GEORGETOWN - Lapan belas termasuk peguam, Darshan Singh Khaira selepas menimbulkan kekecohan dan menghalang polis menjalankan tugas semasa kerja meroboh rumah penduduk Kampung Buah Pala, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid berkata, tiga daripada yang ditahan adalah wanita.
“Mereka ditahan kerana cuba melakukan rusuhan. Kehadiran wakil parti politik dan beberapa pertubuhan yang mencetuskan kekecohan yang tidak sepatutnya berlaku. Dua pegawai polis dipukul dalam kejadian itu,” katanya.
Azam berkata, tindakan penduduk dan pihak luar menghalang operasi pemaju untuk merobohkan rumah penduduk adalah salah sama sekali memandangkan pada 13 Ogos lalu, mereka bersetuju mengosongkan penempatan itu.
“Setakat hari ini (semalam), empat rumah telah dirobohkan pemaju manakala penghuni rumah yang lain telah memohon pemaju memberi tempoh sehingga lima hingga tujuh hari bagi mencari penempatan baru.
"Operasi merobohkan penempatan penduduk juga adalah sah kerana mereka telah menerima perintah mengosongkan rumah oleh mahkamah bagi tujuan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, semalam.
Azam berkata, beliau tidak menolak kemungkinan antara pihak luar terlibat adalah ahli-ahli MIC, Makkal Sakti dan Hindraf yang dilihat bersatu hati dalam mempertahankan perkara yang ‘salah’.
Menurutnya, kecederaan pertama yang berlaku sewaktu pergelutan yang berlaku antara polis dan pihak luar dialami oleh rakan pemaju tatkala ia dipukul penduduk dan mengalami kecederaan di peha ketika hendak memasuki rumah penduduk untuk dirobohkan.
“Polis akan menjalankan siasatan dengan secepat mungkin dan ianya akan dilengkapkan dengan segera," katanya.
Kesemua ditahan atas kesalahan mencetuskan rusuhan di bawah Seksyen 147 dan kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas mengikut Seksyen 186. (Sumber: Sinar Harian)
No comments:
Post a Comment