Tuesday, July 28, 2009

Amaran Polis: Batalkan Himpunan ISA.


POLIS memberi amaran tegas terhadap pihak pro dan anti-ISA supaya membatalkan rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan Sabtu ini. Ketika memberi amaran tersebut, Ketua Polis Kuala Lumpur, , Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, perhimpunan itu dikhuatiri menimbulkan ketegangan dan mengancam keselamatan awam. Demikian menurut Malaysiakini.com.

Menurut Muhammad Sabtu lagi, polis telah memanggil Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) semalam untuk memaklumkan mengenai arahan tersebut kepada mereka. Manakala polis juga, katanya, akan bertemu dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) petang esok untuk memaklumkan perkara yang sama. Polis juga, katanya, akan mengadakan sekatan jalanraya dua hari lebih awal dan akan menahan bas-bas disyaki membawa pesertai ke perhimpunan itu.

Sebelum ini, Pewaris dan sepuluh lagi NGO Melayu yang pro-ISA, merancang berdemonstrasi Sabtu ini di ibu negara, serentak dengan perhimpunan besar anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang. Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat polis kontinjen Kuala Lumpur petang ini, Datuk Muhammad Sabtu berkata polis mengkelaskannya sebagai satu perhimpunan haram di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.

Polis juga, tegasnya, akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan atau undang-undang lain sekiranya ada pihak yang mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut. Menurutnya, pihak polis telah bersedia dengan kekuatannya untuk memfokuskan kepada perhimpunan itu jika diadakan juga. "Polis akan mengambil tindakan berhemah, kecuali tidak ada cara lain. Polis tidak ingin melihat berlakunya kecederaan, luka atau dalam keadaan yang terdesak," tegas Datuk Muhammad Sabtu.

Ditanya sama ada polis akan membuat tangkapan awal bagi mengelak perhimpunan tersebut, beliau berkata: "Sebagai langkah pencegahan, polis boleh mangambil tindakan awal mengikut Seksyen 105, Kanun Acara Jenayah, jika nampak niat, pergerakan walaupun sehari sebelumnya," katanya.

(Sumber Malaysiakini.com/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails