Saturday, July 11, 2009

Xinjiang 7: Nasib Orang Islam Di Bawah Negara Bukan Islam.

JENDELA GLOBAL

Nasib keturunan Afghan di Xinjiang


Muslimah bertongkat ini terus memperjuangkan haknya.

IA bermula dengan satu demonstrasi aman tetapi bertukar menjadi mimpi ngeri. Segala-galanya tercetus selepas etnik Islam Uighur di China menuntut penjelasan berhubung kematian dua pekerja kilang mainan dalam satu rusuhan di selatan negara itu bulan lalu.

Video-video yang disiarkan di Internet menunjukkan seorang wanita etnik Uighur beragama Islam dipukul sehingga mati oleh para pekerja yang majoritinya berbangsa Cina Han. Berikutan itu, negara kuasa besar Asia, China sekali lagi menjadi tumpuan media antarabangsa.

Di sekitar jalan di Urumqi yang terletak kira-kira 3,219 kilometer dari barat Beijing, kenderaan-kenderaan dibakar dan dimusnahkan.

Kota yang terletak di wilayah Xinjiang dengan populasi seramai dua juta orang itu sekali lagi menyaksikan tragedi pertumpahan darah ekoran ketegangan antara etnik.




Sebelum ini, Urumqi sering menjadi contoh keharmonian antara etnik oleh masyarakat China. Malangnya, insiden keganasan pada Ahad lalu secara tidak langsung menoktahkan keamanan yang dikecapi selama ini.

Lontaran batu berterbangan memecahkan tingkap-tingkap bangunan manakala mayat-mayat bergelimpangan di jalan raya, sekali gus mengingatkan warga China terhadap peristiwa hitam di Dataran Tiananmen pada tahun 1989 yang mengakibat banyak kematian selepas pihak berkuasa menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan para penunjuk perasaan.

"Lindungi Xinjiang!," jerit ribuan pegawai pencegah rusuhan dan polis bersenjata sewaktu mereka dikerah ke tempat kejadian untuk menenangkan keadaan.

Setakat ini, seramai 156 orang telah terkorban. Rata-ratanya terdiri daripada etnik Cina Han manakala lebih 828 yang lain cedera. Siasatan awal mengesahkan sebanyak 261 buah kenderaan telah dibakar melibatkan 190 buah bas, 10 buah teksi dan dua kereta peronda polis.



Turut musnah ialah 203 buah kedai dan 14 buah kediaman. Lebih daripada 1,400 orang suspek juga telah ditahan oleh pihak polis.

Angka kematian ini sekali gus melakar sejarah keganasan etnik terburuk di China sejak berakhirnya Revolusi Budaya 1966-1976.

Keganasan ini sebenarnya mungkin boleh dielakkan jika pihak berkuasa tidak bertindak keras terhadap peserta-peserta protes.

"Kemarahan ini sudah lama terpendam. Pada awalnya, ia hanya satu perhimpunan aman. Ribuan orang menjerit: 'Hentikan diskriminasi etnik! Kami perlukan penjelasan!' Ramai yang sudah letih menderita dalam senyap," kata Dilxat Raxit, jurucakap untuk Kongres Uighur Sedunia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS). Kongres yang diadakan di Sweden ini dihadiri oleh golongan pejuang hak etnik Uighur yang dibuang negara.

Di sebalik protes tersebut, ada pihak beranggapan rusuhan itu berlaku atas sebab lain. Antaranya, termasuk faktor perbezaan status ekonomi, budaya dan agama yang timbul sejak berdekad lalu.


BEBERAPA wanita Islam Uighur cuba menghalang kemaraan pasukan polis bersenjata.


Tahun ini merupakan tahun ke-60 kemasukan pasukan tentera China ke wilayah Xinjiang. Tindakan yang disifatkan oleh kerajaan Beijing sebagai 'kebebasan secara aman' ini telah menyuntik kemajuan dan pembangunan ekonomi kepada wilayah serba daif ini. Bagi China, wilayah Xinjiang merupakan laluan emas ke Asia Tengah.

Namun, majoriti penduduk berbangsa Uighur yang berjumlah lapan juta orang itu berpendapat ia bukan satu perkembangan positif. Mereka mendakwa dipinggirkan secara sistematik berikutan 'penghijrahan' orang Cina Han yang dilihat telah mengeksploitasi sumber-sumber gas asli, pertanian dan minyak di Xinjiang.

Xinjiang yang diambil alih oleh Empayar China pada abad ke-19 ini memiliki populasi berjumlah 19 juta orang. Sekitar tahun 1949, hanya enam peratus daripada keseluruhan penduduk Xinjiang adalah masyarakat Cina Han.

Hari ini, bilangan kelompok masyarakat ini telah meningkat kepada 41 peratus. Sebanyak 45 peratus pula terdiri daripada etnik Uighur. Memiliki ciri-ciri fizikal orang Afghanistan, sebilangan besar warga Uighur yang berasal dari puak Turkic ini juga beragama Islam.

Kumpulan tentera Uighur yang telah dibuang negara, mendesak agar sebuah wilayah bebas, Turkestan Timur ditubuhkan.

Lantas, tidak hairanlah apabila kerajaan China terus menuduh golongan 'terbuang' ini sebagai dalang di sebalik serangan pengganas bersiri terhadap orang-orang awam Cina sejak tahun 1990-an.


PROTES di Turki mendesak kerajaan China membebaskan etnik Uighur.Di Malaysia belum ada pun.


Dalam serangan pengganas pada 11 September 2001, AS bukan satu-satunya yang menerima impak besar. Malah, China juga menerima penangannya.

Menyifatkan diri mangsa keganasan antarabangsa, China mengklasifikasikan pergerakan puak pemisah Uighur sebagai kumpulan al-Qaeda versi China.

China mendakwa kumpulan militan Uighur seperti Parti Islam Turkestan dan Pergerakan Islam Turkestan Timur telah menerima latihan ketenteraan daripada kumpulan Taliban di Pakistan. Kedua-dua kumpulan militan ini telah disenarai hitam sebagai pengganas oleh Washington.

Bimbang akan keganasan yang bakal berlaku sebelum berlangsungnya Sukan Olimpik Beijing pada tahun lalu, pihak berkuasa China telah bertindak menyerbu kem latihan kendalian Pergerakan Islam Turkistan.


Sejak Xinjiang diambil alih oleh Parti Komunis pada tahun 1949, Presiden Mao Zedong pada ketika itu berhasrat untuk mengasingkan umat Islam berdasarkan latar belakang etnik dan bukan identiti sebagai Islam. Sepanjang Revolusi Budaya, identiti umat Islam terus terdedah kepada serangan bertalu-talu daripada kerajaan China.

Pada tahun 1966, poster-poster yang ditampal di sekitar Peking (kini Beijing) secara terbuka mendesak ajaran agama Islam dihapuskan. Umat Islam juga diharamkan mempelajari bahasa penulisan Arab.

Perubahan ini cukup kritikal kerana ia menambahkan jurang umat Islam daripada bahasa Arab yang juga bahasa al-Quran dan aspirasi Islam.

Ketika polisi Mao diperkenalkan, bilangan populasi umat Islam di negara komunis itu telah berkurangan sehingga 10 juta orang. Berdasarkan statistik populasi yang dikeluarkan pada tahun 1936, bilangan umat Islam di China dianggarkan berjumlah 48,104,240 orang.

Penghapusan sekitar 38 juta orang umat Islam yang begitu drastik tidak pernah dijelaskan oleh kerajaan Kuomingtang pada ketika itu. Walaupun begitu, rayuan sejumlah sami Tibet atau pejuang-pejuang demokrasi di Dataran Tiannamen telah mengurangkan penghapusan umat Islam China secara beramai-ramai.


WANITA-WANITA Uighur tidak terkecuali menghalang pihak polis dalam peristiwa ketegangan etnik di Xinjiang, China baru-baru ini.

China berkali-kali menabur janji manis dari aspek kebebasan kepada warga Uighur. Namun, ia hadir dengan syarat tertentu.

Imam-imam diwajibkan memperoleh lesen daripada kerajaan negeri. Penjawat awam termasuk guru pula diharam keras daripada bersembahyang di masjid ketika cuti sakit. Lebih teruk lagi, tiada sesiapa yang berusia 18 tahun ke bawah dibenar mempelajari sebarang ajaran agama Islam.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Contoh nasib orang Islam di bawah negara bukan Islam, nak amalkan agama sendiri pun dihalang, apalagi nak menegakkan kebenaran untuk bersama-sama orang lain? Begitu jugakah nasib orang Islam di bawah negara bukan Islam dipimpin oleh pemimpin yang mengaku beragama Islam tetapi menolak negara Islam? (2MA)

Lihat ini..

No comments:

Post a Comment