Thursday, August 27, 2009

Hukum Sebat Itu Tidak Islamik -Presiden PAS

Ini zalim! bukan hudud sebenar.. tambah menghina Islam!

KUALA LUMPUR 26 Ogos 2009. APA yang sepatutnya berlaku ialah arak hendaklah di haramkan penjualannya secara menyeluruh lebih dahulu kepada semua orang Islam. Begitu kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta supaya pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno sehingga boleh memberi gambaran salah terhadap syariat Islam, menurut harakah hari ini.

"Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam.," kata beliau dalam kenyataannya. "kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun,"

Abdul Hadi mengulas isu hukuman rotan enam kali ke atas Kartika, model sambilan yang didapati bersalah minum arak di sebuah hotel oleh Mahkamah Tinggi Shariah, Kuantan. Ia kini menjadi perdebatan umum dan menarik perhatian termasuk wartawan dari luar negara.

"Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam," katanya. Mengikut Islam sebatan ini, perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak. Sebatan juga, menurut beliau, tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

"Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi. Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ianya memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan," katanya.

Bagi beliau, hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (Pindaan) 1987 sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

"Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya, kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat," katanya.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40- 80 rotan jumlahnya, kata beliau. Haramnya arak ini, katanya, adalah tidak mengira tempat, samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

Bagi beliau juga, menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya adalah seumpama menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi!

Blog Ibnu Hasyim: Jadi hukum sebat yang akan dilaksanakan oleh kerajaan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno adalah tidak Islamik dan boleh memberi gambaran salah terhadap syariat Islam. Walaupun bunyinya macam hendak ikut hukum Allah tetapi sebenarnya adalah sebuah penyelewengan dan kezaliman. (2MA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails