MANEK URAI Julai 5 -Konsert hiburan alternatif yang diadakan di Padang Majlis Daerah Kuala Krai malam tadi turut menampilkan penyanyi rock, Ringgo yang juga bekas vokalis kumpulan Arrow, Pendikir terkenal Megat Nordin dan johan Akademi Nasyid TV9, Azhan Atan.
Konsert yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kelantan itu, Ringgo menyampaikan lima buah lagu termasuk dua lagu popularnya bersama Arrow iaitu Sendu di Hati Mu Rindu di Jiwaku dan Niat di Hati Tak Nak Berpisah.
Ringgo turut mengambil kesempatan pada konsert tersebut untuk menjual album terbarunya bertajuk Pesan Tok Guru dengan harga promosi RM10 dan masih bertemakan rock serta pop.
Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian, konsert santai bersama keluarga itu menarik minat penduduk tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Dr. Mohamed Fadzli Hassan ketika ditemui berkata, konsert alternatif itu diadakan bagi memberi maklumat kepada orang ramai bahawa Islam membenarkan hiburan tetapi mesti dalam batas-batas tertentu.
“Konsert malam tadi berlangsung dengan baik dan kita ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa ini adalah hiburan alternatif yang dibenarkan dalam Islam.
“Percampuran di antara lelaki dan wanita pada konsert malam tadi memang tidak dapat dielakkan kerana kebanyakan yang datang bersama keluarga, suami isteri dan adik dengan kakak atau abang.
“Kalau di tepi-tepi jalan dan tempat yang sunyi dan agak jauh dari sini adalah di luar daripada kawalan kita, tetapi sepanjang konsert ini berlangsung kita selang-seli dengan nasihat dan unsur-unsur dakwah,” katanya. (AK)
No comments:
Post a Comment