Saturday, July 18, 2009

Teoh: Kemuncak Siri Kamatian Dalam Tahanan.. -PR

SABTU Julai 18, 2009 | 25 Rajab 1430 Hijrah:

KEMATIAN mendiang Teoh Beng Hock merupakan kemuncak kepada penyalahgunaan kuasa pihak berwajib dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat. Sebelum ini telah terdapat banyak siri kematian yang berlaku dalam tahanan pihak berkuasa seperti Allahyarham Rumie Azzan Mahlie dan mendiang Ananthan Kugan.

Oleh itu Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mewakili seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan menyatakan rasa dukacita yang amat mendalam di atas kematian mendiang Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Selangor.

Menurut kenyataan media ini yang dikeluarkan oleh 3 tokoh Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Abdul Hadi Awang Presiden PAS dan Lim Kit Siang Ketua Ahli Parlimen DAP, sehingga kini pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah secara berterusan menjalankan siasatan dan membuat ancaman ke atas para pemimpin PR, sedangkan laporan demi laporan mengenai penyalahgunaan kuasa para pemimpin BN tidak diendahkan.

Ini adalah bukti kukuh bahawa suruhanjaya yang baru beroperasi selama enam bulan itu hanyalah dijadikan alat oleh BN dan Umno untuk melemahkan PR. Rakyat menuntut jawapan yang lebih tegas dari SPRM dan PM yang menjadikan SPRM sebagai kuda tunggangan Umno, dalam tindakan untuk merampas kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh PR, menurut kenyataan itu lagi.

"Badan seperti SPRM seharusnya bertindak profesional dan menyelamatkan integriti mereka dengan mengambil tindakan ke atas laporan terhadap para pimpinan BN yang telah diketahui umum terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah. SPRM juga seharusnya memberhentikan teknik mendera dalam soal siasat mereka. Dalam kes Mendiang Teoh, SPRM perlu mengenal pasti pegawai terlibat seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan.

"Kami percaya bahawa rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap SPRM dan institusi lain yang dtubuhkan oleh kerajaan. Pakatan Rakyat akan terus menerus menentang kezaliman dan salahguna kuasa institusi ini dengan mengadakan kempen di seluruh negara. Sehubungan dengan itu Majlis Pimpinan PR hari ini mendesak dan bertegas agar satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat kematian mendiang Teoh Beng Hock dan meneliti teknik dan kaedah siasatan SPRM selama ini." Tegas kenyataan tersaebut. (17 Julai/AK).

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails