Sunday, September 13, 2009

Arak: Pemuda PAS, MB Kedah, Selangor & Mirzan Mahathir.

ALOR SETAR Ahad September 13, 2009 : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau tidak mengetahui mengenai cadangan kawalan dan garis panduan penjualan arak di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat seperti dibangkitkan oleh Dewan Pemuda Pas, menurut Bernama hari ini.

"Semalam saya bermesyuarat dengan Dewan Pemuda Pas Pusat tapi tiada yang membangkitkan perkara ini. Saya kena dapatkan maklumat mengenainya terlebih dahulu," katanya ketika ditanya mengenai cadangan dewan berkenaan. Azizan berkata beliau tidak melihat cadangan itu sebagai satu keperluan mendesak memandangkan Kedah sudah ada undang-undangnya sendiri berhubung kaedah penjualan arak.

"Di sini hanya kedai-kedai tertentu sahaja yang diberikan lesen penjualan arak kerana ada penganut agama lain yang minum arak kerana agama mereka tidak mengharamkannya.. Saya rasa tiada masalah bagi orang Islam kerana mereka tahu memang haram minum arak," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kulim, Lim Soo Nee sebagai anggota Exco Negeri yang baru di Istana Anak Bukit, di sini Ahad.

Azizan bagaimanapun melahirkan rasa terkejutnya mengenai cadangan supaya kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat mengharamkan terus penjualan arak di negeri yang mempunyai majoriti umat Islam. "Bila pula Dewan Pemuda Pas ada kuasa ke atas kerajaan negeri," kata Azizan. Timbalan Pengerusi Dewan Pemuda Pas, Azman Shapawi Abd Rani berkata semalam mereka akan menyediakan kertas cadangan mengenai kawalan dan garis panduan penjualan arak itu.

Sementara itu, menurut Harakah, ketika kerajaan negeri Selangor melalui Exco agamanya berusaha keras untuk menghalang umat Islam di negeri itu dari terjebak dengan ketagihan arak, anak bekas Perdana Menteri, Mirzan Mahathir dilantik sebagai pengarah dalam syarikat pengeluar arak terbesar Filipina. Mirzan, sebagaimana suratnya kepada laman web The Malaysian Insider selepas berita mengenai perlantikan beliau dalam San Miguel Corp (SMC) disiarkan oleh laman web itu menyebutkan, beliau sedang berusaha agar penglibatan SMC dengan arak hanya akan tinggal 15 peratus sahaja tahun depan.

San Miguel Brewery menguasai 95 peratus pasaran beer Filipina. Syarikat ini telah mengeluarkan San Miguel Beer sejak lebih 100 tahun lalu. Beer ini dibuat di Filipina, China, Indonesia, Vietnam, Thailand dan juga Malaysia. Ia dijual di 60 negara di seluruh dunia, lapor laman webnya.

Menurut Mirzan dalam suratnya itu, syarikat itu sedang berubah haluan ke infrastruktor, kemudahan awam dan tenaga yang diperlukan oleh negara Filipina. Dengan apa yang dilakukan oleh Mirzan, ia lebih besar kesannya berbanding ketagihan arak secara individu kerana Mirzan akan menyumbangkan tenaga, wang dan fikirannya untuk memajukan perniagaan arak ini.

Namun Mirzan, anak sulong Dr Mahathir ini dalam suratnya menolak perkara itu. "Sebagai rakyat Malaysia, saya mahu membantu San Miguel membina pendekatan baru dan harapan saya apabila ianya berjaya akan memberikan kesan baik kepada negara dan rakyat," kata Mirzan. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails