demikian parti itu perlu menjelmakan dalam dirinya aspirasi yang akan membawa negara ini ke arah itu.

Isu perkauman, isu patriotism, isu keutuhan diri dan isu identity bangsa Malaysia, kesan isu global semua perlu diperincikan dalam kerangka struktur pemikiran parti terhadap permasalahan di atas dan kemudian kemampuan parti untuk merungkaikan kerumitan dalam bahasa yang mudah difahami oleh ahli dan orang awam!

Siapa kata menjadi pemimpin sebuah parti politik begitu mudah dan simplistik? Sebab itu, saya kurang faham mengapa dalam pemilihan parti yang besar ertinya kepada masa depan politik tanahair kita masih berbincang lagi persoalan ulamak atau professional, Erdogan atau muqabalah sedangkan masa depan negara terbentang luas di hadapan mereka.

Perwakilan hanya perlu memilih siapakah bakal kepimpinan mereka yang boleh membawa aspirasi nasional untuk membawa negara ini satu langkah kehadapan, persoalannya apakah perwakilan dapat mendalami dan menjiwai peranan mereka yang penting dalam muktamar nanti?

Saya menaruh harapan dan keyakinan, itulah sahaja bekalan yang ada pada saya. Sambil isteri saya yang setia di sebelah bertanya apakah saya yakin untuk meneruskan hasrat bertanding, saya menjawab “harap-harap keputusan ini sesuatu yang tepat pada waktunya dan tepat pada tempatnya, hanya orang yang tepat itu saya serahkan kepada perwakilan nanti”

di Sabtu, Mei 30, 2009

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails